Followers

FOKUS UMNI KINI UNTUK MEMANDANG KE DEPAN: HISHAMUDDIN


KUALA LUMPUR:  Fokus utama UMNO kini adalah untuk pandang ke hadapan dan bukannya menjawab persoalan yang ditimbulkan personaliti tertentu, kata Naib Presiden parti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Kalau nak jawab setiap persoalan, sampai kiamat pun tidak habis.

"Bagi UMNO, kita baru sahaja selesai perhimpunan agung. Kita nak pandang ke hadapan," kata Hishammuddin.

Beliau diminta memberi komen ke atas artikel oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya.

Artikel tersebut menyatakan bahawa permasalahan dalam UMNO bukan sahaja mengenai hubungan antara Presiden dan Timbalan Presiden tetapi tindakan yang diambil Presiden dalam usaha menyelesaikan beberapa isu juga wajar diberi pertimbangan.

Hishammuddin ditemui selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Perbadanan Hal Ehwal Bekas Ahli Tentera (Perhebat) di Kem Sungai Buloh pada Khamis.- ASTRO AWANI

PDRM. PEGUAM NEGARA MASIH BINCANG KERTAS SIASATAN DR MAHATHIR


KUALA LUMPUR:  Polis masih berbincang dengan Jabatan Peguam Negara berhubung kertas siasatan melibatkan Tun Dr Mahathir Mohammad yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah semasa Perhimpunan Bersih 4, Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan, pihaknya dalam proses mengemaskini semua maklumat yang sudah diperoleh setakat ini.

"Pihak kita sedang mengemaskini kertas siasatan itu dan kita sedang berbincang dengan pihak Jabatan Peguam Negara. Belum ada apa-apa keputusan lagi," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Hari Hijau PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini pada Rabu.

Khalid dalam pada itu menegaskan, siasatan hanya menjurus kepada kenyataan yang dibuat Bekas Perdana Menteri berkenaan dan bukan kehadirannya ke perhimpunan itu.

"Saya tidak pernah cakap polis menyiasat Dr Mahathir kerana hadir perhimpunan Bersih. Kita menyiasat atas apa yang diucapkan beliau kerana kita menerima laporan polis daripada ketua-ketua bahagian UMNO yang mana Tun Mahathir mengatakan mereka menerima suapan duit. Itu yang kita siasat, bukan kerana dia hadir Bersih," jelasnya.

Polis menyoal siasat bekas Perdana Menteri itu pada 6 November lalu berhubung kenyataannya pada Perhimpunan Bersih 5.

Dr Mahathir diambil keterangan oleh polis di Bangunan Yayasan Bangunan Al-Bukhary kira-kira pukul 11 pagi.- ASTRO AWANI

NAJIB PILIH BERJIWA BESAR UNTUI BERDAMAI BAGI KUKUHKAN UMNO

KUALA LUMPUR, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau memilih berjiwa besar untuk berdamai dalam usaha mengukuhkan ikatan UMNO.

Presiden UMNO itu yang membuka pintu silaturahim kepada para "penentangnya" pada akhir Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sini, bagaimanapun menegaskan bahawa jika tawaran itu ditolak, mereka bukan lagi menentangnya atas sifat peribadi tetapi menolak kemahuan para perwakilan UMNO.

"Saya Najib Razak sebagai Presiden UMNO memilih untuk berjiwa besar untuk membuka pintu silaturahim kepada semua supaya kita dapat bersatu dan kembali mengukuhkan ikatan UMNO," katanya diikuti dengan sorakan seisi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada sesi penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung UMNO.

"Namun dengan tegas saya mahu menyatakan jika seandainya mana-mana pihak masih lagi tetap menolak dan mahukan pertelagahan, … ini bukan lagi soal peribadi.

"Mereka bukan menentang saya sebagai Najib Razak Presiden parti, bahkan ternyata mereka tolak untuk mencari titik perdamaian dan menolak keputusan syura parti dan jamaah UMNO ini," katanya.

Najib, yang juga Perdana Menteri mengingatkan para anggota parti bahawa pertelagahan sesama sendiri tidak akan menguntungkan UMNO.

"Apa guna kita bermusuh, berpatah arang dan berkerat rotan. Menang jadi arang, kalah jadi abu, nanti orang lain mendapat untung," katanya.

Perdana Menteri mengulangi dengan tegas bahawa beliau tidak sekali-kali akan menyerah kalah dan tidak akan berundur daripada perjuangan UMNO.

Sebelum kembali ke tempat duduknya, Najib bersalaman dengan barisan pimpinan UMNO di atas pentas termasuklah pengkritik beliau Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan aksi itu telah menarik tumpuan para perwakilan serta lensa kemera media.

Ucapan penggulungan, pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2015 itu, yang dinanti-nantikan oleh para perwakilan, malah rakyat seluruh negara, dimulakan dengan peringatan Najib kepada para anggota UMNO tentang taat dan setia kepada pemimpin dan adab dalam membuat teguran kepada pemimpin.

Perdana Menteri berkata teguran itu perlu berpandukan kepada dua pendekatan iaitu adab Melayu yang penuh ketertiban dan kaedah Islam yang mengingatkan mereka supaya menyelidiki maklumat yang diterima supaya tidak timbul fitnah.

"Cara orang Melayu bersopan, tertib, kalau nak mengata pun dalam sindiran, dia tak bantai tegak-tegak, tak lutu, tak tibai, tak balun.

"..manakala agama kita mengajar kita untuk saling percayaa mempercayai dan mesti ada roh dan jiwa Islam," katanya.

Perdana Menteri berkata menurut Islam, sebarang perkhabaran tidak boleh diterima bulat-bulat, sebaliknya perlu diselidik, disiasat dan diteliti supaya tidak terjadi fitnah menfitnah, contohnya dalam perkara 1MDB yang menyebarkan tuduhan tanpa bukti.

Bahaya fitnah yang dahsyat ialah ia boleh membawa kepada perbuatan berbunuh-bunuhan, katanya.

Najib mengambil contoh sejarah kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang berpunca daripada permusuhan dan masalah dalaman, begitu juga dengan keruntuhan Empayar Islam Uthmaniyah.

"UMNO ini satu institusi politik tempat orang Melayu berteduh, bergantung harap, perlindungan cucu-cicit yang menentukan kegemilangan bangsa Melayu.

"Sebab itu kalau tak ada disiplin, tiada ketaatan dan kesetiaan, UMNO juga boleh rebah," katanya.

Meminjam kata-kata pujangga ulung nusantara HAMKA, Najib mengingatkan para anggota UMNO supaya memilih jalan tengah dalam mengharungi kehidupan.

HAMKA pernah berkata "hidup ini adalah di antara pertengahan antara pahit dan manis. Jika pahit selalu kita merasa rawan (sedih), jika manis selalu kita merasa bosan."-mediaUMNO

PASCA PERHIMPUNAN AGUNG UMMO: DRAMA PARTI YANG TAK SUDAH...


KUALA LUMPUR:  PENGAKHIRAN sesebuah filem atau drama aksi biasanya akan sedikit tergantung jika episod itu mahu dibuat sambungan pada masa akan datang.

Oleh sebab itu kebanyakan filem-filem hebat mempunyai siri kedua, ketiga dan seterusnya selagi penonton tidak muak dengan jalan cerita yang dibawakan pengarah serta penulis skripnya.

Cerita kehebatan filem dan sambungannya ini sama sahaja dengan Perhimpunan Agung UMNO. Watak heronya adalah presiden yang kebiasaannya akan menang pada akhir plot.

Perhimpunan Agung UMNO ke-69 merupakan babak drama satu minggu yang memaparkan pelbagai aksi saspens berbeza setiap hari.

Bagaimanapun, tahun ini jalan ceritanya agak menarik. Ia mengenai kisah seorang pemimpin nombor satu parti yang menerima tekanan daripada beberapa orang kanannya sendiri.

Walau dilihat kerusi Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mungkin dirampas sesiapa kerana ketiadaan Pemilihan UMNO (Selain pemilihan 2016 turut ditangguh selama 18 bulan), serangan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam beberapa isu semasa terutama 1MDB, krisis ekonomi serta dana RM2.6 bilion sebenarnya memberi sedikit kesan dan diakui tetap menggoyang keyakinan sekelompok perwakilan.

Pada saat ini, apa yang paling penting adalah strategi propaganda serta persepsi digunakan kedua belah pihak.

Ditambah lagi dengan statistik terkini ahli UMNO seramai 3,528,704 orang sehingga 9 Disember lepas pasti memberi persoalan berapa peratus sebenarnya sokongan semasa yang ada kepada Najib hari ini.

Walaupun Muhyiddin sebenarnya sudah menerima hukuman pertama apabila digugurkan jawatan timbalan perdana menteri pada 28 Julai lepas, ia bukan bermaksud pemimpin senior dari Johor itu memilih untuk menutup mulut.

Ia boleh diandaikan langkah pertama Muhyiddin untuk terus lantang dan klimaks kisah itu berlangsung pada malam 7 Disember di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, satu hari sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO.

Pada malam itu, Muhyiddin meluahkan setiap apa yang terbuku di hati yang mungkin menjadi kandungan yang akan digunakan seandainya diberikan peluang berucap pada Perhimpunan Agung UMNO, bezanya ia berkumandang di hadapan lebih 5,000 penyokongnya di Kampung Baru.

Pada malam itu, Muhyiddin dibantu bintang lama politik negara, Tun Dr Mahathir Mohamad selain menampilkan kelibat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai pelakon tambahan.

Sambungannya lebih menarik selepas desas-desus serta desakan perwakilan yang mahu Najib dan Muhyiddin berpelukan pada hari kedua Perhimpunan Agung UMNO hanya dipandang sepi dan tidak diendah.

Malahan, ia semakin tegang apabila Muhyiddin sendiri menegaskan tidak akan meminta maaf kepada Najib atas alasan perselisihan faham antara mereka bukan menyentuh soal peribadi tetapi semata-mata atas dasar prinsip.

Muhyiddin juga dilihat tidak berganjak dengan alasan apa yang disentuhnya selama ini merupakan soal kepimpinan serta prinsip.

Kenyataan yang keluar semasa sidang media tergempar selepas kemunculan risalah 28 halaman bertajuk 'Aku Bukan Petualang' yang memaparkan wajahnya di hadapan risalah berkenaan pada pagi hari terakhir perhimpunan itu menguatkan lagi tunjang 'tentangan' terbuka Muhyiddin kepada Najib.

Ia menjadi semakin panas apabila dimainkan babak imbas kembali malam sebelum hari penggulungan Perhimpunan Agung UMNO.

Tanpa berselindung, anak kelima Perdana Menteri keempat, Datuk Seri Mukhriz Mahathir secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin dan Shafie dengan alasan keputusan Presiden UMNO menafikan hak Timbalan dan Naib Presiden berucap pada Perhimpunan Agung UMNO merupakan kesilapan besar yang boleh mengugat parti.

"Kita selalu kata parti ini inkslusif di mana kita mengamalkan bebebasan bersuara walaupun berbeza pendapat.

"Perbezaan dan kepelbagaian pendapat sangat penting supaya kita boleh menjaga rakyat.

"Keputusan tidak membenarkan Muhyiddin dan Shafie memberikan ucapan adalah satu kesilapan yang akhirnya menimbulkan masalah kepada parti," katanya semasa dipetik sebuah portal.

Babak akhir Perhimpunan Agung UMNO merupakan ucapan penggulungan Najib yang menekankan isu kesetiaan serta tertib menegur di dalam parti yang secara sinis ditujukan kepada Muhyiddin.

Najib pada akhir bicara menonjolkan dirinya sebagai individu berjiwa besar serta ikon pemimpin parti dan berdiri di hadapan majoriti gerombolan perwakilan untuk akur dengan suara akar umbi yang memintanya bersalaman dengan Muhyiddin.

"Saya Najib Razak sebagai Presiden UMNO memilih untuk berjiwa besar untuk membuka pintu silaturahim kepada semua supaya kita dapat bersatu dan kembali mengukuhkan ikatan UMNO.

"Namun dengan tegas saya mahu menyatakan jika seandainya mana-mana pihak masih lagi tetap menolak dan mahukan pertelagahan...ini bukan lagi soal peribadi.

"Mereka bukan menentang saya sebagai Najib Razak Presiden parti, bahkan ternyata mereka tolak untuk mencari titik perdamaian dan menolak keputusan syura parti dan jamaah UMNO ini," katanya semasa ucapan penggulungan sekali gus disambut tepukan gemuruh dari segenap pelosok Dewan Merdeka.

Namun, berbezaan nada Najib semasa sidang media selepas ucapan penggulungannya membuktikan pengarah filem ini masih menyimpan beberapa babak yang akan disiarkan selepas Perhimpunan Agung UMNO 2015.

Najib dalam nada penjelasan memberitahu tindakannya di hadapan 2,762 perwakilan dari 191 bahagian parti dari seluruh negara itu bukan atas kemahuan peribadinya.

"Itu kena tanya dialah. Ini bukan saya nak. Ini kehendak perhimpunan agung, kuasa badan tertinggi dalam Perlembagaan parti.

"U tengoklah tadi, bukan saya secara peribadi. bukan saya sebagai Presiden UMNO. Perhimpunan agung yang membuat ketetapan," jelasnya.

