Followers

BERI NAJIB MASA TUNAIKAN JANJINYA KEPAFA SARAWAK: ADENAN SATEM

SIBU:  Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr Adenan Satem menyeru kepada rakyat negeri itu supaya memberikan masa dan peluang kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk menunaikan segala janjinya kepada negeri itu.

Adenan turut menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin  yang memiliki hati yang amat besar dan sememangnya komited untuk membawa pembangunan kepada negeri serta rakyat Sarawak.

"Banyak lagi kekurangan kita di Sarawak tetapi dengan adanya perdana menteri begini kita tidak khuatir. Kelemahan kita akan menjadi kuat di hari kemudian.

"Apa yang kita kurang akan dipenuhi di masa depan. Berilah beliau masa menunaikan apa yang beliau janjikan untuk negeri Sarawak," katanya pada perasmian Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2016 oleh Najib di Dataran Bandar Sibu di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Adenan turut memohon bantuan daripada Najib, yang digelarnya 'Apai Besai' (Ayah Besar) bagi penduduk Sarawak, untuk menyelesaikan masalah perparitan yang menjadi punca banjir di negeri ini.

"Macam macam usaha kerajaan. We must have more. Minta tolong Kerajaan Pusat menyelesaikan masalah peparitan kita di negeri Sarawak," katanya lagi.

Dengan kadar hujan yang lebih banyak kali ini berbanding tahun lepas, katanya keadaan tanah rendah dan sistem perparitan yang tidak mencukupi menyebabkan berlakunya banjir seperti di kawasan Kuching.

Majlis itu kemudian diserikan dengan persembahan tarian Raja Monyet, tarian Singa, pukulan gendang Cina dan persembahan pentas lain.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kemudiannya bersama-sama Adenan dan isteri Puan Sri Jamilah Anu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datuk Seri Wong Soon Koh menyertai acara menggaul 'Yee Sang'.- ASTRO AWANI

BUANH PERSEPSI GANJA BUAT KITA JADI KIAT: MUSA HASSAN

KUALA LUMPUR:  Masyarakat diminta membuang sebarang persepsi mengenai ganja yang boleh menjadikan seseorang individu itu kuat atau lebih bertenaga.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, ia hanya perasaan yang lahir selepas kesan ganja berkenaan bertindak ke dalam tubuh.

"Dari dahulu ada yang kata ganja menjadikan mereka kuat, hisap ganja tambah tenaga dan macam-macam versi mengenai kelebihan ganja.

"Apa yang buat mereka tahan lama atau tambah tenaga itu semuanya dadah. Ganja dan dadah itu sama sahaja. Jangan sempit pemikiran tentang ganja.

"Kajian perubatan juga sudah dibuat. Sesiapa yang menagih ganja boleh merosakkan pemikirannya. Ia adalah bahan yang membuatkan seseorang itu khayal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Musa mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail yang mahu kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk rakyat menggunakan ganja sekali gus meminda sebarang larangan undang-undang melibatkannya atau marijuana yang pernah dibuat sebelum ini.

Katanya, ganja jelas tidak menjadikan individu itu agresif atau hilang pertimbangan seperti yang berlaku kepada mereka yang mengambil alkohol berlebihan.

Kenyataan Syed Rosli turut mendapat reaksi Pengerusi Majlis Agama Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut yang menyifatkanpenggunaan ganja sebagai penyelesai masalah tekanan kos sara hidup dilihat jalan singkat semata-mata untuk memenuhi matlamat yang menghalalkan cara.

Tegas Nooh, paling penting rakyat perlu sentiasa berkiblatkan Al-Quran dan Al-Sunnah jika mencari ketenangan selepas dibelenggu masalah tekanan hidup.

Dalam pada itu tegas Musa, kekeliruan yang ditimbulkan masyarakat tentang bahan memudaratkan sudah dijelaskan di dalam Al-Quran.

"Sudah terang benda-benda yang boleh merosakkan kesihatan dan minda walaupun diambil dalam jumlah yang kecil adalah haram.

"Ubat-ubat juga jika diambil tanpa preskripsi betul juga akan memudaratkan dan salah," ujarnya.

Musa turut mengulas kebenaran beberapa negara luar yang menghalalkan penjualan ganja di tempat mereka.

Katanya, sebagai contoh, di Belanda, ganja dianggap 'Soft Drugs' yang membawa kesan ketagihan melampau kepada pengambilnya.

"Namun harus diingat, ia tetap membawa risiko dalam masa panjang dan menjadikan seseorang itu mengalami kesan sampingan dalam satu tempoh waktu.

"Sebab itu kita ada Akta Dadah Merbahaya yang mengandungi undang-undang lengkap mengenai hal ini. Ia pencegahan yang dibuat untuk mengelakkan kerosakan pemikiran masyarakat akibat dadah," jelasnya.- ASTRO AWANI

TIDAK PERLU PENGUBAHSUAIAN BAJET LAGI BUAT MASA INI , KATA NAJIB

SAN FRANCISCO:  Tidak ada keperluan bagi pengubahsuaian seterusnya Bajet 2016 buat masa ini kerana harga minyak mentah dijangka stabil sekitar US$30-US$40 setong, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan mungkin menimbang mengubahsuai bajet sekiranya harga minyak jatuh di bawah US$30 setong.

"Nampaknya seperti harga minyak dijangka stabil pada antara US$30 hingga US$40 buat seketika ini," katanya kepada pemberita Malaysia di sini, Rabu (Khamis di Malaysia).

Bajet 2016 disediakan ketika harga minyak berada pada US$48 setong, tetapi kerajaan mengubah suai bajet pada bulan lepas apabila harga minyak jatuh ke paras US$32 setong.

Pengubahsuaian bajet pada Januari dilakukan bagi memastikan kebajikan rakyat dijaga dan pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh meskipun keadaan ekonomi global yang tidak menentu ekoran penurunan harga komoditi termasuk minyak mentah.
 
