Followers

HARGA RUNCIT BAGI RON95, RON97, DIESEL TURUN

KUALA LUMPUR:  Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel masing-masing turun 10 sen, 20 sen dan 25 sen berkuatkuasa Isnin.

Bermula jam 12 tengah malam Ahad, harga baharu bagi RON95 ialah RM1.75 seliter, RON97 pada RM2.05 seliter, manakala diesel pula ialah RM1.35 seliter.

Naib Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Khairul Annuar Abdul Aziz berkata harga petrol dijangka akan terus menurun dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Penurunan harga petrol itu dilihat susulan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

"Sejak Disember 2014 lagi purata ia menurun hampir setiap bulan jadi walaupun naik sedikit tapi dijangka kemungkinan besar ia akan turun balik mungkin menghampiri ke 20 dolar per barrel dari segi jenis yang mungkin harga minyak itu turun 20 ke 30 sen lagi dalam masa beberapa bulan", katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.

Pada 1 Januari lalu, harga runcit petrol RON95 ialah RM1.85 seliter manakala RON97 pada RM2.25 selitir dan diesel pada RM1.60 seliter. - ASTRO AWANI

PROGRAM TRANSFORMASI SOSIO-EKONOMI SARAWAK PASTI BERJAYA: TPM

SIBU:  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Program Transformasi Sosio Ekonomi 15 tahun Sarawak yang menumpukan kepada transformasi di kawasan luar bandar, bermula tahun ini akan berjaya.

Beliau berkata faktor itu adalah kerana penduduk negeri berkenaan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama sentiasa bersatu.

"Tidak ada isu perbezaan kaum di Sarawak. Saya cukup gembira dengan keadaan ini," katanya pada majlis Makan Malam Komuniti sempena lawatannya ke bandar ini, yang bermula Jumaat.

Ahmad Zahid berkata selain mempunyai barisan pemimpin yang baik, negeri ini turut memiliki ramai tokoh perniagaan yang akan membantu program berkenaan.

"Ada tokoh perniagaan utama di Malaysia yang datang dari Sarawak. Sebagai contoh, (masyarakat) Foochow dari Sibu yang dikenali dengan perniagaan besar mereka seperti Tan Sri Tiong Hew King dari Kumpulan Rimbunan Hijau," katanya.

Ahmad Zahid sekali lagi mengingatkan penduduk Sarawak untuk tidak terlalu ekstrem dalam mengamalkan agama mereka, sebagai usaha mengekalkan perpaduan dan keharmonian di negeri itu.

"Islam, misalnya tidak pernah mengajar umatnya memusnahkan atau membenci agama lain. Ia adalah agama perdamaian.

"Kita perlu menghormati agama lain jika mahu orang lain menghormati agama kita," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata rakyat Malaysia perlu memantapkan  kerohanian dan tidak setakat tertumpu kepada pembangunan fizikal sahaja.

Mengenai Pilihan Raya Negeri ke-11, Ahmad Zahid meminta penduduk negeri ini terus memberi sokongan padu kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang dianggapnya pemimpin yang cukup baik dan popular.

"Sokongan anda akan membolehkan beliau meneruskan usaha menjadikan Sarawak lebih maju dan menjelang 2030, ia boleh menjadi negeri paling maju di negara ini," katanya.- BERNAMA

SYARIKAT GAGAL BAYAR AMAUN GST AKAN DIKENAKAN PENALTI: KP KASTAM

PUTRAJAYA:  Syarikat yang gagal membayar amaun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 31 Januari ini akan dikenakan penalti antara lima hingga 25 peratus ke atas amaun asal cukai.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Seri Khazali Ahmad berkata perkara ini adalah selaras dengan pindaan yang dibuat kepada Seksyen 41 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Katanya, pengenaan penalti akan bermula bagi tempoh bercukai yang mana bayaran cukai genap masa dan kena dibayar dalam tempoh yang ditetapkan.

Kadar pengiraan penalti adalah berdasarkan bilangan hari GST tidak dibayar.

Bagi tempoh 1 hingga 30 hari, kadar penalti ke atas amaun asal cukai dikenakan adalah lima peratus; tempoh 1 hingga 60 hari (kadar penalti 15 peratus) dan tempoh 1 hingga 90 hari (kadar penalti 25 peratus).

"Bagi mereka yang gagal membayar amaun GST melebihi tempoh 90 hari, juga akan dikenakan kadar penalti maksimum 25 peratus," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khazali berkata kadar penalti akan dikenakan ke atas amaun asal cukai yang genap masa dan kena dibayar serta akan bermula selepas tarikh akhir cukai kena bayar. - BERNAMA

MUKHRIZ MAHATHIR DIMINTA KELUAR DARI MESYUARAT MT UMNO

KUALA LUMPUR:  ⁠⁠⁠"Sesiapa yang tidak dijemput diminta beredar, tetapi semua itu ditujukan kepada saya seorang."

Itu kenyataan ringkas Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir ketika meninggalkan Menara Dato Onn selepas dikatakan tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn.

Katanya, ia merupakan arahan daripada setiausaha agung sendiri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
-ASTRO AWANI

NAJIB PENGERUSO MESYUARAT MAJLIS TERTINGGI UMNO

KUALA LUMPUR:  Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, di sini.

Mesyuarat yang bermula kira-kira pukul 4 petang itu dijangka membincangkan isu polemik pertukaran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selain perbincangan dan langkah penambahbaikan parti.

Turut hadir, timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, naib presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ketua-ketua sayap.

Sementara itu, naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal tidak kelihatan manakala Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula dilaporkan berada di luar negara.

Sidang media dijangka diadakan pada pukul 7 petang.- ASTRO AWANI

PEKERJA BOLEJ MEMILIH KEKALKAN KADAR CARUMAN KWSP PADA 11 PERATUS

KUALA LUMPUR:  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  memaklumkan pekerja boleh membuat pilihan untuk mengekalkan kadar caruman syer pekerja pada 11 peratus dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum  Melebihi Kadar Berkanun.

Menurut kenyataan KWSP pada Khamis, pekerja boleh memuat turun Notis KWSP 17A Khas2 016 di laman sesawang www.kwsp.gov.my mulai 2 Feb, 2016 dan ia perlu dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada pejabat KWSP berhampiran.

Semasa membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 di Putrajaya pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pengurangan kadar berkanun caruman syer pekerja kepada lapan peratus daripada 11 peratus untuk pekerja di bawah 60 tahun.

Sementara itu, caruman syer pekerja berumur 60 tahun ke atas pula dikurangkan kepada empat peratus daripada 5.5 peratus.

Penurunan kadar tersebut akan bermula pada gaji bulan Mac 2016 sehingga bulan Disember 2017.

Jadual baharu Kadar Caruman Bulanan boleh dimuat turun mulai16 Feb, 2016.

Menurut KWSP, tiada perubahan pada kadar caruman berkanun syer majikan.- BERNAMA

SRC, RM2M6 BIL: SPRM TIDAK PERTIKAI KEPUTUSAN PEGUAM NEGARA BERSIHKAN NAJIB: ABU KASSIM

KUALA LUMPUR:  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempertikaikan atau mencabar keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada sebarang pertuduhan.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata langkah merujuk keputusan Peguam Negara kepada Panel Penilaian Operasi SPRM merupakan prosedur operasi standard (SOP) untuk menutup mana-mana kes.

"Demi kejelasan, kuasa menurut budi bicara Peguam Negara mencakupi semua prosiding jenayah diperuntukkan kepada beliau mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. Kuasa ini adalah bersifat mutlak tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan media hari ini yang mendakwa bahawa kakitangan SPRM telah memberi taklimat tanpa kebenaran kepada media dan membuat pelbagai dakwaan.

"Saya ingin menjelaskan - jika ini benar, ia tidak akan dibiarkan dan tindakan akan diambil. Saya mengarahkan supaya laporan polis dibuat supaya siasatan secara bebas dapat dijalankan mengenai perkara ini," katanya.

Abu Kassim menegaskan bahawa pegawai SPRM mesti mendukung standard etika  paling tinggi dan bertanggungjawab kepada sumpah jawatan yang mereka lafazkan.

"Justeru, tiada apa-apa kenyataan oleh mana-mana individu harus dianggap oleh media sebagai pendirian rasmi SPRM terhadap kes-kes ini kecuali ia telah dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Strategik rasmi SPRM selepas mendapat kelulusan saya," kata beliau. - BERNAMA

CUEPACS LEGA, TIADA PEKERJA DIBERHENTIKAN

KUALA LUMPUR:  Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) hari ini  menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  untuk tidak memberhentikan mana-mana penjawat awam, termasuk lantikan secara kontrak.

Presidennya, Datuk Azih Muda memberitahu, keputusan ini membuktikan kerajaan serius dalam  menjaga kebajikan penjawat awam.

"Banyak mesej yang diviralkan dalam media masa dan elektronik berkenaan isu penjawat  awam. Tapi bila PM dah umumkan, tiada yang diberhentikan kita amat bersyukur dan lega  dengan keputusan ini.

"Kerajaan sangat prihatin kepada nasib penjawat awam, begitu juga dalam perkhidmatan  kontrak.

"Malah, inisiatif satu kenaikan gaji tahunan kepada 1.6 juta penjawat awam pada 1 Julai  tahun ini disambut baik," katanya kepada Astro AWANI.

Tambah Azih, komitmen kerajaan ini perlu disambut dengan komitmen bersungguh-sungguh  penjawat awam.

"Apa yang boleh dijanjikan kepada kerajaan kini ialah komitmen bersungguh-sungguh untuk  meningkatkan produktiviti melalui perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," tambahnya.

Namun, Azih turut meluahkan rasa bimbang berkaitan pengurangan caruman Kumpulan Wang  Simpanan Pekerja (KWSP) yang bermula Mac ini.

"Pengurangan caruman ini kami risau simpanan menjadi kurang. Lagipun wang simpanan inilah  harapan untuk perbelanjaan di hari tua nanti.

"Bayangkan, dengan kehilangan tiga peratus simpanan, kita bimbang ia tak mampu membiayai  kehidupan tua pekerja nanti.

"Kami harap ada sumber lain untuk simpanan hari tua yang akan diperkenalkan kerajaan bagi  mengelak masalah baru di masa depan," tambahnya.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan pada Khamis ketika mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016, memberi jaminan tidak akan melibatkan emolumen kakitangan awam, pencen pesara  dan tidak akan menjejaskan mekanisme penyampaian kerajaan atau delivery mechanism.

Perdana Menteri juga menegaskan,  Kerajaan tidak akan memberhentikan mana-mana penjawat awam, termasuk lantikan secara  kontrak.

Malah, Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan potongan caruman KWSP pekerja sebanyak 3  peratus mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017. Akan tetapi,caruman majikan dikekalkan.- ASTRO AWANI

SRC, RM2M6 BIL: DUA PANEL PENASIHAT SPRM TIDAK RAGU KEPUTUSAN PEGUAM NEGARA

KUALA LUMPUR:  Dua panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tidak ada keraguan dalam keputusan Peguam Negara berhubung penutupan kes berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Tan Sri Musa Hassan berkata hasil mesyuarat Panel Penilaian Operasi (PPO) dan panel khas di Putrajaya hari ini memutuskan untuk menerima keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Musa, yang menghadiri mesyuarat kedua-dua panel itu, berkata kedua-dua panel itu menerimakeputusan Peguam Negara bahawa tidak ada kesalahan jenayah yang dilakukan Najib berhubung sumbangan RM2.6 bilion dan kes SRC International.