Rakyat jelas melihat detik Najib dan Muhyiddin bersalaman usai ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO, walaupun tidak berpelukan, menjadi persoalan adakah ikatan silaturahim dua pemimpin ini akan lebih erat atau situasi bakal menjadi lebih berselirat.

Sesungguhnya cerita ini masih belum selesai lagi selain penuh dengan tanda tanya.

Ia akan disambung dalam babak-babak saspens drama bersiri parti yang akan disaksikan seluruh rakyat negara ini.

Klimaks drama UMNO bahagian 69 ini masih tergantung. Tiada siapa tahu adakah sedikit masa lagi ia tamat atau ada karier politik pemimpin bakal tidak selamat dalam 'telemovie' UMNO yang akan datang.- ASTRO AWANI

'FAHAM INI BAIK-BAIK" KATA NAJIB YANG MAHU BERDAMAI


KUALA LUMPUR:  Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak memilih untuk berjiwa besar dengan menghulurkan salam perdamaian dan tali silaturahim kepada semua ahli UMNO.


Kata Najib, langkah itu bagi memastikan UMNO terus kukuh ketika dilanda gelora dalaman yang sedang melanda parti itu.

"Saya memilih berjiwa besar, buka pintu menghulurkan tali silaturahim kepada semua, supaya kita dapat bersatu dan kembali mengukuhkan ikatan UMNO ini," kata Najib semasa menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2015.

Bagaimanapun Perdana Menteri mengingatkan mana-mana pihak yang tetap meneruskan pertelagahan, ia dianggap sebagai menolak titik perdamaian dalam jemaah UMNO.

"Faham baik-baik, ini bukan lagi soal peribadi, mereka bukan menyerang saya sebagai Najib Razak Presiden UMNO, tapi mereka telah menolak untuk mencari titik perdamaian dalam jemaah UMNO ini," katanya.

Ucapan Najib itu nyata mendapat reaksi positif dan tepukan gemuruh para perwakilan.

Selepas ucapan berkenaan, Najib turut bersalaman dengan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta seluruh kepimpinan tertinggi UMNO.- ASTRO AWANI

'JANGAN BIMBANG BERKENAAN TPPA': NAJIN


KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihati rakyat supaya tidak bimbang dengan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) kerana ia akan ditentukan berdasarkan kepada terma Malaysia.


Tegas beliau, dalam pelaksanaan TPP, kedaulatan dan kepentingan negara, khususnya agenda Bumiputera menjadi keutamaan kerajaan.

"Jangan kita takut TPP, saya dah cakap TPP ikut terma kita, seperti kita sebut dalam ucapan dasar.

"Selepas kita berunding, saya jumpa Presiden AS, Obama dua kali...saya kata bahawa agenda Bumiputera adalah penting bagi kita. Ahirnya dia (AS) terima. Akhirnya 11 negara terima agenda Bumiputera.

"Jangan takut untuk bersaing...Vietnam tu pun berani. Brunei yang macam tu je pun berani (merujuk kepada saiz negara)...takkan kita tak boleh?" katanya.

Malah, Najib percaya, daya saing negara akan dapat dipertingkatkan jika negara menyertai TPP seperti mana beberapa Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang Malaysia tandatangani sebelum ini.
"TPP ini agenda Bumiputera, akan kita pertahankan. Banyak FTA kita tandatangan...rizab lebih daripada jangkaan kita.

"Saya tanya Tok Pa (Datuk Seri Mustapha Mohamed) dalam masa tiga bulan sahaja, eksport negara naik 200 peratus, tiga bulan sahaja," tegas Najib ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sini hari ini.- ASTRO AWANI

NAJIB UMUM KADAR DISKAUN UNTUK PENGGUNA ERL, KOMUTER


KUALA LUMPUR:  Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menggunakan sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2015 untuk memberi penjelasan berhubungan kenaikan kos sara hidup yang disebabkan meningkatkannya harga bagi beberapa perkhidmatan.


Antara perkara yang disentuh oleh beliau dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu termasuklah mengenai tambang Express Rail Link Sdn. Bhd (ERL) yang baru-baru ini dinaikkan daripada RM35 ringgit kepada RM55.

Perdana Menteri berkata, beliau faham rakyat marah dengan kenaikan harga berkenaan, namun kerajaan tiada pilihan kerana jika kenaikan itu tidak diberikan, kerajaan terpaksa membayar pampasan yang tinggi serta secara berterusan.

Menurutnya, kerajaan kini menanggung kos pemberian pampasan yang setiap tahun tiada kenaikan tambang ERL dengan jumlah pampasan yang dibayar setakat ini berjumlah RM2.9 bilion.

Prihatin dengan keluhan rakyat yang terkesan dengan kenaikan tambang ERL itu serta beberapa perkhidmatan lain, termasuk komuter, Najib turut mengumumkan beberapa kadar diskaun.

"Antaranya, pelajar ada kad siswa diskaun 30 peratus, kakitangan awam dengan kad bulanan. Bagi komuter, pelajar (diberikan) diskaun 50-70 peratus termasuk untuk pelajar university," ujar beliau.

Di samping itu, Najib turut mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk meningkatkan pemantauan dan penguatkuasan bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan.

"Periksa lagi. Tambah penguatkuasan di lapangan (supaya) harga turun. Jangan senang (sesuka) hati nak naikkan harga. Barang keperluan kena turun," katanya.- ASTRO AWANI

#UMNO2015: HISHAMMUDDIN TIDAK DESAK MUHYIDDIN DAN SHAFIE MINTA MAAF


KUALA LUMPUR:  Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan beliau tidak pernah menggesa supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bertindak memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.


Dalam posting terbaru di laman Facebook, beliau menggesa supaya media tidak memutarbelitkan kenyataannya semasa sidang media semalam.

"Saya tidak menyebut pun bahawa TS Muhyiddin Yassin dan DS Shafie Apdal perlu mohon maaf kepada DS Najib dan UMNO.

"Media jangan spin dan buat laporan sesuka hati," katanya dalam posting yang turut memuat naik video sidang medianya bersama seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Memetik laporan Bernama pada Jumaat, Hishammuddin menyifatkan masih ada ruang untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon maaf kepada UMNO di atas keterlanjuran sikap mereka, namun ia perlu dilakukan dengan ikhlas.

Tambah Hishammuddin, ia bergantung kepada Timbalan dan Naib Presiden UMNO itu untuk memohon maaf bagi merapatkan semula barisan kepimpinan tertinggi UMNO seperti yang disarankan ahli parti.- ASTRO AWANI

#UMNO2015: GALAK GLC DALAM SEKTOR PERUMAHAN KAWAL HARGA- UMNO SABAH

KUALA LUMPUR, Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dilibatkan secara aktif dalam pelaburan sektor perumahan untuk menstabilkan

harga rumah yang melambung tinggi hingga menghimpit rakyat khususnya Bumiputera, kata wakil UMNO Sabah.


Ketua UMNO Ranau Datuk Seri Masidi Manjun berkata penguasaan syarikat swasta dalam sektor itu lebih mementingkan keuntungan hingga menyebabkan kenaikan harga rumah.

"GLC boleh melaksanakan tanggungjawab sosial dengan memainkan peranan dalam mempengaruhi harga rumah melalui penetapan harga yang lebih munasabah dengan mengambil keuntungan lebih rendah berbanding syarikat swasta," katanya.

Berdasarkan pemerhatiannya, GLC dan agensi kerajaan seperti Felda dan Mara (Majlis Amanah Rakyat) aktif melabur dalam sektor hartanah di United Kingdom dan Australia tetapi tidak pula di pasaran tempatan seperti di sekitar Kuala Lumpur atau Sabah.

"Bukan niat saya untuk meminta mereka menarik diri daripada pelaburan di luar negara, tetapi seimbangkan antara pelaburan di dalam dan luar negara," katanya semasa menyokong usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Masidi juga meminta kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing yang kini berjumlah lebih dua juta orang.

Tegasnya keutamaan harus diberikan kepada anak tempatan yang menganggur berjumlah kira-kira 410,700 orang dengan golongan bumiputera adalah yang tertinggi iaitu 270,000 orang.

"Yang anehnya, jumlah pekerja asing lebih dua juta orang, tetapi 400,000 rakyat kita tidak mampu mendapatkan pekerjaan. Inilah perkara yang perlu direnung, orang asing boleh cari kerja, orang kita masih menganggur," katanya sambil tidak menafikan ia mungkin disebabkan faktor terlalu memilih pekerjaan.

Justeru, beliau mencadangkan supaya Program Latihan Khidmat Khidmat (PLKN) dijadikan medan latihan untuk melengkapkan anak muda dengan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja.

Masidi turut meminta agar isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dijadikan polemik yang boleh mengalih perhatian kerajaan daripada usaha lebih penting iaitu pembangunan ekonomi negara.

"UMNO Sabah yakin isu 1MDB dapat diselesaikan dengan mengambil kira langkah dan tindakan yang telah diambil ketika ini. Tumpuan patut diberikan kepada usaha menangani cabaran ekonomi global yang semakin muram," katanya.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan perasmian perhimpunan agung UMNO semalam berkata pelan rasionalisasi 1MDB berjalan dengan baik dan dalam proses penyelesaian.



UMNO2015: FITNAH BOLEH MEMBAWA KEPADA PERPECAHAN PARTI: DR FATHUL

KUALA LUMPUR, Exco Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berpendapat fitnah bukan sahaja boleh meyebabkan timbulnya perselisihan faham malah akhirnya boleh memecah-belahkan sesebuah parti jika tidak ditangani dengan berhati-hati.

Beliau yang mewakili Pemuda UMNO berucap menyokong usul Ucapan Dasar Presiden seterusnya berkata sebagai orang Islam, agama telah mengajar kita untuk jangan menipu dan memfitnah orang lain sehingga mengakibatkan perpecahan umat.

"Kita jangan main-main dengan fitnah atau mengeluarkan kenyataan yang kita tidak mempunyai kesahihan tentang maklumat itu apatah lagi kebenarannya.

"Fitnah Syubhah yang sering diamalkan oleh sesetengah individu kini kebanyakannya bertujuan untuk mengelirukan pihak tertentu sehinggakan terjadinya pertengkaran dan perbalahan," katanya ketika berucap di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Fathul bersependapat dan menyahut seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak untuk mempraktikkan konsep al-Jamaah yang dilihat mampu mengukuhkan semula perpaduan semua kaum dan bangsa.

"Saya menyeru kepada semua yang berada dalam dewan ini untuk sama-sama kita menuju ke arah perpaduan, ke arah pendamaian seterusnya mewujudkan ahli-ahli yang mengamalkan al-Jamaah," tambahnya.

Antara cadangan yang diberi untuk mengurus perselisihan oleh Fathul ialah umat perlu kembali menguasai ilmu-ilmu agama, perlu mempunyai kebijaksanaan dalam membuat keputusan, dan bersabar dalam menghadapi segala ujian. -MediaUMNO


#UMNO2015: PERTUKARAN PRESIDEN UMNO HARUS IKUT PROSES DEMOKRASI-WAKIL PERAK

KUALA LUMPUR, Pemilihan dan pertukaran Presiden UMNO harus dibuat mengikut proses demokrasi dan bukannya mengikut kehendak atau telunjuk seseorang individu, kata wakil UMNO Perak.

Ketua UMNO Bahagian Gopeng Senator Datuk Hamzah Mohd Kassim berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah diberi mandat menerajui parti secara demokratik dalam pemilihan agung 2013, melibatkan kira-kira 146,000 anggota di peringkat bahagian berbanding hanya lebih 2,000 perwakilan sebelum ini.

Hak untuk menukar presiden UMNO harus diberikan kepada majoriti anggota UMNO dan bukan mengikut telunjuk seorang mantan, katanya semasa membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di PWTC di sini.

Walaupun tidak menyebut nama, mantan yang beliau maksudkan itu difahami oleh kebanyakan anggota parti sebagai merujuk kepada bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sejak kebelakangan ini mengkritik Najib dan meminta beliau melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

"Beliau (Najib) sebagai presiden begitu terbuka untuk memberikan kepuasan kepada ahli parti untuk memilih pemimpin, jadi jangan disebut lagi di luar sana yang mengatakan presiden mengongkong ahli parti," katanya.

Semasa berucap, Hamzah menerima bantahan daripada sebilangan perwakilan dalam Dewan Merdeka apabila beliau membangkitkan mengenai tindakan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap di satu majlis UMNO di Kelab Sultan Sulaiman pada Isnin lepas.

Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin terpaksa campur tangan menenangkan keadaan bila ketua UMNO bahagian Gopeng itu tetap meneruskan ucapannya mengenai perkara itu.

Muhyiddin menghadiri satu acara yang dinamakan "Majlis Bersama Timbalan Presiden UMNO" di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru di sini pada 7 Dis, di ambang Perhimpunan Agung UMNO 2015.

Perbuatan beliau itu telah dianggap sebagai mengadakan persidangan dalam persidangan dalam UMNO oleh beberapa pemimpin parti.

Yang turut hadir di Kelab Sultan Sulaiman pada malam itu ialah Dr Mahathir dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.