Pengubahsuaian itu termasuk menangguhkan projek pembangunan bukan keutamaan yang membawa kepada penjimatan sehingga RM9 bilion.

Najib berkata beliau mungkin pergi ke London pada Mei ini bagi bertemu pengurus dana dan pelabur dalam usaha untuk terus berhubung dengan pemain pasaran modal.

Semasa lawatan kerja selama seminggu ke Amerika Syarikat yang berakhir Rabu (Khamis di Malaysia), Najib bertemu dengan para pengurus dana yang menguruskan dana berjumlah sehingga US$7 trilion serta para pelabur di bandar raya ini pada hari akhir kunjungan beliau. -BERNAMA

PENGAMBILAN PEKERJA ASINH DITANGGUHKAN BERKUATKUASA SERTA MERTA: AHMAD ZAHID

KOTA SAMARAHAN:  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja pekerja asing berkuatkuasa serta merta.

Katanya, penangguhan itu termasuk pengambilan pekerja dari Bangladesh.

Ahmad Zahid berkata, majikan yang ingin menggaji pekerja hendaklah mencari pekerja tempatan untuk bekerja di syarikat mereka.

"Hari ini, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan telah mengambil keputusan untuk melakukan penanggguhan pengambilan semua pekerja asing dari semua negara sumber termasuk Bangladesh," katanya

Pada masa sama, Ahmad Zahid juga menyeru semua majikan harus mengambil semua pekerja tempatan sebagai pekerja mereka.

"Hari ini, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan telah mengambil keputusan untuk melakukan penanggguhan pengambilan semua pekerja asing dari semua negara sumber termasuk Bangladesh," katanya dalam sidang media selepas mengadakan majlis mesra Timbalan Perdana Menteri bersama anggota tentera di Kem Muara Tuang, di sini, hari ini-ASTRO AWANI

BERSANGKA BAIK SESAMA ISLAM: ASYRAF WAJDI

PUTRAJAYA:  Umat Islam perlu bersangka baik antara satu sama lain bagi mengelakkan perpecahan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata kasih sayang sesama Islam adalah antara akhlak Rasulullah SAW yang paling penting yang perlu dijiwai oleh umat Islam.

"Dunia media sosial hari ini menyebabkan kita jauh daripada akhlak Rasulullah, umpamanya kita begitu mudah percaya dan sebarkan berita yang tidak diketahui kesahihannya.

"Bahkan masalah-masalah remeh kadang kala diperbesarkan tanpa kita melihat yang kita berbicara itu saudara Islam kita," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Haul Al-Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani anjuran Amanah Al-Wariseen dan Darul Jailani International di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini pada Sabtu. 
 
Seramai 15,000 umat Islam dari dalam dan luar negara antaranya Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), Afrika Selatan, Jordan, Kanada, Jerman, Indonesia, New Zealand dan Singapura menghadiri majlis itu yang bertemakan "Meraikan Rasulullah, Menyatukan Hati Ummah."

Turut hadir ialah bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar. 

Selain Asyraf Wajdi, turut menyampaikan ceramah pada majlis itu ialah ulama terkenal dari Makkah Umar Hamid Al-Jailani, Abu Bakr Al-Adni Al-Masyhoor dari Yaman, Sayyidi Sheikh Muhammad Yahyah Al-Ninowy dari AS, Hassan Al-Attas dari Singapura, dan Al-Sheikh Dr Mohammed Ibrahim Abdul Baeth dari Mesir.- BERNAMA

BUAT KERJA TAK PERLU KEPOH


Itulah cerita kepimpinan BN Sabah. Tak payah nak tunjuk konon hebat jumpa rakyat. Tak payah nak bermegah konon diri adalah hebat. Yang penting bekerja barulah nampak hebat di mata rakyat.

PELIK. ASYIK SANGAT SI ANJING MENYALAK. DAHLER MENYALAK leher tersepit, nak disalak kepada si bukit. tak akan runtuh si anjing oiii salakan bertalu. buat bising  saja. tak pasal-pasal ada yang humpan dengan kayu, dahlah tersekat, mau lari lintang pukangpun tak mampu!!!!!! 

buat kerja ni, NAWAITUnya bukan KEPOHNYA!.. buat kerja ini, BUKAN TAYANGAN tetapi PENYELESAIANNYA. tiada guna tunjuk bijak berbicara. konon itu BAEK PUNYA. setakat bercakap, bertabur dan tersembur air liur saja. Air liur bukan boleh membawa ubat, bawa MUDARAT adalah!. kita mahu yang BEKERJA KUAT, bukan hanya tahu bercakap!

Hanya mereka yang buta akal sahaja, asyik nak mengumpat. Konon tak pernah buat kerja. Kononnya yang mereka nak angkat adalah bos dahsyat. Walhal, agendapun tak tahu , adab pun masuk parit, asyik nak kutuk mengeji .

LADY bukan siapa-siapa. Hanya beri teguran saja. Jangan dok selak kain orang. Jangan nak menyelongkar saja. Asyik nak memangkas dan membinasa. Walhal yang ditunding 1 jari buat kerja yang ditunding balik pada diri 4 jari. !!!!

LADY kagum kepada kepimpinan Sabah. Buat kerja untuk rakyat bukan populariti.

KHAIRY MENANG DALAM RAYUAN PINDA PERNYATAAN PEMBELAAN KES SAMAN FITNAH

PUTRAJAYA:  Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada Khamis menang dalam rayuannya untuk meminda pernyataan pembelaannya terhadap kes saman fitnah bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya untuk memasukkan sabitan kes liwat kedua Anwar.

Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Seri Zakaria Sam membenarkan rayuan Khairy untuk mengakaskan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya.

Hakim Zakaria berkata selepas mendengar hujahan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam bela Khairy dan peguam bela Anwar, J. Leela, mahkamah cenderung untuk bersetuju dengan hujahan Muhammad Shafee.

