Followers

ELAK KUMPULAN SEBAR POLITIK KEBENCIAN TERHADAP KERAJAAN DAN PEMIMPIN: NAJIB

KUCHING:  Rakyat harus mengelak kumpulan-kumpulan yang membuat janji manis selain menghasut mereka untuk menentang kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kumpulan-kumpulan itu juga menyebarkan politik kebencian terhadap kerajaan dan pemimpin.

"Sebaliknya, kerajaan sekarang mengamalkan politik perpaduan, keharmonian dan kestabilan di negara ini.

"Kami juga mahu melaksanakan pembangunan yang lebih besar dan memacu negara dan rakyat ke tahap kebanggaan dan pengiktirafan lebih tinggi," kata beliau pada majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Haji Baki Mesjid Darul Ehsan dekat sini pada Sabtu.

Najib berkata rakyat perlu belajar daripada pengalaman pahit negara-negara seperti Mesir, Syria, Libya dan mereka yang terlibat dalam kebangkitan "Arab Spring".

Beliau berkata mereka sepatutnya menikmati keindahan dan ketenangan musim bunga tetapi sebaliknya menghadapi hanya penderitaan dan perbalahan dalaman serta ketidakstabilan dalam negara sendiri.

"Rakyat tidak harus membiarkan diri mereka diperdayakan. Mereka perlu belajar daripada pengalaman pahit," kata Perdana Menteri.

Mengenai Sarawak, Najib berkata lawatannya dari semasa ke semasa ke negeri ini sejak menjadi Perdana Menteri ialah kerana beliau mahu negeri ini dibangunkan seperti negeri-negeri lain di negara ini.

"Sebab itulah kerajaan persekutuan melaksanakan projek-projek mega seperti Lebuh Raya Pan Borneo yang boleh membawa perubahan dalam pembangunan di Sarawak dan Sabah," katanya.

"Kerajaan persekutuan benar-benar komited untuk membangunkan Sarawak dan melaksanakan pembangunannya ke tahap lebih tinggi.

"Tetapi ia memerlukan sokongan penuh yang berkekalan untuk memastikan semua projek dan rancangan pembangunan dilaksanakan dengan lancar. Apapun, Rome tidak dibina dalam sehari," katanya.

Mengenai pilihan raya negeri Sarawak ke-11 akan datang, beliau menyeru rakyat untuk terus memberi sokongan sepenuhnya kepada ketua menteri Tan Sri Adenan Satem.

"Sebagai presiden parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), beliau harus diberi mandat. Jika beliau diberi mandat ini, beliau pasti berada dalam kedudukan lebih baik untuk membawa lebih banyak pembangunan di negeri ini," kata Najib.

Beliau berkata sebagai pemimpin Barisan Nasional, rakyat perlu yakin mengenai pencapaian Barisan Nasional yang terbukti cemerlang yang belum dapat ditandingi oleh pembangkang.

Najib berkata jika Adenan mencapai kemenangan besar, ia juga akan mengukuhkan kedudukan kerajaan pusat kerana Sarawak ialah satu daripada tonggaknya yang paling kukuh.

Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan geran RM1 juta bagi pembinaan dewan  masyarakat kampung tersebut selain meluluskan peruntukan bagi pembinaan bangunan baharu menggantikan SK Kampung Baki yang sudah usang.

Beliau juga menyampaikan sumbangan peribadi kepada anak lelaki ketua kampung, Taib Hamdan yang meninggal dunia pagi Sabtu.- BERNAMA

USAH BEBAN GURU DENGAN KEEJA PENTADBIRAN: AHMAD ZAHID

BAGAN DATOH:  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, guru-guru di negara ini tidak seharusnya dibebankan dengan kerja pentadbiran, sebaliknya menumpukan usaha ke arah akademik dan kerohanian.

Tindakan itu perlu dilakukan untuk memperkasakan guru dalam usaha melahirkan pelajar yang bukan sahaja berpendidikan tinggi, malah mempunyai akhlak dan sahsiah yang tinggi.

Malah Ahmad Zahid berkata perkara itu harus dijadikan keutamaan dalam usaha negara mencapai taraf negara maju seperti dikehendaki Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu 70 peratus daripada rakyat negara ini mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya peringkat diploma.

"Tentunya saya setuju jika guru tidak dibebankan dengan kerja pentadbiran, sebaiknya menumpukan kepada aspek akademik dan sahsiah iaitu keperibadian dan kerohanian agar pembangunan seimbang dapat dikeluarkan dalam sistem pendidikan kita.

"Ini kerana dalam bidang pendidikan, prestasi harus juga diukur kepada kestabilan emosi guru-guru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Bola Sepak Piala Timbalan Perdana Menteri dan Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2015 kawasan Parlimen Bagan Datoh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perkasa di sini hari ini.

Turut hadir Exco Sumber Manusia, Belia dan Sukan Perak Datuk Shahrul Zaman Yahya merangkap anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan, Pengarah Pendidikan negeri Rozi Puteh Ismail dan Pegawai Pendidikan Daerah Hilir Perak Sulaiman Samsudin.

Bagi mencapai taraf negara maju seperti yang disasarkan pertubuhan dunia itu, Ahmad Zahid berkata adalah penting bagi memastikan sebahagian besar penduduk negara ini mengembleng tenaga untuk mempunyai sekurang-kurangnya diploma, ijazah sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah (PhD).

Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh berkata sasaran itu turut meliputi usaha menjadikan golongan muda negara ini bukan sekadar berpelajaran tetapi juga berpendidikan, iaitu seimbang pencapaian fizikal dan rohani.

Dalam majlis berkenaan, seramai 95 pelajar daripada 11 sekolah yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan STPM dalam kawasan itu diraikan.
Mereka yang hadir bersama ibu bapa menerima wang tunai RM500 dan sebuah hamper setiap seorang yang disampaikan Ahmad Zahid.

Timbalan Perdana Menteri juga meluangkan masa membawa jentera bagi merasmikan secara simbolik upacara pecah tanah Dewan Terbuka SMK Seri Perkasa.-BERNAMA

UMNO PENAMPANG SOKONG PUCUK PIMPINAN, TOLAK 'DEKLARASI MAHATHIR'

PENAMPANG:  UMNO Bahagian Penampang kekal teguh menyokong penuh pucuk pimpinan parti yang dipilih secara sah melalui proses demokrasi, kata ketuanya Datuk John Ambrose.

Sehubungan itu, katanya, UMNO Bahagian Penampang menolak 'deklarasi Mahathir' yang disifatkan menanam politik kebencian rakyat terhadap parti UMNO dan kerajaan Barisan Nasional.

"(Deklarasi Mahathir) tidak akan menjejaskan (UMNO Bahagian Penampang) kerana daripada awal lagi kami menolak siapa sahaja yang menentang perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau dipilih secara sah melalui sistem demokrasi," katanya kepada pemberita sebelum memulakan mesyuarat UMNO Bahagian Penampang di sini, malam tadi. 

Katanya UMNO Bahagian Penampang menggesa tindakan disiplin diambil terhadap pemimpin UMNO yang terlibat dalam menandatangani deklarasi itu dan bersekongkol dengan pembangkang.

Ini kerana perbuatan mereka itu jelas menyalahi perlembagaan UMNO yang menggariskan peraturan agar setiap anggotanya taat setia kepada pemimpin dan memelihara kesejahteraan parti, katanya.

Pada 4 Mac, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang memeterai deklarasi itu menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Termasuk dalam kumpulan itu bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan veteran DAP Lim Kit Siang.- BERNAMA

JABATAN PENDIDIKAN SABAH SIASAT GURU DIDAKWA MUAT NAIK VIDEO LUCAH

SANDAKAN:  Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang guru di daerah ini didakwa mewujudkan kumpulan WhatsApp dan memuat naik video lucah untuk tatapan anggota kumpulan itu.

Pengarahnya Datuk Jame Alip berkata jabatan tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap guru itu jika terbukti melakukan perbuatan tidak bermoral itu kerana ia jelas mencemarkan nama baik jabatan dan profesion guru.

"Kami telah mengenal pasti guru terbabit, bagaimanapun perkara itu masih dalam peringkat siasatan.

"Sebagai seorang guru, perbuatan tidak bermoral dan melanggar etika sebagai seorang pendidik tidak sepatutnya berlaku," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan itu, semasa melakukan lawatan mengejut di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Juhar di sini, semalam.

Beliau melakukan lawatan mengejut di beberapa sekolah berasrama di daerah ini bagi meninjau tahap kebersihan persekitaran dewan makan, dapur dan makanan disediakan pengendali makanan.

Beliau yang berpuas hati dengan tahap kebersihan di sekolah berkenaan, menasihatkan pengendali makanan asrama sekolah agar mengambil inisiatif menambah stok bahan mentah makanan sekurang-kurangnya untuk tiga hari sebagai persediaan bagi sebarang kemungkinan.

Katanya pengendali makanan asrama perlu sentiasa memastikan aspek kebersihan berada pada tahap terbaik bagi mengelakkan kes keracunan makanan.

Jame mengingatkan bahawa jabatan tidak akan berkompromi dengan pengendali makanan yang mengabaikan aspek kebersihan dan kualiti serta khasiat makanan untuk pelajar.- BERNAMA

UMNO TIDAK BOLEH ADA 'GUNTING DALAM LIPATAN' : ALI RUSTAK

MELAKA:  UMNO akan menjadi sebuah parti yang lemah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 sekiranya tidak memecat anggota parti yang bersekongkol dengan pembangkang dalam menandatangani 'Deklarasi Mahathir', baru-baru ini.

Anggota Dewan Negara, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata dalam keadaan politik sekarang, UMNO tidak boleh mempunyai 'gunting dalam lipatan' yang boleh memecah belahkan parti dari dalam dan perlu segera melakukan 'pemutihan parti' bagi memastikan UMNO terus kukuh.

"Anggota (UMNO) yang bersekongkol dengan pembangang terutama DAP sudah tentu akan mengelirukan anggota parti (UMNO) yang lain seterusnya akan menjejaskan jentera UMNO dan parti secara keseluruhannya pada PRU Ke-14 nanti.

"Saya tegaskan di sini UMNO hanya perlukan anggota parti yang benar-benar setia. Kita mahu jelas sama ada sokong UMNO atau tidak, tidak boleh sokong UMNO tetapi tidak sokong pemimpin parti, sokong UMNO secara keseluruhannya," katanya pada sidang media, di sini malam tadi.

Terdahulu, Mohd Ali, yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, merasmikan Mesyuarat Agong Berkelompok Cawangan UMNO Dewan Undangan Negeri Bukit Baru di Bukit Katil di sini.