#UMNO2015: PEMBANGKANG TIADA PILIHAN SELAIN TERUS MENABUR AGENDA "POLITII KEBENCIAN"

KUALA LUMPUR, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz menyifatkan pembangkang tidak mempunyai pilihan lain selain terus mengamalkan politik kebencian bertujuan menghasut rakyat supaya membenci kerajaan dengan menyebarkan propaganda dan maklumat palsu.

Terkini jelas beliau pembangkang ghairah memberikan gambaran kononnya 2016 adalah tahun yang gelap buat rakyat di mana pelbagai tekanan akan dilakukan kerajaan bagi memeras hidup rakyat.

Kalau direnung kembali tambahnya lagi saban tahun pembangkang akan menyatakan tahun-tahun mendatang adalah tahun yang akan membuat rakyat sengsara dan dizalimi.

"Pembangkang cuba untuk 'menangguk di air keruh' dengan menyebarkan maklumat yang telah dimanipulasikan oleh mereka sendiri dengan harapan rakyat akan terpengaruh untuk membenci kerajaan.  Sedangkan pelbagai kemudahan dan bantuan sentiasa diberikan kerajaan kepada rakyat.
"Apa jua kebaikan yang dibuat kerajaan akan digelapkan manakala perkara-perkara yang separuh benar disebarkan dengan membelakangkan pelbagai fakta", ujar beliau ketika ditemui oleh UMNO-Online selepas membahaskan usul ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 di PWTC hari ini.

Tegasnya, politik kotor seumpama ini tidak lebih sekadar untuk membangkitkan  sifat benci di hati rakyat kepada kerajaan.

"Kerajaan yang bertanggungjawab seperti Barisan Nasional (BN) akan sentiasa memastikan kebajikan rakyat itu dipelihara dengan sebaiknya.

"Konsep 'people centric' yang diamalkan kerajaan akan terus memastikan rakyat tidak menanggung beban dan BN akan sentiasa membantu rakyat sebaik mungkin" ulasnya lagi.

Di samping itu, beliau turut menyeru kepada semua jentera UMNO agar mengambil peranan dalam membantu menjelaskan perkara sebenar kepada akar umbi supaya mereka tidak termakan dek hasutan pembangkang. – MediaUMNO



#UMNO2015: PEMBANGKANH DISIFATKAN SEBAGAI PARTI PENGGANAS PERSEPSI

KUALA LUMPUR, Naib Ketua UMNO Bahagian Jempol, Mustafa Nagoor melabelkan pembangkang sebagai "Parti Pengganas Persepsi" kerana pihak pembangkang sering menjadikan fitnah dan tohmahan sebagai senjata politik untuk memburukkan UMNO dan kerajaan.

Menurutnya, sudah terbukti beberapa isu sebelum ini yang disebarkan pembangkang ternyata fitnah semata-mata apabila ianya dibawa ke mahkamah dan keputusan mahkamah mendapati pembangkang bersalah kerana memfitnah kerajaan.

"Mereka ini menjadikan fitnah sebagai modal politik. Sebab itu saya kira mereka ini lebih layak digelar sebagai sebuah pakatan pengganas persepsi kerana yang dilakukan oleh mereka hanyalah menyebarkan persepsi yang tidak benar mengenai kerajaan dan UMNO.

"Boleh dikatakan kesemua pemimpin tertinggi pembangkang di dalam ketiga-tiga parti pernah disabitkan dengan kesalahan memfitnah. Contohnya isu fitnah antara Nurul Izzah dan Raja Nong Chik, akhirnya Nurul Izzah terpaksa memohon maaf kepada Raja Nong Chik setelah didapati bersalah oleh mahkamah.

"Begitu juga dengan isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) di mana suami kepada Datuk Seri Shahrizat, Datuk Dr. Mohamad Salleh dituduh menyeleweng oleh Rafizi namun terbukti ia juga satu fitnah apabila keputusan mahkamah akhirnya menyebelahi Datuk Dr.Mohamad Salleh. Begitu juga dalam kes tuduhan kerajaan menjual minyak sawit kepada negara Israel di mana akhirnya Suara Keadilan didapati bersalah kerana memfitnah kerajaan.

"Pembangkang bukan sahaja memfitnah pihak kerajaan dan UMNO, malah turut memfitnah sesama sendiri, bahkan sesama parti sendiri seperti yang berlaku dalam kes Langkah Kajang di mana Tan Sri Khalid difitnah oleh kepimpinan partinya sendiri," tegasnya dalam sesi perbahasan di Dewan Merdeka, PWTC di sini hari ini.

Beliau seterusnya mengingatkan kerajaan dan juga ahli-ahli serta kepimpinan UMNO agar sentiasa peka terhadap fitnah dan tohmahan yang dilontarkan oleh pembangkang yang bertujuan menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan UMNO dan kerajaan.

"Kita mesti waspada dan berhati-hati dengan taktik politik kotor pembangkang ini. Kepimpinan kerajaan dan UMNO tidak boleh memandang ringan dengan serangan persepsi seperti ini kerana ianya boleh mengakibatkan musibah yang besar dan tidak dijangka.

"Janganlah kerana kelalaian kita menguruskan serangan persepsi ini, suatu hari nanti kita akan menyesal kerana tewas dengan perkara yang batil dan menjadi bahan cercaan generasi di kemudian hari," ujarnya. -MediaUMNO

SARANAN PERWAKILAN AGAR KEPIMPINAN DIRAPATKAN ADALAH TEGURAN IKHLAS: ZAHID


KUALA LUMPUR, Saranan para perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2015 agar kepimpinan tertinggi parti kini dan terdahulu dirapatkan harus dianggap sebagai teguran ikhlas anggota yang sayangkan UMNO dan mahu parti itu terus di landasan yang benar.


Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata saranan itu lahir dari suara hati perwakilan yang melihat kepimpinan tertinggi parti sebagai panduan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata adalah penting bagi 'kepimpinan lama menyayangi kepimpinan baharu dan kepimpinan baharu menghormati kepimpinan lama'.

"Kombinasi ini penting kerana ahli-ahli UMNO keseluruhannya mahu supaya tidak ada sebarang permasalahan berlaku di kalangan kepimpinan sama ada yang telahpun memberikan sumbangan dalam kerajaan mahupun sekarang," kata beliau kepada pemberita pada hari kedua Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Menteri Pertahanan.

"Daripada perbahasan itu, ada yang memperlihatkan dengan cara berkias, ada yang berterus terang, tetapi pada hemat saya, itu semua kaedah bagaimana saranan dibuat, tetapi semuanya ikhlas.

"Kami meneliti semua saranan yang dilihat sebagai suara hati perwakilan yang memberi pandangan mereka," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian ditanya mengenai perwakilan yang mahu kepimpinan tertinggi dahulu dan kini dirapatkan selain adanya teguran keras daripada perwakilan berhubung perkara itu.

Ahmad Zahid berkata perbahasan hari ini turut berkisar sekitar pemerkasaan institusi presiden dan menterjemahkan dasar UMNO kepada dasar kerajaan untuk kebajikan rakyat.

Beliau berkata institusi itu perlu dipastikan kekal sebagai nakhoda yang mengemudi bahtera politik dengan lancar menuju pelabuhan matlamat yang telah ditentukan oleh dasar parti.

Ahmad Zahid berkata perwakilan turut meminta agar pemimpin sering turun padang bertemu rakyat untuk mengetahui sendiri jerih perih rakyat dalam usaha memastikan keseimbangan sosial di kalangan rakyat tercapai dalam usaha negara mencapai status negara maju pada 2020.

Sementara itu, Hishamuddin turut mengingatkan para perwakilan akan tanggungjawab mereka untuk menyampaikan maklumat yang diterima semasa perhimpunan kepada pemimpin akar umbi di negeri masing-masing.

"Tanggungjawab untuk merapatkan barisan bukan setakat di bahu pemimpin sahaja, perwakilan juga memimpin bahagian masing-masing. Bawa apa yang dibincangkan di perhimpunan ini untuk sampai ke peringkat akar umbi.

"Kalau mereka tidak memikul tanggungjawab untuk membantu kita merapatkan barisan itu bermakna mereka sendiri mengabaikan amanah yang mereka pikul," kata beliau.- MEDIAUMNO ONLINE


PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2015 LABUH TIRAI HARI INI


KUALA LUMPUR:  Selepas tiga hari bersidang, hari ini Perhimpunan Agung UMNO 2015 akan melabuhkan tirainya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan menyampaikan ucapan penggulungan kepada ahli parti petang nanti.

Bukan hanya ahli UMNO tetapi seluruh rakyat Malaysia menantikan ucapan penggulungan Najib petang nanti.

Buat julung kali, hanya Presiden UMNO akan berucap pada sesi penggulungan.

Berbeza dengan sebelum ini, di mana Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden diberikan peluang untuk menyampaiakan uacapan penggulungan.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO pada Rabu.

Pada Jumaat, usul ucapan dasar Presiden diluluskan sebulat suara setelah 15 pembahas membentangkan hujah masing-masing sejak Khamis.- ASTRO AWANI

NAJIB, ABDUL HADI BAKAL BERTEMU MINGGU DEOAN RINTIS SILATURAHIM


KUALA LUMPUR:  Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka bertemu minggu depan, yang dilihat sebagai perkembangan positif selepas Presiden UMNO itu menghulurkan 'tali silaturahim' kepada PAS.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Puad Zarkashi ketika ditemu bual BernamaTV pada malam semalam berkata kedua-dua pemimpin itu dijadual bertemu dalam satu majlis anjuran Alumni Al-Azhar.

Dr Puad berkata Najib dijadualkan merasmikan majlis itu, manakala Abdul Hadi akan menyampaikan ucap utama.

"Apa yang penting di peringkat awal ini adalah untuk kita melihat bagaimana kedua-dua parti boleh bekerjasama dalam perkara yang sepatutnya terutamanya dalam hal dakwah, menentang ajaran sesat, ajaran liberalisme dan sebagainya," katanya di sini.

Puad turut berpendapat pertemuan dua pemimpin itu sebagai perkembangan positif kepada pelawaan presiden UMNO itu, namun masih terlalu awal untuk memperkatakan berhubung penggabungan kedua-dua parti itu.

Najib ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 semalam berkata UMNO menghulurkan 'tali silaturahim' kepada PAS untuk bersama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam selepas parti itu 'disepak dan diterajang keluar' oleh rakan-rakan pembangkangnya.

Puad berkata para perwakilan yang membahaskan ucapan presiden itu juga dilihat menyokong pelawaan itu dan berpendapat PAS tidak lagi boleh diihat sebagai musuh politik UMNO.

Keterbukaan PAS, menerusi kenyataan Abdul Hadi sebelum ini, juga menunjukkan parti itu seperti bersedia untuk menjalin hubungan bersama UMNO, katanya.- BERNAMA

DESAK PRESIDEN LETAK JAWATAN, SEIRANG ANGGOTA UMNO BERDEPAN TINDAKAN DIPECAT


KUALA LUMPUR:  Seorang daripada sembilan anggota UMNO dalam bahagian Telok Kemang yang terlibat dalam perbuatan mendesak Presiden parti supaya berundur, akan menghadapi tindakan dipecat daripada parti.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang mengesahkan perkara itu, berkata lelaki itu merupakan seorang anggota biasa di sebuah cawangan.

Katanya pemecatannya itu yang telah diputuskan oleh Lembaga Disiplin parti, perlu diperakukan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Bercakap kepada Bernama, Tengku Adnan berkata lapan lagi anggota, yang kesemuanya merupakan ketua cawangan di bahagian itu, telah dikenakan hukuman oleh Lembaga Disiplin mengikut tahap kesalahan masing-masing.

"Seorang ahli biasa akan dipecat tetapi surat belum lagi dikeluarkan kepada beliau sebab ia memerlukan perakuan Majlis Tertinggi.

"Lima ketua cawangan akan digantung dua penggal daripada menyertai pemilihan parti dan hilang jawatan mereka dalam parti, berkuat kuasa serta-merta. Lima orang ini telah dapat surat daripada Lembaga Disiplin.

"Tiga lagi ketua cawangan telah diberi surat amaran," katanya.

Laporan media sebelum ini menyebut sekumpulan anggota UMNO di Bahagian Teluk Kemang mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatannya dalam parti kerana mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.

Kumpulan itu kemudiannya dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti pada 2 Disember, untuk siasatan.

Ditanya mengenai perbezaan hukuman terhadap para anggota terbabit, Tengku Adnan menjelaskan bahawa hukuman itu didasarkan kepada hasil siasatan Lembaga Disiplin dan ia menimbangkan hukuman mengikut tahap kesalahan yang mereka lakukan.

"Bukan setakat meminta presiden supaya meletak jawatan. Terdapat juga perkara lain seperti menghasut, membocorkan rahsia parti dan cuba melemahkan parti.

"Mereka telah melampaui batasan... tindakan diambil memandangkan kami (parti) mempunyai undang-undang dan peraturan," katanya.

Tengku Adnan tidak menghuraikan tahap kesalahan mereka.- BERNAMA

KERAJAAN DISARAN HAPUSKAN CAJ PENGANGKUTAN AWAM PADA WAKTU PUNCAK


KUALA LUMPUR:  Kerajaan disaran untuk menghapuskan caj pengangkutan awam pada waktu puncak susulan kenaikan kos sara hidup yang disifat membebankan rakyat pada ketika ini.