Panel hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zamani A. Rahim memerintahkan Anwar membayar kos RM15,000 kepada Khairy untuk prosiding mahkamah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Hakim Zakaria memerintahkan Khairy untuk memfailkan pindaan pernyataan pembelaanya dalam tempoh 14 hari.

Beliau juga membenarkan permohonan Muhammad Shafee supaya perbicaraan bagi saman fitnah didengar hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

Bagaimanapun, Hakim Zakaria, tidak membenarkan permohonan lisan yang dibuat Leela untuk menangguhkan perbicaraan bagi perkara itu yang dijadual bermula 7 Mac sementara menunggu permohonan bagi memfailkan permohonan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan namun memaklumkan Leela untuk membuat permohonan itu di Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dijadual untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi minggu depan.

Muhammad Shafee memberitahu mahkamah beliau tidak membantah permohonan Leela supaya perbicaraan ditangguhkan, dibuat di Mahkamah Tinggi.

Khairy dibenarkan meminda pernyataan pembelaannya untuk memasukkan penghakiman Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan kes Anwar meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau juga memohon meminda pembelaannya untuk memasukkan maksud fitnah yang lebih kecil dalam kenyataan yang didakwa diucapkan Khairy terhadap Anwar.

Pada 7 Mac, 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy bagi memohon ganti rugi RM100 juta dengan mendakwa Khairy, yang ketika itu Naib Ketua Pemuda UMNO, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada 20 Feb, 2008.

Khairy, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 8 Okt, 2010, berkata beliau bergantung kepada pembelaan berdasarkan justifikasi dan perlindungan bersyarat.- BERNAMA

DAKWAH MELALUI INTERNET PERLU DIPERLUASKAN: AHMAD ZAHID

PUTRAJAYA:  Usaha dakwah melalui internet perlu diperluaskan seiring dengan penggunaan media tradisional, ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia berikutan penyampaian dakwah melalui medium itu merentasi sempadan dan mampu mensasarkan segenap lapisan bangsa.

"Melalui penggunaan media baharu, pelbagai keperluan semasa umat Islam dapat dicurahkan mengikut citarasa semasa yang sesuai dengan ajaran Islam," katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat Induk Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Tambahnya, penggunaan media baharu dalam Islam seharusnya lebih menekankan konsep ketaqwaan dan menjadikan Islam sebagai acuan kehidupan.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ledakan media baharu dikenalpasti antara punca berlakunya pelbagai krisis dalam masyarakat.

"Peredaran maklumat dari pelbagai saluran media massa yang tidak berautoriti menyebabkan sesetengah isu semasa mudah diputarbelitkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi membentuk persepsi negatif terhadap pelbagai pihak," kata beliau.

Beliau berkata, sebahagian isu-isu yang bersifat terpencil sering diperbesarkan untuk memburukkan imej Islam dan melakukan pembunuhan karakter terhadap institusi agama, ketua-ketua jabatan agama, mufti serta ilmuan Islam.

"Inilah sikap sesetengah masyarakat kita yang perlu dihakis dan dihindari dengan penuh hikmah oleh pendakwah kepada semua lapisan masyarakat sama ada melalui media massa, elektronik dan media sosial," katanya lagi.

Dalam pada itu beliau mahu pemantauan secara berterusan terhadap aktiviti yang boleh membawa kepada penyebaran fahaman Syiah di Malaysia terus dipertingkatkan bagi mengekang penularan fahaman itu.

"Pengaruh DAISH dengan ideologi radikal mereka juga dilihat semakin menular dan menjadi ancaman besar terhadap keselamatan negara," ujar beliau.

Kerajaan juga mengambil serius pengaruh DAISH dan segala usaha berterusan secara bersepadu antara semua agensi keselamatan negara dipertingkatkan bagi memastikan gerakan militan tidak bertapak di negara ini.

"Fahaman Syiah juga dilihat antara ancaman kepada akidah umat Islam. Pertembungan dua kumpulan terbesar iaitu Sunni dan Syi'i turut menyumbang kepada konflik umat Islam di luar negara khususnya di Timur Tengah," tambahnya.-ASTRO AWANI

USAHA BERTERUSAN UNTUK KEKALKAN KEAMANAN, KEHARMONIAN DAN KESELAMATAN: NAJIB

KUALA LUMPUR:  Kerajaan akan terus melakukan usaha yang terbaik untuk mempertahankan dan mengekalkan keamanan, keharmonian serta keselamatan negara.

Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiada tolak ansur terhadap pandangan dan tindakan golongan radikal serta pelampau yang boleh mengancam keselamatan rakyat Malaysia dan pihak berkuasa akan bertindak terhadap mereka yang bertindak begitu.

"Semasa saya menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina baru-baru ini, sungguh menggembirakan apabila melihat rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum dan agama, datang bersama-sama untuk merayakan perayaan yang penuh keriangan ini," katanya menerusi catatan terkini dalam blog NajibRazak.com.

Najib berkata ini adalah semangat sebenar 1Malaysia dan keistimewaan yang menjadikan Malaysia unik di mata dunia, sebuah masyarakat berbilang kaum di bawah satu bumbung.

"Ia sesuatu yang kita mesti pelihara, oleh itu, kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan dan mengekalkan keamanan, keharmonian serta keselamatan kita.

"Keselamatan negara kita dan keharmonian yang wujud di dalam negara ini amat berharga. Ia adalah ikatan kukuh yang mengikat kita bersama dan kami akan berusaha untuk memastikan bahawa rakyat Malaysia terus hidup dalam aman serta harmoni," katanya.

Sementara itu dalam Twitter rasmi beliau hari ini, Najib turut mengucapkan tahniah kepada pengasas Mercy Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Akademi Kepimpinan Kemanusiaan.

