Followers

SEJARAH: PERJANJIAN KEMERDEKAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

Pada hari ini dalam tahun 1956, Perjanjian Kemerdekaan ditandatangani di Lancaster House, London. Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Tanah Melayu telah menandatangani bagi pihak Persekutuan Tanah Melayu dan Mr Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan menandatangani bagi pihak kerajaan British. 

Wakil-wakil yang lain bagi Persekutuan Tanah Melayu yang hadir sama di upacara itu ialah Datuk Abdul Razak Hussein, Dr Ismail Abdul Rahman, Encik T. H. Tan, Encik Abdul Kadir Shamsuddin dan Col. H. S. Lee. 

Perwakilan Raja-Raja Melayu pula terdiri daripada Datuk Panglima Bukit Gantang wakil Sultan Perak, Datuk Nik Ahmad Kamil wakil Sultan Kelantan, Datuk Mohd. Seth wakil Sultan Johor dan Encik Abdul Aziz Majid wakil Sultan Selangor. 

Perwakilan Kerajaan British pula terdiri daripada John Hore, Menteri Negara, Mr Donald Mac Gillivray, Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu, Mr David Watherston, Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu dan Mr Oscar Spencer, Menteri Hal ehwal Ekonomi Persekutuan Tanah Melayu. 

Mengikut perjanjian itu, kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu akan diisytiharkan pada 31hb Ogos, 1957. 

Antara lain perkara-perkara yang tercatit dalam Perjanjian Merdeka itu ialah perubahan-perubahan berkaitan dengan kementerian dan jabatan-jabatan bagi Persekutuan Tanah Melayu dan pemansuhan jawatan Penasihat British. 

Perubahan-perubahan itu dengan sendirinya mengakibatkan berlakunya beberapa pindaan dalam perjanjian-perjanjian negeri, perlembagaan negeri dan Perjanjian Persekutuan.

Terikh Peristiwa: 08/02/1956
Sumber: Arkib Negara Malaysia (ANM)


#info NAS #bersamamu
#malaysia #negaraku #merdeka
#arkibnegara

SPR MENERIMA 272,143 PENDAFTARAN PEMILIH BAHARU PADA SUKU KE-4 2016

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 272,143 pendaftaran pemilih baharu pada suku keempat 2016 iaitu antara Oktober hingga Disember.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata dalam tempoh itu juga, SPR menerima sebanyak 80,821 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar.

Selaras dengan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun 4/2016 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 7 hingga 20 Feb 2017 di 960 tempat pameran di seluruh negara, katanya.

"Sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat pusat mengundi pada bulan Oktober, November dan Disember 2016 dinasihatkan menyemak RDPT Suku Tahun 4/2016," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi permohonan pendaftaran baharu, jika pemohon mendapati nama tidak tersenarai dalam RDPT itu, pemohon boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan diserahkan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan, katanya.

Pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama individu di dalam RDPT itu, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C, katanya.
"Semasa tempoh pameran RDPT itu, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih," katanya.

Menurutnya antara asas SPR mengeluarkan nama pemilih adalah kerana mereka didapati tidak berhak untuk terus kekal dalam daftar pemilih atas sebab seperti telah meninggal dunia atau lucut hak warganegara.

SEJARAH: MESYUARAT ANTARA MALAYDUA DAN INDONESIA MENCAPAI HASIL PEETAMA TENTANG GENJATAN SENJATA 6/2/1964

Mesyuarat antara Malaysia dan Indoensia mencapai hasil pertama tentang genjatan senjata


Sejak daripada wujud Konfrantasi di antara Malaysia-Indonesia, usaha-usaha telah dijalankan bagi menemukan kedua-dua pihak tersebut untuk menyelesaikan segala salah faham dan perselisihan pendapat di antara Malaysia dan Indonesia. 

Satu persidangan di Bangkok telah diadakan pada 6 Februari 1964, yang telah dihadiri oleh kedua-dua pihak. Malaysia diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Indonesia oleh Menteri Luar, Dr. Subandrio. 

Persidangan tersebut telah mencapai hasil yang pertama apabila kedua-dua pihak bersetuju mengadakan gencatan senjata di sempadan masing-masing iaitu di Borneo-Kalimantan. 

Sebagai langkah membuktikan kata sepakat kedua-dua pihak mengirim kawat kepada Setiausaha Agong Bangsa-bangsa Bersatu meminta beliau melantik Thailand sebagai pengawas gencatan senjata di sempadan Borneo-Kalimantan. Sebagai sebuah negara yang berjiran, proses perundingan memainkan peranan yang penting bagi menyelesaikan segala masalah yang timbul.


Tarikh peristiwa: 06/02/1964
Sumber: Arkib Negara Malaysia (ANM)