Cadangan itu disuarakan perwakilan Selangor, Profesor Madya Dr Haim Hilman Abdullah yang melihat cadangan itu mampu mengurangkan beban mereka yang tinggal di bandar raya.

"Saya menyeru dan mengharapkan agar dapat dipertimbangkan untuk kita memberi pengangkutan awam percuma kepada rakyat pada waktu puncak... dari pukul 6 pagi hingga pukul 9 pagi dan pukul 5 petang hingga 8 malam," cadang Haim Hilman yang turut mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Beliau pada masa sama memberi contoh kos perjalanan seorang individu yang menetap di Ampang, Selangor dan bekerja di pusat bandar Kuala Lumpur.

"Pengangkutan adalah isu rakyat. Kosnya yang meningkat memberi tekanan yang cukup hebat kepada rakyat. Jadi dengan itu kita rasa apa yang rakyat rasa.

"Seseorang itu membelanjakan kira-kira RM20 sehari dan jika dia bekerja 20 hari sebulan dia membelanjakan sekitar RM400 sebulan," kata Haim Hilman.

Dalam membahaskan usul ekonomi itu, beliau turut menegur syarikat penyedia pengangkutan awam untuk tidak membebankan rakyat pada masa sama menjana keuntungan berbilion ringgit.

"Syarikat-syarikat pembangunan prasarana jangan fikir untuk menjana keuntungan berbillion ringgit, ini (Malaysia) bukan tempatnya.

"Jika kamu seorang usahawan yang sebenar, kamu patut melakukannya (menjana pendapatan) di luar negara, bukan di sini," tegas beliau.

Dalam sesi perbahasan usul ekonomi, isu kos sara hidup terus menjadi tumpuan perwakilan.- ASTRO AWANI

ANALISIS: PELUKAN DAMAI NAJIB-MUHYIDDIN PENAWAR TERBAIK BUAT UMNO


PERSELISIHAN semasa zaman kanak-kanak merupakan satu kenangan yang sangat manis jika dikenang.

Ia menjadi lebih indah jika kawan-kawan bermain serta bertengkar sejak kecil masih lagi menjadi sahabat dan menempuh zaman dewasa dan alam pekerjaan bersama.

Pada masa ini, yang paling diingati adalah ayat kutuk mengutuk serta membalas jeritan pada masa kanak-kanak lebih-lebih lagi pemikiran semasa itu dikira masih belum menempuh fasa kematangan.

Pergaduhan pada masa itu juga akan tiba-tiba terjadi walaupun puncanya dilihat terlalu kecil dan boleh diselesaikan tanpa tolak menolak.

"Taknak kawan, aku taknak kawan dengan kau lagi." Itu ayat biasa apabila bergaduh semasa kanak-kanak.

Tidak mengapa, kita tinggalkan sebentar kenangan itu.

Dalam UMNO, setiap perwakilan atau pemimpin parti sebenarnya bukan sehari dua bergelumang di dalam politik.

Kebanyakan kepimpinan tertinggi UMNO sendiri sudah berpuluh-puluh tahun saling mengenali. Sejak menjadi ahli biasa naik ke ketua sayap, ketua bahagian, Majlis Tertinggi (MT) sehingga ada yang mencapai fasa presiden, timbalan presiden serta naib-naib presiden parti.

Tali silaturahim antara mereka bukan seperti tali rafia yang terlalu mudah diputuskan apabila ditarik namun seperti kerasnya konkrit yang tidak mudah retak walau badai besar melanda.

Isu pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini mudah, rata-rata perwakilan hanya mahu perselisihan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin diselesaikan dengan damai.

Mereka mahu kedua-dua tokoh tertinggi parti berpelukan dan melupakan segala konflik yang terjadi sepanjang tahun ini.

Tidak usah ungkit mengungkit, cukuplah Najib dengan panjang lebar bercerita tentang 1MDB, dana RM2.6 bilion, isu ekonomi serta pelbagai pekara yang diungkit Muhyiddin selama ini.

Penjelasan Najib semasa Majlis Ucapan Dasar Presiden adalah tanda keikhlasan dan kejujuran bersemuka bukti orang nombor satu parti itu tidak mahu konflik itu berterusan.

Berbalik kepada perwakilan, Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelogor Datuk Shabudin Yahaya ketika dipetik sebuah portal berkata, "Pemimpin yang memaafkan besar ertinya kepada kepentingan parti. Sikap keterbukaan Presiden untuk berbincang dan bermuzakarah adalah apa yang para perwakilan harapkan kerana para pemimpin harus kembali bersatu."

Selain itu, saranan Ketua Puteri Kulai, Nurul Nadia Abd. Aziz ketika dipetik juga mengharapkan perdamaian diselesaikan segera dan kembali sama-sama menerajui serta memimpin parti.

Dalam pada itu, ramai lagi perwakilan yang ditemui juga mahu penutup Perhimpunan Agung UMNO tahun ini melabuhkan tirai dengan pelukan mesra dua pemimpin berkenaan.

Kata mereka, cukup-cukuplah perselisihan yang tidak memberi faedah kepada parti malah hanya menjadikan UMNO berpuak-puak.

Jelas mereka, setiap isi perbahasan usul akan menjadi sia-sia jika tidak ada kesepakatan Najib dan Muhyiddin di akhir cerita.

Bagaimana mungkin dasar atau cadangan yang diberi perwakilan hendak pergi lebih jauh jika halangan perselisihan faham nombor satu dan dua parti tidak diselesaikan.

Harapan untuk melihat sesi bermaaf-maafan itu bukan sahaja menjadi bualan perwakilan malah 'ulat-ulat' politik yang 'berkeliaran' di cafe hotel berhampiran.

Kebanyakan mereka walaupun sebelum ini menghentam Najib kerana isu yang dibangkitkan Muhyiddin mula 'sejuk hati' selepas ucapan dasar Najib pada Khamis.

Kata mereka, hanya pelukan damai Najib dan Muhyiddin menjadi penawar paling mujarab dalam memastikan parti kembali kukuh menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.

Ia juga harapan yang dinyatakan secara terbuka oleh Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar yang menyatakan ia kemahuan perwakilan pada penutup Perhimpunan Agung UMNO.

"Krisis antara kedua-dua pemimpin itu tidak perlu berpanjangan dalam usaha membela nasib anak bangsa dan memastikan kelangsungan parti.

"Beberapa perwakilan mengharapkan agar krisis antara Presiden dan Timbalan ditamatkan. Kita berdoa agar  esok Presiden akan berpeluk di atas pentas disaksikan oleh semua para perwakilan supaya apabila kita balik nanti kita tidak lagi membincangkan berkenaan krisis ini," katanya.

Seperti permainan enjit-enjit semut semasa kanak-kanak dahulu, sakit dan terasa hati Najib serta Muhyiddin seharusnya tidak berpanjangan.

Cubit mencubit dalam permainan enjit-enjit semut itu memang sesuatu yang sedikit menyakitkan namun bukan alasan untuk putus kawan sehingga akhirnya menyebabkan parti berantakan.- ASTRO AWANI

#UMNO2015: JANGAN GUNA KEBEBASAN BERSUARA UNTUK MENIKAM PARTI: IDRIS HARON


KUALA LUMPUR:  Anggota UMNO perlu memanfaatkan kebebasan bercakap yang diberikan kepada mereka untuk memperbaiki serta menjadikan parti lebih teguh dan bukannya untuk menikam parti, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Idris Haron.

Justeru, katanya ruang bercakap yang diberikan kepada anggota parti dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat pemimpin wajar dimanfaatkan dengan menggunakan saluran parti dan bukan menggunakan ruang luar untuk menyuarakan pendapat mengenai parti.

"Dalam konteks UMNO sendiri, struktur kita menyebut secara sistematik setiap perwakilan peringkat cawangan, bahagian hingga kebangsaan boleh bercakap, bahas usul peringkat cawangan, bahas usul peringkat bahagian hingga bahas usul peringkat kebangsaan.

"Tidak ada dalam prosedur parti yang menyebut kita boleh membahaskan usul di luar parti, tidak ada dalam perlembagaan parti menyebut kita boleh bercerita tentang keburukan parti bukan dalam gelanggang parti.

"Semua anggota parti kena ingat, fahami dan hayati dengan mendalam pepatah Melayu yang kita warisi daripada generasi terdahulu iaitu 'sebab pulut santan binasa sebab mulut badan binasa'," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau ditemui ketika mengadakan lawatan ke Wisma Bernama di sini serta menjadi tetamu rancangan 'Bernama Today' terbitan Bernama TV. Turut hadir Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh.

Ditanya mengenai keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk tidak membenarkan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 Idris berpendapat keputusan itu sebagai suatu peringatan dan tanda sayang sebuah keluarga.

"Ini seperti keluarga... umpama anak langgar peraturan. Ibunya kata 'you are grounded'. Saya kira halangan itu pun merupakan tindakan wajar. Presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) sangat besar jiwanya hanya beri peringatan, 'be careful' lain kali jangan buat lagi," katanya.

Ketika diwawancara, Idris menjelaskan tentang betapa pentingnya perpaduan dan kesepakatan di kalangan anggota UMNO untuk parti itu terus mara bagi mencapai wawasannya.

"Kita perlu bermula dengan perpaduan dan kesepakatan... kita tidak boleh ada perpecahan dalam parti sebab banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk rakyat dan pilihan raya umum akan datang," katanya.- BERNAMA

KEBERSAMAAN ANGGOTA UMNO JADI KUNCI TANGANI CABARAN PARTI : ZAHID


KUALA LUMPUR:  Kebersamaan anggota UMNO dilihat menjadi kunci utama dalam menangani segala permasalahan dan cabaran yang dihadapi parti itu, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata walau apa jua isu dan permasalahan dihadapi sama ada daripada dalam atau luar parti, anggota UMNO perlulah mempertahankan prinsip dan semangat kebersamaan itu.

"Jangan ada menyiram bahan api ke bara yang ada, sebaliknya kita hendaklah bersemangat agar kita curahkan air yang paling dingin agar bara amarah jika ada, dapat kita padamkan segera.

"...dan kita kembali pulihkan semangat kekitaan, semangat kebersamaan sebagai pejuang-pejuang UMNO di seluruh negara," katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Badan Perhubungan UMNO Perak, yang turut dihadiri Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, di sini malam Jumaat.

Ahmad Zahid berharap semangat kebersamaan itu akan memberi pemerkasaan semula kepada UMNO secara keseluruhannya.

Ahmad Zahid, yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh, berkata meskipun parti berdepan pelbagai cabaran ketika ini, semangat ukhuwah dalam kalangan anggota masih terserlah terutama ketika Perhimpunan Agung UMNO, yang masuk hari kedua hari ini.

"Kita anggota UMNO. Sekali kita menjadi anggota UMNO, semangat dan kekentalan sebagai anggota dan pejuang-pejuang UMNO akan terus membara di dada kita semua," katanya, yang mendapat sorakan daripada kira-kira 1,000 anggota UMNO Perak itu.

Beliau berkata saranan disampaikan oleh jurucakap sayap-sayap dan wakil negeri-negeri, diharapkan dapat diterima dan seterusnya ada tindakan susulan yang dapat menterjemahkan kebersamaan dan kejituan parti keramat orang Melayu itu.- BERNAMA

#UMNO2015: PANTUN PEKAN KE PAGOH RAYU NAJIB, MUHYIDDIN BERBAIK


KUALA LUMPUR:  Menyatukan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi isu utama dalam sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden hari ini.


Namun, bait-bait pantun Perwakilan UMNO Melaka, Mustafa Musa mencuri tumpuan perwakilan.

"Dari Pekan ke Teluk Cempedak,
Singgah di Pagoh Tan Sri menanti,
Bercerai kasih bertalak tidak,
Ibarat rambut bersimpul mati"


"Berdamailah, berdamailah dengan semangat UMNO dan Melayu. Berdamailah. Saya rayu pendamaian (akan) dapat direalisasikan," kata Mustafa sambil mendapat tepukan gemuruh perwakilan di dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Jelas, menerusi pantun itu, perwakilan mahu hubungan antara Presiden dan Timbalan Presiden perlu diperkukuhkan semula dalam meneruskan kelangsungan UMNO.

Malah, dalam perbahasannya juga, Mustafa melihat kerjasama antara pemimpin kanan parti menjadi contoh kepada kepimpinan di peringkat akar umbi.

Justeru, beliau berharap selepas ini, antara Najib dan Muhyiddin tidak lagi wujud sebarang konflik serta adu domba yang akan mencemar imej UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Melayu.

Selain Mustafa, beberapa perwakilan lain yang membahaskan Ucapan Dasar Presiden turut membahaskan isu berkenaan hubungan antara Najib dan Muhyiddin.- ASTRO AWANI

#UMNO2015: APA MESEJ PRESIDEN UMNO?

UCAPAN Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 pada Khamis adalah ucapan dasarnya yang ketujuh sebagai presiden parti itu. Ucapannya ― pada kali ini ― sangat dinanti-nantikan dan mendapat perhatian yang luar biasa bukan saja dalam kalangan ahli parti tetapi juga mereka yang di luar parti kerana isu-isu genting yang sedang dihadapi oleh UMNO dan kerajaan pimpinannya sejak kebelakangan ini.