Justeru, kedua-dua panel itu akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut bagi menerangkan perkara itu kepada rakyat.

"Tidak, tidak ada keraguan dalam kes ini. Kami telah mengambil keputusan untuk bertemu dengan Peguam Negara bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut," kata Musa ketika dihubungi Bernama.

"Ia penting untuk panel mendapatkan penjelasan daripadanya bagi menerangkan perkara itu kepada rakyat nanti agar rakyat lebih faham kenapa kes itu tidak perlu didakwa," kata Musa.

Semalam, SPRM mengumumkan pihaknya akan merujuk keputusan Peguam Negara kepada PPO untuk penilaian dan pertimbangan.

PPO merupakan satu daripada badan bebas yang dibentuk oleh kerajaan bagi memantau perjalanan SPRM mengikut Akta SPRM 2009 dan antara terma rujukan PPO adalah memberi pendapat berhubung tindakan kes-kes yang diputuskan untuk tidak dituduh oleh Pendakwa Raya.- BERNAMA

11 LANGKAH PENSTRUKTURAN DAN PENGUBAHSUAIAN BAJET 2016

PUTRAJAYA:  Dalam pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, beliau mengumumkan tentang 11 langkah penstrukturan dan pengubahsuaian, sebagai lanjutan daripada pembentangan bajet sebelum ini.

Antara intipati yang mendapat perhatian umum adalah mengenai pelepasan khas cukai RM2,000 kepada pembayar cukai individu berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah untuk tahun taksiran 2015 dan pengurangan potongan KWSP sebanyak tiga peratus mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017.

Selain itu, Najib juga ada menyebut mengenai penguatkuasaan serta-merta penjualan rumah berharga hingga RM300,000 yang terhad kepada pembeli rumah pertama.

Turut diumumkan adalah jaminan bahawa Kerajaan tidak akan menghentikan mana-mana penjawat awam termasuk lantikan kontrak, pelaksanaan satu kenaikan gaji tahunan kepada penjawat awam pada 1 Julai, dan keputusan Kerajaan yang tidak akan melaksanakan tambatan Ringgit.- ASTRO AWANI

TEKS UCAPAN PERUTUSAN KHAS PENGUBAHSUAIAN BAJET 2016

Oleh: YAB DS NAJIB RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia

YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri

YB Dato' Seri Ahmad Husni Hanadzlah
Menteri Kewangan Kedua

YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Negara

Saudara dan Saudari Para Hadirin dan Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

Hal 1: Mukadimah

1. Alhamdulillahi Rabbil A'lamin wa biHi nastain. Selawat dan salam kepada junjungan besar, Nabi Muhammad Sollal-Lah-hu-a'laihi-wa-sallam.

2. Saya mulakan dengan memetik tafsir oleh para ulamak merujuk firman Allahu-Taala dalam surah Al-Insyirah bahawa, pada setiap kesulitan dan dugaan yang kita hadapi, pasti beriring dengannya kesenangan atau kebahagiaan yang berhikmah.

3. Maka hendaknya, begitulah keyakinan yang wajib ada dalam diri kita masing-masing dan semestinya yang diletakkan terhadap keadaan pentadbiran dan pengurusan Kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

4. Disebut orang sejak dahulukala, sekali air bah,… sekali pantai berubah. Kendati itu, tengahari ini, 28 haribulan Januari 2016, bertepatan 18 haribulan Rabiul Akhir 1437 Hijrah, satu lagi perutusan penting hendak saya sampaikan, kerana tampaknya Bajet 2016 turut tertakluk kepada perubahan yang berlaku di persekitaran ekonomi global.

5. Apa yang saya ingin perkata dan kongsikan hari ini, lebih bersifat penerangan, perbandingan, penjelasan dan langkah-langkah menangani situasi-situasi yang negara telah dan sedang lalui dalam pelbagai babak sejak hampir 2 dekad yang lalu.

6. Lantaran, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana, pada tengahari Khamis, yang mulia ini, hadirnya di dewan PICC ini, saudara dan saudari di kalangan pimpinan dan para pentadbir, penjawat awam, ketua-ketua industri dan orang-orang korporat, wakil-wakil kedutaan, golongan NGO dan para sukarelawan.

7. Semuanya hadir ke majlis perutusan khas ini, bagi tujuan mendengar dan memahami tindakan Kerajaan, mengubahsuai dan menstruktur beberapa perencanaan ekonomi khususnya berhubung dengan Bajet 2016.

Saudara-saudari serta Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

8. Apa yang paling mustahak, pengubahsuaian dan penstrukturan ini, akan tetap teguh berpaksikan kepada dua tunjang. Pertamanya, bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh atas landasan yang betul, dan keduanya, menjaga serta memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat.

9. Makanya, selaras dengan konsep Rakyat Didahulukan, langkah-langkah yang akan saya umumkan sebentar lagi, merupakan rumusan setelah mengambil kira pendapat dan pandangan secara menyeluruh.

10. Ini turut dilengkapkan lagi melalui sesi – sesi perundingan dengan pelbagai economic stakeholders, termasuklah juga syarikat-syarikat GLC, ahli-ahli ekonomi serta pakar-pakar industri.

11. Bahkan, Kerajaan juga telah mendapatkan idea-idea bernas daripada pihak-pihak NGO, yang mewakili para pengguna, ahli-ahli perniagaan tersohor serta pengarah-pengarah perbankan runcit dari pelbagai peringkat.

12. Ternyata sebahagian besar daripada mereka, hadir bersama kita pada tengahari ini. Terima kasih saya ucapkan di atas semua input dan dokongan anda,…terima kasih,… terima kasih.

Indeed,… we are all doing this together for our nation.

Hal 2: Perbandingan Senario Ekonomi Negara Sejak 1997/98

Saudara-saudari sekalian,

13. Terlebih dahulu, mari kita himbau senario keadaan ekonomi negara ketika krisis kewangan Asia sekitar tahun 1997 hingga 98.

14. Pada tahun 1997 hingga 98, negara telah mengalami apa yang disebut sebagai kegawatan ekonomi. Hinggakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK, direkodkan pada negatif 7.4 peratus.

15. Ketika itu, janganlah kita lupa bahawa,… antara kesan besar kegawatan ekonomi yang berlaku tersebut, telah menatijahkan pemberhentian pekerja secara mendadak, inflasi meningkat, rizab antarabangsa pula menyusut kepada 59 bilion ringgit, hatta indeks pasaran saham KLSE jatuh menjunam sehingga mencecah paras 260.

16. Begitu banyak, syarikat-syarikat terpaksa gulung tikar, sampaikan segolongan anak-anak kita waktu itu antaranya lepasan SPM dan juga pasca sarjana muda, ramai yang hancur luluh hasrat dan impian mereka, untuk menyambung pengajian ke luar negara terbantut, disebabkan Kerajaan masa itu tidak mampu memberi pembiayaan.

Saudara dan saudari serta rakyat Malaysia sekalian,

17. Jadinya, atas situasi yang melanda itu, Kerajaan yang memimpin pada tempoh itu, telah mengambil langkah-langkah drastik termasuklah pelaksanaan kawalan modal atau capital control dan tambatan matawang pada 3.8 ringgit berbanding 1 dolar Amerika.

18. Institusi perbankan telah dirasionalisasi, hutang syarikat swasta distruktur semula melalui penubuhan Danaharta dan Danamodal. Kerajaan ketika itu juga, telah melaksanakan pakej rangsangan bernilai 7 bilion ringgit untuk memulihkan kembali ekonomi domestik.

Saudara dan Saudari sekalian,

19. Seterusnya, negara sekali lagi menghadapi kegawatan ekonomi pada senario 2008 hingga 2009. Ia akibat subprime crisis di Amerika yang memberi impak kepada ekonomi global, serta kenaikan mendadak harga minyak dunia, sehingga mencecah 130 dolar Amerika setong, berbanding purata 70 dolar Amerika setong pada tahun sebelumnya, yakni 2007.

20. Eksport negara pula menyusut lebih 15 peratus. Kesannya, sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan turut terjejas.

21. Ketika itu, saudara dan saudari, saya baru sahaja dilantik sebagai Menteri Kewangan dan tanpa berlengah lagi, mengambil langkah segera dengan membentangkan pakej rangsangan ekonomi pertama yang bernilai 7 bilion ringgit pada November 2008.

22. Beberapa bulan selepas itu, diikuti pula dengan pakej rangsangan kedua bernilai 60 bilion ringgit pada Mac 2009, untuk terus merangsang aktiviti ekonomi domestik. Pakej rangsangan kedua ini juga, melibatkan kerjasama dan inisiatif daripada pihak Kerajaan dan swasta.

23. Tidak cukup sekadar pakej-pakej itu, selanjutnya, selepas sahaja saya mengambil tampuk kepimpinan negara, pelbagai prakarsa telah Kerajaan rencana dan laksanakan, di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional atau DTN sehingga kini.

24. Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Kerajaan dan Ekonomi, demi memacu Malaysia menjadi Negara Maju Berpendapatan Tinggi menjelang 2020.

25. Hasil mahsulnya, daripada sekian banyak inisiatif dan program transformasi, Alhamdulillah, pertumbuhan ekonomi negara terus ampuh dengan purata KDNK 5.6 peratus, mengurangkan defisit fiskal Kerajaan daripada 6.7 peratus kepada 3.2 peratus, serta kadar inflasi yang terkawal.

26. Manakala, kita juga bersyukur, kerana kemiskinan tegar telah hampir disifarkan. Selain itu, sejumlah 1.8 juta peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan, serta memperkenalkan inisiatif dan program rakyat 1 Malaysia seperti BR1M, Baucar Buku 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, juga program perumahan mampu milik.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

27. Hujan panas permainan hari, susah senang permainan hidup,… langit pula tidak selalunya cerah. Menjengah senario ekonomi negara pada tahun lepas, yakni 2015, Malaysia diuji lagi dengan pelbagai cabaran yang tidak terduga dan berada di luar kawalan kita.

28. Harga minyak telah jatuh daripada 100 dolar Amerika, kepada 48 dolar Amerika setong. Sejak itu, harga minyak terus turun, hinggakan Bajet 2015 perlu diubahsuaikan.

29. Apa yang berlaku pada tahun lepas, hasil negara daripada sumber berasaskan minyak, telah jatuh hampir 14 bilion ringgit. Maka, pada 20 haribulan Januari 2015, bagi pihak Kerajaan, saya telah membentangkan pengubahsuaian ke atas Bajet 2015, dengan merasionalisasi perbelanjaan serta menyemak semula sasaran defisit fiskal kepada KDNK, daripada 3 peratus kepada 3.2 peratus.

30. Ingin saya nyatakan bahawa, pengubahsuaian Bajet 2015 tersebut, turut disokong oleh inisiatif seperti rasionalisasi subsidi minyak yang telah dilaksanakan terdahulu, walaupun ianya merupakan keputusan yang tidak popular.

31. Syukur kepada Allah, kesemua langkah ini telah berjaya mengurangkan kesan akibat daripada kejatuhan harga minyak dan ketidaktentuan ekonomi global.

32. Bahkan, agensi penarafan antarabangsa seperti Moody's, Standard & Poor's dan Fitch, terus meyakini asas ekonomi dan kedudukan kewangan kita, dengan mengekalkan penarafan yang baik.

33. Dengan semua ini, saya yakin ekonomi akan mencatat pertumbuhan 5 peratus dan defisit fiskal kepada KDNK pada 3.2 peratus, seperti yang disasarkan pada 2015. Insya-Allah, laporan sebenar akan diumumkan pada bulan hadapan.