Beliau mengulas tindakan bekas mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang daripada DAP memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri.

Deklarasi itu turut ditandatangani bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Mohd Ali berkata sebagai anggota UMNO yang menjaga amanah orang Melayu di negara ini beliau tidak dapat menerima tindakan anggota UMNO yang sanggup bersekongkol dengan DAP yang jelas mempunyai agenda negatif terhadap orang Melayu.

"Saya hormati beliau (Dr Mahathir) dan tidak mengkritik beliau tetapi saya tidak boleh terima apabila beliau sanggup bekerjasama dengan DAP, walau apapun alasannya matlamat tidak menghalalkan cara," katanya.

Justeru, Mohd Ali, yang juga bekas ketua menteri Melaka, berkata anggota UMNO dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya perlu menilai sebaiknya apa yang berlaku dalam senario politik negara sekarang.-BERNAMA

DEKLARASI RAKYAT: PERCATURAN SILAP TUN MAHATHIR UNTYK UBAH SISTEM DEMOKRASI NEGARA : ANNUAR MUSA

KUALA LUMPUR:  'Deklarasi Mahathir' tidak akan ke mana kerana ia merupakan percaturan silap pihak terbabit untuk mengubah sistem demokrasi negara ini yang didukung oleh rakyat, kataKetua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata mereka yang terbabit dalam deklarasi itu sedar dan tahu bahawa sistem demokrasi di negara ini adalah berlandaskan kepada pilihan raya dan perlembagaan.

"Mungkin ada rakyat seronok sertai deklarasi itu, tandatangan, tetapi mereka faham itu bukan kaedahnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mengadakan lawatan ke Wisma Bernama dan memberikan taklimat berkaitan isu politik semasa.

Hadir bagi pihak Bernama ialah Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab, ketiga-tiga Timbalan Ketua Pengarang Datuk Mokhtar Hussain, Mikhail Raj Abdullah dan Ahmad Zukiman Zain, pengarang dan pegawai kanan.

Pada Jumaat lepas, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR, memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Deklarasi itu turut ditandatangani bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.
"Deklarasi itu nama sahaja daripada rakyat tetapi datangnya daripada pemimpin-pemimpin yang bergaduh dan bukannya semua wakil rakyat pun.

"Ini sentimen menghasut datangnya daripada orang yang kecewa (selepas) perjuangan peribadinya gagal," katanya.

Ditanya mengenai kesan deklarasi itu kepada UMNO, Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata UMNO bersikap positif dalam mengendalikan setiap masalah yang berlaku, dan cabaran itu pastinya menjadikan UMNO lebih kuat.

"Tiada satu parti politik dalam dunia ini yang tidak menghadapi cabaran, isu, dan sebagainya. Setiap cabaran itu proses untuk menguji ketahanan dan antibodi politik kita. Lagi banyak ujian, lagi banyak pengalaman kita.

"Isu-isu yang kita hadapi ketika ini, tiada yang luar biasa kerana UMNO itu solid (mantap); ada permuafakatan di bahagian dan cawangan, malah dahulu ada team A dan team B, cabar mencabar, tetapi itu semua tidak berlaku ketika ini," katanya. - BERNAMA

PENGANJUR HIMPUNAN BERSIH DAN BAJU MERAH BELUM JELASKAN KOS PEMBERSIHAN: RAHMAN

KUALA LUMPUR:  Kedua-dua penganjur Himpunan Bersih dan Himpunan Baju Merah masih belum menjelaskan sepenuhnya kos kerja-kerja membersihkan kawasan perhimpunan.

Menurut Menteri Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, penganjur himpunan Bersih 2.0 belum membayar RM64,955 manakala Penganjur Himpunan Baju Merah belum membayar RM38,214.70.

"Selaras dengan itu, berdasarkan maklumat yang diterima, syarikat Alam Flora Sdn Bhd telah mengambil tindakan dengan menghantar invois tuntutan bayaran bertarikh 1 September 2015 kepada penganjur Himpunan Bersih dan 30 September 2015 kepada penganjur Himpunan Baju Merah.

"Justeru itu, sebarang tindakan susulan berkenaan tuntutan kos bayaran pembersihan kepada pihak penganjur akan dibuat oleh pihak syarikat Alam Flora Sdn Bhd memandangkan pihak konsesi tersebut mempunyai hak untuk membuat tuntutan ini dan selaku pihak yang memberi perkhidmatan," katanya dalam satu jawapan bertulis di Parlimen.

Abdul Rahman berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong, yang ingin tahu jika penganjur Himpunan Bersih dan Baju Merah telah membayar kos pembersihan dan jika tidak apakah tindakan yang akan diambil ke atas kedua-dua penganjur.

Himpunan Bersih 4 diadakan pada 29 dan 30 Ogos dengan anggaran 300,000 orang menyertainya manakala Himpunan Baju Merah pula diadakan pada 16 September menghimpunkan 50,000 orang walau pada awalnya dikatakan akan membabitkan 1,000,000 peserta. - ASTRO AWANI

DAISH PERNAH RANCANG CULIK NAJIB: AHMAD ZAHID

KUALA LUMPUR:  Kumpulan militan Daish pernah merancang untuk menculik Perdana Menteri, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dedahnya, selain Perdana Menteri, kumpulan militan itu juga merancang untuk menculik Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri.

Kumpulan itu juga turut merancang empat plot serangan lain bermula September 2014 hingga Mei 2015.

Bagaimanapun, kesemua rancangan berkenaan berjaya digagalkan Polis Diraja Malaysia.

"Pada 30 Januari 2015, polis berjaya menahan 13 ahli Daish berkenaan dan mengagalkan rancangan mereka menculik Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan.

"Sebelum itu, pada September 2014, kumpulan yang sama juga merancang menyerang masjid milik Syiah dan tokong Cina di Kedah serta merompak van keselamatan.

"Pada 30 April 2015, 11 ahli Daish merancang meletupkan Putrajaya, pusat hiburan dan perjudian di negara ini," ujarnya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) dalam sesi soal jawab di Parlimen di sini hari ini. - ASTRO AWANI

BERHENTI BERPOLITIK UNTUK KEPENTINGAN SEMPIT: AGONG

KUALA LUMPUR:  Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah meminta semua wakil rakyat supaya berhenti berpolitik untuk kepentingan sempit.

Dalam titah pada majlis pembukaan sesi Parlimen hari ini, Baginda menyifatkan perkara itu sudah berlarutan sejak sekian lama sehingga melelahkan rakyat dan kerajaan.

"Berikanlah contoh teladan yang baik kepada rakyat dengan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara yang berterusan.

"Dalam negara demokrasi perlembagaan, kita boleh berbeza pandangan.

"Raikanlah ruang tersebut, namun bukan saling menjatuhkan, bermusuhan dan fitnah-memfitnah yang akhirnya menjerumuskan negara kepada kehancuran," titah Baginda.

Baginda juga mengingatkan ahli-ahli politik untuk mengelakkan dari memburuk-burukkan negara di mata masyarakat.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. - ASTRO AWANI

MAHATHIR, MUHYIDDIN BERSEPAKAT DENGAN PEMBANGKANH KESILAPAN AMAT BESAR: NAJIB

JOHOR BAHRU:  Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin 'bersepakat' dengan pembangkang dilihat oleh UMNO sebagai satu kesilapan amat besar, kata Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Perdana Menteri itu berkata tindakan kedua bekas pemimpin kanan UMNO itu turut mendatangkan kemarahan dan kekecewaan rata-rata pemimpin dan ahli UMNO.

"Saya tengok rata-rata di kalangan pemimpin UMNO, mereka sangat marah dan amat kecewa (dengan) tindakan Tun Dr Mahathir untuk sepakat dengan pembangkang.

"Malah sedutan ucapan Tun Dr Mahathir diviralkan, antaranya (pernah) menyelar Lim Kit Siang sebagai pemimpin rasis dan DAP chauvinis.

"(Selain itu), Tan Sri Muhyiddin dan Tun Mahathir (pernah) menyelar dan mengutuk Kit Siang dan DAP dengan jelas.

"Sebab itulah, pemimpin UMNO tidak boleh terima. Mereka tahu pendirian DAP selama ini, jadi apa yang dilakukan (adalah) satu kesilapan amat besar," kata Najib kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai tindakan dua pemimpin itu yang 'bersepakat' dengan pembangkang menandatangani 'Deklarasi Rakyat' Jumaat lepas.

Muhyiddin dan juga bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir adalah antara 50 orang yang menandatangani deklarasi itu yang menyokong penyingkiran Najib, diketuai Dr Mahathir, bekas perdana menteri.

Turut memberi sokongan adalah Penasihat DAP Kit Siang, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Ketika ditanya sama ada pemimpin UMNO yang terlibat boleh dikenakan tindakan, Najib berkata: "Terpulang kepada Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Disiplin.

"Kita, tiap seorang pemimpin di mana jua peringkat, tertakluk kepada perlembagaan dan disiplin parti," kata Najib.

Ditanya adakah ia amaran terakhir untuk Muhyiddin, Najib berkata: "Biar MT putuskan. Kami percaya badan tertinggi ialah Majlis Tertinggi."

Mengenai Badan Perhubungan UMNO Kedah yang mahukan Muhyiddin dan Mukhriz turut dikenakan tindakan, Najib berkata beliau tidak mahu membuat keputusan sendirian dan menyerahkan kepada MT.

"Serah pada MT. Saya tidak mahu buat keputusan sendirian. Kita amal tanggungjawab bersama," kata Perdana Menteri.

Apapun, Najib berkata kerajaan akan terus menumpukan kepada pembangunan negara dan juga khidmat kepada rakyat.

"Bagi kami, tahap keyakinan bergantung pada pilihan raya.

"Buat ketika ini, kerajaan akan diteruskan kerana kita mempunyai mandat dan bilangan di Parlimen. Parti juga di belakang kerajaan," katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin rakyat masih di belakang UMNO.

Terdahulu, Najib dalam rangka lawatan kerja sehari di Johor Baharu, merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Galleria@Kotaraya.- BERNAMA

KES GURU PIJAK PELAJAR: KELUARGA, SEKOLAH PERLU SELESAIKAN SECARA HARMONI: MAHADZIR

PADANG TERAP:  Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta pihak sekolah dan keluarga menyelesaikan secara 'harmoni' berhubung kes seorang pelajar tahun enam didakwa dipukul oleh seorang guru kerana mengubah suai basikalnya pada Rabu lalu.