Najib sedar suasana yang menyelubungi perhimpunan tahunan itu kali ini, cukup sedar. UMNO sedang berdepan dengan krisis keyakinan bukan saja dalam kalangan rakyat tetapi ahli-ahli UMNO sendiri pun tertanya-tanya apa sedang jadi dengan kepimpinan parti.

Ada pergeseran pendapat yang cukup serius antara pimpinan tertinggi UMNO. Najib dan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sebulu dalam beberapa hal khususnya hal-hal yang berkait dengan pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli-ahli UMNO di peringkat bahagian dan cawangan juga tidak senada seirama dalam isu yang sama. Pemimpin UMNO termasuk mereka yang ada di akar umbi dari hari ke hari lantang mendesak supaya Najib berundur.

Dalam persekitaran itulah Najib menyampaikan ucapan dasarnya. Ucapannya berlapis dan berkias tetapi pada bahagian-bahagian tertentu, mesejnya cukup jelas. Najib mengaku sedar akan cabaran dan tantangan yang sedang beliau hadapi terutamanya mengukuhkan semula parti yang sedang berpecah.

Pada masa sama, Najib menegaskan bahawa beliau tidak akan berundur daripada amanah dan mandat yang telah digalas pada bahunya untuk memimpin UMNO dan menerajui kerajaan selagi cabaran dan tantangan itu tidak beliau atasi.

"Saya tidak boleh jadi seorang pengecut," katanya.

KESETIAAN

Cabaran dan tantangan yang paling utama ialah mengembalikan UMNO sebagai sebuah jemaah yang bersatu. Najib berkali-kali mengingatkan tentang pentingnya kesetiaan kepada pemimpin dan parti. Beliau memetik pesan-pesan agama daripada Al-Quran dan mengingatkan tamsil daripada Sejarah Melayu.

Beliau mengacung buku perlembagaan UMNO dan mengingatkan ahli-ahli parti ― termasuk timbalan presiden dan naib-naib presiden ― supaya berpegang kepada buku merah itu. Beliau mengingatkan jasa-jasa UMNO membangunkan bangsa dan negara ― maka katanya, jangan khianat kepada parti yang sudah banyak berjasa itu. Beliau mengingatkan tentang disiplin parti ― tentang sempadan dan batasan yang perlu dipatuhi oleh ahli-ahli UMNO.

Mesej Najib satu ― wajib taat kepada pemimpin. Titik.

Dari satu sisi, ucapan dasar presiden UMNO itu adalah suara hati Najib yang sedang diasak dari dalam dan luar partinya sendiri. Pada bahagian-bahagian tertentu, ucapan itu terdengar sangat peribadi.

Najib mengimbau sejarah perjalanan politiknya ― bagaimana beliau memilih untuk setia kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa bekas Presiden UMNO itu berdepan dengan krisis parti pada 1987. Najib mengingatkan ahli-ahli UMNO betapa beliau tidak pernah khianat kepada parti dan lebih kurang tiga bulan menjelang genap 40 tahun bergiat dalam UMNO, beliau tidak pernah keluar meninggalkan parti.

"Saya lahir dari leluhur UMNO… mana mungkin bersurut pulang atau sesekali berbalik haluan," katanya.

DILEMA NAJIB

Najib juga mendedahkan dilema yang beliau hadapi dalam membuat keputusan besar ― sebagai Perdana Menteri dan presiden parti.

Najib merujuk secara khusus kepada rombakan kabinet yang menggugurkan Muhyiddin daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Rombakan itu juga menggugurkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal daripada jawatan menteri.

"Kalau atas dasar sahabat, tidak mungkin saya mengambil keputusan yang luka lagi melukai," kata Najib.
Beliau menegaskan bagaimana keputusan itu dibuat "atas nama survival dan kepentingan parti" dan beliau melakukannya "dengan berat hati".

Sebelum menutup ucapannya, Najib menyentuh tentang perpaduan ummah ― antara UMNO dan PAS. Tetapi beliau cepat mengingatkan bahawa perpaduan dalam UMNO itu lebih utama dan mustahak. UMNO perlu memulihkan kesatuannya terlebih dahulu sebelum melangkah jauh untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu.

Sehingga petang Sabtu ini, sebelum Najib sekali lagi mengambil tempat di rostrum untuk menyampaikan ucapan penggulungan sekaligus menutup perhimpunan tahunan ini, orang akan memberikan perhatian pula kepada perbahasan di Dewan Merdeka ― melihat sejauh mana mesej presiden ini dihayati.

Tetapi lebih jauh daripada itu, selepas perhimpunan ini berakhir, bagaimanakah UMNO akan menyusun gerak ke arah menyatukan parti.- ASTRO AWANI

ANALISIS: NAJIB BUKAN SEBARANG PEMIMPIN


KELANTANGAN Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan 2,762 perwakilan dari 191 bahagian parti dari seluruh negara membuktikannya bukan dari sebarangan pemimpin yang boleh semudah itu diperlekeh.


Terbukti darah kepahlawanan yang ada di dalam diri anak Perdana Menteri kedua negara, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein itu yang membuak-buak semasa 90 minit berucap di hadapan lautan penyokong merah pasti meninggalkan kesan mendalam kepada semua yang mendengarnya.

Sesungguhnya, roh semangat UMNO kembali mekar terpancar di wajah setiap perwakilan sesudah Najib menyampaikan ucapan yang banyak menyentuh mengenai kepentingan untuk setia kepada parti.

Memulakan ucapan dengan mengakui tidak mendapat 100 peratus pandangan seiringan daripada 191 bahagian, Najib tidak memandang ke belakang lagi dan terus memberi keyakinan tidak pernah lari daripada sebarang masalah yang dihadapi.

Sebutlah apa sahaja, Najib tidak pernah goyang dengan dakwaan negatif mengenai 1MDB, dana RM2.6 bilion, isu ekonomi atau apa sahaja serangan dalaman atau luaran yang dihadapinya.

Sebenarnya, cara menangani isu panas yang melanda sudah dijelaskan dengan panjang lebar pada Majlis Taklimat Presiden dua hari sebelum ucapan dasar Najib.

Beberapa perwakilan yang ditemui juga mengakui penjelasan Najib sendiri sudah cukup memberi pencerahan terhadap isu yang dibangkitkan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Jelas keresahan rakyat semakin reda apabila Najib sendiri berani menerangkan satu persatu setiap tuduhan yang mungkin selama ini dikatakan tidak dijawab pemimpin nombor satu negara itu.

Ia sekali gus melenyapkan apa sahaja persepsi negatif terhadap Najib seiring menimbulkan tanda tanya terhadap tuduhan Muhyiddin yang mendakwa tidak pernah berpeluang menerima jawapan mengenai apa sahaja isu yang ditimbulkannya sendiri.

Pada tahap ini, beberapa perwakilan melihat kembali sikap toleransi Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang tetap memberi peluang untuk Muhyiddin hadir ke Perhimpunan Agung parti walaupun desas-desus penggugurannya begitu kuat kedengaran sebelum ini. Ia tidak sama sekali terjadi.

Keputusan mesyuarat khas MT itu juga membuktikan UMNO bukan sebuah parti yang menyimpan dendam walaupun Muhyiddin sebagai orang nombor dua parti sebelum ini mendesak secara terbuka supaya Najib melepaskan jawatannya dengan pelbagai tuduhan yang langsung tidak terbukti kesalahannya.

Hari ini, tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan kekuatan sokongan kepada Najib apabila semua perwakilan bangun dan memberikan 'standing ovation' serta tepukan gemuruh selepas ucapan 185 perenggan yang menjelaskan segala-galanya.

Pada saat ini, ada perwakilan memberitahu, raut wajah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dan Muhyiddin sendiri tersipu-sipu tunduk apabila 'smash' Najib dalam ucapannya disambut laungan penuh gemuruh dari segenap pelosok dewan.

Memetik kata-kata Najib sebelum ini, "Saya tidak akan patah semangat, darah dalam diri saya ini bukan darah sembarangan, saya mungkin dilihat ada kalanya bersemangat diplomatik, tapi semangat  kepahlawanan tetap ada dalam diri saya", tidak ada lagi yang boleh menafikannya.

Dalam pada itu, Profesor Pusat Pengajian kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, ucapan dasar membuktikan Najib sudah kembali mendapat kepercayaan dan UMNO bertaut kembali untuk menyokong pemimpin nombor satu itu.

"Penting Najib untuk menyelesaikan masalah kekeruhan anggota UMNO dan hari ini dia dapat megembalikan keyakinan serta menunjukkan keikhlasan seorang pemimpin selain tanggungjawabnya untuk mengemudi negara untuk masa hadapan.

"Ahli UMNO juga sudah semakin memberi kepercayaan dan kemarahan kepada Najib semakin reda apabila dia sendiri menjelaskan semua tuduhan negatif yang dilemparkan kepadanya. Ada kemungkinan selepas ini segala isu akan berkurangan dan tumpuan beralih kepada pembangunan parti.

"Perhimpunan kali ini memastikan UMNO akan terselamat dan mengelakkan perpecahan dari rasa tidak puas hati mana-mana ahli sebelum ini, Najib memang memberi penjelasan kepada semua isu yang menghantui UMNO," katanya.

Kerana itu Najib merendahkan dirinya pada akhir ucapan dan memetik kata-kata Presiden Indonesia pertama, Sukarno yang meminta 10 pemuda untuknya menggegarkan dunia.

Najib dengan raut wajah penuh berharap mahu sepasukan wanita, pemuda dan puteri yang taat lagi setia untuk memacu negara menuju puncak hingga ke mercunya.

Jadi apa lagi alasan untuk kita tidak bersama selepas Najib sendiri menyerahkan sepenuh dirinya demi melihat UMNO kekal berpanjangan di negara ini?

Percayalah...Najib memang bukan seorang yang pengecut.-ASTRO AWANI

#PAU2015: PEMBETULAN DALAM UMNO HARUS DIMULAKAN-AHMAD ZAHID


KUALA LUMPUR:  Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pembetulan perlu dilakukan dalam parti itu bagi memastikan apa jua masalah dalaman diselesaikan segera demi kelangsungan parti.


Jelasnya, beliau yakin pembaikan mampu dilakukan dengan kebijaksanaan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Dalam soal ini, pembetulan harus dimulakan supaya air tidak terus keruh di sepanjang aliran sungai, jika ia keruh di hulu, pasti ia akan keruh di hilir. Oleh sebab itu kekeruhan di hulu hendaklah dijernihkan supaya tidak keruh hingga ke hilir.

"Saya fikir kebijaksanaan Presiden untuk menjernihkan yang keruh ada pada beliau dan tidak ada ikan yang mati keracunan dalam kekeruhan air yang telah diracunkan itu," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

"Mereka (perwakilan) jelas dengan 13 perkara yang disebutkan presiden. Namun kita akui terdapat kepelbagaian dari segi tafsiran yang sebenarnya. Jangan letak di bahu Presiden tetapi kepimpinan UMNO dan akar umbi harus faham maksud tersirat supaya tidak wujud persepsi.

"Kita harap usaha presiden ini dapat diterjemah sepenuhnya untuk perkasa UMNO. Kalau ada unsur kerosakan daripada dalam ianya hendaklah diperbaiki. Usaha pembaikan perlu dilakukan sebab UMNO sebelum ini pernah mengalami lebih besar lagi. Saya tidak nampak masalah ini tidak boleh diatasi.

"Saya fikir ianya harus dilakukan (kumpulan penerangan) bukan hanya bergantung kepada penerangan UMNO melakukan usaha untuk melakukan penjelasan tapi sebelum penjelasan tapi soal 'housekeeping' hendaklah dilakukan," tambahnya.- ASTRO AWANI

#PAU2015: NAJIB INGATKAN TUGAS ORANG NOMBOR DUA


KUALA LUMPUR:  Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung UMNO mengingatkan semua ahli UMNO mengenai tugas dan peranan masing-masing yang berlandaskan perlembagaan parti.

Kata Najib, Timbalan Presiden perlu membantu tugasnya sebagai Presiden dan perlu tahu menggunakan saluran yang betul sekiranya ingin menyuarakan pendapat.

"Berbalik kepada situasi semasa UMNO, dimaktubkan dalam perlembagaan parti, amanah besar dan tanggungjawab yang terpikul di bahu seorang Presiden, melalui fasal 9.8.1, adalah menjadi pemimpin utama dan bertanggungjawab menjaga kesempurnaan perjalanan parti."


"Manakala, fasal 9.8.2, dengan terang secara harfiahnya, memperincikan tanggungjawab dan amanah utama, bagi seorang Timbalan Presiden itu, fasalnya itu menyebut, 'Timbalan Presiden membantu tugas Presiden'," kata Najib.

Bagaimanapun, ucapan Najib ketika menghuraikan tugas serta peranan Timbalan Presiden dan Naib Presiden disambut sorakan oleh para perwakilan.

Ketika ucapan itu disampaikan, Muhyiddin dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal turut berada di dalam Dewan Merdeka bersama lebih 2,000 perwakilan dari 191 bahagian UMNO seluruh negara.

"Manakala, bagi fasal 9.8.3 pula, tanggungjawab dan amanah Naib Presiden itu dinyatakan sebagai 'Naib-naib Presiden itu kerjanya membantu tugas Presiden'.," ujar Najib sambil disambut dengan tepukan gemuruh para perwakilan.