"Tahniah Dr @JemilahMahmood dilantik sbg Pengerusi Akademi Kepimpinan Kemanusiaan. Malaysia bangga dengan usaha Dr membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Pengumuman mengenai pelantikan Dr Jemilah itu dibuat menerusi artikel yang disiarkan dalam laman web Persekutuan -BERNAMA

KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN SELESAIKAN MASALAH PERCANGGAHAN PERINTAH MAHKAMAH: SUBRAMANIAM

KUALA LUMPUR:  Keputusan Mahkamah Persekutuan Rabu  berkaitan pembubaran perkahwinan dan hak penjagaan anak dalam kes apabila seorang daripada pasangan memeluk Islam dan seorang lagi kekal bukan Islam, telah menyelesaikan masalah percanggahan perintah mahkamah yang timbul daripada isu itu.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata susulan keputusan hanya Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa membubarkan perkahwinan sivil dan menangani masalah hak jagaan, penjagaan dan kawalan ke atas anak yang lahir hasil perkahwinan itu, 'pintu perangkap' sudah tertutup.

"Hanya Mahkamah Sivil yang mungkin boleh menangani isu penjagaan. Ini juga menyelesaikan masalah perintah mahkamah yang bercanggah dan polis sekarang dapat melaksanakan perintah mahkamah tanpa ragu-ragu lagi," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Mahkamah Persekutuan Rabu memutuskan Mahkamah Sivil adalah forum yang sesuai untuk memutuskan mengenai pembubaran perkahwinan dan hak penjagaan kanak-kanak apabila seorang daripada pasangan memeluk Islam dan seorang lagi kekal bukan Islam.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif membuat keputusan itu dalam kes membabitkan seorang kerani S. Deepa dan bekas suaminya, Izwan Abdullah, yang memeluk Islam dan menukarkan agama kedua-dua anak mereka kepada Islam, tanpa kebenaran Deepa.

Mahkamah memberikan hak penjagaan anak lelaki berusia lapan tahun, Nabil kepada bapa, dan anak perempuan berusia 10 tahun, Nur Nabila kepada ibu.

Dr Subramaniam berkata dalam hampir semua kes membabitkan pasangan yang bertukar agama dan seorang lagi kekal dalam agama asal, pasangan yang bertukar agama secara diam-diam akan menukarkan agama anak mereka hasil daripada perkahwinan sivil.

"Dengan berbuat demikian, pasangan yang bertukar agama kemudian akan memohon hak penjagaan anak daripada Mahkamah Syariah," katanya.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu merupakan langkah penting untuk mempertahankan hak seorang ibu.- BERNAMA

POLIS DIGESA ANJUR LEBIH BANYAK PROGRAM LIBATKAN MASYARAKAT : LEE LAM THYE

KUALA LUMPUR:  Polis digesa menganjurkan lebih banyak program melibatkan orang awam bagi meyakinkan mereka kadar jenayah menunjukkan trend menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye membuat gesaan itu berdasarkan persepsi negatif masyarakat yang percaya kadar jenayah masih tinggi, walaupun perangkaan polis menunjukkan penurunan sejak akhir-akhir ini.

Lee berkata persepsi negatif itu timbul selepas orang ramai sering terbaca berita berkaitan jenayah yang dilaporkan oleh media setiap hari.

"Saya berpendapat dengan turun padang melalui program melibatkan orang awam dengan menjelaskan kepada mereka mengenai isu-isu berkaitan jenayah, dapat membantu polis mengurangkan persepsi negatif ini.

"Selain itu, polis harus menghebahkan kes-kes yang diselesaikan untuk menunjukkan mereka (polis) sebenarnya memainkan peranan dalam menangani situasi ini," katanya dalam program bual bicara 'Hello Malaysia" yang disiarkan Bernama TV, pada Rabu.

Berdasarkan statistik yang diterima MCPF daripada polis baru-baru ini, beliau berkata indeks jenayah menunjukkan penurunan sebanyak 10.1 peratus, daripada 128,750 kes pada 2014 kepada 115,545 kes pada 2015.

Lee, yang memuji usaha polis dalam mengurangkan kes-kes jenayah di seluruh negara, berkata statistik itu adalah berdasarkan jumlah laporan polis yang dibuat oleh pengadu atau mangsa kes-kes jenayah.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu kumpulan pengganas Daesh di negara ini, beliau menyeru orang ramai menyokong sebarang tindakan yang diambil kerajaan dalam usaha membendung kumpulan militan itu daripada menyebarkan ideologi mereka di sini.

"Oleh kerana negara ini mengamalkan konsep Wasatiyyah, saya berpandangan rakyat Malaysia harus menentang semua bentuk extremisme atau keganasan kerana ia bercanggah dengan budaya kita," katanya ketika ditemui selepas program itu. - BERNAMA

NAJIB UCAP SELAMAT TAHUN BARU CINA, SEMOGA SENTIASA MAKMUR SEJAHTERA

KUALA LUMPUR:  Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dan semoga sentiasa makmur dan sejahtera kepada masyarakat Tionghoa di negara ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia menjadi tempat tinggal masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai kebudayaan, terdiri daripada pelbagai etnik dan latar belakang, dan semuanya telah memainkan peranan penting dalam pembinaan negara bangsa.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua masyarakat Cina Malaysia Selamat Tahun Baharu dan semoga sentiasa makmur dan sejantera.

"Tidak dapat dinafikan sumbangan besar kaum Cina terhadap kebudayaan, masyarakat dan ekonomi Malaysia.
Hasil daripada kerja keras dan pengorbanan mereka dapat dilihat di setiap bahagian negara kita," katanya dalam catatan terbaru dalam blog NajibRazak.com.

Tahun Baharu Cina akan disambut pada 8 dan 9 Februari ini.

Najib mengambil perhatian masyarakat Cina melakukannya secara berganding bahu dengan semua warganegara dan termasuk kaum-kaum lain yang menyifatkan Malaysia sebagai tanah air mereka.