Menurutnya, tidak semua kes terus dibawa kepada kementerian dan sepatutnya ia dapat diselesaikan diperingkat sekolah, pelajar, ibu-bapa dan guru berkenaan supaya ia tidak terus berlarutan.

Jelasnya, kementerian juga perlu menguruskan 10,191 buah sekolah di mana seramai 420,000 guru mengajar kepada 5 juta orang pelajar di negara ini.

Beliau berkata buat masa ini, guru berkenaan diberi peluang untuk menyelesaikan bersama pelajar dan ibu-bapa terlibat dan kementerian belum mengambil sebarang tindakan terhadap guru tersebut.

Bagaimanapun, katanya kementerian tetap memandang serius isu memukul pelajar atau murid dan siasatan tetap akan dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan kementerian.

Jika terbukti bersalah, barulah kementerian dapat mengambil tindakan tegas untuk mengelak kejadian yang sama berulang dan membimbangkan banyak pihak.

"Selesaikan secara harmoni, itu cara yang terbaik. Maknanya keluarga datang jumpa guru, guru besar, kemudian selesaikan kes ini," katanya selepas merasmikan Telaga Tiup Air Bawah Tanah di Sekolah Menengah Agama Al-Siddiqiah Padang Kerasak, Naka, Kuala Nerang.

Projek kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Ahli Palimen Padang Terap itu menelan kos kira-kira RM80,000 dan mampu menyalurkan air bersih sebanyak 2,000 gelen sejam dan menampung kira-kira 600 pelajar. - ASTRO AWANI

NAJIB BAKAL LANCAR PELAN PERTUMBUHAN STRATEGIK NEGERI JOHOR

JOHOR BAHRU:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor sempena lawatan kerja rasminya ke negeri ini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan, akan melancarkan pelan itu serta  Rancangan Pembangunan Komprehensif Ke-2 Iskandar Malaysia (CDPii) 3/8 pada majlis pelancaran di Stadium Educity, Iskandar Puteri dekat sini.

Pelan pertumbuhan itu merangkumi visi strategik dan komprehensif pembangunan di Johor bagi membangunkan setiap daerah di negeri itu mengikut sektor tertentu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Johor CDPii pula lebih menumpukan kepada aspek pengurusan sosial dan alam sekitar serta prospek pembangunan yang ditawarkan di Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia.

Sebelum majlis pelancaran itu, Najib dijangka menghadiri perasmian projek pembangunan hartanah Forest City di Gelang Patah, yang akan dirasmikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Projek hartanah itu bakal mewujudkan lebih 220,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan menjelang 2035, menerusi penglibatan dalam lapan sektor pertumbuhan industri termasuk bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan pelancongan.

Projek yang bercirikan konsep mesra alam itu, akan dibina di atas empat pulau buatan manusia berkeluasan lebih 1,400 hektar.

Ia merupakan antara projek pembangunan hartanah terbesar di Asia dari segi  jumlah unit hartanah yang akan dibangunkan, dan akan dibangunkan dalam sembilan fasa bagi tempoh 20 tahun.

Sebelum mengakhiri lawatan kerja sehari ke negeri ini, Najib kemudiannya akan merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor di Galleria, Johor Bahru.

UTC itu merupakan yang kelapan dirasmikan oleh Perdana Menteri selepas merasmikan dua pusat yang sama di Kuala Lumpur, dan masing-masing satu di Melaka, Perak, Pahang, Kedah dan Sabah itu. - BERNAMA

MCA PERLU SOKONGAN MASYARAKAT CINA UNTUK MAIN PERANAN LEBIH BERKESAN: LIOW

KUALA LUMPUR:  Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa masyarakat Cina untuk memberi sokongan penuh kepada parti itu untuk membolehkan MCA memberi khidmat lebih baik kepada masyarakat.

Beliau berkata sokongan padu daripada masyarakat Cina kepada MCA akan membolehkan parti memainkan peranan lebih berkesan dalam menyumbang kepada masyarakat melalui banyak cara.

"Untuk MCA mempunyai suara yang kuat dan kehadiran dalam kerajaan Persekutuan dan negeri, kita memerlukan sokongan masyarakat.

"Majoriti kaum Cina perlu membuang sikap "mahu kuda berlari pantas tetapi tidak sanggup untuk memberi makan dengan cukup," katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-67 parti di Wisma MCA di sini, pada Sabtu.

Kira-kira 2,400 ahli MCA, termasuk pemimpin veteran dan pemimpin persatuan Cina menghadiri sambutan itu bertemakan "Merealisasikan Kesederhanaan, Membina Pragmatisme".

Beliau juga berjanji bahawa MCA akan terus menyokong dan memajukan komuniti dalam membangunkan negara.

"Walaupun menghadapi cabaran pada tahun-tahun kebelakangan ini, saya berdiri di hadapan anda semua hari ini untuk menegaskan komitmen MCA menjaga kebajikan masyarakat Cina.

"Kita tidak akan menggugurkan, ataupun meninggalkan perjuangan ini," kata beliau.

Liow juga memberi jaminan bahawa matlamat teras MCA tidak akan berubah termasuk memelihara identiti sekolah jenis kebangsaan Cina, meneruskan warisan pluralisme, menegakkan kebebasan beragama serta memastikan peluang yang sama rata serta hak asasi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau berkata meskipun menghadapi keadaan ekonomi dan politik semasa, dan juga proses kebangkitan semula parti berikutan pencapaian buruk dalam pilihan raya umum yang lepas, MCA akan terus bergerak ke hadapan.

"Kita harus membuktikan kemampuan kita, bukan sahaja dalam bidang politik tetapi juga melalui pembaharuan ekonomi, serta inisiatif budaya dan pendidikan. 

"Justeru, adalah penting untuk kekal fleksibel dalam strategi kita, selagi kita tidak melupakan matlamat jangka panjang kita," kata Liow.

Beliau menambah bahawa sebagai ahli parti yang memerintah, MCA tidak mahu melihat masyarakat Cina dipinggirkan atau hilang arah di persimpangan.

"Kita perlu bersatu untuk menghadapi suasana politik semasa tanpa perasaan berbelah bahagi. Kita akan terus memacu inisiatif dengan matlamat ke arah membangunkan negara, dan untuk melaksanakan program-program bermanfaat yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat.

Sementara itu, Liow, yang juga Menteri Pengangkutan berkata parti itu akan terus memupuk hubungan lebih erat dengan persatuan-persatuan Cina dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat Cina.

"MCA dan persatuan-persatuan Cina akan menjadi lebih teguh bersama untuk membentuk satu kuasa bagi memperjuangkan kesederhanaan, dan memastikan negara terus mengekalkan pluralisme dan memelihara perpaduan kaum, kestabilan negara dan pembangunan untuk masa depan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata kerjasama itu juga membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama bagi memanfaatkan peluang perniagaan luas yang ditawarkan oleh Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dan inisiatif ekonomi "Satu Jajaran, Satu Laluan" yang diterajui oleh China.

Selepas sambutan itu, Liow menghadiri taklimat tertutup selama empat jam dengan perwakilan pusat mengenai sistem undian terus yang dicadangkan. 

Ketika ditemui pemberita kemudian, beliau berkata cadangan itu diterima baik oleh perwakilan, sambil menambah beliau akan menjelajah ke seluruh negara dalam tempoh dua bulan akan datang untuk menjelaskan kepada pemimpin akar umbi mengenai mekanisme baharu itu.

Mekanisme baharu itu apabila dilaksanakan membolehkan kira-kira 32,000 perwakilan dari peringkat bahagian untuk mengundi terus bagi presiden parti kepada ahli jawatankuasa pusat, berbanding sistem sekarang apabila hanya 2,365 perwakilan pusat dibenarkan mengundi. - BERNAMA

PENYELESAIAN KEPADA KEGANASAN DAN FAHAMAN EKSTREMIS ADA DALAM ISLAM: NAJIB

KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata penyelesaian kepada keganasan dan fahaman ekstremis yang telah menyebabkan ramai umat Islam mati terdapat dalam Islam.

"Setiap hari, banyak keganasan yang berlaku dalam dunia Islam dan amat menyedihkan apabila melihat begitu ramai umat Islam yang mati di tangan umat Islam sendiri," katanya dalam catatan terbaru di laman Facebook dan Twitternya.

"Ditambah pula dengan kebangkitan fahaman ekstremis, kesemua ini telah menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam dan satu fenomena Islamofobia," katanya.

Najib berkata semasa zaman Nabi Muhammad SAW, Islam wujud bersama dengan agama-agama lain tanpa sebarang sengketa.

"Ini boleh digunakan sebagai asas untuk menggalakkan nilai-nilai teras biasa dalam kalangan penganut agama yang berbeza," katanya.

Najib berkata beliau percaya bahawa penyelesaian kepada semua masalah yang dihadapi boleh didapati dalam Islam sendiri kerana Islam adalah agama yang mengajar kesederhanaan. -BERNAMA

'MEREKA TIDAK ADA HAK SURUH NAJIB LEPASKAN JAWATAN' : RAIS YATIM

GOMBAK:  Penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosio-budaya, Tan Sri Dr Rais Yatim kecewa dengan tindakan Tun Dr Mahathir bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Dr Rais menjelaskan, beliau terkejut dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu kerana ia merupakan satu tindakan luar biasa Dr Mahathir.

"Saya tak menduga Tun Mahathir akan melaksanakan taktik seperti itu kerana selama ini beliau tidak kelihatan mesra dengan Lim Kit Siang, PKR mahupun pihak yang terbabit (pada Jumaat) malah, beliau sangat kritis terhadap mereka.

"Bagi saya, hanya satu mekanisme yang boleh dipakai (untuk Najib lepaskan jawatan), iaitu menerusi undang-undang. Masa  pilihanraya umum nanti tentukan lah," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan majlis pra pelancaran 'Universiti Islam  Antarabangsa Malaysia (IIUM) Alumni Global Home Coming 2016', di sini petang tadi.

Tambahnya, apa-apa kritikan terhadap kerajaan perlu dibuat secara profesional bagi mengelak terjerumus kepada dakwaan liar.

"Ada hal-hal berkaitan yang belum selesai. Ada dua tahun lagi untuk buat 'kerja rumah', jadi, dia tidak boleh disuruh turun," tambahnya.

Rais turut menyifatkan deklarasi tersebut sebagai 'perhimpunan politik terdesak dalam keadaan yang tidak menentu.'

Terdahulu Rais yang juga Presiden UIAM turut melancarkan Portal Alumni, Majalah REACH, Tabung Biasiswa Alumni dan Alumni Book Cafe.