Tambahnya, itu merupakan rahsia dan formula UMNO yang bertahan sebagai tunjang pemerintah sejak dahulu sehingga kini.- ASTRO AWANI

#PAU2015: TEKS PENUH UCAPAN DASAR PRESIDEN


KUALA LUMPUR:  Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak hari ini menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Berikut adalah teks penuh ucapan beliau:


BismillahirRahmanirRahim,
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap,
Timbalan Pengerusi Tetap,
Timbalan dan Naib-Naib Presiden,
Ketua-Ketua Sayap Parti, Wanita, Pemuda dan Puteri,
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,
Para Perwakilan,
Ketua-Ketua Parti Komponen,
Dif-dif Jemputan, Para Hadirin,

Saudara dan Saudari Sekalian.

MUKADIMAH
Alhamdulillahi Rabbil A'lamin wa biHi nastain.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

1. Pada pagi ini, 10 haribulan Disember 2015, bersamaan 28 haribulan Safar 1437 Hijriah, sekali lagi Allah-Hu Ta'ala, dengan izinNya telah menghimpunkan kita semua, dalam satu majlis yang dirahmati hendaknya.

2. Seperti yang telah disebutkan oleh Setiausaha Agung parti, saya selaku Presiden, mengalu-alukan sejumlah 2,762 perwakilan, dari 191 Bahagian seluruh negara, bermula di Arau Perlis, membawa ke Lahad Datu, Sabah.

3. Sehubungan itu, mari kita merakamkan ucapan tahniah setingginya kepada Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah selamat bersidang dengan jayanya.

4. Kepada Wanita, sepertimana diisytiharkan pada perhimpunan agung 2013, segala susah payah dan pengorbanan kaum Hawa dalam parti bertuah ini,… selamanya akan diangkat,… dan terus dimartabat,… sebagai tulang belakang UMNO.

5. Kepada para Pemuda,… mengambil sempena surah Al-Kahfi,… saya mahukan seangkatan besar yang hebat lagi gagah berani,… selaku waris perjuangan bangsa, rela berbakti, kerna,… pada saudara-saudaralah dipertaruhkan harapan untung nasib keturunan kita.

6. Buat Puteri pula,… dengan seri merah jambunya di sebalik selendang atau dalam kerudung, walau lasak dan gigih berjuang.

7. Semestinya, saudari-saudarilah harapan pertiwi,… kematangan dan kebolehan semua, semakin hari semakin pula, tampak menyerlah.

Saudara dan saudari,
8. Orang menyebut, tiada yang dulu, tiada yang sekarang. Satu lagi kelompok yang merupakan pasukan penyokong tegar kepada parti, waima telahpun meninggalkan medan perjuangan secara rasmi, tetap taat dan setia, mencurah khidmat dan nasihat kepada parti tercinta.

9. Ayuh,… ayuh,… kita sama-sama memberi tepukan penghargaan, tanda terima kasih kepada golongan veteran UMNO.

10. Kepada para pendahulu yang telah pergi lebih awal dan kembali berpulang kepada-Nya, sayugia hanya Allah-Hu Ta'ala yang mampu memberi balasan setimpal, atas segala kebaikan yang telah dilakukan.

11. Serentak itu juga, bagi pihak seluruh pengurusan parti keramat UMNO, kita rafakkan sembah takziah kepada seluruh kerabat DiRaja Kedah dan DiRaja Johor, masing-masing atas kemangkatan almarhum-almarhum, Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Yang Amat Mulia, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibni Sultan Ibrahim.

12. Semoga rahmat tercucur di atas roh mereka… Al-Fatihah,…

Saudara dan saudari,
13. Pucuk pangkalnya, setiap daripada kita,… yang berhimpun, di sinilah rumah UMNO. Saya dan saudara saudari semua, bukanlah hanya sekadar bagian daripada UMNO, akan tetapi,… kita adalah UMNO.

14. Kitalah tiang serinya, lantai dan dindingnya, jenang dan jendelanya, atap genting dan atap rumbianya, pasak dan tunjangnya, saling bergabung, lengkap melengkapi, yang akan terus mengibar megah sang saka bangsa, panji keramat kepada parti yang berdaulat ini.
Saudara dan saudari,

15. Kata orang,….. alang-alang mahu berjuang,… walau langit turun menimpa,… meski bumi terbagi dua,… dengan cogankata Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat, UMNO ini satu-satunya parti milik kita, pertahankanlah,... pertahankan bersama.

Saudara dan Saudari,
16. Sesungguhnya, secara sedar ataupun tidak, perhimpunan kali ini berbeda dan tidak sama dengan kali kali yang lalu. Dengan kata lain, ekspektasi terhadap perhimpunan ini, luar biasa.

17. Kerana,… ternyata suasana dan kejadian-kejadian yang kita lalui, sejak setahun yang lalu, penuh liku-liku dan cabaran yang melintang.

18. Berpijak di bumi yang nyata, saya tahu daripada 191 bahagian, tidak semuanya seiring pandangan.

19. Apatah lagi pada perhimpunan kali ini, setelah episod-episod tidak terduga telah terjadi, pastinya ada sesetengah yang datang, dengan segala bentuk perasaan dan rasa serta hal-hal yang terbuku di dada.

20. Walau bagaimanapun,… Alhamdulillah,… saya yakin dan percaya, melihat akan rentak dan semangat yang ditampilkan, selama beberapa hari ini, majoritinya masih teguh berikat dengan kepimpinan saya.

21. Justeru, pada minggu-mingguyang lepas, dalam ikhtiar pembikinan naskhah ucapan, selaku presiden bagi kali yang ketujuh ini, saya telah mengadakan pertemuan-pertemuan, dengan pelbagai pihak, khususnya para alim ulama, bagi mendapat pandangan serta nasihat.

22. Ini semua, saya lakukan, oleh sebab pada hemah peribadi dan rakan-rakan, kita,… sedang mendepani detik-detik sukar lagi menduga kesabaran serta juga sifat istiqamah kepimpinan parti.

23. Lalunya, saya dipesan-pesan,… bagi memperingati satu sama lain, antaranya, petikan-petikan dari surah Al-Quraish dan A-li I'mran ayat 160, serta sepotong lagi kalimah-kalimah terakhir, sebagai penutup surah Al-Baqarah.


24. Begitulah,… saya mengajak saudara dan saudari, sama-sama mengucapkan Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad wa a'la Ali Saidina Muhammad.

25. Mudah-mudahan, terurai segala simpulan, terhapus semua kesusahan, tertunai seluruh hajat yang didamba dan tercapai segala hasrat yang diinginkan,… Insya-Allah.

Saudara dan saudari,
26. Merujuk apa yang saya nyatakan itu, dalam maksud lain, saban tahun, bukanlah mudah untuk saya berdiri di hadapan semua, di mana,… tubuh atau susuk ini, tiap kali berucap akan dipertanya-tanya, sama ada saya ini berucap sebagai apa? Presiden UMNO ataupun Perdana Menteri Malaysia.

27. Jawapannya, Ya,… betul, saya sedar, saya adalah Presiden kepada parti UMNO dan benar,.. dalam masa yang sama, saya juga adalah seorang Perdana Menteri bagi masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama.

28. Beriring dengan tanggungjawab ini, setiap kali perhimpunan agung, acapkali juga dipersoal dua lagi perkara, adakah presiden UMNO itu seharusnya berpendirian ultra atau pro-Melayu sahaja, dan keduanya mesti bersifat Islami ataupun tidak?

29. Ertinya di sini saudara dan saudari,… semua orang mesti faham baik-baik,… bahawa tugas yang terpikul di bahu saya, sambil dibantu oleh rakan-rakan, umpama seurat rambut dibelah tujuh.

30. Maksud yang mendalamnya, di kala Malaysia yang serba moden lagi membangun pesat ini, dengan pelbagai kaum di Semenanjung, menjangkau 40 etnik di Sarawak dan lebih 60 suku di Sabah, tambahan pula,… budaya dan faham yang beragam-ragam, teknologi dan media yang makin canggih serta masyarakat yang lebih terdidik, segalanya, daripada sebesar-besar hal kepimpinan dan pentadbiran negara juga parti, kepadalah sekecil-kecilnya urusan, tidak lagi semudah dan sesenang,… berbanding waktu yang dulu-dulu.


31. Maksudnya, peranan kepimpinan parti dan Kerajaan, mencakupi ruang lingkup yang seluas-luasnya, yakni yang dapat dilapiskan pada peringkat nusa atau negara, ummah dan tentunya Melayu Bumiputera.

32. Maknanya lagi, amanah yang dimandatkan adalah amat besar, untuk memimpin dan menerajui sebuah kesatuan, bukan sahaja orang Melayu, Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak, Islam dan bukan Islam, di mana unjurannya terkini seramai hampir 20 juta orang.

33. Malah, tentunya seluruh rakyat Malaysia yang berjumlah dekat 30 juta kini, tidak kira kaum Cina, India, Serani mahupun orang-orang Siam yang menetap di negara ini,… semuanya,… semuanya bagi kepimpinan UMNO, adalah sama penting dan sama mustahak dalam pembikinan sebuah nusa makmur lagi berjaya.


Saudara dan saudari,
34. Namun, saya dan kita semua harus faham dengan jelas,… bahawa pendirian kita, tatkala berada di forum dan pada pentas Perhimpunan Agung UMNO ini, barulah munasabah dan barulah berhak bagi kita menjurus untuk cenderung terhadap pembelaan untung nasib serta kebajikan khususnya, orang-orang Melayu dan Bumiputera.


35. Jadinya, bagi setiap usul, segala perbahasan dan segenap isu yang diperdebatkan, obor perjuangan yang dinyala, jangan gentar dan usahlah bimbang,… malah, kita dalam perhimpunan ini, sewajibnya,… tidak lain dan tidak bukan, mesti terus menjulang kepentingan dan kedudukan bangsa serta keturunan Melayu dan Bumiputera, di tanah tumpah darahnya sendiri.

Saudara dan saudari,
36. Pujangga ada berpesan, hidup ini tidak pernah pun menjanjikan yang senang-senang saja. Apabila berdepan dengan masalah, kita tidak boleh sekali-kali lari daripadanya. Itulah prinsip saya

37. Jika digali sejarah dan sisir kepimpinan negara, bermula pada zaman Almarhum Tunku, membawa kepada saya sebagai Perdana Menteri yang keenam ini, tidak ada seorang pun yang terlepas atau terkecuali daripada menerima ujian.

38. Berhubung semua ini, saudara dan saudari, tatkala dihadapkan dengan pelbagai dugaan, saya sering diperingkatkan oleh rakan-rakan, tentang mafhum dan tafsir surah Al-An'am, yang menjelaskan bahawa, cabaran terhadap seseorang pemimpin itu, harus diterima sebagai satu muhasabah, yang dengannya, mudah-mudahan Allah memberi keampunan dan mengangkat martabat kita.

39. Hatta, memetik hikmah kata oleh Bapak Muhammad Nasir, bekas Perdana Menteri Indonesia bahawa, tiada percetakan atau buku-buku panduan, yang bisa atau mampu melahirkan seorang pemimpin

40. Kerana pemimpin itu,… sebenarnya tidak lahir di bilik-bilik kuliah, sebaliknya pemimpin itu muncul di gelanggang dan di celah-celah kemelut supaya mampu menangani cabaran dan dugaan.
Saudara dan saudari,

41. Dari yang tersurat dan tersirat,… dengan berbekalkan mutiara qurani dan petikan duniawi, yang telah saya sampaikan tersebut,…biar menggunung cabaran menghalang, meski hebat apapun tantangan yang tiba, saya,… tidak boleh sesekali menyerah kalah, bahkan,… dengan beraninya,… harus berdepan bagi merungkaikan masalah dan menyelesaikannya, untuk terus memimpin UMNO mara menuju kemenangan.


42. Melangkah ke hadapan lagi, dalam mengharung asakan-asakan dan dugaan yang dipertimpa ke atas saya, pada hemat saya,… kepimpinan itu bukan soal kebongkakan menongkat langit, bukan juga mengumpul orang di sana sini, untuk mengata dan menuduh sesuka hati.

43. Sepertimana yang sudah saya nyatakan dengan nada yang tawadu' di Parlimen baru-baru ini, ya betul, memang benar,… saya seorang Presiden dan Pemimpin, akan tetapi, saya juga manusia seperti saudara dan saudari semua. Masing-masing, punyai kelebihan dan kekurangan.

44. Tetapi bagi saya, I am a gentleman, apa-apa kekusutan pun, marilah berjumpa, duduk berbincang, kita selesaikan melalui saluran yang betul.

45. Dalam pengertian yang lebih langsung, jika sekalipun pada suatu masa kelak, baton kepimpinan ini akan diserahkan kepada orang lain, dalam Bahasa Inggerisnya,.... to me,……. I can't just abandon our cause and drop our mission, tanpa dengan terlebih dahulu berikhtiar, mempastikan bukan sahaja isu-isu berbangkit dilangsaikan, malah,…keadaan parti dan jamaah ini hendaklah kembali dipulihkan seperti sediakala,… sebabnya,… jika tidak,… seperti yang dinasihatkan oleh para alim ulama, saya tidak boleh menjadi seorang pengecut, bahkan, itu bacul namanya.