Hal 3: Senario Ekonomi Terkini

Saudara dan saudari sekalian,

34. Bagi tahun 2016 pula, ekonomi global dijangka lebih mencabar. Data semasa oleh IMF menunjukkan pertumbuhan ekonomi global akan lebih perlahan, iaitu daripada 3.6 peratus kepada 3.4 peratus.

35. Manakala, perdagangan dunia juga dijangka menyusut, daripada 4.1 peratus kepada 3.4 peratus. Ini adalah kerana kebanyakan ekonomi negara seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Brazil dan China juga dijangka berkembang dengan lebih perlahan.

36. Trend ini membuktikan, we are not alone in facing the global economic challenges. Negara-negara lain juga turut menerima kesan keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu.

37. Harga minyak mentah dunia pula, terus merudum pada paras 30 dolar Amerika setong. Setakat semalam, harga minyak mentah Dated Brent telah berkurang kepada 31 dolar Amerika setong, iaitu penurunan 35 peratus berbanding andaian 48 dolar Amerika, semasa pembentangan Bajet 2016.

38. Perkara ini ternyata akan memberi kesan signifikan kepada hasil negara. Malah, negara-negara pengeluar minyak turut terjejas ekonomi mereka.

39. Di samping itu, kadar tukaran dolar Amerika terus mengukuh berbanding matawang lain. Antara matawang tersebut adalah, Real Brazil, negatif 23.2 peratus, Renminbi China, negatif 5.7 peratus, Dolar Kanada, negatif 11.3 peratus, Ruble Rusia, negatif 29.3 peratus dan Dolar Singapura, negatif 5.6 peratus.

40. Sementara itu, nilai Ringgit telah menyusut berbanding dolar Amerika sebanyak 11.3 peratus iaitu daripada 3.77 ringgit pada Jun 2015 kepada 4.25 ringgit setakat 27 Januari 2016.

41. Hakikatnya ringgit kini di rendah nilai daripada yang sewajarnya, seraya tidak mencerminkan asas-asas ekonomi negara. Oleh itu, ringgit dijangka akan lebih menggambarkan kekuatan sebenar asas ekonomi apabila keadaan pasaran kewangan global kembali stabil kelak, dan harga minyak kembali kepada paras yang lebih munasabah.

Hal 4: Langkah-Langkah Baru dan Terkini

Saudara dan Saudari serta Rakyat Malaysia yang dikasihi,

42. Kesemua perkembangan yang telah saya nyatakan itu, telah mengakibatkan ekonomi global menjadi tidak menentu, dan tempiasnya ke atas ekonomi domestik turut memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.

43. Menyedari hakikat ini, demi menggalas amanah sebagai Ketua Kerajaan yang bertanggungjawab, bersama Timbalan Perdana Menteri, dan barisan jemaah menteri, pada hari ini, kita mengambil tindakan proaktif untuk membuat pengumuman bagi melaksanakan langkah-langkah pengubahsuaian terhadap Bajet 2016.

44. Sesungguhnya, inisiatif ini adalah amat penting untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan yang lebih utama, melindungi kebajikan rakyat. Saya pasti, bersama-sama, kita akan berjaya mengharungi sekali lagi cabaran ekonomi ini.

We have done it before,… Insya-Allah,… we can do it again.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

45. Seperti mana situasi tahun lalu, sekali lagi saya mahu tegaskan bahawa,… dengan izin Allah jua,… negara ini tidak dan bukannya berada dalam kegawatan ekonomi, mahupun technical recession.

46. Malah, dengan berkat usaha dan doa kita bersama, mudah-mudahan pertumbuhan ekonomi domestik akan terus kekal kukuh, dan berdaya tahan, serta mampu menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

47. Selain meneruskan dengan langkah-langkah yang dirumuskan pada pembentangan Bajet 2016 yang lalu, sukacita saya umumkan pula 11 langkah penstrukturan dan pengubahsuaian, demi mempastikan ekonomi dan kewangan negara, kekal berada pada jajaran yang betul.

48. Langkah pertama: Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan potongan caruman KWSP pekerja sebanyak 3 peratus mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017. Walaubagaimanapun, caruman majikan dikekalkan. Langkah ini, dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sehingga 8 bilion ringgit setahun.

49. Langkah kedua: Kerajaan akan memberi pelepasan khas cukai sebanyak 2 ribu ringgit, kepada pembayar cukai individu berpendapatan 8 ribu ringgit sebulan ke bawah, untuk tahun taksiran 2015. Dengan langkah ini, walaupun Kerajaan akan kehilangan hasil sebanyak 350 juta ringgit, namun, ianya dapat memberi penjimatan bayaran cukai individu sehingga 475 ringgit. Khabar gembira ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pembayar cukai.

50. Langkah ketiga: Bagi mengurangkan kos harga barang keperluan harian rakyat, Kerajaan akan melaksanakan antaranya, perkara-perkara berikut:

Satu: Kerajaan akan meliberalisasikan kawalan kuota import atau AP, bagi lapan produk pertanian terpilih untuk tempoh sementara bagi mempastikan bekalan yang konsisten.

Antara produk pertanian termasuklah biji kopi mentah, daging kerbau, lembu dan kambing. Pada masa yang sama, syarat pematuhan kualiti dan keselamatan barangan import akan terus diutamakan.

Dua: FAMA akan membuka pasar belian terus hasil pertanian atau MyFarm Outlet yang menjual barang makanan seperti ikan, ayam, daging, sayuran dan buah-buahan, dengan menawarkan harga jualan 5 hingga 20 peratus lebih rendah dari harga pasaran.

Buat permulaan, ia akan dibuka di Presint 7, Putrajaya pada bulan Mac hadapan, dan akan diperluaskan ke 10 lokasi di pusat bandar lain seluruh negara pada tahun ini juga.

Tiga: Dalam mempastikan rakyat menikmati harga barangan yang berpatutan, saya telah mengarahkan KPDNKK untuk mengenalpasti lebih banyak kedai-kedai jualan harga berpatutan seperti, hypermarket asing dan tempatan. Jadinya, jumlah Kedai Harga Patut akan ditingkatkan daripada 640 buah, kepada seribu kedai kesemuanya pada tahun ini.

Empat: Dalam waktu yang sama, saya mahukan KPDNKK untuk mempertingkatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga-peniaga yang tidak beretika, serta mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang berlipat ganda atau profiteering.

Lima: Untuk terus membela untung nasib para pesawah, serta meningkatkan pengeluaran padi, Kerajaan menyediakan tambahan tunai sebanyak 50 ringgit bagi setiap 1 tan metrik padi bersih, sebagai insentif input pengeluaran padi. Pada masa yang sama, Kerajaan akan menambah baik pelaksanaan pemutuan sebenar padi melalui sistem penggredan standard; dan

Enam: Kerajaan amat prihatin, kepada golongan rakyat yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup, terutamanya golongan miskin tegar. Makanya, program MyBeras diperkenalkan, di mana setiap keluarga miskin tegar yang berdaftar, akan dibekalkan dengan 20 kilogram beras setiap bulan. Ini merupakan satu langkah, sehingga Disember 2016, untuk mengurangkan bebanan hidup keluarga miskin.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,

51. Langkah keempat: Berkuat kuasa serta merta ke atas projek perumahan baharu, Kerajaan akan menetapkan kesemua penjualan rumah berharga sehingga 300 ribu ringgit, terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.

Kerajaan juga akan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu, meliputi rumah yang ditawarkan oleh JPN, PR1MA, SPNB, PPA1M, agensi negeri serta sektor swasta. Lebih 100 ribu unit rumah akan ditawarkan dalam program ini.

Selain itu, bagi Projek Perumahan Rakyat yang berharga 35 ribu ringgit, sukacita saya mengumumkan, Kerajaan menerusi Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat, bermula 1 Mac 2016, akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar 4 peratus, dengan dana berjumlah 400 juta ringgit. Inisiatif ini akan memanfaatkan sejumlah lebih daripada 10 ribu pemilik rumah.

52. Langkah kelima: Selaras dengan apa yang saya umumkan pada Bajet 2016, sumbangan 30 peratus daripada levi HRDF yang berjumlah 200 juta ringgit, akan disediakan untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran pekerja menerusi inisiatif reskill dan upskill, termasuklah pekerja yang telah diberhentikan.

53. Langkah keenam: Bagi meningkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil, perkara -perkara berikut akan dilaksanakan:

Satu: Kerajaan akan menggandakan usaha pematuhan dan pengauditan terhadap para pengelak cukai atau tax evaders.

Dua: Kerajaan bersetuju memberi pertimbangan khas dengan melonggarkan pengenaan penalti kepada pembayar cukai, bagi menggalakkan pembayar cukai tampil melaporkan pendapatan tahun ke belakang. Tunggakan cukai tersebut perlu dilangsaikan sebelum 31 Disember 2016.

Tiga: Untuk Pulau Bebas Cukai, bagi terus mengurangkan ketirisan yang mengakibatkan kehilangan hasil hampir 1 bilion ringgit, Kerajaan akan menstruktur semula saluran jualan rokok dan minuman keras, untuk dihadkan kepada Kedai-kedai Bebas Cukai yang dilesenkan oleh Jabatan Kastam Di Raja Malaysia.

Empat: Pengecualian cukai kenderaan import di Pulau Bebas Cukai akan diperketatkan di pulau-pulau ini.

Namun, langkah penstrukturan semula jualan rokok, minuman keras serta kenderaan ini, tidak akan melibatkan penduduk tempatan dan pelancong di pulau bebas cukai ini.

Lima: Kerajaan akan mengoptimumkan pendapatan daripada spektrum telekomunikasi melalui pengagihan semula dan proses bidaan, yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat; dan

Enam: Bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi, Kerajaan akan membangunkan beberapa kawasan strategik milik Kerajaan, dengan melaksanakan proses bidaan.

Saudara dan Saudari sekalian,

54. Langkah ketujuh: Di atas inisiatif Timbalan Perdana Menteri, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pekerja Asing, Kerajaan akan terus memperkemaskan sistem pengurusan pekerja asing, di mana kadar levi hanya akan diklusterkan kepada 2 kategori sahaja. Ini tidak termasuk kategori pembantu rumah asing.

Selain itu, Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI atau Rehiring Programme, untuk memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di Malaysia diberikan permit kerja yang sah. Pelaksanaan program ini adalah bagi memenuhi permintaan industri serta membolehkan Kerajaan mengetahui jumlah PATI di negara ini, bagi tujuan pemantauan keselamatan.

55. Langkah kelapan: Kerajaan akan lebih berhemat dalam perbelanjaan terutamanya bekalan dan perkhidmatan, meneruskan usaha merasionalisasi pemberian geran kepada Tabung Amanah Kerajaan, Badan Berkanun Persekutuan dan GLC, serta merasionalisasi dan menyusun semula entiti merangkumi Company Limited By Guarantee dan badan berkanun.

56. Langkah kesembilan: Bagi perbelanjaan pembangunan pula, fokus akan diberikan kepada projek dan program yang mendahulukan kepentingan rakyat, serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan kandungan import yang rendah.

Projek fizikal yang diutamakan adalah seperti pembinaan rumah mampu milik, hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam serta keselamatan. Pelaksanaan projek bukan fizikal dan projek yang masih di peringkat kajian akan dijadual semula. Langkah ini, dijangka melibatkan pengurangan komitmen aliran tunai sehingga 5 bilion ringgit serta tidak menjejaskan ekonomi dan rakyat.