Sebanyak RM600,000 sumbangan berjaya dikumpul pada majlis berkenaan sebagai membiayai aktiviti serta tabung alumni tersebut. - ASTRO AWANI

UMMO SABAH KONSISTEN SOKONG KEPIMPINAN NAJIB: MUSA

KOTA KINABALU:  Badan Perhubungan UMNO Sabah dari sejak awal lagi konsisten dengan pendirian memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada presiden parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata pendirian berkenaan lahir daripada komitmen serta kesetiaan kepada perjuangan parti dan taat setia kepada parti perlu hadir bersama kesetiaan kepada pemimpin utama yang telah dipilih secara sah melalui proses demokrasi dalam parti.

"Prinsip kesetiaan ini bukanlah ikrar yang baharu dituntut pada hari ini atau ketika kepimpinan presiden hari ini dipertikaikan, tetapi merupakan legasi adat dan disiplin parti yang memimpin sejarah panjang perjuangan UMNO.

"Setiap era kepimpinan berhadapan dengan cabaran dan setiap satunya dapat ditangani dengan hikmah dan bijaksana serta parti berjaya keluar dari kemelut dengan menjadi lebih kuat.

"Antara kebijaksanaan itu adalah tekad dan iltizam para pendokong parti untuk meletakkan kesetiaan kepada parti dan kepimpinan, meletakkan kepentingan besar parti mengatasi kepentingan peribadi dan kumpulan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Kenyataan ini, merupakan mandat dan pendirian keseluruhan kepimpinan UMNO Bahagian di Sabah yang  dikeluarkan selepas perjumpaan khas Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan UMNO Sabah, di Bangunan UMNO Sabah, di sini hari ini.

Menurut Musa, amat malang sekali apabila kumpulan yang berhajat untuk menjatuhkan perdana menteri sejak dari awal, kini bergabung untuk cuba mengheret rakyat melalui politik kebencian dan perpecahan.

Musa berkata sewajarnya semua pihak berpegang kepada sistem demokrasi negara dan pada masa ini keutamaan perlu diletakkan kepada agenda transformasi negara yang berteraskan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya UMNO Sabah tidak akan lari daripada fokus untuk melaksanakan agenda pembangunan rakyat dan negeri sekali gus mengajak rakyat untuk bersama-sama kerajaan dalam agenda dan kepentingan yang lebih besar ini.

"Gerakan kumpulan yang bermotifkan peribadi dan politik kepartian sempit itu yang berselindung di sebalik slogan 'Selamatkan Malaysia' hanya akan mengundang perpecahan, 'politiking keterlaluan' dan ketidakstabilan politik yang akhirnya hanya akan merugikan rakyat dan negara," tegas Musa.- BERNAMA

UMNO TANJONG MALIM GESA TINDAKAN TEGAS TERHADAP ANGGOTA PARTI

KUALA LUMPUR:  UMNO Bahagian Tanjung Malim menggesa Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin dan anggotanya yang melanggar etika parti kerana bersekongkol dengan pembangkang bagi menjatuhkan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata UMNO bahagian itu juga kesal dengan tindakan kumpulan itu yang ingin menjatuhkan Najib daripada jawatan perdana menteri secara tidak demokratik.

"Kami melahirkan rasa kesal dan kecewa atas sikap segelintir pemimpin dan bekas pucuk pimpinan UMNO yang bersekongkol dengan parti pembangkang dalam agenda untuk menjatuhkan Najib," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya UMNO bahagian itu akan tetap memberikan taat setia tanpa berbelah bahagi terhadap kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan presiden parti.

Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR dalam memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Penandatanganan lain termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.- BERNAMA

ANCAMAN TERHADAP KESELAMATAN SABAH SUDAH MEREBAK KE PANTAI BARAT: ZAHID HAMIDI

KOTA KINABALU:  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa ancaman terhadap keselamatan yang sebelum ini terhad di kawasan pantai timur Sabah kini sudah merebak ke kawasan pantai barat negeri ini.

"Dahulu, ancaman hanya di pantai timur Sabah, tetapi kawalan keselamatan cukup ketat setakat ini di pantai timur. Cabaran keselamatan di Sabah ini bukan hanya di pantai timur Sabah ia telah merebak ke pantai barat.

"Maklumat risikan mendapati bahawa telah ada panglima-panglima dari sebuah kesultanan yang telah dilantik bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Sabah. Ini bukan soal main-main. Soal keselamatan bukan main-main. Ini soal ancaman sebenar dalam negara," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) 2016 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.
-BERNAMA

TUN MAHATHIR 'DESPERATE' MAHU KACAU PENTADBIRAN NEGARA: MAS ERMIEYATI

KUALA LUMPUR:  Tindakan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi tulang belakang Deklarasi Rakyat disifatkan langkah terdesak dan mementingkan diri sendiri.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kerjasama Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Lim Kit Siang itu tidak bertanggungjawab dan tidak melihat kesan yang mendalam terhadap pentadbiran negara.

"Jujur, kami terkesan dengan tindakan ini. Tindakan bekas pemimpin tertinggi UMNO yang pada kami seumpama membakar lagi api perselisihan yang kini tidak surut dalam kalangan ahli UMNO. Tun M 'desperate' mahu kacau pentadbiran negara.

"Lebih mengecewakan, apabila tindakan ini dijalankan bersama sama dengan pimpinan parti pembangkang yang kita sedia tahu tujuan mereka cumalah satu, meranapkan kepimpinan sedia ada agar mereka dapat berkuasa.

"Janggal tatkala melihat yang dahulunya disanjung, yang seharusnya memberi pengajaran terbaik kepada orang muda dalam parti, mengambil langkah drastik bersama musuh musuh politik. Dan terlalu asing buat kami melihat mereka yang dulunya menentang, kini menjulang," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Mas Ermieyati mengulas tindakan Dr Mahathir yang menandatangani deklarasi bersama dengan bekas pemimpin kanan negara, pemimpin pembangkang, aktivis politik dan ketua badan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat.

Deklarasi yang dinamakan 'Citizen's Declaration' atau 'Deklarasi Rakyat' itu ditandatangani bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan.

Jelas Mas Ermieyati, setiap pemimpin memerlukan perubahan dan pengorbanan namun bukan menggadaikan prinsip.

"Ini masa kita memperlihatkan semangat juang. Sebagai sayap yang paling bongsu, kami mewakili suara orang muda ingin melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan gangguan demi gangguan terhadap pentadbiran Najib.

"Sepatutnya tumpuan diberikan terhadap pemulihan sosio ekonomi rakyat di saat kegawatan ekonomi yang sedang melanda dunia.

"Kami melahirkan rasa bimbang dan khuatir dalam melihat pertelingkahan yang tidak berkesudahan ini bakal merugikan negara dan rakyat tanpa pemenang sebenar bak kata pepatah 'Menang jadi arang kalah jadi abu'"," katanya.

Mas Ermieyati juga yakin dan percaya kepada proses demokrasi yang tidak pernah tertangguh selain menegaskan sampai masa ketikanya, mandat akan dikembalikan kepada rakyat untuk memilih.- ASTRO AWANI

TAHNIAH VS TAHZIAH

Bila orang tua dah berakal budak

#RESPECTMYPM: FAHAMI MAKSUDNYA

LADY bersetuju dengan catatan ini. Mohon dibaca dan direnung:

#RespectMyPM

Kita bukan sahaja respect, malah kita juga berkempen untuk taat pemimpin dalam hal yang makruf.

Kita juga mengajak mereka yang mungkin terikut-ikut dengan Khawarij supaya dapat berfikir semasak-masaknya sebelum terjemak dengan ideologi sesat sebegitu.

Kita mendakwahkan 6 adab-adab mulia ini terhadap pemimpin.

Semoga dapat diamalkan oleh semua

1. Mendoakan pemimpin

Imam Al-Barahari berkata, "Jika engkau melihat seseorang mendoakan keburukan bagi penguasa maka dia adalah pengikut hawa nafsu, dan bila engkau melihat seseorang mendoakan kebaikan bagi penguasa, maka ketahuilah bahawa dia adalah pengikut sunnah." [Syarhus Sunnah, hal. 328]

Imam Ahmad mengatakan, "Saya selalu mendoakan penguasa siang dan malam agar diberikan kelurusan dan taufik, kerana saya menganggap itu suatu kewajipan." [As-Sunna Al-Khallal, hal 82-83]

2. Menghormati dan memuliakannya

Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda, "Penguasa adalah naungan Allah di bumi. Barangsiapa yang memuliakannya maka Allah akan memuliakan orang itu, dan barangsiapa yang menghinakannya, maka Allah akan menghinakan orang tersebut." [HR. Ahmad 5/42, At-Tirmidzi: 2225, As-Shahihah 5/376]

Sahl bin Abdullah At-Tusturi berkata, "Senantiasa manusia dalam kebaikan selama mereka memuliakan penguasa dan ulama, kerana jika dua orang ini dimuliakan maka akan baik dunia dan akhirat mereka, dan jika keduanya diremehkan maka akan rosak dunia dan akhirat mereka." [Al-Jami' li Ahkamil Quran, Al-Qurthubi 5/260]

Thawus mengatakan, "Termasuk sunnah, memuliakan empat orang: orang alim, orang yang sudah tua, penguasa dan kedua orang tua." (Syarhus sunnah, Al-Baghawi 13/41)

3. Mendengar dan taat

Perintah untuk mentaati pemimpin sangat banyak, hadis Abdullah bin Ummar, bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda, "Wajib bagi seorang muslim untuk mendengar dan taat tatkala senang mahupun benci. Jika disuruh kepada maksiat, maka tidak boleh mendengar dan taat." [Muttafaq Alaih]

Umar bin Khattab mengatakan, "Tidak ada Islam kecuali dengan jamaah, tidak ada jamaah kecuali dengan pemimpin, dan tidak ada pemimpin kecuali harus ditaati." [Jami' Bayanil Ilmi, Ibnu Abdil Barr 1/62]

4. Menasihati dan meluruskan pemimpin dengan rahsia

Etika ini hendaknya diperhatikan bagi yang ingin menasihati pemimpin, sebagaimana Rasulullah bersabda, "Barangsiapa yang ingin menasihati pemimpin maka janganlah dia memulakan dengan terang-terangan, namun hendaklah dia ambil tangannya, kemudian berbicara empat mata. Jika diterima maka itulah (yang diharapkan), jika tidak maka dia telah melaksanakan kewajipannya." [HR. Ahmad 3/303. Ath-Thabrani 17/367, disahihkan oleh Al-Albani]