Saudara dan saudari,
46. Sebab itu, terhadap apa-apa perkara pun, ada jalan dan kaedah penyelesaiannya. Dalam ehwal 1MDB, saya ingin maklumkan bahawa, ia sedang ditangani dan dalam proses penyelesaian.

47. Misalannya, dengan penjualan syarikat Edra, hutang 1MDB kini telah susut sebanyak 17 bilion. Ini membuktikan pelan rasionalisasi 1MDB sedang berjalan dengan baik. InsyaAllah ini akan disusuli dengan beberapa pengumuman yang lain, yang akan meyakinkan rakyat untuk akhirnya nanti mendapat penyelesaian yang tuntas.

48. Menyentuh dana 2.6 bilion pula, isu ini pun telah dijawab di sidang Parlimen baru-baru ini oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, bahawa, wang itu adalah derma dari luar negara dan bukannya diambil dari 1MDB. Saya juga telah menjelaskan dengan terperinci kepada para perwakilan semasa taklimat presiden. 


Yang mustahak,… saya yakin,… saya berada di pihak yang benar, dan kebenaran akan terbukti juga.

Saudara dan saudariku sekalian,
49. Bertitik tolak daripada semua itu, antara perkara mustahak yang mahu saya peringatkan, adalah prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan.

50. Bersabit ini, apa yang mahu saya jelaskan, bukanlah sesuatu yang menurut hawa nafsu, namun disandarkan kepada sirah dan ibrah para nabi, yang didampingi sahabat-sahabat berwibawa.

51. Saya turut meninjau tawarikh pertubuhan atau organisasi di serata dunia,… dan kita dapati,… jika sifat kesetiaan atau loyalty tidak terwujud kental pada diri masing-masing, dalam mendokong pimpinan utama, sudah barang pasti rosaklah rencana, pincanglah kesatuan.

52. Sesungguhnya jua, kesetiaan dan ketaatan bukan sekadar menjadi nilai-nilai utama, malah merupakan sifat, sikap, prinsip dan pegangan yang semestinya berdarah daging dan menunjang dalam diri setiap orang UMNO dari sebawah-bawahnya, hingga kepada pimpinan-pimpinan kanan.

53. Barulah wujud dan adanya disiplin, tanzim serta ketersusunan dalam organisasi seperti UMNO ini. Hukamak menyebut, sesuatu hak dan kebenaran yang tidak diwaspada pun, boleh tertewas oleh fitnah dan kebatilan yang dikerangkakan dengan rapinya, oleh pihak-pihak yang curang dan berniat jahat.


54. Malah, hukum kesetiaan disebut berulang kali dalam Al-quran dan hadis, antaranya melalui surah An-Nisa', tentang tuntutan ketaatan kepada Ulil Amri.

55 Dalam Islam, berasaskan nas dan matan hadis yang sahih, jumhur ulama, berpegang kepada pandangan dan nilai kesetiaan serta ketaatan, yang disebut sebagai wala', yang bererti memberi taat, kecintaan, setia dan kasih sayang kepada pemimpin dan institusi kepimpinan itu.


56. Sebab itu, kita tidak dapat memisahkan prinsip kepemimpinan dan kepengikutan, yang sebenarnya bersifat saling berkait antara satu dengan yang lain.


57. Kendati itu, dalam Sejarah Melayu lama pun, memperakukan dengan halusnya dalam bait-bait indah tentang kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan.


58. Ia menyebut, diseru dan dipanggil kita datang, disuruh pergi, kita pulang. Begitulah luhurnya prinsip kesetiaan dan ketaatan. 59. Sebab itulah, saudara dan saudari, Islam secara khulasahnya,

menetapkan bahawa adalah wa---jib kita mentaati pemimpin yang memerintah.


60. Lagipun, sepanjang saya menempuh onar dan ranjau kerjaya menjadi ahli politik dan anggota pentadbiran, semua orang tahu, Najib Razak ini,… Saya,… seorang yang tidak confrontational,…. Saya juga tidak pernah menjatuhkan sesiapa,… apatah lagi untuk mengkhianati parti UMNO tercinta ini.


61. Laginya,… hampir kesemua orang yang pernah terlibat dalam politik negara ini pastinya maklum,… bahkan tercatat dalam lipatan sejarah parti ini, bahawasanya,… Najib Razak ini,… Saya jugalah pada tahun 1987, di persimpangan getir untuk menyebelahi pucuk pimpinan UMNO pada masa itu, telah dengan penuh kasih dan hormatnya, tetap memilih untuk taat dan bersetia, kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir, dalam mempertahankan kedudukannya ketika itu, sebagai presiden UMNO, sekaligus mengekalkan dirinya sebagai Perdana Menteri.


Saudara dan saudari,
62. Berbalik kepada situasi semasa UMNO, dimaktubkan dalam perlembagaan parti bahawa, amanah besar dan tanggungjawab yang terpikul di bahu seorang Presiden, melalui fasal 9.8.1, adalah menjadi
pemimpin utama dan bertanggungjawab menjaga kesempurnaan perjalanan parti.


63. Manakala, fasal 9.8.2, dengan terang secara harafiahnya, memperincikan tanggungjawab dan amanah utama, bagi seorang Timbalan Presiden itu, fasalnya itu menyebut, "Timbalan Presiden membantu tugas-tugas Presiden".


64. Manakala, bagi fasal 9.83 pula, tanggungjawab dan amanah Naib-naib presiden itu dinyatakan sebagai,… "Naib-Naib Presiden itu kerjanya membantu tugas-tugas Presiden".


65. Merujuk kepada ahli-ahli pula,… fasal 6.1.1 dan 6.2.1, antara intipatinya menyatakan bahawa, tanggungjawab dan hak "Ahli-Ahli UMNO" ialah memegang teguh dasar parti dan melaksanakan tujuan-tujuannya serta berhak mengemukakan pendapat kepada parti, tetapi mestilah melalui saluran yang betul.


Saudara dan saudari seperjuanganku,
66. Lantas, dengan berpegang dan memahami maksud perlembagaan ini, barulah pertubuhan atau jamaah UMNO kita ini mampu bergerak dalam ikatan yang kukuh dan sempurna,… dipandu oleh etika-etika mahupun tatasusila parti yang sudah disepakati bersama.


67. Itulah rahsia,… dan itulah formula,… sesebuah parti politik seperti kita, yang telah bertahan dengan jayanya sehingga kini, mudah-mudahan sampai bila-bila.


Saudara dan saudari,
68. Pada perspektif lain, telah berbangkit suara-suara atau cakap-cakap, adakah UMNO masih relevan? Timbul juga, apa yang dikatakan sebagai "perang persepsi" melalui media sosial, yang kita
anggap sebagai cabaran terbesar kepada kita kini, di mana sesetengah isu itu, sengaja dieksplotasi, ditohmah dan diperbesar-besarkan.


69. Bak kata orang putih, perkara-perkara "half truth" pun boleh menjadi "absolute truth". 

Saudara dan saudari,
70. Menjawab persoalan-persoalan tadi, telah terserlah UMNO yang menunjang Barisan Nasional sebagai Kerajaan yang mentadbir sejak puluhan tahun, telah membuktikan kejaguhannya, dalam membawa Malaysia tercinta ini…


71. Daripada hanya sebuah perdesaan dan perkampungan,… tiada siapa dapat menjangka,…kini kita telah tumbuh dan muncul menjadi sebuah Bintang Timur yang bergemerlapan bukan sahaja di rantau ini, bahkan di seantero dunia.


72. Terkini, dalam laporan daya saing global 2015-2016 oleh World Economic Forum, Malaysia telah melonjak 2 anak tangga kepada kedudukan 18 daripada 144 buah negara utama ekonomi di dunia.


73. Justeru, mana mungkin orang boleh mengata kita sebagai fail state atau pengemis di bawah kepimpinan saya kini.


74. Malah, antara contoh yang boleh diperbanggakan lagi, pertamanya, pembinaan Pelantar Gas di Laut Caspian, pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kedua di Istanbul, pelaburan Shale Gas yang merupakan Pelaburan Langsung Asing atau FDI terbesar di Kanada hasil kendalian anak-anak bangsa kita.


75. Selain itu, Penyediaan Perkhidmatan Kesihatan yakni IHH Healthcare Berhad sebagai yang kedua terbesar di dunia, serta penyelenggaraan fasiliti stesyen dan pengendalian Mekah Metro, adalah juga kejayaan anak-anak bangsa kita, dan segalanya ini hasil perjuangan UMNO.


Saudara dan saudari,
76. Bercakap di sudut ekonomi juga, dalam hal GST, rakyat perlu tahu,hakikatnya, jika sebelum tahun 2015, 31 peratus daripada pendapatan Kerajaan datangnya daripada hasil minyak. 


77. Namun, akibat daripada penurunan mendadak harga minyak mentah dunia yang dijangka kekal rendah, akan menyebabkan hasil Kerajaan dijangka berkurang sekitar 30 bilion ringgit.


78. Jika ini berlaku, badan-badan pengabsah terkemuka di peringkat antarabangsa seperti Standard & Poor's dan Fitch Ratings, akan menurunkan taraf rating kredit negara.


79. Ini juga akan menyebabkan kadar-kadar faedah pinjaman seperti pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan pinjaman perniagaan melonjak naik.


Saudara dan saudari,
80. Implikasinya, menyebabkan ekonomi negara kita akan merudum, pelaburan akan terjejas, peluang pekerjaan pula menjadi terhakis.


81. Dalam konteks ini, tidak dapat dibayangkan, seandainya pihak Kerajaan tidak mempunyai keberanian politik untuk tetap melaksanakan GST, baki akaun semasa fiskal Kerajaan akan mencatat defisit sebanyak 10.6 bilion ringgit. Ia juga akan melonjakkan defisit negara daripada 3.1 kepada 4.8 peratus pada tahun pertama dan mungkin akan jauh lebih tinggi pada tahun-tahun berikutnya.


82. Akibatnya, Kerajaan mungkin terpaksa membuat pinjaman untuk membayar gaji penjawat-penjawat awam, termasuklah para guru dan anggota tentera.


83. Jika hal itu terjadi, tiada kenaikan gaji tahunan pada kakitangan, begitu juga elaun perjalanan, malah akan berlakunya pembekuan dan tiada pengambilan baru dibuat, hingga barangkali terpaksa mengecilkan pula saiz perkhidmatan awam. Hal ini, mungkin menjejaskan kebajikan seramai 1.61 juta orang kakitangan Kerajaan.


84. Syukur atas petunjuk Allah, pelaksanaan GST oleh pihak Kerajaan menjadi satu langkah yang amat tepat, sekalipun tidak popular,… dan,… Alhamdulillah, hasil kutipan GST-lah yang menjadi penyelamat, melindungi rakyat daripada ditimpa kesusahan yang lebih berat jika ia tidak dilaksanakan.

Saudari dan saudari,

85. Selain itu, saya ingin menyebut, kejatuhan nilai matawang, yang menjadi kebimbangan bukanlah kerana kegagalan kita mengurus ekonomi negara, tetapi adalah disebabkan oleh faktor-faktor luaran antaranya, kejatuhan harga minyak dan komoditi-komoditi lain, pengucupan kepada kadar pertumbuhan ekonomi negara China serta kadar faedah di Amerika Syarikat yang dijangka naik


86. Semuanya ini, adalah diakui oleh dunia sebagai faktor luaran sebagai punca bukan sahaja terhadap Malaysia, malah turut terkesan kepada kebanyakan negara ekonomi yang sedang membangun. 

87. Malah, negara seperti New Zealand dan Australia pun turut mengalami penyusutan yang teruk.


Saudara dan saudari,
88. Dari sudut yang lain,… kita mengatur syukur kepada Allah SWT kerana lebih daripada 90 peratus perkara-perkara dalam Akujanji-Akujanji, yang dibuat semasa Pilihanraya Umum 13 yang lalu,
telah berjaya Kerajaan kota dan tunaikan.


89. Bukti-buktinya, boleh dilihat pada pameran di luar dewan sana. Apa yang mustahak, ia menjadi tanda bahawa kita adalah sebuah Kerajaan yang menepati janji-janjinya.


90. Namun apa pun, kita perakui, masih terdapat 2 atau 3 perkara yang besar dan subjektif, seperti perumahan rakyat dan kos sara hidup, yang saya dan rakan-rakan kepimpinan negara faham bahawa isu ini adalah besar dan menjadi keresahan utama kepada rakyat.


91. Pokoknya, kita akan terus berusaha, bagi meringankan beban rakyat dengan pelbagai bantuan seperti BR1M, Klinik Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan projek-projek Perumahan Mampu Milik serta kenaikan gaji minima dan juga kenaikan gaji tahunan untuk penjawat awam.


92. Di atas semuanya, yang terlebih penting, saya mahukan agar UMNO tidak hilang fokus dalam mempastikan segala akujanji itu terus kita tunai dan lunaskan.


Saudara dan saudari,
93. Bercakap dari sudut ekonomi lagi, yang turut diperkatakan kini,adalah tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pacific atau TPPA, yang merupakan perjanjian perdagangan bebas yang komprehensif, merangkumi pelbagai skop dan bidang.


94. Meskipun demikian, suka saya maklumkan bahawa, kita sesekali tidak apologetik dalam mempertahankan Agenda Bumiputera, waima ketika berunding dalam perjanjian TPPA.