57. Langkah kesepuluh: Institusi kewangan pembangunan atau DFI dan dana modal teroka atau VC milik Kerajaan, akan menambah dana pembiayaan mereka sebanyak 6 bilion ringgit, dalam menyediakan pembiayaan kepada PKS dan syarikat permulaan atau startup companies; dan

58. Langkah kesebelas: Saya menyarankan pihak GLC, agar melaksanakan inisiatif bagi mengurangkan jurang pendapatan pengurusan atasan dan golongan pekerja, secara berperingkat. Malah, sektor swasta turut disaran melaksanakan perkara yang sama. Perkara ini akan dipantau oleh EPU.

Saudara dan saudari sekalian,

59. Kini, sektor pelancongan akan diberi lebih tumpuan, kerana peningkatan kedatangan pelancong boleh merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, terutamanya dalam keadaan ekonomi sekarang. Promosi pelancongan domestik akan diperhebatkan melalui penganjuran penjualan pakej percutian domestik bersepadu.

60. Selain itu juga, Kerajaan akan mempermudahkan kemasukan pelancong asing dengan mempercepatkan pelaksanaan eVisa kepada beberapa negara yang dikenalpasti.

61. Sebagai langkah tambahan, sukacita saya umumkan, bahawa pelancong dari China tidak memerlukan visa untuk ke Malaysia atau Visa Free, bermula 1 Mac sehingga 31 Disember 2016, tertakluk kepada syarat-syarat yang tertentu, bagi tempoh lawatan tidak melebihi 15 hari.

Saudara dan saudari sekalian,

62. Meskipun situasi ekonomi global dan penurunan harga minyak mentah memberi kesan kepada hasil negara yang dianggarkan berkurangan 7 hingga 9 bilion ringgit, berbanding dengan unjuran hasil negara pada harga minyak 48 dolar Amerika setong, Kerajaan tidak sesekali berkompromi terhadap apa yang betul untuk negara dan rakyat.

63. Misalannya, Program Pemberian BR1M dan bantuan kebajikan akan terus dilaksanakan. Di sini juga saya tegaskan, bahawa Kerajaan akan mengekalkan kadar GST seperti sedia ada.

64. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan langkah perbelanjaan berhemat dengan mengutamakan program dan projek yang berimpak tinggi berpasakkan falsafah people economy.

65. Ini, tidak akan melibatkan emolumen kakitangan awam, pencen pesara dan tidak akan menjejaskan mekanisme penyampaian kerajaan atau delivery mechanism. Malah, Kerajaan tidak akan memberhentikan mana-mana penjawat awam, termasuk lantikan secara kontrak.

Bahkan, Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan satu Kenaikan Gaji Tahunan kepada para penjawat awam pada tanggal 1 Julai 2016, seperti yang telah dijanjikan dalam Bajet.

66. Kesemua langkah berhemat yang dibentangkan sebentar tadi, dijangka dapat menjimatkan sehingga 9 bilion ringgit perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Saudari dan saudari sekalian,

67. Meski apapun yang berlaku, Kerajaan tetap memberi jaminan dan komited terhadap ehwal pendidikan dan masa depan anak-anak kita. Dengan ini, Kerajaan bersetuju, untuk meneruskan empat program tajaan JPA bagi tahun 2016 seperti berikut:

Pertama, Program Biasiswa Nasional bagi 20 orang pelajar terbaik lepasan SPM, untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka seluruh dunia.

Kedua, Program Khas Kejuruteraan bagi 200 orang pelajar ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis.

Ketiga, Program Lepasan Bursary bagi 744 orang pelajar, untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Awam, dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta di dalam negara; dan

Keempat, Pengambilan baharu seramai 8 ribu pelajar akan diberikan biasiswa untuk mengikuti pengajian yang ditetapkan di peringkat Ijazah Pertama Dalam Negara.

68. Seterusnya, peruntukan pembiayaan PTPTN sebanyak 5 bilion ringgit akan terus disalurkan kepada para mahasiswa.

69. Selanjutnya, bagi mempastikan pelaburan modal insan terus dipergiatkan, Program MyBrain15, Skim Latihan Akademik Bumiputera dan Skim Latihan Akademik IPTA akan diteruskan.

70. Untuk pengetahuan ramai, pada masa ini sahaja, seramai 25 ribu pelajar telah mengikuti pengajian di bawah program-progam ini. Makanya, sebagai tambahan, saya mahu menyatakan bahawa Kerajaan telah bersetuju dengan tambahan seramai 15 ribu pelajar baru untuk program MyMaster, 5 ribu pula untuk program MyPhD dan 300 untuk Skim Latihan Akademik IPTA, akan diberi tawaran. Kesemua program ini akan diberi peruntukan tambahan sebanyak 300 juta ringgit.

Saudara dan saudari sekalian,

71. Seterusnya, saya ingin menyatakan bahawa:

Pertama: Dengan mengambil kira senario ekonomi semasa, Kerajaan telah membuat keputusan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK tahun 2016, kepada 4 hingga 4.5 peratus dan andaian purata harga minyak mentah Brent pula pada 30 hingga 35 dolar Amerika setong;

Kedua: Kerajaan tetap komited mengekalkan langkah konsolidasi fiskal bagi tahun 2016, iaitu untuk mencapai sasaran 3.1 peratus kepada KDNK;

Ketiga: Kadar hutang negara akan terus berkurangan dan tidak melebihi paras berhemat 55 peratus kepada KDNK;

Keempat: Kerajaan tidak akan mengenakan kawalan modal dan tambatan ringgit;

Kelima: Dasar monetari yang akomodatif dan kadar faedah dikekalkan pada paras yang menyokong kegiatan ekonomi dalam negeri; dan

Keenam: Mempastikan sistem kewangan negara mempunyai kecairan yang mencukupi. Terbaru, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan penurunan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun atau Statutory Reserve Requirement, daripada 4 peratus kepada 3.5 peratus.

72. Jelasnya, Kerajaan tidak akan berganjak daripada dasar-dasar fiskal dan monetari, demi keutuhan ekonomi negara.

73. Selain itu, Kerajaan juga bimbang dengan kos gaya hidup rakyat yang tidak bersesuaian dan melebihi kemampuan mereka. Sehubungan ini, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit di bawah Bank Negara Malaysia, akan memberi bantuan kepada peminjam yang mengalami kesukaran dalam menguruskan obligasi hutang, melalui penyusunan semula pinjaman sedia ada. Berita baiknya, kesemua perkhidmatan ini diberikan secara percuma.

Saudara dan saudari sekalian,

74. Sebagai tambahan, bagi PKS dan syarikat korporat berdaya maju yang mengalami tekanan kewangan disebabkan oleh persekitaran semasa, Kerajaan turut menyediakan mekanisme perundingan, melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat.

75. Dari segi pelaburan pula, saya ingin menekankan bahawa, Kerajaan akan terus komited untuk mencapai sasaran pelaburan swasta berjumlah 215 bilion ringgit tahun ini.

76. Contohnya, pelaksanaan projek utama seperti MRT dan LRT, Lebuhraya Pan-Borneo, Malaysian Vision Valley, Cyber City Center, RAPID Pengerang dan High-Speed Rail akan diteruskan.

77. Untuk meningkatkan strategic linkages di antara bandar dan luar bandar, Kerajaan akan terus melaksanakan pembinaan sepuluh lagi UTC di Labuan, Sungai Petani, Miri, Sibu, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Tawau, Keningau, Seremban dan Kangar.

78. Manakala, empat RTC baharu dijangka siap dibina di Jawi, Pulau Pinang, Rembau, Negeri Sembilan, Sungai Rambai, Melaka dan Betong, Sarawak pada tahun ini, Insya-Allah.

79. Seterusnya, bagi menembusi pasaran antarabangsa, MATRADE dan SME Corp akan memperhebatkan program mid-tier dan Go-Export. Selain itu, untuk meningkatkan kemudahan jaminan kredit bagi tujuan perdagangan, Exim Bank akan menambah dana pembiayaan sebanyak 500 juta ringgit.

80. Sebagai sebuah negara perdagangan yang mengamalkan ekonomi terbuka, Kerajaan akan meluaskan pasaran eksport. Kita harus meneroka pasaran baru melalui penyertaan negara dalam perjanjian perdagangan bebas, seperti ASEAN Economic Community atau AEC, dan Trans-Pacific Partnership Agreement, atau TPPA serta Regional Comprehensive Economic Partnership pada masa akan datang.

Saudara dan saudari sekalian,

81. Berkait isu TPPA ini yang Alhamdulillah telah diluluskan oleh Dewan Rakyat lewat petang semalam, tidak timbul sama sekali tuduhan oleh sesetengah pihak, kononnya kita berkompromi tentang soal kedaulatan negara, apatah lagi bersifat apologetic dalam mempertahankan agenda Bumiputera, ketika berunding dengan anggota-anggota TPPA.

82. Malah, ketahuilah bahawa hasil kesungguhan dan ketegasan Kerajaan dalam proses perundingan, akhirnya, anggota-anggota TPPA telah menerima dan mengiktiraf Dasar Bumiputera sebagai sebahagian daripada terma-terma TPPA di peringkat global.

83. Ertinya, agenda Bumiputera bukan lagi sekadar menjadi agenda nasional, sebaliknya kini agenda Bumiputera sudah diangkat dan diiktiraf di persada dunia.

Hal 5: Penutup
Rakyat Malaysia yang dikasihi,

84. Sesebuah negara maju bukan sahaja kerana dasar-dasar yang betul dan baik, tetapi juga kerana sumbangan daripada segenap lapisan masyarakat.

85. Kita semua mempunyai peranan masing-masing, tidak kira samaada pihak swasta, Kerajaan, NGO, Belia atau Wanita. Tidak kira CEO, Pengarah, Pegawai Pelaksana, buruh ataupun seorang peniaga kedai.

86. Secara keseluruhannya, dapat saya gariskan lima perkara as the key salient points:

Pertama: Langkah pengubahsuaian yang saya umumkan tadi merupakan langkah proaktif, telus dan realistik seiring dengan cabaran ekonomi semasa;

Kedua: Ekonomi negara masih utuh, tumbuh dan berkembang serta berdaya tahan dipacu oleh aktiviti ekonomi domestik;

Ketiga: Kesejahteraan rakyat akan terus didahulukan dan penyampaian perkhidmatan Kerajaan tidak terjejas;

Keempat: Kerajaan komited melaksanakan langkah konsolidasi fiskal; dan

Kelima: Pengubahsuaian bajet ini bertunjangkan kepada prinsip shared responsibility oleh segenap lapisan masyarakat.

Saudara dan Saudari, Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

87. Secara kesimpulannya, perutusan penstrukturan dan pengubahsuaian ini, sama juga seperti perutusan tahun lepas, bukanlah satu bajet yang baharu. Ia masih di dalam ruang lingkup inisiatif serta peruntukan yang telah diluluskan oleh Parlimen bagi Bajet 2016.

88. Apa yang jelas, kita faham bahawa, perihal-perihal bersangkut ekonomi dan fiskal negara, bukanlah perkara-perkara yang mudah dihadam, mahupun difahami oleh semua peringkat.

89. Bahkan, ia tidak sekadar terletak kepada tanggungjawab dan amanah di peringkat tertinggi pentadbiran negara.

90. Meminjam kata-kata orang tasawuf, dalam hidup dan kehidupan dan dalam negara serta berkerajaan, setiap orang perlu memainkan peranan, saling ganding berganding, berat sama dipikul, ringan pula sama dijinjing, pandanglah yang Satu kepada yang ramai, pandanglah yang ramai kepada yang Satu, itulah dia sumber kekuatan.