Beliau berkata budaya persahabatan, keakraban dan kewujudan bersama secara harmoni sentiasa menjadi cara hidup di negara ini, kerana ini juga melambangkan semangat sebenar 1Malaysia.

"Jika kita mengamalkan nilai-nilai murni yang terangkum dalam semua ini -- budaya kecemerlangan, tabah dan tekun, rendah diri, saling menerima, kesetiaan, pendidikan dan integriti – saya percaya masa depan kita, dan masa depan generasi akan datang, adalah terjamin.

"Sebagai Perdana Menteri, saya amat komited terhadap semua nilai ini, dan berazam untuk memastikan masa depan anak-anak kita dan anak-anak kepada anak-anak kita adalah jauh lebih baik daripada kita," katanya.

Najib berharap ketika rakyat Malaysia mula meraikan sambutan Tahun Baharu Cina, mereka akan mengambil masa sejenak untuk menghargai sumbangan kalangan mereka yang dahulu, dan berusaha untuk meninggalkan jasa masing-masing kepada masyarakat.

"Dalam menanti menjelangnya hari gembira itu, saya sendiri tidak sabar untuk menyertai rakan dan masyarakat Cina Malaysia pada majlis rumah-rumah terbuka mereka.

"Ia merupakan satu daripada saat yang secara peribadi amat dekat di hati saya, tradisi Malaysia.

"Saya doakan Tahun Monyet ini akan membawa kebahagiaan, kegembiraan dan kesihatan baik untuk kita semua. Xin Nian Kuai Le!," kata Perdana Menteri. -BERNAMA

TRANSFORMASI PENDIDIKAN KERAJAAN TINGKAT TAHAP SOSIOEKONOMI RAKYAT SEMUA KAUM : NAJIB

KULIM:  Tranformasi kerajaan dalam bidang pendidikan terbukti berjaya meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat pelbagai kaum di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk membangunkan bidang pendidikan berkualiti kerana melihat ia sebagai cara terbaik dalam membangunkan rakyat negara ini tanpa mengira kaum.

"Dengan cara ini (pendidikan) kita buat sekolah, sedia peluang pendidikan percuma, tambah kualiti pendidikan, saya percaya melalui usaha gigih kerajaan ini dapat lihat transformasi bersama bukan sekadar bidang pendidikan, tetapi (memajukan) juga rakyat Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Paya Besar, Lunas, di sini hari ini.

Najib berkata kaedah bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan kebajikan hanya bantuan semasa untuk seketika tetapi kemudahan dalam bidang pendidikan, akan memberi peluang untuk pembangunan diri.

Hadir sama pada majlis itu adalah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Kesihatan yang juga Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan. - BERNAMA

TPM LANCAR DASAR KESELAMATAN DALAM NEGERI (DKDN)

PUTRAJAYA:  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan Dasar Keselamatan Dalam Negeri (DKDN) yang merupakan satu dasar komprehensif aspek keselamatan dalam negeri, ketenteraman awam serta ancaman keganasan global.

Beliau, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata matlamat kerajaan memperkenalkan DKDN adalah untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat, aman dan berupaya mempertahankan kepentingan nasional.

"Objektif DKDN adalah untuk menjamin kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara melalui kesepaduan dan ketahanan nasional berteraskan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

"DKDN juga berteraskan amalan-amalan demokrasi ke arah kesatuan nasional, kedaulatan negara, integrasi wilayah, ketenteraman awam dan kestabilan politik," katanya ketika melancarkan buku DKDN pada majlis Amanat Tahun 2016 Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Ahmad Zahid menjelaskan pelaksana DKDN adalah semua agensi penguat kuasa yang menjaga keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam termasuk KDN, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan DKDN, dua jawatankuasa diwujudkan iaitu mesyuarat jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan beliau sendiri dengan anggotanya terdiri daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan menteri yang berkaitan, katanya.

Mesyuarat jawatan kerja pula dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan ahli-ahli tetap yang terdiri daripada agensi, jabatan KDN, Jabatan Peguam Negara, MKN dan ATM, kata Ahmad Zahid.

"Mesyuarat ini membincang dan menyelaraskan pelaksanaan tindakan berpandukan terma rujukan yang ada," katanya.

DKDN mempunyai lapan teras strategik dan 34 objektif. Antara lapan teras berkenaan ialah perlindungan dan pengukuhan terhadap insititusi-institusi utama negara, pemeliharaan keselamatan sempadan negara, perlindungan kesepaduan sosial dan ketahanan nasional serta pembanterasan ancaman yang mendatangkan kemudaratan dan menggugat ketenteraman awam.

Sementara itu, dalam amanatnya hari ini, Ahmad Zahid berkata antara kejayaan paling membanggakan KDN ialah kejayaan Polis Diraja Malaysia terutamanya dalam membanteras keganasan.

Menyentuh mengenai persidangan deradikalisasi yang berlangsung di Kuala Lumpur bulan lepas, Ahmad Zahid berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang menganjurkan program berkenaan.

"Ini merupakan sumbangan Malaysia kepada dunia melalui perkongsian pengalaman di peringkat antarabangsa," katanya. - BERNAMA

KES PENCEROBOHAN LAHAD DATU: MAHKAMAH PERINTAH 19 TERTUDUH BELA DIRI

KOTA KINABALU:  Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan 19 daripada 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu tiga tahun lepas, untuk membela diri.

Hakim Stephen Chung membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap 16 warga Filipina termasuk seorang wanita dan tiga lelaki tempatan.

Mahkamah menetapkan tiga minggu mulai 22 Februari untuk perbicaraan.

