DATUK SERI SALLEH SAID DILANTIK BENDAHARI KEHORMAT UMNO YANG BARU


KUALA LUMPUR:  Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dilantik sebagai Bendahari Kehormat UMNO yang baharu.

Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di sini hari ini.

"Mesyuarat UMNO hari ini dimulakan dengan majlis mengangkat sumpah Bendahari UMNO baharu. Tahniah Datuk Seri Salleh. Saya ucap terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Husni yang telah menjalankan tugas sebagai Bendahari dengan baik sekali dan penuh integriti."

Datuk Seri Salleh menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya.

Sementara itu, Datuk Seri Salleh berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan.

"Saya adalah seorang pemimpin yang bekerja sebagai satu pasukan dan apapun yang saya lakukan berdasarkan garis panduan yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi dan Presiden," katanya.

Jun lepas, Datuk Seri Najib ketika mengumumkan rombakan Kabinet memaklumkan peletakan jawatan Ahmad Husni sebagai Menteri Kewangan Kedua atas sebab peribadi.- astro awani

Comments

Popular Posts