91. Lantas, sesudah ini, saya berharap tiap lapisan memainkan peranan masing-masing bagi menerangkan letak duduk keadaan ekonomi dan ikhtiar-ikhtiar yang tidak kunjung putus diambil oleh Kerajaan yang mentadbir, bagi terus memperteguhkan keadaan ekonomi serta menjaga kesejahteraan rakyat, agar dampaknya tidak begitu terkesan dan terbeban di bahu mereka.

92. Maksud saya, semua golongan dari pentadbiran Kerajaan hinggalah kepada cendekiawan yang mahir ilmu pengetahuan untuk menjelaskan dengan lebih lanjut akan ehwal yang berlaku supaya semua pihak dari se-atas hingga se-bawah-bawahnya, membawa kepada perbualan di gerai gerai mamak dan teh tarik, mengetahui seboleh mungkin perihal cabaran serta tantangan yang negara hadapi kini.

93. Dengan itu, moga-moganya, anak cucu kita kelak, akan memberi rasa hormat atas setiap kebaikan yang kita capai demi kelangsungan Malaysia yang sebenarnya bukanlah hak kita, namun adalah hak warisan generasi akan datang.

94. Jelasnya, kita berpegang kepada madah orang-orang tua, berdiam dirilah daripada berkata yang bukan-bukan, namun bersuaralah kepada perkara yang berguna. Usah ditanya apakah bakti negara kepada kita, sebaliknya, tanyalah apakah sumbangan kita kepada nusa dan bangsa.
Saudara dan Saudari,

95. Pucuk pangkalnya, perlu difaham baik-baik, bahawa apa yang sedang dihadapi, bukanlah kerana kegagalan Kerajaan merancang, tetapi kemelut ekonomi global yang terus terusan melanda, sememangnya, berada di luar kawalan tangan tangan kita.

96. Sesungguhnya, setiap keputusan yang kita lakukan hari ini, adalah yang terbaik untuk rakyat dan pastinya akan terakam dalam sejarah. Bahawa, Malaysia bukan sebuah negara yang gagal, seperti yang didakwa dan dituduh-tuduhkan, jauh sekali menjadi bankrap. Nauzubillah…

97. Bahkan,… realitinya kita masih berada dalam keadaan yang stabil dengan pertumbuhan yang kukuh, sekaligus mampu bertahan lagi kekal terus berdaya saing. Insya-Allah.

98. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah yang maha berkuasa, semoga akan terungkai segala masalah, beroleh berkat dan selamat, serta sentosalah Malaysia, zahir dan batin.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

PENGUBAHSUAIAN BAJET 2016: JAMINAN PENDIDIKAN TIDAK AKAN TERJEJAS

PUTRAJAYA:  Dalam pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, isu pendidikan turut disentuh.

Beliau mengumumkan mengenai empat program tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang akan diteruskan iaitu:

1) Program Biasiswa Nasional bagi 20 pelajar terbaik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka seluruh dunia.

2) Program Khas Kejuruteraan bagi 200 orang pelajar ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis.

3) Program Lepasan Bursary bagi 744 orang pelajar, pengajian peringkat ijazah pertama di IPTA dan IPTS dalam negara.

4) Pengambilan baru8,000 pelajar untuk diberikan biasiswa bagi pengajian yang ditetapkan di peringkat ijazah pertama dalam negara.

-ASTRO AWANI

TPPA: KERAJAAN AKAN PASTIKAN PKS TIDAK GULUNG TIKAR

KUALA LUMPUR:  Kerajaan akan memastikan pengusaha Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak akan 'gulung tikar' apabila Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dilaksanakan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun tegasnya, PKS akan terus diberi peluang untuk bersaing di pasaran global.

"Kerajaan tidak akan ubah dasar buruh kita, malah ramai pihak bimbang bahawa PKS tidak akan dapat bersaing dan ramai akan gulung tikar. Tidak.

"Dalam pasaran terbuka, PKS sudah bersedia untuk bersaing di peringkat domestik dan global," katanya semasa membentangkan usul mengenai TPPA di Dewan Negara di sini hari ini.

Ujar beliau, Malaysia memainkan peranan yang besar dalam memastikan TPPA dapat membantu PKS.

"Suka cita dimaklumkan, semalam kita ada beritahu kita akan buat perjumpaan dengan PKS.

"Kerajaan sedar ini perlu dilakukan supaya PKS termasuk Bumiputera dapat terlibat dalam rantaian global secara global," tambahnya lagi.

Pada masa ini katanya, 18 peratus syarikat PKS sudah terlibat dalam pasaran eksport global.

"Syarikat PKS seperti pengeluar tongkat ali, lepas ini cukai mereka akan jadi 0 peratus. Syarikat seperti Adabi pula eksport ke luar negara.

"Oldtown ada 300 outlet seluruh dunia. Kita bersyukur ada PKS yang keluarkan barangan untuk eksport. Kerajaan akan pastikan syarikat ini dapat tembusi pasaran TPPA apabila terlaksana pada 2018," jelas beliau.

Pada Rabu, Dewan Rakyat meluluskan usul penyertaan Malaysia dalam TPPA selepas mendapat sokongan 127 Ahli Parlimen melalui proses pengundian.

Dalam pengundian itu, 84 Ahli Parlimen menolak usul berkenaan.

Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai TPPA diadakan selama dua hari.

Usul itu kemudian dibawa ke Dewan Negara untuk kelulusan dalam Sidang Khas mengenai TPPA yang bersidang hari ini.

Malaysia dijangka menandatangani TPPA pada 4 Febuari depan di Auckland, New Zealand.

26 pindaaan dijangka dilakukan ke atas 17 undang-undang dan peraturan berkaitan TPPA yang melibatkan negeri dan Persekutuan, perlu dipinda dalam tempoh dua tahun.

Selain Malaysia, 11 lagi negara yang terlibat dengan TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam yang memuktamadkan rundingan pada 5 Oktober 2015.- ASTRO AWANI

TIADA PERDANA MENTERI SEBERANI NAJIB RELA DISIASAT OLEH SPRM

KEPUTUSAN PEGUAM NEGARA DIRUJUK KEPADA PPO AMALAN BIASA

Merujuk kenyataan media SPRM hari ini yang memutuskan untuk membentangkan keputusan
Peguam Negara kepada Panel Penilaian Operasi (PPO), saya ingin menjelaskan bahawa keputusan merujuk kepada PPO ini merupakan prosedur yang diperuntukkan dalam mengurus kes sebelum mana-mana kes ditutup.

Justeru tindakan merujuk kes Perdana Menteri kepada panel ini adalah satu proses biasa dan tidak sepatutnya ditafsir sebagai menolak keputusan yang diputuskan Peguam Negara.

Selain itu, SPRM turut menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang dibuat oleh mana-mana individu bukanlah pandangan rasmi SPRM.

DATO' ROHAIZAD YAAKOB
PENGARAH KOMUNIKASI STRATEGIK
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
27 JANUARI 2016

.....Tidak ada Perdana Menteri sebelumnya seberani Najib yg membenarkan SPRM menyiasat dirinya yg dilanda dengan berbagai tuduhan.

1. Dalam kes kes 1MDB berbagai pihak terlibat membuat penyiasatan iaitu PAC, Badan Bertindak Khas, Audit Negara dan SPRM.

2. Dalam kes RM2.6 Bilion, SPRM turut membuat penyiasatan. Bahkan terbukti hampir RM2 Bilion telah pun dipulangkan kepada si penderma sejak bulan Ogos 2013 lagi.

3. Dalam kes SRC, SPRM turut buat penyiasatan. Maka apabila Peguam Negara arah kes itu tutup itu membuktikan DS Najib telah melalui semua proses perundangan. Maka terimalah kenyataan dengan hati terbuka.

4. Siapa bekas Perdana Menteri yang pernah melalui proses siasatan sebegitu rupa. Setelah enggan menerima penjelasan terhadap semua fitnah Najib mengambil langkah yang lebih telus dan berani iaitu membenarkan berbagai pihak membuat siasatan.


Ps: bukan LADY nak memperlekeh mantan2 PM ya. Tapi ini kenyataan yang perlu diterima sebagai hakikat.

ISU MUKHRIZ: BN, UMNO PERLU KERJA LEBIH KERAS JIKA MAHU MENANG LAGI - PENGANALISIS

KUALA LUMPUR:  UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kedah bakal berdepan kesukaran mengahadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sekiranya berlaku pertukaran Menteri Besar kelak.

Jentera parti perlu bekerja lebih keras dengan melipat gandakan usaha untuk memastikan BN kekal menguasai Kedah, kata Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed.

Katanya, umum sedia maklum, pengaruh Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada PRU lalu merupakan faktor utama kemenangan parti.

"Dalam konteks hari ini misalnya beliau diturunkan dan diganti dengan calon lain. UMNO terutamanya BN akan berdepan tugas berat kerana hari ini  kita dapati sokongan masyarakat bukan sahaja penyokong UMNO sendiri bahkan penyokong yang bukan daripada UMNO sangatlah besar terutama kalau kita dapati mood daripada masyarakat sendiri terutama pembangkang, mereka kita boleh katakan rata-rata menyokong kepimpinan Menteri Besar.

"Saya pasti jika ada calon lain yang mungkin menggantikan beliau,UMNO dan BN akan hadapi tugasan yang sukar terutama dalam mermastikan kemenangan berpihak kepada BN dalam PRU-14 nanti," katanya kepada Astro AWANI.

Malah, katanya, bukan sahaja calon baru itu perlu dekat dengan masyarakat, dia juga haruslah berketerampilan dan satu kelebihan apabila individu itu mempunyai pendidikan.

Beliau memberi contoh, Datuk Ahmad Bashah yang dilihat sebagai seseorang yang dihormati dan dekat pada masyarakat sebagai calon untuk menggantikan jawatan Menteri Besar.

BACA: ADUN Kota Siputeh menangis pertahankan Mukhriz

BACA: 'Ambillah jawatan saya kalau rasa bagus sangat' - Mukhriz

BACA: Tiada ADUN dipaksa tandatangan akuan tak sokong Mukhriz - Ahmad Bashah

Selain itu, dari aspek pendidikan dan pengalaman politik, beliau berkata, ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail mempunyai kredibiliti yang baik dan personaliti yang boleh diketengahkan sekiranya berlaku perubahan dalam kepimpinan Kedah.

Bagaimanapun, Ahmad Martadha berpandangan, alasan yang diberikan 14 cawangan untuk menukar kepimpinan Menteri Besar pada minggu lalu tidak kukuh.

"Alasan yang diberikan tujuan perlu menukar Menteri Besar adalah alasan tidak kukuh, dalam konteks kita mempunyai pelbagai medium untuk berkomunikasi. Misalnya sebagai Menteri Besar tidak sentiasa berada di Kedah, pelbagai kaedah boleh digunakan untuk berkomunikasi.

"Ia satu alasan yang tidak kuat untuk mengatakan mereka hilang keyakinan terhadap Menteri Besar," katanya lagi. -ASTRO AWANI

KERAJAAN KINI SEDIA HADAPI CABARAN, PELUANG MENERUSI PELAKSANAAN TPPA

KUALA LUMPUR:  Kerajaan kini bersiap sedia bagi menghadapi cabaran dan peluang yang akan diperoleh melalui pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang diluluskan sidang khas Dewan Rakyat pada Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata TPPA yang diluluskan Dewan Rakyat itu telah menjelaskan segala kebimbangan dan kekhuatiran pelbagai pihak.