Insiden penceroboh pengganas selatan Filipina itu menggemparkan negara setelah mereka menduduki kawasan perkampungan di Lahad Datu pada 12 Februari 2013 dan kerajaan melancarkan Operasi Daulat pada 5 Mac dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Lapan anggota polis dan dua tentera terkorban dalam Operasi Daulat manakala 68 pengganas ditembak mati.- BERNAMA

INI 10 MANFAAT TPPA KEPADA MALAYSIA YANG PERLU ANDA TAHU

Menteri Perdagangan Amtarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (enam dari kiri) bersama wakil 11 negara lain menandatangani perjanjian bersejarah di Auckland yang akan meningkatkan lagi perdagangan global. - Foto AFP

1. Peningkatan gaji untuk pekerja tidak mahir diunjur meningkat sebanyak  0.45-0.91 peratus dan pekerja mahir sebanyak 0.38-0.78 peratus.

2. Dasar Bumiputera dan PKS kekal pada status quo sedia ada.

3. Lebih daripada 90 peratus peningkatan ekonomi disumbangkan menerusi langkah bukan tarif yang lebih rendah.

"Kerajaan Malaysia telah menimbang pendapat akar umbi, pengusaha dan pemimpin industri, dan mereka memberi sokongan yang baik."

Datuk Seri Mustapa Mohamad
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

4. Eksport dijangka meningkat mengatasi pertumbuhan import, sekali gus lebihan dagangan dijangkakan mengecil kepada 4.3-5.2 peratus KDNK pada 2027

5. Sektor yang menyumbang kepada 20 peratus KDNK Malaysia pada 2014 dijangkakan akan mencatat pertumbuhan keluaran yang lebih tinggi, terutama subsektor pembuatan.

6. Syarikat berorientasikan eksport akan memproleh manfaat daripada akses pasaran yang lebih luas.

"Kami yakin akses pasaran sangat penting bagi Malaysia, terutama dengan negara yang kita tidak mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru. Akses pasaran merupakan antara sebab kita menyertai TPPA."

Datuk Seri Mustapa Mohamad
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

7. Syarikat akan memperoleh manfaat menerusi akses kepada pemerolehan kerajaan, liberalisasi digital yang lebih luas selain penguatkuasaan perlindungan rahsia perdagangan

8. Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia diunjur meningkat sebanyak US$107 bilon kepada US$211 bilion antara 2018-2027.

9. Pelaburan diunjur meningkat kepada US$239 bilion antara 2018-2027 - disumbang pelaburan yang lebih tinggi dalam industri tekstil, pembinaan dan perdagangan pengedaran.

"Kami telah mengambil langkah yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan membawanya ke Parlimen walaupun ia bukanlah suatu keperluan undang-undang, dengan tujuan untuk diperdebatkan dan dibincangkan bagi memperoleh pandangan yang lebih baik daripada pelbagai pihak berkepentingan."

Datuk Seri Mustapa Mohamad
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

10. Penyelesaian pertikaian pelabur (ISDS) mungkin meningkatkan kos kepada kerajaan, namun perlindungan sudah disediakan bagi menangani saman dan melindungi dasar terutama dalam bidang kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.

Ia juga meningkatkan perlindungan ke atas syarikat Malaysia yang melabur di luar negara. - ASTRO AWANI

PM ZAHIR RASA SEDIH TERIMA BERITA KEMATIAN DUTA BESAR MALAYSIA KE SWITZERLAND

KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan rasa sedih di atas pemergian Duta Besar Malaysia ke Switzerland Datuk Mohd Zulkephli Mohd Noor, yang meninggal dunia di Berne, Switzerland pada Rabu.

"Terima berita sedih bahawa Duta Besar Malaysia ke Switzerland, Datuk Mohd Zulkephli Mohd Noor telah kembali ke rahmatullah tengah hari tadi. Al-Fatihah," katanya dalam catatan terkini di laman Facebook dan Twitter beliau.

Mohd Zulkephli, 57, meninggal dunia pada 6.38 pagi waktu tempatan.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Anna Amalina Imam Baweh dan lima orang anak.
   
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Berne dengan bantuan Perwakilan Tetap Malaysia di Geneva sedang dalam proses menguruskan jenazah Allahyarham untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Mohd Zulkephli mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik sejak 1984.
   
Sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Switzerland, beliau pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan pada Julai 2012.
   
Mohd Zulkephli juga pernah memegang jawatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Libya dari 2009 hingga 2011 dan terlibat secara langsung dalam operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Libya.
   
Selain itu, Allahyarham pernah bertugas di beberapa perwakilan Malaysia seperti Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles dan Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu di Geneva.- BERNAMA

KEMENTERIAN KESIHATAN KELUAR GARIS PANDUAN LANGKAH PENCEGAHAN VIRUS ZIKA

PUTRAJAYA:  Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengeluarkan garis panduan langkah-langkah pencegahan virus Zika yang disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes.

Beliau berkata langkah itu termasuk menangguhkan perjalanan ke 24 negara di rantau Amerika Selatan yang telah melaporkan jangkitan Zika, khususnya wanita yang mengandung.

Negara yang terlibat ialah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Curacao, Republik Dominica, Ecuador, El Salvador, Guiana Perancis, Guadaloupe, Guatemala, Guyana, Haiti, Honduras, Martinique, Mexico, Nicaragua, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Surinam, Virgin Islands (Amerika Syarikat) dan Venezuela.

"Jika terpaksa juga melakukan perjalanan tersebut, perlulah mengambil langkah-langkah pencegahan daripada digigit nyamuk Aedes seperti memakai pakaian yang menutupi anggota badan dan menggunakan ubat pencegahan gigitan secara tetap," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Selain itu, katanya jika terdapat rakyat negara ini yang menghidap gejala demam dan tanda-tanda jangkitan Zika setelah kembali dari negara yang ada rakyatnya dijangkiti, mereka hendaklah segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Menurutnya agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta rakyat Malaysia juga perlu melakukan langkah-langkah pencegahan, antaranya memastikan kawasan persekitaran terutama tempat-tempat awam dan swasta bersih daripada tempat pembiakan nyamuk.

