Followers

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK TIDAK GENTAR SERANGAN MUSUH, TERMASUK PERJUANGAN UMNO


PEKAN:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan beliau tidak gentar menghadapi musuh dan tidak akan sesekali berundur daripada perjuangannya, meski pun menerima serangan bertubi-tubi dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata perjuangannya dipacu oleh semangat kebersamaan, perpaduan dan sokongan yang diterima daripada semua pihak khususnya daripada Parlimen Pekan, yang menjadi kubu politiknya sejak menyertai bidang itu.

"Berbekalkan semangat itu, kita akan bangkit semula. Lawan tetap lawan. Saya tidak takut pada sesiapa, hanya takut pada Allah SWT.

"Saya tidak takut pada orang yang khianati UMNO selepas jadi pemimpin sepanjang 22 tahun. Patutkah saya takut pada orang yang sudah beusia 92 tahun? Kita tidak payah cakap banyak tentang orang yang sudah banyak terbabas. Insya-Allah, kita boleh mencapai kemenangan berkat kebersamaan kita," katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap menggulung perbahasan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

Menurutnya semangat perjuangan beliau tidak pernah luntur walaupun pernah berhadapan detik hitam pada Pilihanraya Umum (PRU) Ke-10 pada 1999 apabila hanya menang dengan majoriti 241 undi.

"Ramai yang suruh saya pindah ke kawasan lain kerana kata Pekan tidak selamat lagi buat saya. Namun, saya tolak cadangan berpindah sebab saya nekad. Saya bermula di Pekan dan politik saya akan berakhir di Pekan," katanya.

Sehubungan itu, Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan meminta supaya 148 cawangan UMNO di Pekan berjuang bersamanya bagi memperoleh majoriti melebihi 40,000 undi pada PRU akan datang, sekali gus menjadi jawapan paling utuh kepada mereka yang menyerangnya.

Beliau turut mengingatkan anggota perwakilan supaya sentiasa menjaga akar umbi masing-masing dan tidak bercakaran sesama sendiri selain menyelesaikan masalah dalaman secara bertoleransi.

"Saya kena jaga gelanggang yang lebih luas. Saya perlu ke hulu dan ke hilir. Saya perlu mentadbir isu negara yang semakin hari semakin kompleks termasuk dimensi luar yang lebih luas.

"Janganlah memeningkan kepala saya dan jangan sampai menimbulkan apa-apa yang boleh membawa persepsi negatif tentang bahagian Pekan," pintanya kepada anggota perwakilan berkenaan. - ASTRO AWANI

ZIKA MASUK MALAYSIA: WANITA KLANG SAH DIJANGKITI, KES PERTAMA DI NEGARA INI


KLANG:  Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang wanita berusia 58 tahun di Klang, Selangor sebagai mangsa pertama dijangkiti virus Zika di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata wanita berkenaan telah mengunjungi anak perempuannya di Singapura pada 19 Ogos dan pulang ke tanah air dua hari kemudian.

Bercakap pada satu sidang media di sini, beliau berkata selepas seminggu, wanita berkenaan dilaporkan mulai demam dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan.

Menurutnya, ujian air kencing yang dijalankan ke atasnya mengesahkan dia dijangkiti virus tersebut.

Bagaimanapun, ujian ke atas suaminya yang turut sama ke Singapura didapati negatif.

Katanya, anak wanita berkenaan di Singapura disahkan dijangkiti virus Zika pada 30 Ogos lalu oleh pihak berkuasa kesihatan Singapura.

Katanya lagi, kementerian akan melaksanakan kawalan vektor nyamuk Aedes di kawasan perumahan wanita itu di Taman Botanik, Klang.

Tambahnya, kementerian tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengeluarkan nasihat perjalanan (travel advisory) kepada rakyat Malaysia ke negara-negara yang dilanda kes Zika seperti Singapura. Ini kerana terdapat lebih 200,000 warga Malaysia yang sedang bekerja di negara itu.- Astri Awani