"Melalui penggulungan, banyak isu termasuk kepentingan Bumiputera telah diperjelaskan, banyak konsesi kerajaan dapat rundingkan dan mengatasi banyak kebimbangan yang wujud dalam kalangan masyarakat termasuk peniaga-peniaga Bumiputera," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini pada Rabu.

Katanya apa yang lebih penting sekarang ialah kerajaan dan rakyat perlu menyiapkan diri bagi bersama-sama menghadapi cabaran dan peluang yang bakal wujud apabila TPPA jadi kenyataan dijangka pada 2018.

"Banyak kerja-kerja yang perlu dibuat seperti mempersiapkan syarikat dan peniaga untuk hadapi TPPA," katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yakin TPPA yang ditandatangani tidak akan memberi impak negatif kepada ekonomi rakyat Malaysia termasuk dalam industri pertanian dan perikanan.

"Malah kita perlu bersiap sedia meningkatkan eksport akuakultur kerana menjangkakan lonjakan eksport sektor berkenaan ke negara-negara luar dengan terlaksananya TPPA," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan keputusan Parlimen untuk meluluskan usul itu sebagai satu langkah bersejarah untuk menjadikan negara lebih maju.

Beliau berkata Malaysia tetap berpegang kepada polisi yang meletakkan perdagangan antarabangsa sebagai asas pembangunan negara.

"Memang dari dulu kita berdagang dengan negara luar, keputusan Parlimen hari ini satu lagi langkah yang besar dan bersejarah untuk negara kita lebih maju dan dapat menjadi mangkin kepada pembangunan.

"Saya gembira kerana majoriti anggota Parlimen mempunyai pandangan jauh dan melihat ini sebagai satu perkara yang baik kerana kita akan berintegrasi dengan ekonomi dunia," kata Anggota Parlimen Kota Belud itu.

Perbahasan sihat

Pendapat itu disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said yang menyifatkan ia sebagai interpretasi bahawa kerajaan bersifat telus dengan memberi kebebasan untuk pembangkang menerima atau menolak TPPA.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Pengerang berkata kelulusan TPPA juga berjaya menyampaikan mesej kerajaan mengenai kepentingan negara dalam menyertai TPPA. 

"Perbahasan tersebut telah berlangsung dengan lancar walaupun ada ketikanya terdapat perbezaan pandangan antara pihak kerajaan dan pembangkang.

"Perbahasan secara sihat ini diharap dapat diteruskan dalam sidang-sidang akan datang," katanya.

Sementara itu ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh berkata pembangkang tetap dengan pendirian tidak bersetuju, kerajaan menandatangani perjanjian tersebut.

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berharap kerajaan dan rakyat akan memikirkan semula kesan-kesan yang ditanggung oleh negara akibat perjanjian TPPA.

Mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan usul mempersetujui penglibatan Malaysia dalam TPPA, sekali gus meletak negara selangkah ke hadapan untuk menandatangani dan meratifikasi perjanjian kompetitif itu.

Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 127 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 84 lagi menolak.

Seramai 24 Anggota Parlimen membahaskan usul itu yang dikemukakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Selasa. -BERNAMA

USUL PENYERTAAN MALAYSIA DALAM TPPA DILULUSKAN DEWAN RAKYAT

KUALA LUMPUR:  Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Pengumuman dibuat Yang Di-pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas pengundian menyaksikan 127 Ahli Parlimen menyokong dan 84 Ahli Parlimen tidak menyokong.

Keputusan pengundian itu adalah hasil Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai TPPA yang berlangsung dua hari sejak semalam.

Pandikar mengumumkan keputusan pengundian kira-kira jam 7.15 malam.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Usul itu kemudian akan dibawa ke Mesyuarat Khas Dewan Negara mengenai TPPA esok.

26 pindaaan dijangka dilakukan ke atas 17 undang-undang dan peraturan berkaitan TPPA yang membabitkan  negeri dan Persekutuan, perlu dipinda dalam tempoh dua tahun.

Selain Malaysia, 11 lagi negara yang terbabit dengan TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam yang memuktamadkan rundingan pada 5 Oktober 2015. -ASTRO AWANI



SRC, RM2.6 BIL: SIASATAN SUMBANGAN DANA DILAKUKAN SECARA TELITU, MENYELURUH : AHMAD ZAHID

KUALA LUMPUR:  Siasatan yang membawa kepada penemuan Peguam Negara berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion dilakukan secara teliti dan menyeluruh, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata setiap bukti dan perkara berkaitan, disiasat dengan mendalam.

"Tiada siapapun harus mempersoalkan proses undang-undang kita atau kecekapan dan kebebasan institusi di Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada sidang media di Putrajaya pada Selasa, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata tiada apa-apa kesalahan jenayah dilakukan Datuk Seri Najib Razak berkaitan siasatan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion yang didakwa didepositkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri.

BACA: Tiada kesalahan jenayah dilakukan Najib berhubung kes SRC, RM2.6 bilion - Peguam Negara
   
Beliau berkata siasatan mendapati amaun didepositkan adalah sebanyak RM2.08 bilion, dan ia adalah sumbangan peribadi daripada kerabat diraja Arab Saudi pada 2013, dan daripada jumlah itu sebanyak RM2.03 bilion telah dikembalikan semula kepada penyumbang pada tahun yang sama.

Seperti telah dijelaskan, kata Ahmad Zahid tiada syarat dikenakan dengan derma yang telah dibuat kepada Najib secara peribadi, iaitu ia dibuat daripada kepercayaan kepada beliau dan kepimpinannya berhubung isu-isu utama.

"Saya mengetahui perkara ini selepas bertemu sendiri dengan penderma yang dimaksudkan. Perdana menteri memilih sendiri untuk menggunakan sumbangan (itu) untuk kepentingan parti dan keperluan masyarakat di seluruh Malaysia," katanya.

Sambil berkata isu itu terlalu banyak menghabiskan masa, Ahmad Zahid berharap ia tidak diungkit lagi.

"Kita mesti bersatu dan bergerak ke hadapan di bawah kepimpinan perdana menteri untuk Malaysia.

"Beliau adalah orang yang amat bersesuaian untuk membawa kita mengharungi kemelut ekonomi global semasa dan ancaman keselamatan yang dihadapi kini," katanya.

BACA: Isu RM2.6 bilion ditutup: PM seru rakyat bersatu padu, gerak ke hadapan

Ahmad Zahid seterusnya berkata ahli politik sentiasa bersedia untuk diserang oleh musuh-musuh yang ingin merosakkan reputasi dengan tuduhan palsu untuk menidakkan mereka.

"Bagaimanapun, adalah salah untuk merosakkan reputasi kerajaan dan negara untuk kepentingan politik peribadi. Kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan peribadi," tegasnya.- BERNAMA

PROSES PEMULIHAN PENGGANAS BERGANTUNG KEPADA TAHAP PEMIKIRAN

KUALA LUMPUR:  Proses deradikalisasi ke atas banduan, terutamanya dari kalangan pengganas bergantung kepada tahap pemikiran mereka.

Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia, Komisioner Datuk Jamaluddin Saad berkata, tahap pemikiran yang berbeza memerlukan cara pemulihan yang berlainan.

"Sama ada mereka ini golongan profesional atau tidak, amalan agama tetap sama.

"Perbezaannya hanya pada cara pemikiran dan ini yang menentukan bagaimana kami menangani perkara ini dari segi tahap proses pemulihan," jelas Jamaluddin.

Selain itu, kata Jamaluddin, pihaknya akan meneliti sejauh mana minda banduan seseorang banduan sudah dipesongkan sama ia sekadar amalan atau sehingga mampu menjalankan aktiviti keganasan.

"Pastinya, kami mempunyai cara yang berbeza untuk menangani pengikut dalam jaringan keganasan berbanding ketua," kata beliau selepas menghadiri sesi plenari pertama hari kedua Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ancaman Keganasan di Hotel Grand Hyatt hari ini.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa berusaha menjalankan proses deradikalisasi supaya banduan yang pernah terlibat dengan keganasan akan insaf dan memilih cara yang sederhana untuk menjalani hidup mereka.

Ujarnya, ia bagi memastikan individu terlibat kembali ke kehidupan asal dan menjadi sebahagian daripada masyarakat sebaik proses pemulihan selesai.- ASTRO AWANI

SERPIHAN PESAWAT DI THAILAND BUKAN DARI MH370: LIOW TIONG LAI

KUALA LUMPUR:  Kementerian Pengangkutan Malaysia mengesahkan serpihan yang disyaki pesawat yang ditemui di pantai Nakhon Si Thammarat, ke selatan Thailand, Ahad lalu bukan milik pesawat MH370.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata pasukan pakar dari Malaysia mengesahkan nombor bahagian pemasangan, nombor ikatan wayar dan nombor bahagian bolt tidak sepadan dengan pesawat jenis boeing 777.

Tambahnya, terdapat beberapa nombor yang dikesan di beberapa bahagian lain serpihan itu juga tidak tersenarai dalam manual katalog ilustrasi bahagian MAS B-777.

Pasukan pakar membabitkan tiga agensi termasuk kementeriannya, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan bahawa serpihan itu bukan milik B777 9M-MRO pesawat MH370.

BACA: Serpihan logam adalah dari roket, bukan pesawat, kata firma Jepun

BACA: Tidak mungkin serpihan di Thailand milik MH370 - Pakar penerbangan

BACA: Bot sonar pencari MH370 karam berlanggar gunung berapi dasar laut

Kementerian Pengangkutan turut melahirkan  terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan Thailand dan pihak berkuasa penerbangan awam Thailand kerana tindakan pantas serta sokongan mereka dalam proses mengenalpasti itu.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pada 29 Januari tahun lepas, kerajaan secara rasmi mengisytiharkan pesawat MH370 kemalangan dan kesemua penumpang dan anak kapal dianggap telah terkorban.- ASTRO AWANI

NAJIB TELAH KEMBALIKAN SEBAHAGIAN BESAR DANA 'RM2.6 BILION': PEFUAM NEGARA

PUTRAJAYA:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengembalikan semula sebahagian besar dana yang dikatakan 'RM2.6 bilion' yang diterima daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Menurut Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, wang sejumlah USD620 juta (RM2.03 bilion) telah dikembalikan semula oleh Najib pada Ogos 2013 kerana dana tersebut tidak diguna pakai.

"Berhubung kertas siasatan berkaitan dana yang dikatakan berjumlah 'RM2.6 bilion' yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri, saya berpuas hati bahawa keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan oleh SPRM kepada saya.

"Ia menunjukkan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun PM berjumlah USD681 juta (RM2.08 bilion) adalah merupakan sumbangan peribadi kepada PM daripada keluarga diraja Arab Saudi dan telah diberikan kepada beliau tanpa sebarang balasan," katanya pada sidang khas di pejabatnya di sini, hari ini.

Katanya pihak SPRM di dalam siasatan itu telah menemui dan merakamkan percakapan saksi-saksi termasuk pemberi sumbangan dana tersebut yang mengesahkan sumbangan tersebut diberikan kepada Najib secara peribadi.

"Berdasarkan keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan, saya berpuas hati bahawa tiada terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut," katanya.

Sehubungan itu, beliau juga berkata tiada keperluan bagi Malaysia membuat permintaan bantuan bersama dalam perkara jenayah kepada negara asing untuk melengkapkan siasatan berhubung sumbangan dana itu.