Subramaniam berkata, orang ramai juga perlu melindungi diri daripada gigitan nyamuk dan mencegah berlakunya jangkitan kepada orang lain seperti menggunakan ubat pencegahan gigitan, memakai pakaian yang menutupi anggota badan, menggunakan kelambu dan semburan aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa.

"Masyarakat perlu melakukan aktiviti cari dan musnah tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu di premis masing-masing. Disaran juga untuk memasang jejaring pada tingkap untuk mengelakkan nyamuk masuk ke dalam rumah," jelasnya.

Subramaniam berkata, virus Zika disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor yang sama bagi demam denggi dan keadaan di negara ini adalah amat sesuai untuk berlakunya jangkitan virus Zika.

Oleh itu, katanya jika jangkitan Zika tersebar ke negara ini, ia boleh menjadi wabak yang serius seperti wabak demam denggi.

Terbaharu, virus Zika dilaporkan telah dikesan Indonesia dan Australia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan penyakit itu sebagai "Public Health Emergency Of International Concern" (PHEIC).

Virus Zika hanya menyebabkan demam ringan dan bintik-bintik di badan, sakit sendi serta tidak menyebabkan kematian, namun ia dikaitkan dengan kejadian mikrosefali iaitu kelahiran bayi dengan kepala atau otak mengecil serta gejala saraf iaitu sindrom "Guillain-Barre".

Mikrosefali merupakan kecacatan otak atau kepala kekal yang boleh mempengaruhi kualiti hidup bayi sehingga dewasa.- BERNAMA

TAHUN BARU CINA: JOJ PANTAU 29 TERMINAL BAS SELURUH NEGARA

KUALA LUMPUR:  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuat pemeriksaan serta pemantauan di 29 buah terminal bas utama di seluruh negara sempena sambutan Tahun Baru Cina, Isnin ini.

Pengarah Penguat Kuasa JPJ Datuk V. Valluvan Veloo berkata pemeriksaan itu dilakukan bagi mengelak kejadian tidak diingini ketika orang ramai pulang ke kampung halaman menggunakan bas.

"Pemeriksaan adalah untuk memastikan pemandu mengikut kriteria yang telah ditetapkan selain memastikan bas berada dalam keadaan baik," katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena Op Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Beliau berkata orang ramai boleh membantu JPJ mengesan salah laku yang dilakukan oleh pemandu bas yang tidak bertanggungjawab sepanjang perjalanan ke destinasi yang dituju.

"Orang ramai diminta menghantar gambar salah laku kepada JPJ dan kita akan ambil tindakan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Valluvan Veloo berkata seramai 4,500 orang pegawai penguat kuasa bersama 500 orang anggota Skuad Muda 1JPJ akan melakukan rondaan di lebuh raya dan jalan utama di seluruh negara.

"Mengikut statistik dalam operasi yang dijalankan bermula 1 Februari lepas, sebanyak 1,220 daripada 6,000 kenderaan yang diperiksa telah dikenakan tindakan.

"Antara kesalahan tertinggi yang dilakukan adalah tidak memiliki lesen atau cukai jalan tamat tempoh," katanya.

JPJ juga akan melaksanakan Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan pada 6, 7, 13 dan 14 Februari, katanya. - BERNAMA

12 TANDATANGAN DAN TERMAKTUB PERJANJIAN PERDAGANGAN BAHARU TPPA

KUALA LUMPUR:  Selepas lima tahun dan 19 pusingan perundingan, 12 negara Lingkaran Pasifik akhirnya akan menandatangani pakatan perdagangan yang banyak diperbahaskan, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), di Auckland, New Zealand pada Khamis 4 Februari.

Perjanjian itu, yang mewakili hampir 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global bernilai AS$30 trilion, tersedia untuk meningkatkan pertumbuhan di 12 negara anggota yang terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

TPPA diunjur meningkatkan pertumbuhan KDNK secara menyeluruh di negara anggota hasil daripada peluasan pasaran dan pemansuhan atau pengurangan halangan perdagangan.

TPPA merangkumi 30 bab perundangan yang meliputi isu-isu perdagangan dan berkaitan perdagangan bagi meluaskan akses pasaran bagi barangan, perkhidmatan dan pelaburan, selain mengharmonikan peraturan dan disiplin perdagangan baharu dan isu merentas sektor seperti pemerolehan kerajaan.

Justeru, selain meningkatkan perdagangan dan pelaburan, perjanjian itu juga bertujuan mewujudkan dan mengekalkan pekerjaan, meningkatkan inovasi, produktiviti dan daya saing selain meningkatkan taraf hidup kira-kira 800 juta penduduk.

Malaysia, yang menyertai perjanjian perdagangan bebas abad ke-21 yang komprehensif semasa pusingan ketiga rundingan pada Oktober 2010, bakal menyaksikan KDNK meningkat AS$107 bilion hingga AS$211 bilion dalam tempoh 2018-2027.

Malaysia merupakan anggota kesembilan TPPA pada mesyuarat yang berlangsung sempena mesyuarat pemimpin APEC di Honolulu pada 2011. Rundingan perjanjian itu dimuktamadkan pada 5 Oktober 2015.

Pelaburan Malaysia dijangkakan meningkat sebanyak AS$136 bilion hingga AS$239 bilion dalam tempoh 2018-2027, sebahagian besarnya disumbangkan oleh pertumbuhan pelaburan yang lebih tinggi dalam industri tekstil, pembinaan dan perdagangan pengedaran.

Syarikat berorientasikan eksport akan mendapat akses pasaran yang lebih besar, terutama dengan negara yang Malaysia masih belum mempunyai perjanjian perdagangan iaitu Kanada, Mexico, Peru dan Amerika Syarikat.

Keempat-empat negara ini menyumbang kira-kira 74 peratus daripada saiz pasaran blok ekonomi TPPA, dengan KDNK kira-kira US$21 trilion pada 2014.