Imam Malik mengatakan, "Merupakan kewajipan bagi seorang muslim yang telah diberikan Ilmu oleh Allah dan pemahaman untuk menemui penguasa, menyuruh mereka dengan kebaikan, mencegahnya dari kemungkaran, dan menasihatinya. Sebab, seorang alim menemui penguasa hanya untuk menasihatinya, dan jika itu telah dilakukan maka termasuk keutamaan di atas keutamaan." [Al-Adab asy-Syar'iyyah fi Bayani Haqqi ar-Ra'i war Ra'iyyah, hal. 66]

Tapi janganlah dia menceritakan kepada khalayak bahawa dia telah menasihati pemimpin, kerana itu termasuk ciri-ciri riya' dan lemahnya iman. [A-Riyadhun Nadhirah 49-50]

5. Membantunya

Rakyat wajib membantu pemimpinnnya dalam kebaikan, sekalipun haknya dikurangi. Kerana menolongnya akan membuat agama dan kaum muslimin menjadi kuat, lebih-lebih kalau ada sebagian rakyat yang ingin melakukan keganasa dan memberontak kepadanya. Rasulullah bersabda, "Barangsiapa yang mendatangi kalian, ingin mematahkan kekuatan kalian atau memecah belah kalian, sedangkan kalian mempunyai pemimpin, maka bunuhlah." [HR. Muslim: 1852]

6. Banyak beristighfar tatkala diberikan pemimpin tidak baik

Ketahuilah, bahawa urusan kekuasaan, kedudukan, dan kerajaan adalah milik Allah. [QS. Ali Imran: 26] Allah juga menyebutkan, bahawa keadaan rakyat itulah yang menentukan siapa pemimpin mereka. Dia Subhanahu wa Taala berfirman yang ertinya;

"Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang shalih, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa." [QS. An-Nur: 55]

Rahsia dari semua itu, bahawa baik atau tidaknya pemimpin, tergantung sejauh mana rakyatnya berpegang kepada syariat Islam. Muhammad Haqqi menjelaskan dalam tafsirnya, "Jika kalian adalah ahli ketaatan, maka kalian akan dipimpin oleh orang yang penuh rahmat. Jika kalian adalah ahli maksiat, kalian akan dipimpin oleh orang yang suka menindas."

Keadaan rakyat yang rosak agama dan akhlaknya sangat berpengaruh kepada keadaan penguasanya. Ubadah bin Shamit radhiallahu anhu berkata, Rasulullah  sallallahu alaihi wa sallam keluar untuk memberitahukan orang-orang tentang Lailatul Qadar, kemudian ada dua muslim bertengkar. Nabi bersabda, "Saya keluar untuk memberitahukan tentang Lailatul Qadar, kemudian si fulan dan fulan bertengkar. Dan ilmu tentang itu sudah diangkat, dan boleh jadi itu baik bagi kalian." [HR. Al-Bukhori: 1919]

Dari seseorang yang pernah ikut solat Subuh bersama Rasulullah, lalu beliau ragu-ragu pada suatu ayat. Setelah salam beliau bersabda, "Sesunguhnya telah dirancukan kepadaku Al-Quran, kerana da beberapa orang di antara kalian yang ikut solat bersama kita tidak menyempurnakan wuduknya." [HR. Ahmad: 15914, dihasankan oleh Al-Albani dalam sahih At-Targhib: 222]

Perhatikanlah, bagaimana Nabi dilupakan oleh Allah subhanahu wa taala suatu ilmu yang sangat agung, iaitu tentang Lailatul Qadar gara-gara ada sahabat yang bertengkar, beliaupun terganggu bacaannya sebab makmumnya ada yang tidak menyempurnakan wudhu!

Bagiamana lagi jika rakyat akidahnya rosak, ibadahnya jauh dari sunnah, kemudian rakyat ingin pemimpin yang solih?! Bukankah bani Israel diubah menjadi kera ketika dipimpin oleh manusia terbaik (Nabi Musa) dan belum dikutuk tatkala dipimpin oleh Firaun?!

Di satu sisi, itulah hukuman bagi mereka. Sedangkan bagi rakyat yang solih itu termasuk dalam firman Allah subhanahu wa taala yang ertinya,

Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaan-Nya. [QS. Al-Anfal: 25]

Jika mereka bersabar maka itu akan menghapus dosa yang telah lalu. Al-Baji [Al-Muntaqa Syarh Al-Muwaththa: 615] mengatakan, "Terkadang sekelompok orang melakukan perbuatan dosa yang hukumannya akan merecik di dunia kepada orang lain yang tidak melakukan dosa tersebut. Adapun di akhirat, seseorang tidak akan menanggung dosa orang lain."

Wallahul musta'an.

PM MALAYSIA DIPILIH MELALUI PERUNDANGAN DAN DEMOKRASI: AHMAD ZAHID

JASIN:  Perdana menteri Malaysia dipilih melalui sistem perundangan dan demokrasi, justeru kaedah lain menentukan naik atau turunnya perdana menteri adalah tidak sah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kaedah lain itu tidak mengikuti tata etika sebagaimana termaktub dalam perlembagaan dan perundangan negara.

"Undang-undang harus dipatuhi dan sistem demokrasi yang sama kita dakapi harus terus hormati. Jika seseorang itu pernah memerintah, tentu orang itu tidak mahu keadaan ini berlaku jika (semasa) beliau memerintah.

"Jangan melakukan sesuatu di luar tata etika ... tetapi saya tidak merujuk kepada mana-mana tokoh tertentu hanya tafsiran terbuka supaya kita menghormati perundangan dan perlembagaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai di sini yang turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron .

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama beberapa pemimpin pembangkang hari ini mengadakan sidang akhbar kempen anti-Najib.-BERNAMA

ELOK KITA SERAHKAN KEPADA SEMUA RAKYAT UTK MEMBUAT TAFSIRAN DAN KOMEN MASING MASING.: ANNUAR MUSA

LADY setuju dengan kenyataan ini.

Sila baca

KENYATAAN BERHUBUNG PERTEMUAN DAN DEKLARASI BERSAMA TUN MAHATHIR DAN PAKATAN PEMBANGKANG,DAP,PKR DAN PAN DLL

Hari ini Rakyat Msia telah menyaksikan SATU DRAMA YG PALING MENARIK DALAM SEJARAH POLITIK NEGARA.

Ramai para wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan komen.Secara jujur saya katakan saya tiada apa nak komen dan ELOK KITA SERAHKAN KEPADA SEMUA RAKYAT UTK MEMBUAT TAFSIRAN DAN KOMEN MASING MASING.Tidak sukar utk mereka mentafsir sendiri KERANA WATAK WATAK YG TERLIBAT adalah watak YANG SUDAH RAKYAT KENALI.

Kita ucapkan TAHNIAH KEPADA DAP,PKR,PAN DAN BERSIH kerana akhirnya menerima pimpinan mantan presiden UMNO,yg sebelum ini berpuluh tahun kami dlm UMNO berjuang supaya anda menerima pimpinannya.Itu satu takdir dan bagi sesetengah orang satu karma berlaku dlm sejarah politik Msia.

Mungkin PAKATAN HARAPAN PATUT MULA MEMIKIRKAN PULA usaha bersama TM membebaskan DSAI yg dulunya di pecat dan di dakwa susulan arahan TM.

Bagi UMNO kita akan terus BERISTIQAMAH dengan proses demokrasi yg kita pertahankan selama ini.UMNO tidak mampu berdrama kerana MANDAT RAKYAT ADALAH UTK KITA BERKHIDMAT MEMBELA NASIB RAKYAT yang secara real memerlukan kita mengerah segala kekuatan dan keupayaan MENGURUS  NEGARA DLM SITUASI DUNIA MEDIA BARU YG TIDAK MENENTU,PENUH FITNAH,HASUTAN DAN TIPU MUSLIHAT.KITA BERTANGGUNGJAWAB MEMAJUKAN EKONOMI,MEMUPUK PERPADUAN KAUM,MENJAMIN KEAMANAN SERTA KEADILAN,disamping mempertahankan kedaulatan undang2 dan keluhuran perlembagaan.DALAM KATA LAIN MEMIKUL AMANAH DAN MANDAT RAKYAT.Tiada ruang untuk UMNO berlakon dan bertindak menyanggah apa yg kita sendiri pertahankan selama ini.

Beberapa legasi ,dasar,peraturan,convention,"didikan"peninggalan TM dlm menguruskan parti dan negara akan terus kita pertahankan walau TM sendiri MUDAH LUPA mengenainya..lagi pun hari ini terbukti MANTAN PM DAN PRESIDEN UMNO itu tidaklah seburuk yg cuba di gambarkan pihak pembangkang selama ini.

Kepada Ahli UMNO marilah kita rapatkan saf dan beristiqamah bahawa pemimpin datang dan pergi,tetapi PERJUANGAN kita tetap Perkasa BERKAT KITA "BERSATU,BERSETIA,BERKHIDMAT "..insyaallah

Tan Sri Annuar Musa
4/3/16

TINDAKAN ANWAR SOKONG DR MAHATHIR UMPAMA MENGAKUI DAKWAAN TERHADAPNYA

JOHOR BAHARU:  Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, umpama mengakui apa jua tuduhan bekas perdana menteri itu terhadapnya pada 1998.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata dengan perkembangan terbaharu ini, bekas ketua pembangkang itu seolah-olah mengakui segala dakwaan Tun Dr Mahathir ke atasnya sebelum ini.

"Saya rasa Anwar patut berterima kasih terhadap Dr Mahathir kerana memecat beliau pada 1998. Ia menunjukkan telah terbukti semua tuduhan Dr Mahathir terhadapnya (Anwar) atas apa jua kesalahan yang dilakukan (Anwar), adalah perkara betul.

"Dengan menyokong Dr Mahathir, beliau mengakui apa jua tuduhan yang dikatakan Dr Mahathir pada 1998," katanya kepada pemberita selepas melawat kilang makanan ternakan Charoen Pokhpand (CP) di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, di sini hari ini.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas kenyataan Anwar hari ini menyokong pendirian parti politik dan individu termasuk Dr Mahathir untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Anwar, 69, dilucut daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan serta semua jawatan yang dipegang atas kapasiti dua jawatan itu, berkuat kuasa pada 2 Sept 1998.

Majlis Tertinggi UMNO dengan sebulat suara turut memutuskan untuk memecat Anwar daripada parti sehari selepas itu setelah diberi peluang menjelaskan segala tuduhan berbangkit ke atasnya.

Pada ketika itu, Dr Mahathir adalah perdana menteri dan presiden UMNO.

Anwar kemudian didakwa bagi 10 pertuduhan di mahkamah -- lima rasuah dan lima tuduhan liwat.