Apandi berkata tiada terzahir apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan berhubung dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.- ASTRO AWANI

SIMPANAN DI TABUNG HAJI SELAMAT

KUALA LUMPUR, 26 Januari 2016 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi jaminan kepada para pendeposit-nya bahawa simpanan mereka di TH  adalah selamat. 
 
TH telah menjadi sasaran pelbagai spekulasi di dalam laman-laman sosial dan blog sejak beberapa hari ini mengenai tarikh pembayaran Bonus Pendeposit TH 2015 dan surat  Bank Negara Malaysia (BNM) .
 
Seperti yang telah dinyatakan oleh TH, tarikh pengumuman dan pembayaran Bonus  TH  adalah kebiasaannya pada suku pertama setiap tahun (Jan – Mac). TH ingin memberi jaminan bahawa tidak terdapat sebarang kelewatan dalam mengumumkan bonus kepada para pendeposit. Sebelum pengumuman dibuat, TH perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa, memastikan semua proses auditan dilalui dan kelulusan dalaman diperolehi sebagai sebahagian daripada proses urus tadbir yang baik.    
 
Tahun 2015 adalah mencabar dan hasil daripada Strategi Alokasi Aset dan Pengurusan Risikonya ia telah dapat menjana pulangan pendapatan yang baik. Walaubagaimanapun TH juga perlu membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi cabaran ekonomi 2016 dan masa hadapan agar ia lebih berdaya saing untuk menghadapi situasi tersebut. Oleh yang demikian dalam menetapkan kadar bonus  TH mesti mengambil kira keadaan ekonomi semasa termasuk  pasaran saham, harga minyak dan kadar pertukaran mata wang yang akan memberi kesan kepada ekonomi negara.
 
 
Prestasi Kewangan TH berada dalam keadaan baik disokong oleh  aset-asetnya yang kukuh termasuk peratusan mudah tunai yang tinggi. Contohnya aset tunai sahaja pada 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM10.7 bilion.
 
Di samping itu, pendeposit tidak perlu risau kerana simpanan mereka di TH dijamin oleh Kerajaan, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Tabung Haji. TH  juga tidak pernah lari dari tujuan asal penubuhannya dalam membantu umat Islam di Malaysia menunaikan Rukun Islam ke 5.
 
Merujuk kepada surat BNM yang menyatakan nilai aset TH lebih rendah dari liabiliti, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang mencabar dan kelembapan pasaran saham. Untuk mengukuhkan kedudukan TH, BNM memberi cadangan agar mengkaji semula polisi rizab TH.
 
Sebagai sebuah institusi kewangan Islam berkaitan kerajaan, TH sentiasa bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan langkah dan keperluan risiko dipatuhi. TH mengambil maklum saranan BNM untuk mengkaji semula polisi rizabnya sebagai langkah penambahbaikan dan pengukuhan yang berterusan.
 
Untuk makluman pendeposit, nilai Aset TH mestilah mengambil kira keseluruhan nilai saksama potfolio pelaburan TH. Ini adalah kerana nilai aset yang dinyatakan tidak mengambil kira potfolio pelaburan seperti saham anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki TH. 
 
Sepanjang tahun kewangan 2014 dan 2015, nilai keseluruhan aset TH adalah lebih tinggi daripada nilai liabiliti TH, dimana ia mengambil kira kesemua nilai saksama potfolio pelaburan TH.
 
Ingin saya sarankan agar para pendeposit lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu berita yang disebarkan melalui media sosial.  Oleh yang demikian saya ingin menegaskan bahawa  TH tidak menghadapi masalah kewangan.
 
Tabung Haji juga tidak pernah lupa objektif penubuhannya dalam membantu rakyat Malaysia untuk menunaikan haji.  Prestasi cemerlang TH serta pemberian subsidi haji dan bonus kepada pendeposit saban tahun membuktikan kedudukan Kewangan TH adalah kukuh.
 
Insyallah, TH akan mengumumkan bonus pada awal bulan Februari 2016 setelah melalui proses-proses dalaman dan auditan interim seperti lazimnya setiap tahun.
 
 
Tan Sri Ismee Ismail
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Tabung Haji

KENYATAAN MEDIA: BERHUBUNG KERTAS SIASATAN KES SRC INTERNATIONAL DAN "RM2.6 BILION" YANG DIKEMUKAKAN KEMBALI OLEH SPRM

KENYATAAN MEDIA
BERHUBUNG KERTAS SIASATAN KES SRC INTERNATIONAL
DAN "RM2.6 BILION" YANG DIKEMUKAKAN KEMBALI OLEH SPRM

Saya telah mengkaji dengan teliti keseluruhan keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen serta maklum balas yang diberikan oleh pihak SPRM berkaitan klarifikasi yang dipohon sebelum ini berhubung satu kertas siasatan berkaitan kes yang dikatakan melibatkan dana RM2.6 bilion dan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International yang telah dikemukakan kembali kepada saya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

A.  "2.6 BILION"

1. Berhubung kertas siasatan berkaitan dana yang dikatakan berjumlah "RM2.6 bilion" yang dimasukkan ke dalam akaun YAB PM, saya berpuas hati bahawa keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan oleh pihak SPRM kepada saya menunjukkan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun YAB PM berjumlah USD681 juta (RM2.08 bilion) di antara tarikh 22.03.2013 dan 10.04.2013 adalah merupakan sumbangan peribadi kepada YAB PM daripada keluarga diraja Arab Saudi dan telah diberikan kepada beliau tanpa apa-apa balasan.

2. Pihak SPRM sendiri di dalam siasatan telah menemui dan merakamkan percakapan saksi-saksi termasuk pemberi sumbangan dana tersebut yang mengesahkan sumbangan tersebut diberikan kepada YAB PM secara peribadi.

3. Saya berpuas hati bahawa tiada keterangan yang menunjukkan bahawa dana tersebut adalah suatu bentuk suapan yang diberikan secara rasuah. Keterangan daripada siasatan tidak menunjukkan sumbangan dana tersebut diberikan sebagai dorongan atau sebagai upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan kapasiti beliau sebagai seorang Perdana Menteri.

3.4. Tambahan pula, dalam bulan Ogos tahun 2013, wang sejumlah USD620 juta (RM2.03 bilion) telah dikembalikan semula oleh YAB PM kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut tidak diguna pakai. 

4.5. Berdasarkan keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan, saya berpuas hati bahawa tidak terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut.

5.6. Berhubung perkara ini juga, saya juga berpuas hati bahawa tiada keperluan bagi Malaysia untuk membuat permintaan bantuan bersama dalam perkara jenayah (mutual legal assistance) kepada mana-mana negara asing bagi tujuan melengkapkan siasatan jenayah yang dijalankan oleh pihak SPRM memandangkan tidak terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut.

B.  SRC INTERNATIONAL 

6.7. Berhubung dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International, saya berpuas hati bahawa tiada terzahir apa-apa kesalahan di atas alasan-alasan berikut:

7.1 Di bawah Akta SPRM 2009
a. Tiada apa-apa keterangan yang menunjukkan bahawa YAB PM telah menyalahgunakan kedudukan beliau semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang memberi kelulusan jaminan kepada wang pinjaman RM4 bilion oleh syarikat SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP);

b. Keterangan juga menunjukkan bahawa proses kelulusan pinjaman oleh Lembaga KWAP dan proses kelulusan jaminan pinjaman oleh mesyuarat Jemaah Menteri adalah dibuat secara teratur;

c. Tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan YAB PM meminta atau dijanjikan apa-apa suapan daripada mana-mana pihak sebelum, semasa atau selepas keputusan Jemaah Menteri tersebut dibuat; dan

d. Dari keseluruhan keterangan yang melibatkan apa jua keputusan-keputusan atau tindakan, tidak  menggambarkan apa-apa konflik kepentingan oleh YAB PM; dan semasa kelulusan Jemaah Menteri.

e. Pihak SPRM sendiri telah mengakui bahawa berdasarkan hasil siasatan mereka, tiada keterangan daripada saksi-saksi yang boleh menunjukkan bahawa YAB PM telah melakukan sebarang perbuatan rasuah (corrupt practice).

7.2 Di bawah Kanun Keseksaan
a. Tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan bahawa YAB PM mengetahui dan/atau dimaklumkan bahawa terdapat kemasukan wang daripada akaun SRC ke dalam akaun-akaun beliau;

b. Tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan bahawa YAB PM memberikan apa-apa kebenaran untuk pemindahan mana-mana wang daripada akaun SRC ke dalam akaun-akaun beliau; dan

c. Keterangan menunjukkan bahawa pada masa-masa yang material, YAB PM mempercayai segala pembayaran yang dibuat oleh beliau adalah dengan menggunakan wang sumbangan keluarga diraja Arab Saudi yang telah dipindahkan ke dalam akaun-akaun beliau sebelum itu.

7.8. Berdasarkan kepada keseluruhan fakta dan keterangan, saya sebagai Pendakwa Raya berpuas hati bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan oleh YAB PM berkait ketiga-tiga kertas siasatan. Pada hari ini, kertas-kertas siasatan yang berkaitan akan dikembalikan kepada pihak SPRM dengan arahan supaya ketiga-tiga kertas siasatan tersebut ditutup (NFA/KUS).

TAN SRI DATO' SRI HAJI MOHAMED APANDI BIN HAJI ALI
Peguam Negara Malaysia
26 Januari 2016

HANYA MALAYSIA BAWA TPPA KE PARLIMEN: MUSTAPA

KUALA LUMPUR:  Malaysia adalah satu-satunya negara daripada 12 negara yang terlibat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang membawa perkara itu ke Parlimen sebelum ditandatangani.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, pada masa menegaskan bahawa Malaysia masih belum membuat keputusan berhubung perjanjian itu.

"Antara kalangan 12 negara, cuma Malaysia bawa perkara ini ke Parlimen sebelum ditandatangani. Malaysia masih belum buat keputusan.

"Untuk menandatangani perjanjian itu, hanya Ahli Dewan Rakyat yang akan tentukan," katanya semasa berucap pada perbahasan Sidang Khas mengenai TPPA di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Jika mendapat kelulusan Dewan Rakyat, 26 pindaan perlu dibuat ke atas 17 undang-undang bagi mengambil kira beberapa persetujuan dicapai oleh negara-negara dalam TPP.

"Tempoh kira-kira dua tahun diperlukan untuk kita membuat beberapa pindaan kepada undang-undang berkaitan dan peraturan tertentu sebelum dapat diraktifikasikan," kata beliau.

Beliau menegaskan, pindaan ke atas 17 undang-undang Malaysia adalah untuk memastikan bahawa 26 pindaan ke atas undang-undang dikemaskini berdasarkan perkara yang telah dipersetujui dalam rundingan dan tidak melibatkan pindaan perlembagaan.

"Perlu ditekankan bahawa pindaan ini tidak menjejaskan dasar-dasar utama negara seperti agenda Bumiputera. Sebaliknya, pindaan ini secara amnya adalah bertujuan untuk menggunapakai amalan-amalan terbaik dalam hal berkenaan buruh, alam sekitar serta hakcipta harta intelek," jelasnya.

Di samping itu, katanya penglibatan Malaysia dalam TPPA tidak bermakna kerajaan mengabaikan Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) kerana Malaysia masih lagi berkeyakinan ia merupakan platform terpenting untuk meningkatkan hubungan perdagangan antara ngegara-negara dunia.

"WTO mempunyai 162 negara ahli dan insiatif WTO seperti Doha Development Agenda yang bermula pada 2001 sehingga ke hari ini masih lagi belum menampakkan hasil.