Bagi meliberalisasikan lagi perdagangan Malaysia, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi jaminan bahawa ekonomi negara tidak akan 'dijajah' oleh negara lain dalam perjanjian itu.

Beliau berkata penyertaan Malaysia dalam TPPA tidak hanya akan membawa manfaat utama kepada ekonomi negara, malah dalam bidang lain seperti pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana.

Melindungi kepentingan Bumiputera dalam TPPA merupakan antara pencapaian paling membanggakan bagi Malaysia.

"Malaysia menyertai perjanjian ini (TPPA) mengikut syarat-syarat kami dan berdasarkan tindakan yang termaktub dalam perjanjian antarabangsa," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata baru-baru ini.

Kerajaan telah menjalin perjanjian yang baik, dan pelabur Malaysia perlu yakin bahawa mereka dilindungi menerusi peruntukan penyelesaian pertikaian pelabur-negeri dalam TPPA, kata Dekan Sekolah Perniagaan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia , Dr Yeah Kim Leng.

Untuk masa hadapan, Malaysia juga perlu memberi tumpuan ke atas bab pelaburan selain menyegerakan pembangunan dan jalan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata Malaysia merupakan penerima ketiga terbesar pelaburan langsung asing di ASEAN, dan TPPA akan menjadi satu lagi platform untuk meningkatkan daya saing dalam kalangan rakan serantau untuk memperoleh pelaburan tambahan.- BERNAMA

KENYATAAN FINANCEASIA DIBIDAS, EKONOMI BERKEMBANG DI BAWAH PIMPINAN NAJIB

KUALA LUMPUR:  Malaysia mencatat perkembangan ekonomi, termasuk peningkatan kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) daripada RM528 billion kepada RM877 bilion dari tahun 2009-2015, hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Malah, menerusi pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan, ekonomi negara berkembang daripada 1.9 peratus pada tahun 2009 kepada 6.0 peratus tahun 2014 dalam persekitaran ekonomi dunia yang lembap serta beberapa cabaran lain, kata kenyataan Kementerian Kewangan (MoF), hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai membidas artikel oleh FinanceAsia bertajuk "Najib Razak: Asia's Worst Finance Minister 2016" (Menteri Kewangan Asia Paling Teruk 2016).

Sambil menyangkal tuduhan dilemparkan portal itu, MoF berkata adalah tidak beretika bagi media itu membuat penilaian berdasarkan perkembangan dalam tempoh 12 bulan dan bersandarkan beberapa pertuduhan tidak berasas serta berat sebelah.

MoF sebaliknya menegaskan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, ekonomi Malaysia terus mencatatkan perkembangan sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun 2015.

Malah, kadar pengangguran telah turun daripada 4.5 peratus kepada 3.0 peratus dengan sejumlah 1.8 juta pekerjaan baharu berjaya diwujudkan.

Pendapatan per kapita pula meningkat daripada RM24,541 kepada RM33,572, manakala defisit fiskal berkurangan daripada 6.7 peratus kepada 3.2 peratus.

"Walaupun keadaan ekonomi dunia tidak menentu, Malaysia masih optimistik dengan sasaran pertumbuhan KDNK pada kadar 4.5 peratus bagi tahun ini.

"Jadi, jika Malaysia mampu mencatatkan pertumbuhan pada kadar 4.5 peratus dalam keadaan ekonomi yang lembap ini, boleh dikatakan ekonomi Malaysia masih kukuh jika dibandingkan dengan beberapa negara Asia yang lain," jelas
kementerian itu.

MoF turut mempersoalkan tujuan artikel tersebut yang menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang teruk dan menggunakan tajuk sedemikian bagi meningkatkan semula laman web media itu.

Ini disebabkan, pada tahun lepas dalam artikel sama, portal Financeasia berkenaan meletakkan Najib di tempat kelapan daripada 12 Menteri Kewangan Asia dalam 'Finance Minister of the Year' berbanding tempat ke-12 tahun ini.

"Asia mempunyai 48 negara, jadi bagaimana berada di tempat ke-12 boleh menjadikan Najib sebagai Menteri Kewangan paling teruk di Asia?," kata MoF.

Kementerian itu turut menyuarakan kebimbangan mengenai tindak tanduk beberapa pihak yang iri hati dengan kemajuan Malaysia di bawah pentadbiran

Perdana Menteri, menjadikan negara ini sebagai sasaran kritikan melulu.

"Seolah-olah mereka sentiasa mahu menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak stabil dari segi politik dan ekonomi."- BERNAMA

NAJIB ARAH KEMENTERIAN KESIHATAN AMBIL LANGKAH CEGAH DEMAM DENGGI, VIRUS ZIKA

KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya mengambil semua langkah pencegahan bagi melindungi rakyat daripada demam denggi dan virus Zika.

Beliau mahu semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan rakyat keseluruhannya berganding bahu memerangi nyamuk Aedes, yang merupakan ejen penyebaran kedua-dua penyakit berkenaan.

"Saya sedia maklum mengenai masalah demam denggi di beberapa kawasan dalam negara, dan juga kerisauan mengenai virus Zika yang melanda banyak kawasan di rantau Amerika," katanya dalam entri terkini blog beliau, NajibRazak.com.

Najib berkata pemantauan lebih teliti amat diperlukan memandangkan iklim negara ini sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes.

"Pucuk pangkalnya, kita perlu mencegah serta menghapuskan sumber atau vektor kepada kedua-dua wabak dan virus ini, iaitu nyamuk Aedes. Jangan beri walau sedikit ruang untuk ia membiak," katanya.

Susulan penularan virus Zika, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan virus itu sebagai kejadian kecemasan kesihatan awam yang menjadi kepentingan antarabangsa (PHEIC).

"...dan sewajarnya kita memandang serius ancaman yang dibawa oleh virus Zika ini," kata beliau.  -BERNAMA