Followers

DATUK SERI SALLEH SAID DILANTIK BENDAHARI KEHORMAT UMNO YANG BARU


KUALA LUMPUR:  Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dilantik sebagai Bendahari Kehormat UMNO yang baharu.

Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di sini hari ini.

"Mesyuarat UMNO hari ini dimulakan dengan majlis mengangkat sumpah Bendahari UMNO baharu. Tahniah Datuk Seri Salleh. Saya ucap terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Husni yang telah menjalankan tugas sebagai Bendahari dengan baik sekali dan penuh integriti."

Datuk Seri Salleh menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya.

Sementara itu, Datuk Seri Salleh berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan.

"Saya adalah seorang pemimpin yang bekerja sebagai satu pasukan dan apapun yang saya lakukan berdasarkan garis panduan yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi dan Presiden," katanya.

Jun lepas, Datuk Seri Najib ketika mengumumkan rombakan Kabinet memaklumkan peletakan jawatan Ahmad Husni sebagai Menteri Kewangan Kedua atas sebab peribadi.- astro awani

ONGKILI JALANKAN TUGAS PRESIDEN PBS BERKUATKUASA SERTA-MERTA


KOTA KINABALU:  Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili telah diamanahkan oleh majlis tertinggi parti untuk menjalankan tugas presiden parti berkuatkuasa serta-merta.

Setiausaha Agung PBS Datuk Johnny Mositun dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata keputusan itu dibuat atas permintaan presiden parti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti di sini.

Bagaimanapun, Mositun berkata Pairin akan kekal sebagai Presiden PBS sehingga tempoh penggal parlimen dan dewan undangan negeri sekarang berakhir.

"Beliau akan terus menjalankan tugasnya (sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah) dan tugasan berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain sehingga tempoh penggal berakhir," kata Mositun.

Beliau berkata, Ongkili, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, akan menyelia semua perkara parti termasuk hal ehwal dan pengurusan bahagian, cawangan dan ibu pejabat parti.

"Ini adalah sebahagian daripada langkah persediaan dalam rancangan penggantian kepimpinan parti.

"Dalam ucapannya, presiden Parti (Pairin) menggesa pemimpin parti di semua peringkat untuk bekerjasama, terus bersatu dan berusaha keras untuk mengukuhkan parti dan memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.- Astro Awani