Selepas melalui proses perbicaraan, Anwar didapati bersalah dan dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 14 April 1999 bagi tuduhan rasuah kerana campur tangan dalam siasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks terhadapnya.

Anwar juga dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah atas tuduhan meliwat pemandunya berkuat kuasa selepas dia selesai menjalani penjara enam tahun kerana kesalahan rasuah.

Bagaimanapun pada 2 Sept 2004, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu dibebaskan selepas hampir enam tahun menjalani hukuman penjara apabila Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya terhadap sabitan bagi kesalahan liwat.

Ketika itu, Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Hamid Mohamad, Datin Paduka Rahmah Hussin dan Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud menerusi keputusan majoriti 2-1 mengetepikan sabitan dan hukuman penjara sembilan tahun yang dikenakan terhadap Anwar 2 Ogos 2000.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat pembantu peribadinya pada 2008.-BERNAMA

INI... APA KES!!!!!

Cuba explain pada LADY. INI .. apa hal... dah macam rojak LADY tengok komuniti yang hadir ni!!!

#RESPECTMYPM

#RespectMyPM

MURID TERMAKAN KACA DALAM MI GORENG RMT MASIH DIRAWAT : P.KAMALANATHAN

BELURAN:  Tiga orang murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Nigel Gardner, Hulu Selangor yang termakan serpihan kaca dalam mi goreng yang disediakan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata dua murid berkenaan telah menjalani ujian skop dan seorang lagi masih menerima rawatan kerana masih mengalami sakit perut.

"Saya setiap hari memantau perkembangan kejadian ini yang sepatutnya tidak berlaku terutama membabitkan RMT yang dilaksanakan di bawah program kerajaan membantu murid sekolah," katanya.

Bercakap kepada pemberita semasa melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balaban Jaya dekat sini hari ini, beliau berkata alasan diberi membabitkan kecuaian aspek keselamatan di sekolah tidak boleh diterima.

Jumaat lepas, tujuh orang murid dari SJKT Ladang Nigel Gardner dimasukkan ke hospital selepas termakan serpihan kaca dalam makanan mi yang disediakan di bawah Program RMT.

Kamalanathan berkata beliau sudah meminta Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) untuk memberhentikan perkhidmatan pengusaha kantin terbabit serta merta dan diambil alih pengusaha kantin sementara untuk meneruskan pemberian makanan kepada murid.

Menurutnya Kementerian Pendidikan tidak teragak-agak mengambil tindakan yang serius bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.

"Bila kejadian ini berlaku saya kecewa dan marah. Biarpun ia kes terpencil tetapi tak seharusnya berlaku.

"Saya akan tunggu siap laporan daripada JPS dan tindakan akan diambil kepada pengusaha kantin terlibat akan mencerminkan betapa seriusnya Kementerian Pendidikan terhadap situasi begini supaya tidak berulang di mana-mana sekolah di negara kita," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pelajar tidak seharusnya diberhentikan sekolah sementara, hanya kerana belum memiliki kad pengenalan.

Kamalanathan berkata jika ibu bapa pelajar berkenaan atau seorang daripadanya merupakan warganegara Malaysia dan memiliki kad pengenalan, pelajar itu layak untuk bersekolah.

Beliau berkata memberhentikan atau menyekat pelajar ke sekolah hanya kerana belum memiliki kad pengenalan adalah tidak wajar sebaliknya perlu diuruskan mengikut prosedur oleh ibu bapa, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah.

"Ibu bapa juga tidak seharusnya mengambil ringan berkenaan urusan dokumentasi anak mereka dan wajar melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan demi masa depan mereka.

"Peranan guru-guru dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Beluran juga amat penting bagi memastikan golongan seumpama ini tidak tercicir daripada mendapat pendidikan sepatutnya," katanya bagi mengulas masalah seorang pelajar Tingkatan Satu, SMK Balaban Jaya yang diberhentikan sekolah sementara sejak tahun lepas kerana belum memiliki MyKad.

Beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab anak-anak selaku murid dan pelajar ialah belajar,  hadir ke sekolah mendapatkan pendidikan bermula di peringkat awal dan diteruskan sehingga mencapai kejayaan agar tidak tergolong dalam kelompok tercicir. - BERNAMA

HUBUNHAN MALAYSIA-ARAB SAUDI BERADA PADA TAHAP TERTINGGI: NAJIB RAZAK

RIYADH:  Raja Arab Saudi Salman Abdulaziz Al-Saud berpendapat hubungan Malaysia dan negaranya kini berada pada tahap tertinggi dan akan terus diperkukuh pada masa hadapan.

Pengiktirafan ini dinyatakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadap baginda di kediaman diraja itu di sini pada Rabu.

"Apa yang dinyatakan baginda kepada saya ialah baginda amat berpuas hati dengan tahap hubungan antara kedua-dua negara kini," Najib berkata demikian pada sidang akhbar Rabu malam selepas menamatkan lawatan kerja di Arab Saudi yang bermula pada 29 Feb.

Beliau memaklumkan bahawa Raja Salman juga kagum terhadap pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara, sesuatu yang dipandang tinggi oleh Arab Saudi.

BACA: Sokongan kerabat diraja Arab Saudi kepada Malaysia tidak akan dilupa - Najib

BACA: Malaysia teroka peluang baharu di Arab Saudi - Najib

Najib berkata bagi pihak Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, beliau menyampaikan jemputan kepada Raja Arab Saudi itu untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

Memberitahu lebih lanjut mengenai majlis menghadap itu, perdana menteri berkata beliau merasa terharu melihat kehadiran sejumlah besar anggota kerabat diraja, menteri kabinet dan pegawai tinggi tentera Arab Saudi ketika majlis santapan tengah hari sempena acara tersebut.

Beliau menganggap suasana itu sebagai melambangkan tahap kepentingan yang diberikan Arab Saudi kepada hubungan antara Riyadh dan Kuala Lumpur.

Najib berkata beliau berharap hubungan istimewa antara kedua-dua negara akan diterjemah kepada aspek yang boleh memanfaatkan lagi rakyat Malaysia.

Semasa majlis menghadap itu, beliau telah menzahirkan penghargaan Malaysia  atas layanan dan bantuan yang dihulurkan Arab Saudi kepada jemaah haji dan umrah Malaysia.

Beliau berkata Malaysia mendapat pertimbangan sangat baik berhubung perkara-perkara tersebut.

Perdana menteri berkata hubungan antara kedua-dua negara berkembang sehingga menggambarkan keprihatinan semasa dalam bentuk ancaman keselamatan yang dihasilkan kumpulan militan Daesh, bukan sahaja kepada Arab Saudi tetapi juga Malaysia dan rantau Asia Tenggara serta selainnya.

"Saya sependapat dengan Raja Salman bagaimana Daesh telah berupaya menarik kepada perjuangannya dalam kalangan rakyat Malaysia di Malaysia dan rakyat Malaysia yang telah menyertai kumpulan ini di Syria dan Iraq," kata beliau.

Najib turut menyebut bahawa Arab Saudi merupakan tanah yang dipenuhi peluang dengan ramai rakyat Malaysia telah memperoleh pekerjaan di dalam negara ini.

"Ramai golongan profesional kita telah memperoleh pekerjaan berpendapatan  tinggi dan ini secara umum akan memanfaatkan Malaysia," katanya.

Dari segi ekonomi, perdana menteri berkata beliau gembira syarikat Malaysia iaitu Prasarana memenangi kontrak tahun lepas bagi pengoperasian dan penyeliaan sistem Metro Arafah-Mina.

"Kita kini sedang memfokus kepada usaha untuk menjadi operator lapangan terbang antarabangsa Jeddah yang baharu," kata beliau dan menambah Malaysia mendapat pengiktirafan baik sebagai pengendali lapangan terbang dalam bentuk  Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

 Najib berkata MAHB mengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di Turki selain banyak lapangan terbang di Malaysia sendiri.- BERNAMA

MALAYSIA TEROKA PELUANG BAHARU DI ARAB SAUDI: NAJIB

JEDDAH:  Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia mencari lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan di Arab Saudi yang mampu membantu melonjakkan pertumbuhan ekonominya.

Perdana Menteri berkata Malaysia telah membangunkan kekuatan tersendiri seperti pengurusan lapangan terbang, rawatan kesihatan, pengeluaran tenaga dan perumahan awam, yang boleh memberi manfaat kepada Arab Saudi dan negara lain.

"Kami perlu keluar dan meneroka peluang baharu yang mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi kami.

"Berikutan kejatuhan harga minyak, kami perlu memperkenalkan kepelbagaian strategi ekonomi," katanya kepada media Malaysia selepas menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi Jeddah (JEF) 2016 di sini malam tadi.

Merujuk kepada JEF, Najib, yang dalam rangka lawatan kerja ke Arab Saudi, berkata adalah penting untuk Malaysia terlibat dalam acara seperti itu kerana ia mampu melonjakkan profil Malaysia dari segi keupayaan mengendalikan projek atau kemudahan utama.

"Ia mampu dijadikan platform untuk mempamerkan kejayaan Malaysia serta dasar yang menjayakannya," kata Najib sambil menambah dengan menonjolkannya, ia dapat membantu mempengaruhi keputusan pemberian kontrak yang boleh memihak kepada Malaysia.

Beliau mengambil contoh Prasarana, syarikat yang diberikan kontrak mengendali dan menyelenggarakan sistem Metro Arafah-Mina sewaktu musim haji tahun lalu.

Berbekal rekod baik Malaysia Airports Holdings Berhad, Najib berkata Malaysia juga berminat untuk mendapatkan kontrak mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah.

Dalam ucapannya, beliau menyentuh kepentingan perkongsian awam-swasta (PPP) ke arah meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam proses pembangunan.

PPP menyediakan penyampaian yang lebih baik dan cepat. Reka bentuk dan risiko pembinaan ditanggung sektor swasta, begitu juga perkara berhubung menyiapkan dan kerja semula," katanya.

Najib berkata sehingga Disember 2015, Malaysia berjaya melaksanakan 754 projek PPP, yang membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan modal sejumlah RM203.45 bilion dan jumlah perbelanjaan mengurus sebanyak RM9.25 bilion.

Jumlah perolehan daripada jualan ekuiti kerajaan dan aset pula adalah RM6.5 juta.

Perdana Menteri mengesa pihak yang berminat untuk mengambil kesempatan daripada pembinaan keupayaan, program perundingan dan khidmat nasihat yang ditawarkan Malaysia.

"Saya boleh tawarkan nasihat Malaysia dengan keyakinan tinggi kerana walaupun dalam keadaan sukar yang kita semua hadapi, ekonomi kita terus menunjukkan prestasi yang baik, " kata Najib dengan merujuk kepada laporan terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ke atas Malaysia.