"Kita tidak boleh menunggu Doha Development Agenda ini ditamatkan sebelum kita terlibat dalam mana-mana FTA. Ini satu tindakan yang tidak cerdik. Sekiranya kita menunggu sehingga Doha Development Agenda tamat, kita tidak akan dapat menandatangan satu FTA baru pun," ujarnya.

Oleh itu, tegasnya, pihak-pihak tertentu yang berpendapat tidak patut menandatangani TPPA dan terus terlibat dalam WTO, tidak faham tentang perdagangan antarabangsa.

"Saya ingin berkongsi dengan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian kenyataan Ketua Pengarah WTO, Roberto Azevedo. Mengikut beliau bahawa TPPA bukanlah satu persaingan sebaliknya ia melengkapi.

"Kenyataan ini datang daripada orang paling kanan dalam perdagangan dunia. Siapalah kita ini semua untuk menidakkan pandangan Azevedo yang secara terbuka mengalu-alukan TPPA sebagai satu perjanjian yang penting dalam melengkapi WTO," kata Mustapa.-ASTRO AWANI

TIADA KESALAHAN JENAYAH DILAKUKAN PM: PEGUAM NEGARA

PUTRAJAYA:  Tiada sebarang kesalahan yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes dana RM2.6 bilion dan kes SRC International.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, beliau berpuas hati dengan ketiga-tiga kertas siasatan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) kepadanya.

"Saya berpuas hati dengan kertas siasatan SPRM mengenai kedua-dua kes ini.

"Tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk seri Najib Tun Razak berkait ketiga-tiga kertas siasatan.

"Pada hari ini, kertas-kertas siasatan yang berkaitan akan dikembalikan kepada pihak SPRM dengan arahan ketiga-tiga kertas siasatan tersebut ditutup," katanya.

Beliau ditemui dalam satu sidang media kahas berkaitan kes 2.6 bilion dan kes SRC International, di sini, hari ini.- ASTRO AWANI

BENTANG TPPA DI DEWAN RAKYAY, INTISARI UTAMA YANG ANDA PERLI TAHU

KUALA LUMPUR:  Malaysia tidak akan korbankan dasar Bumiputera dan boleh meneruskan dasar 30 peratus kontraktor Bumiputera dalam sektor pembinaan dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, TPPA.

Kenyataan tersebut dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika membentangkan usul TPPA pada mesyuarat khas Dewan Rakyat.

Tambahnya seperti yang dilaporkan agensi berita Bernama, TPPA bukan hanya membenarkan syarikat asing masuk ke Malaysia, tetapi syarikat di Malaysia juga boleh masuk ke negara asing.

Pembentangan usul penyertaan Malaysia dalam TPPA di Dewan Rakyat turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara intipati yang disentuh dalam pembentangan tersebut termasuk;
Perlindungan paten di Malaysia kekal 20 tahun di bawah TPPA.Malaysia tidak ubah dasar kemasukan pekerja asing.Kuasa negeri dalam urus tadbir hal tanah tidak terjejas.Malaysia masih boleh tapis kandungan asing termasuk bahan lucah.Malaysia dibenar terus pakai sijil halal yang dikeluarkan Jakim selepas tandatangani TPPA.Malaysia akan dapat akses pasaran lebih luas, akan berkembang di Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan PeruKelonggaran kepada penubuhan kesatuan sekerja.Negara-negara terlibat akan bekerjasama membina perusahaan kecil dan sederhana.Malaysia yakin Organisasi Perdagangan Sedunia, WTO, berperanan sebagai platform terpenting untuk meningkatkan hubungan perdagangan dunia mahupun dalam TPPACukai import ke atas 99.8 peratus produk elektrik & elektronik Malaysia ke pasaran Amerika Syarikat akan dimansuhkan serta-merta melalui TPPATambahnya, kerajaan percaya untuk menjadi negara maju dan pendapatan tinggi, Malaysia perlu menjadi sebahagian daripada sistem perdagangan antarabangsa.

Malaysia, menurut Mustapa, bergantung kepada pelaburan dan perdagangan luar kerana ia pemangkin kemajuan setempat.

Malaysia adalah negara pertama yang membawa TPPA ke Parlimen untuk ditandatangani.

Beliau menambah, tempoh dua tahun diperlukan sebelum boleh laksana TPPA, dan negara perlu 26 pindaan ke atas 17 undang-undang.- ASTRO AWANI

USUL TPPA DIBENTANG PADA SIDANG KHAS PARLIMEN HARI INI

KUALA LUMPUR:  Usul untuk memutuskan tentang penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan dibentangkan pada sidang khas Dewan Rakyat yang bermula pukul 10 pagi ini.

Anggota Dewan Rakyat akan membahas dan mengundi mengenai TPPA dalam sesi khas dua hari bermula hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mencadangkan usul berkenaan untuk mendapat sokongan anggota Dewan Rakyat terhadap keputusan kerajaan bagi Malaysia menjadi sebahagian anggota negara TPPA dengan menandatangani dan meratifikasi perjanjian itu.

Berdasar kepada Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini, kerajaan dalam usul itu juga akan mencadangkan Dewan Rakyat menerima kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa, pelaburan asing, teknologi dan pelancongan.

Mustapa akan turut mencadangkan bahawa dalam memutuskan penyertaan Malaysia dalam TPPA, Dewan Rakyat menyeru semua pihak bersama-sama berusaha menjayakan matlamatnya.

Selepas sesi khas dua hari di Dewan Rakyat, Dewan Negara pula akan membahaskan dan mengundi isu TPPA pada 28 Jan.

Malaysia adalah antara 12 negara bersama Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam memuktamadkan rundingan berkaitan TPPA pada 5 Okt 2015. - BERNAMA

PESERTA IDC KONGSI MAKLUMAT MENGENAI USAHA BANTERAS KEGANASAN

KUALA LUMPUR:  Para peserta Persidangan Antarabangsa Mengenai Deradikalisasi Redikalisasi dan Memerangi Ekstremisme Keganasan (IDC) 2016 yang sedang berlangsung di sini, bertukar-tukar maklumat sebagai usaha untuk menumpaskan kumpulan pengganas seperti Daish. 

Mereka juga berbincang, antara lain, tentang perlunya memerangi propaganda yang disebarkan pertubuhan pengganas yang menimbulkan suasana huru-hara di beberapa bandar raya seperti Istanbul, Paris dan Jakarta.

David Gersten, timbalan pengarah Pejabat Perkongisan Komuniti di bawah Jabatan Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), berkata kerajaan negaranya bekerjasama rapat dengan sektor swasta dan komuniti teknologi untuk memusnahkan rancangan pengganas serta menghalang mereka daripada menikmati kemudahan digital secara bebas.

"Kami nampak wujudnya potensi untuk bekerjasama dengan rakan lain...Kita boleh sama-sama mempelajari cara paling baik...untuk mewujudkan naratif pembenterasan yang berwibawa terhadap pengganas," katanya pada persidangan dua hari itu, yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin.

"Kita perlu tingkatkan kemampuan sains data dan analisis kita dan kita perlu mendapatkan bakat terbaik untuk mengendalikan isu ini. Kita sama-sama boleh membina dan memperkasakan satu rangkaian mesej positif global untuk menggagalkan visi pengganas yang terhad itu," katanya.

Anasir pelampau

Menteri Kehakiman dan Menteri Pembantu Perdana Menteri Australia Untuk Memerangi Keganasan, Michael Keenan berkata kerjasama dengan gergasi media dalam talian merupakan komponen utama dalam komitmen kerajaan negaranya untuk memerangi ekstremisme keganasan.

Menurut beliau, kerjasama itu memberi fokus, antara lain, terhadap usaha menekan anasir pelampau.

"Kami memberi sokongan kepada suara berwibawa dan yang boleh dipercayai, yang mampu mencabar sikap hipokrit, tidak konsisten dan dakwaan karut kumpulan pengganas," katanya.

Duta besar Jepun yang bertanggungjawab bagi Kerjasama Antarabaangsa bagi Memerangi Keganasan dan Jenayah Terancang Antarabangsa, Tsukasa Kawada berkata masyarakat Islam di negaranya berusaha dengan tekun untuk mendekati masyarakat lain bagi memberi keterangan tentang ajaran Islam sebenar.

Ia merupakan suatu langkah yang amat penting dalam memerangi kepercayaan menyeleweng puak pelampau, katanya.

"Kami percaya, perkongsian secara sukarela antara umat Islam dan penduduk lain seperti itu perlu digalakkkan lagi bagi melahirkan sebuah masyarakat inklusif serta untuk menyumbang ke arah mencegah radikalisasi," katanya.

Gabungan global

Di rantau Teluk pula, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berganding bahu dengan Amerika Syarikat bagi menubuhkan inisiatif dikenali sebagai 'Sawab' untuk memberi sokongan kepada gabungan global bagi menentang Daesh.

Ketua Pengarah Polis Jenayah Persekutuan UAE, Brigadier Hamad Ajlan Al Amimi berkata Sawab, perkataan Arab bermaksud 'berada di landasan betul', menggunakan komunikasi secara dalam talian dan media sosial untuk menyampaikan perspektif sebenar mengenai Islam.

Ia juga menjadikan suara kesederhanaan yang sering kali ditenggelami kebisingan puak pelampau, semakin kuat bergema, katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kerjasama Antarabangsa, Agensi Antikeganasan Indonesia, Irjen Petrus Golose berkata pihaknya bersedia mengeratkan lagi kerjasama dengan Malaysia dalam menangani kegiatan keganasan.

Menurutnya, Indonesia boleh mengkaji undang-undang antikeganasan yang terdapat di Malaysia bagi tujuan mewujudkan undang-undang serupa di negara itu.

Persidangan itu disertai wakil dari negara anggota ASEAN, di samping Australia, Perancis, Itali, Jepun, China, Arab Saudi, UAE, United Kingdom dan Amerika Syarikat. - BERNAMA

BAHAS SECARA SIHAT MENGENAI TPPA: SALLEH

KUALA LUMPUR:  Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berharap perbahasan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) di Parlimen mulai hari ini, berlangsung secara baik dan sihat.

Beliau berkata kerajaan akan mengambil peluang itu untuk menjelaskan mengapa TPPA baik untuk negara, manakala pembangkang pula boleh menjelaskan kenapa mereka tidak bersetuju.

Dalam semangat demokrasi berparlimen, undi akan dilakukan dan kehendak majoriti akan diikuti, katanya dalam laman blogsskeruak.blogspot.my.

Salleh menarik perhatian bahawa kerajaan memutuskan untuk membenarkan TPPA dibahaskan di Parlimen walaupun perjanjian perdagangan bebas tidak memerlukan penelitian Parlimen atau kelulusan, tetapi hanya memerlukan kelulusan Kabinet. 

Beliau turut merujuk kepada aduan pembangkang bahawa tempoh 60 hari tidak cukup untuk memahami TPPA dan lebih banyak masa diperlukan.

"Sebenarnya, 60 hari mengkaji TPPA sebagai persediaan untuk perbahasan selama dua hari bermula esok (hari ini) merupakan tempoh masa yang cukup jika dilakukan secara sistematik dan berfokus," kata Salleh.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sidang khas Parlimen itu adalah langkah proaktif kerajaan Malaysia walaupun ia bukan satu keperluan bagi TPPA dibentang di badan legislatif negara-negara anggota.

Beliau berkata prinsip pasaran terbuka yang diamalkan dalam TPPA pastinyaakan menguntungkan semua pihak, khususnya negeri yang agresif dalam perindustrian dan perdagangan seperti Selangor dan Pulau Pinang. -BERNAMA