Najib berkata kerajaan akan terus mengambil semua langkah yang diperlukan untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi Malaysia supaya pelabur dan ahli perniagaan dapat diyakinkan dengan rakan kongsi yang kuat, stabil dan kukuh di Malaysia.

JEF diadakan secara tahunan sejak 1999 dan pada ketika itu telah menjadi forum strategik terkemuka Timur Tengah yang memberikan tumpuan kepada isu ekonomi dan sosial serantau dan antarabangsa.- BERNAMA

KDN AKAN TUBUH JAWATANKUASA PENYEMAKAN DAN PENILAIAN HADIS: AHMAD ZAHID

PUTRAJAYA:  Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menubuhkan Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis bagi menapis dan menyemak hadis demi menjaga kesahihannya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Disember lepas memutuskan supaya fungsi penapisan dan penyemakan hadis dilaksanakan melalui Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis.

Katanya dua garis panduan sedang disiapkan bagi melaksanakan fungsi kawalan hadis iaitu Garis Panduan Penerbitan Teks Hadis dan Garis Panduan Penyemakan dan Penilaian Hadis oleh Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis.

"Pengawalan hadis oleh KDN bertujuan menjaga kesahihan teks hadis, sekali gus mengawal penyebaran hadis-hadis palsu dalam masyarakat khususnya melalui penerbitan.

"Pengawalan dan penyemakan hadis akan dibuat terhadap penerbitan termasuk kitab-kitab hadis dan buku-buku agama bagi mengawal penerbitan terutama yang boleh membawa penyelewengan akidah, menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam serta perpaduan negara," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian dalam satu kenyataan selepas beliau mempengerusikan pertemuan dengan anggota Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan Al-Quran (LPPPQ) di sini.

Pada peringkat itu, katanya kawalan hadis akan dilakukan dengan mengguna pakai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

Selain itu, usaha jangka panjang perlu dilakukan untuk mewujudkan akta khusus bagi mengawal hadis seperti Akta Percetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 yang khusus bagi mengawal Al-Quran, katanya.

Mengenai isu Al-Quran, Ahmad Zahid menegaskan bahawa terjemahan Al-Quran tanpa teks bahasa Arab adalah dilarang.

Menurutnya ia selaras dengan keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Kali Ke-24 pada 5 hingga 6 Jun 1989, yang memutuskan bahawa 'adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada Al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan sistem tulisan Al-Quran'.

Tanpa kelulusan

"Sejak akhir-akhir ini, LPPQ telah mengesan terdapat penjualan naskhah Al-Quran yang diimport tanpa kelulusan KDN dan didapati dijual secara meluas termasuk dalam  talian.

"Antara kesalahan yang dikesan pada Al-Quran yang diimport ialah menggunakan  tulisan rumi dalam penulisan ayat Al-Quran dan terjemahan Al-Quran tanpa teks bahasa Arab.

"Bagi memastikan teks Al-Quran yang dibaca adalah tepat dan tidak mengandungi kesalahan,  masyarakat awam adalah dinasihatkan untuk berhati-hati atau mendapatkan naskhah Al-Quran dengan memastikan naskhah berkenaan telah diperakui oleh LPPPQ," kata Ahmad Zahid.

Sementara itu, Pengerusi LPPPQ Tan Sri Harussani Zakaria yang juga Mufti Perak dalam sidang media selepas perjumpaan itu berkata Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis dijangka ditubuhkan pada Jun ini.

Jawatankuasa berkenaan akan dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang hadis, katanya.

"Banyak orang guna hadis dalam surat khabar tanpa menyebut periwayat. Kesahihannya boleh dipersoalkan. Jadi, perlu ada badan yang mengawal selia perkara ini," jelas beliau.- BERNAMA

1MDB SELAR WSJ KERANA 'MENGULANG DAKWAAN TANPA BUKTI'

KUALA LUMPUR:  1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menyelar Wall Street Journal kerana mengulangi 'dakwaan yang tidak terbukti'.

Ia memberi respons terhadap artikel WSJ yang mendakwa bahawa lebih daripada AS$1 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan 'sebahagian besarnya' datang dari 1MDB.

Dalam satu kenyataan di sini, 1MDB berkata ia sentiasa menegaskan bahawa ia tidak pernah memasukkan apa-apa dana ke dalam akaun Perdana Menteri.

"Ini dijelaskan juga oleh pelbagai pihak berkuasa yang sah, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Peguam Negara Malaysia, serta beberapa penerbitan antarabangsa yang terkenal yang mengesahkan bahawa dana-dana itu datang dari Arab Saudi.

"Namun, Wall Street Journal terus mengulangi dakwaan sama yang tidak dibuktikan," kata 1MDB.

Kenyataan itu berkata WSJ tidakpun mengemukakan bukti konklusif bagi menyokong dakwaannya tetapi terus menyerang dengan maklumat yang ia dakwa telah didapatkan daripada sumber tidak dinyatakan nama atau tidak dikenali.

Bergantung pada sumber tidak dikenali, yang mungkin wujud atau tidak, menunjukkan 'ceteknya standard kewartawanan asas' WSJ dan penerbitan itu langsung tidak mempunyai 'gaya pemberitaan yang seimbang', kata 1MDB.-BERNAMA

BUKAN MELAYU PERCAYA BN MAMPU MENANG PADA PRU KE-14: PERIASAMY

KUALA LUMPUR:  KEPUTUSAN Majlis Tertinggi UMNO (MT) yang sebulat suara menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO sehingga pemilihan parti akan datang langkah awal pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar UMNO bersama isterinya pada 29 Februari.

Penggantungan Muhyiddin adalah keputusan MT yang dijangkakan selepas digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini kerana dikatakan mengkritik kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka sekali gus gagal menjalankan tugasnya seperti yang termaktub dalam Fasal 9.8.2.1 Perlembagaan UMNO.

Secara amnya, rakyat negara ini tidak terkejut dengan langkah MT yang menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden kerana UMNO pernah menyaksikan penggantungan dan pemecatan pemimpin utama parti sebelum ini.

Penggantungan Muhyiddin didapati tidak menimbulkan sebarang isu yang mengocak pemikiran politik warga bukan Melayu malah hanya dilihat sebagai pergolakan dalaman UMNO atau 'a storm in a teacup'.

Rakyat juga tidak terperanjat dengan pengumuman Tun Dr. Mahathir keluar UMNO kerana beliau pernah  mengisytiharkan keluar parti pada 19 Mei 2008 kerana tidak bersetuju dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sejarah juga menunjukkan Dr Mahathir pernah dipecat daripada UMNO pada 26 September 1969 kerana beliau mengkritik secara terbuka pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Selain itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam juga pernah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO kerana bercanggah pendapat dengan Dr.Mahathir atas dasar-dasar kerajaan yang dilaksanakan Dr.Mahathir selaku Perdana Menteri.

Seorang lagi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah  digugur malah dipecat daripada jawatannya oleh MT UMNO pada era kepimpinan Dr.Mahathir.

Persepsi menjelang PRU

Namun, penggantungan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden dan pengumuman Dr.Mahathir yang keluar UMNO dilaporkan akan menimbulkan pelbagai tanggapan terhadap masa depan Barisan Nasional (BN) sendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.

Ada yang meramal bahawa BN akan mengalami kejatuhan pada PRU ke-14 tanpa sokongan Muhyiddin dan Dr Mahathir.

Persoalannya, apakah penggantungan Muhyiddin dan pengumuman keluar parti oleh Dr Mahathir akan memberi impak atau menggugat peluang BN mempertahankan kuasa dalam PRU ke-14 agar terus mentadbir negara ini ?

Sehubungan ini, BN masih ada dua tahun untuk merancang strategi dan melaksanakan kempen bagi menjamin kemenangan dalam PRU ke-14. Walaupun semua parti komponan BN dilanda pelbagai krisis dalaman  malah dilema kemerosotan sokongan rakyat kerana faktor usia, UMNO dilihat masih kuat, yakin dan optimis dalam menjamin kemenangan dalam PRU ke-14.

Beberapa adegan terbaru dalam pentas politik pembangkang dilihat akan  memberikan ruang dan peluang kepada BN untuk terus menang dan mengekal kuasa dalam mentadbir negara ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa penggantungan Muhyiddin dan serangan Dr Mahathir terhadap kepimpinan UMNO sudah pasti akan mengurangkan sokongan pengundi Melayu kepada BN.

Undi Melayu dijangka akan terpecah berbanding undi Cina dan India. Walaupun pengundi Cina umumnya dianggap akan memihak DAP, mereka dijangka menyokong  BN kerana Najib berjaya mengurus ekonomi negara dengan cemerlang dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu akhir-akhir ini.

Pengundi Cina pernah menyokong BN pada saat akhir pada tahun 1999 dan tidak menyokong pembangkang seperti diwar-warkan kerana pengurusan cekap Dr.Mahathir dalam krisis kewangan.

Sejarah India sokong BN

Pola pemikiran politik di kalangan pengundi India pula dilihat beralih daripada menyokong pembangkang kepada BN. Hampir 85 peratus pengundi India dikesan memihak parti pembangkang dalam PRU ke-12 kerana mereka tersinggung dengan satu kejadian roboh Kuil Hindu di Selangor pada waktu itu. 

Namun, BN mendapat sokongan hampir 45 peratus daripada pengundi India dalam PRU ke-13 kerana mereka menerima kepimpinan Najib yang dianggap ikhlas serta jujur  dalam membela kepentingan kaum India sejak beliau mengambil alih kepimpinan kerajaan.

Najib juga menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan oleh beliau sendiri serta beberapa Unit khas (hampir tujuh unit) di Jabatan Perdana Menteri untuk merancang, melaksana dan mengawasi program-program pembangunan masyarakat India.

Antaranya, penubuhan  Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Masyarakat India (SITF) pada tahun 2010, Sekretariat Khas Untuk memperkasakan usahawan India (SEED), Skim  Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI), Unit Khas Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC), Unit Pembangunan Sekolah Tamil dan Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah- Sekolah Tamil.

Satu lagi faktor yang mengalih sokongan kaum India daripada pembangkang kepada BN adalah faktor landskap politik pembangkang yang hilang hala tuju kerana Anwar Ibrahim tidak lagi menjadi nakhoda pembangkang.

Krisis dalaman antara parti pembangkang dijangka mendorong sebahagian besar pengundi India  yang menyokong pembangkang dalam PRU ke-12 dan ke-13 untuk menjauhi pembangkang.

Perpecahan antara PAS dan DAP atas dasar hudud yang mengakhiri kerjasama thahaluf siyasi antara PAS dan DAP juga menyebabkan penyokong PAS menarik balik sokongan mereka kepada DAP.

Akhir-akhir ini, PAS pula didapati berpecah-belah kerana beberapa pemimpin utama yang kalah dalam pemilihan parti keluar daripada parti. Pemimpin yang keluar daripada PAS kemudiannya menubuhkan parti politik serpihan yang dikenali sebagai 'Parti Amanah Negara' (Amanah).

Kepimpinan PKR pula dilaporkan tidak senang hati dengan DAP di Pulau Pinang kerana kepimpinan DAP Pulau Pinang melucutkan jawatan beberapa wakil rakyat PKR  daripada  memegang jawatan dalam badan-badan berkanun kerajaan negeri itu. Tindakan DAP itu dijangka menimbulkan berbalahan yang serius di antara PKR dan DAP.

Perkembangan-perkembangan terakhir ini jelas menunjukkan kerjasama antara parti-parti pembangkang yang terbentuk pada tahun 2008 untuk menjatuhkan BN kian rapuh malah akan terus dikuburkan sebelum PRU ke-14.
  
Sehubungan itu, sekiranya kenyataan Presiden MIC, Datus Seri Dr. S.Subramaniam yang menyifatkan Najib sebagai seorang perdana menteri yang luar biasa dan banyak berjasa kepada kaum India dapat diterjemahkan  dalam sokongan 'undi' kepada BN, maka pengundi India yang ada di dalam 63 kawasan Parlimen di seluruh negara pasti dapat memainkan peranan dalam menjamin kemenangan BN dalam PRU ke-14.

Pada hemat saya, ketiadaan Musa Hitam dan Anwar yang dianggap hebat dalam barisan utama pimpinan UMNO didapati tidak menggugat prestasi dan keunggulan BN dalam pilihan raya umum pada satu ketika dahulu.

Oleh itu, rakyat terutamanya pengundi perlu yakin bahawa UMNO mampu mengurus pergolakan dalam parti secara bijak. Rakyat bertanggungjawab membuat keputusan politik yang bijak dalam PRU ke-14 agar  keamanan, keselamatan dan kesejahteraan yang dinikmati sejak merdeka terus terpelihara.

Ingat pepatah warisan, jangan sampai 'menang sorak kampung tergadai'.

*M. Periasamy merupakan penganalisis politik MIC dan pensyarah komunikasi strategik di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR)- ASTRO AWANI

RASUAH PERLU DITANGANI DENGAN TEGAS, TANPA GENTAR DAN PILIH KASIH: SULTAN PERAK

KUALA LUMPUR:  Kegagalan memerangi dan membanteras rasuah secara serius dan berkesan dibimbangi mampu melumpuhkan negara.

Demikian titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah sambil menyeru agar rasuah di negara ini ditangani dengan tegas oleh pelbagai agensi bertanggungjawab, tanpa gentar dan pilih kasih.

"Rasuah merupakan barah yang dikatakan sedang merebak dalam batang tubuh negara; rasuah bagaikan anai-anai yang sedang membusut besar dan semakin mereputkan tonggak-tonggak utama negara. Masakan pokok semakin bergoyang, jika tiada angin yang meniupnya.

"Kegagalan memerangi dan kegagalan membanteras rasuah secara serius, secara bersungguh, secara berkesan, secara komited, dibimbangkan berpotensi melumpuhkan negara, dan rakyat keseluruhannya terpaksa membayar dengan penderitaan dan kesengsaraan seperti dialami oleh rakyat di kebanyakan negara mundur."

Baginda bertitah pada majlis Anugerah Bisnes Utusan yang dianjurkan Kumpulan Utusan di sini, hari ini.

Baginda juga bertitah agar Kumpulan Utusan melalui bahan penerbitannya berperanan aktif dalam membantu membina sebuah pentadbiran dan sebuah negara bangsa yang sifar rasuah.

"Salah laku rasuah hendaklah dilaporkan tanpa memihak, tanpa gentar, tanpa berat sebelah, kerana rasuah adalah rasuah tidak kira siapa yang melakukannya," titah Baginda.

Sultan Nazrin bertitah agar rakyat diasuh dengan budaya benci rasuah dan menolak pemimpin yang melakukan rasuah.

"Warga perlu dididik untuk memandang rasuah dengan rasa amat jijik. Ruangan yang meningkatkan kesedaran tentang rasuah hendaklah disediakan.

"Contoh tokoh-tokoh yang bersih rasuah boleh dijadikan teladan sementara kisah-kisah pemimpin yang melakukan rasuah boleh dijadikan sempadan," titah Baginda lagi.

Indeks Persepsi Rasuah 2015 oleh Transparency International, meletakkan negara mencapai skor 50 daripada 100 markah dan negara berada pada ranking ke-54 daripada 168 buah negara yang dinilai.- ASTRO AWANI

PAK LAH HARAP NAJIB RANCANG PEMBANGUNAN MALAYSIA PASCA 2020

KUALA LUMPUR:  Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yakin Datuk Seri Najib Tun Razak mampu menyambung kecemerlangan legasi kepimpinan bapanya Tun Abdul Razak Hussein dan dapat mencorakkan masa depan Malaysia yang memenuhi segala potensi.

Abdullah berkata sejak Najib mengambil alih kepimpinan negara daripadanya pada 3 April 2009, banyak transformasi telah digarap untuk membawa Malaysia ke pentas yang lebih tinggi.

Menurutnya, transformasi itu bukan sekadar omongan kosong, tetapi telah dan sedang dilaksanakan dan mula mencapai kejayaan-kejayaan yang dibanggakan.

"Saya harap Datuk Seri Najib akan dapat memberi perhatian kepada perkara ini, agar bila negara menyambut 100 tahun pembentukannya, Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berpegang kepada prinsip demokrasi, Malaysia kekal sebagai sebuah negara dengan identiti yang utuh.

"Malaysia akan muncul sebagai sebuah negara yang mempunyai tenaga kerja mahir bagi mengisi permintaan ekonomi...Malaysia sebagai sebuah negara yang memenuhi segala potensinya," katanya semasa berucap melancarkan buku 'Najib Razak Berjiwa Besar: Empat Dekad Menongkah Arus Kepimpinan dan Politik (1976-Kini) di sini hari ini.

Turut hadir ke majlis itu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa menteri, timbalan menteri dan menteri besar.

"Saya sebagai seorang ayah, yakin dan percaya, bahawa jika Allahyarham Tun Razak masih ada bersama kita pada hari ini, beliau pasti cukup berbangga dengan apa yang telah dicapai oleh anak sulungnya dalam mengisi sebuah ruang cukup besar yang ditinggalkan beliau," kata Abdullah.

Abdullah berkata Najib telah mengharungi pelbagai cabaran selepas 40 tahun perjalanannya dalam politik dan segala tindakan, perancangan dan kepimpinannya, bakal menjadi penentu kepada Malaysia dalam menuju 100 tahun kemerdekaannya.

Di akhir ucapannya Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah turut memberikan nasihat kepada Najib: "Najib, terus berpegang dengan prinsip-prinsip bapa anda.  Anda telah melakukan yang terbaik buat Malaysia. Namun perlu sentiasa ingat perkara paling penting yang ditinggalkan seorang pemimpin adalah karakter.

"Kestabilan politik dan kejayaan ekonomi adalah penting namun ingat karakter - integriti, kejujuran dan empati. Itu yang mengingatkan saya kepada bapa anda dan bagaimana saya mahu anda juga diingati.

"Ambil ini sebagai nasihat daripada orang tua. Jadilah seorang pemimpin yang disayangi dan dihormati. Bukan yang ditakuti dan dipatuhi. Saya berdoa ke hadrat Allah anda akan dipandu ke jalan yang betul bagi masa depan negara kita yang tercinta."

Buku setebal 467 muka surat tulisan Prof Datuk Seri Dr Khairil Annas Jusoh dan Dr Sabri Mohamad Shariff menceritakan proses pendewasaan Najib dalam politik bermula 1976 hingga menjadi tokoh yang disegani pada hari ini. - BERNAMA

ZAHID HORMATI KEPUTUSAN TUN MAHATHIR

KUALA LUMPUR:  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau menghormati keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk keluar daripada UMNO, namun berharap bekas presiden parti itu mempertimbangkan semula keputusannya itu.

Ahmad Zahid, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO itu yakin bekas perdana menteri itu masih sayangkan UMNO dan memahami bahawa seorang presiden UMNO memerlukan sokongan daripada ahli-ahlinya.

"Saya yakin sebagai salah seorang Perdana Menteri yang terlalu lama memerintah, beliau (Mahathir) tentunya maklum bahawa adanya beliau sebagai perdana menteri disebabkan sokongan daripada ahli UMNO," katanya kepada pemberita di sini, selepas merasmikan majlis penyampaian Anugerah Dinar Emas 2016 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (Mimcoin) di sini, pada Isnin.

Dr Mahathir, 90, pada Isnin mengumumkan beliau sekali lagi keluar daripada UMNO selepas pernah berbuat demikian pada 19 Mei 2008 ketika zaman kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya menghormati secara peribadi keputusan dan segala yang telah diputuskan Tun Dr Mahathir. Namun saya fikir bahawa beliau akan tentunya pertimbangkan semula keputusan itu bila tiba masanya kelak," kata Ahmad Zahid.

Dr Mahathir dalam satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Isninmembuat pengumuman beliau dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali keluar daripada UMNO.

Selepas bertindak keluar daripada UMNO pada 2008, Dr Mahathir kembali menyertai UMNO pada 4 April, 2009 selepas Datuk Seri Najib Razak menerajui kepimpinan negara dan parti.
   
Dr Mahathir juga pernah dipecat keanggotaannya dalam UMNO pada 26 September 1969 atas sebab-sebab disiplin semasa pentadbiran Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan kembali ke pangkuan UMNO pada 7 Mac, 1972 di era pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein.

Ditanya tindakan Tun Dr Mahathir itu akan memberi kesan kepada parti, Zahid, yang Menteri Dalam Negeri, berkata UMNO perlu kukuh bersatu untuk terus mendapat sokongan rakyat.

"Saya memahami apa yang penting adalah untuk bekerja bersama-sama bagi membina semula parti terutama membina semula keyakinan dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera serta memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan rakyat," katanya.

Pada majlis itu, sejumlah 33 ahli perniagaan menerima anugerah.

Hadir sama Presiden Mimcoin, Datuk Syed Jamarulkhan S. Kadir, dan Duta Khas Infrastruktur Bagi India Dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu.- BERNAMA