95. Bahkan, kita telah mencatatkan satu lagi sejarah di mana, anggota-anggota TPPA telah menerima dan mengiktiraf Dasar Bumiputera sebagai sebahagian daripada terma-terma TPPA di peringkat global.


96. Ertinya, perjuangan UMNO sudah berjaya dan agenda Bumiputera bukan lagi sekadar menjadi agenda nasional, sebaliknya kini, agenda Bumiputera sudah diangkat dan diiktiraf di persada dunia.


97. Inilah yang dinamakan Tahaluf Iktisadi, yakni kerjasama di bidang ekonomi. 

98. Sebetulnya pun, kita mengambil contoh daripada kisah sahabat Nabi, Abdul Rahman bin Auf, yang dianggap sebagai tokoh perniagaan disegani dalam sejarah Islam, sebab beliau berani bersaing bukan sahaja dalam pasaran Islam bahkan orang-orang Yahudi.

99. Jelasnya, perjuangan UMNO, tidaklah terhenti setakat wawasan 2020 sahaja kelak. Malah, menjelang tahun 2030, kita mensasarkan untuk berada pada kedudukan 10 negara terbaik yang paling kompetitif di dunia.


100. Lagi pula, kita mahu kemakmuran negara akan berterusan, bukan sekadar untuk 50 tahun atau sekurun lagi, bahkan untuk tempoh yang lebih panjang dari itu.


Saudara dan Saudari,
101. Ringkasnya, selama puluhan tahun, di bawah kepimpinan UMNO, yang menonggak Kerajaan, pelbagai kejayaan telah kita raih dan nikmati.


102. Antaranya, kita berjaya memperkukuhkan dasar pendidikan negara, sehingga melahirkan ratusan ribu graduan yang cemerlang, yang akhirnya menjadi cendekiawan, para teknokrat, ulama dan usahawan cemerlang.


103. Realitinya, ikhtiar UMNO selama ini, telah merubah lanskap kehidupan orang-orang Melayu dan Bumiputera kepada yang lebih baik ataupun disebut mobiliti sosial yang berlaku secara menegak, dalam tempoh hanya satu generasi.


Contohnya:
Anak buruh kasar telah menjadi Menteri,
Anak penoreh getah menjadi Timbalan Menteri dan Ketua Menteri,
Anak nelayan telah menjadi Menteri Besar,
Anak petani dan pekebun menjadi Ketua-ketua Setiausaha, 
para cendekiawan terkemuka, ahli-ahli korporat serta pemimpin-pemimpin masyarakat.


104. Sebagai misalan, saya tersentuh hati, pabila dimaklumkan bahawa, betapa sukar dan susahnya hidup sewaktu membesar dulu, ada hari makan gulai berlauk ikan kembung, manakala esoknya pula hanya dapat menjamah kuahnya sahaja Tapi sekarang, Alhamdulillah, tokoh penjawat awam yang saya sebutkan ini, dah pun menjawat jawatan begitu tinggi, yakni sebagai Ketua Setiausaha Negara.


105. Kisah kedua, ada juga yang dulu-dulu keluarganya terpaksa berpindah dari pedalaman ke jalan besar, semata-mata supaya anaknya itu dapat didedahkan kepada arus pembangunan negara dan menjadi lebih terbuka lagi terdidik. Tindakan keluarga itu ternyata membawa manfaat. Hari ini, tokoh

politik dari negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut, telah pun berjaya menjadi seorang menteri.


106. Kisah ketiga, masih ingatkah kita lagi, semasa perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, apabila salah seorang perwakilan, asal dari keluarga yang sangat daif dan susah di pedalaman Kedah, kini merupakan antara Doktor Pakar Otopedik termuda dalam negara ini dan telah tersenarai
dalam 8 orang finalis calon angkasawan negara. Apa yang menginsafkan kita, pabila saudara Dr Nawar ini, mengakui bahawa, 'setiap butir nasi yang dijamah dan dimakan, adalah rezeki kurniaan Allah, hasil titik peluh perjuangan UMNO.'


Saudara dan Saudari,
107. Hasrat hati saya, alangkah indahnya, jika lebih ramai, bukan sahaja para perwakilan, tetapi kesemua ahli UMNO atau sebolehnya seluruh rakyat Malaysia mensyukuri kehidupan sedemikian sekali dan dengan limpahan rezeki yang dirasai ini sebagai hasil perjuangan parti kita.


Saudara dan saudari,
108. Kata orang, sudah terang lagi bersuluh. Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, jelas sekali, sebegitu banyak warna-warna kejayaan orang Melayu dan Bumiputera, yang telah dilakar dan dilukis hasil perjuangan UMNO, tidak terungkap oleh kata-kata, tak terhitung pula oleh angka.


109. Apatah lagi menjelang Mei tahun depan, UMNO akan mencecah usianya yang ke-70 tahun, sekaligus memegang rekod sebagai parti yang berjaya mempertahankan kemampuan dan kalibernya, mengemudi Malaysia yang pesat membangun, sejak dulu, kini dan insyaAllah selamanya.


110. Lalu, saudara dan saudari seperjuanganku, marilah kita bersama memberi tepuk semangat yang gemuruh, kepada UMNO parti tercinta yang telah berjasa kepada nusa dan bangsa ini,

……………………..…………………


Saudara dan saudari,
111. Begitulah saya, sebagai ahli parti dan Presiden UMNO yang taat dan setia, pabila tibanya bulan Mac tahun depan, genaplah penglibatan saya selama 40 tahun, bersama parti ini, tanpa sekalipun,… pernah meninggalkannya.


112. Apatah lagi,… saya yang lahir dari leluhur UMNO,… mana mungkin bersurut pulang atau sesekali berbalik haluan. Kata pepatah orang Bugis,… sekali layar sudah dikembang,… saya berikrar bermati-matian akan terus memimpin perjuangan mulia ini, bagi membela orang Melayu dan Bumiputera.


Saudara dan saudari,
113. Malangnya,… ada sesetengah pihak yang telah dan sedang menebuk lubang bahtera perjuangan ini, dengan tujuan menenggelamkan lawannya. 


114. Sayang seribu kali sayang, mereka terlupa bahawa tindakan khianat sedemikian, bukan setakat boleh melemaskan pihak lawannya, akan tetapi, akhirnya yang karam dan tenggelam, adalah seluruh bangsa keturunan dan tamadun kita ini.


Saudara dan saudari,
115. Berhubung soal ini, sarjana-sarjana agama, antaranya Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr Sulaiman Saloomi, sendiri pun, menyatakan tentang haram hukumnya menggulingkan Kerajaan.


116. Apatah lagi, melalui demontrasi jalanan, sehingga tergamakkah kita melihat pabila segelintir kaum lain, dengan beraninya memijak-mijak gambar-gambar para pemimpin Melayu Islam kita.


117. Demikian juga, saudara dan saudari, saya telah meminta pendapat beberapa orang alim ulamak, berkaitan bagaimanakah yang dikatakan sesebuah Kerajaan itu zalim serta layak ditumbangkan.


118. Soalnya, apakah kepimpinan Kerajaan kini yang telah berikhtiar sehabis baik, merintis berjuta jalan, demi maslahah rakyat, apakah itu boleh dihukum sebagai Kerajaan yang zalim?


119. Sebaliknya, baru-baru ini di dewan undangan negeri Pulau Pinang di bawah Kerajaan DAP, ADUN PKR Penanti, di Permatang Pauh, telah menangis teresak-esak dan tersedu sedan, mengenangkan nasib para pengundi di kawasan beliau, terutamanya orang-orang Melayu yang katanya, tidak diperendah dan tidak dipeduli oleh Ketua Menteri mereka sendiri.


120. So,… tengoklah apa yang berlaku,… sampai begitu sekali. Walhal, syukurlah tidak pernah terjadi dalam sejarah Barisan Nasional, selama puluhan tahun, sampai ada yang menangis seperti itu.


121. Realitinya, siapa yang zalim sebenarnya? tepuk dada, tanyalah selera.

Saudara dan saudari,
122. Pucuk pangkalnya, janganlah hendaknya dipersiakan apa yang kita secara susah payah raih dan kecapi. Nanti menyesal sudah tidak berguna lagi,….


123. Kita kena sentiasa beringat, di perhimpunan yang dirahmati inilah, orang-orang Melayu berkampung. UMNO inilah tempatnya kita menumpang manja, mengadu suka dan duka.


124. Di perhimpunan bertuah inilah, saban tahun kita keramatkan segala usul yang akhirnya menjadi dasar-dasar negara.


125. Ingat,... ingat ya,.. di sinilah UiTM dimartabatkan, di sinilah nasib penjawat awam dibela, di perhimpunan ini jugalah Raja-Raja Melayu terus dipermuliakan.


126. Dan,… yang paling utama, di jamaah dan himpunan inilah, syiar agama Islam dipertinggikan, dan di perhimpunan inilah juga orang Melayu menghitung masa depan keturunan mereka, agar tidak merempat di watan sendiri.


Saudara dan saudari,
127. Selain itu, dewasa ini, institusi Bumiputera seperti UiTM, bukan lagi calang-calang menara gading. Pasukan debatnya telah memenangi kategori utama dalam pertandingan debat intervarsity paling kompetitif di dunia, yang berlangsung di Universiti Cambridge.


128. Tidak lupa kepada para pendebat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia apabila memenangi kategori English as second language dalam pertandingan yang sama. Tahniah dan syabas kita ucapkan kepada mereka.

Saudara dan saudari,

129. Seterusnya, seperkara lagi yang ingin saya kongsikan dari hati ke hati,… dalam melayari pimpinan dan pentadbiran negara ini, waima siapa sahaja yang duduk di kerusi sebagai sebagai Perdana Menteri, sekaligus juga seorang Presiden parti,… bukan sekadar sekali-sekala,… namun hampir setiap masa, saya dihadapkan dengan pelbagai dilema dan punya tiada pilihan, bahkan

terpaksa membuat keputusan-keputusan yang berat dan keras, namun, demi kepentingan parti, setelah disepakati secara syura oleh Majlis Tertinggi UMNO.


130. Ternyata,… ada waktunya,… kalau atas dasar seorang sahabat, tidak mungkin saya mengambil keputusan yang luka lagi melukai. 


131. Namun, bak kata kearifan Inggeris, if you wish to please everybody, you will end up pleasing no one.


132. Lalu, atas nama survival dan kepentingan parti, tindakan-tindakan tertentu, terpaksa dengan berat hatinya diambil.


133. Ini,… saya rujuk kepada antaranya rombakan kabinet, bagi memperkukuhkan lagi barisan Jemaah Menteri dalam membina kesepakatan dan kesetiaan, sebagai satu pasukan yang padu, berasaskan konsep collective responsibility, sebagai satu saf atau pasukan yang mantap lagi jitu.


134. Tambahan lagi, perjuangan UMNO bukan sahaja di Tanah Semenanjung, bahkan kita akan terus membantu rakan-rakan seperjuangan kita, yakni parti komponen Barisan Nasional, dalam usaha membela untung nasib rakyat di Sabah dan Sarawak.


135. Oleh itu, baru-baru ini, saya telah umumkan bahawa, lebih banyak kuasa pentadbiran atau empowerment, yang membabitkan jabatan dan agensi persekutuan bakal diberikan kepada Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.


136. Tidak cukup sekadar itu, dalam Bajet 2016, kita zahirkan komitmen, dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1,796 kilometer, yang bebas daripada sebarang bayaran tol.


Saudara dan saudari,
137. Begitu juga halnya bagi negeri Sabah. Di bawah kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, kita terus bermati-matian mempertahankan tanah Sabah daripada penceroboh yang tidak diundang.


138. Akan tetapi, kita berasa sangat kesal, tatkala kita mempertahankan kedaulatan bumi Sabah, daripada pengganas, ada pula individu-individu tertentu yang tergamak, malah sanggup bertemu dengan pihak yang pernah dikaitkan dengan penceroboh di Lahad Datu.


139. Perbuatan ini sememangnya sungguh tidak bertanggungjawab, sungguh mengguris hati, bahkan boleh dianggap sebagai satu penghinaan terhadap keluarga dan para perajurit serta pengkhianatan terang-terangan pada negara.


140. Di atas semuanya, Kerajaan akan terus mempastikan keselamatan bumi Sabah, supaya negeri di bawah Bayu terus kekal bersama Malaysia, makmur sentosa, buat selama-selamanya.


Saudara dan saudari,
141. Sejak akhir-akhir ini, rakyat sering dimomok-momokkan oleh parti pembangkang, kononnya, mereka adalah alternatif untuk menggantikan Kerajaan Barisan Nasional.


142. Contoh yang sangat ketara sekarang, betapa DAP, cuba 'menguasai' parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.


143. Ini dapat kita lihat, bilamana ada di kalangan pemimpin mereka, yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding di 8 kerusi DUN, yang dimenangi oleh PAS di Selangor sebelum ini, pada Pilihanraya Umum ke-14 kelak.


144. Lebih-lebih lagi DAP di Sarawak, dengan angkuhnya memutuskan hubungan dengan PAS dan PKR, kerana ingin bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihanraya Negeri Sarawak nanti.


145. Itulah dia DAP, yang tidak pernah setia dengan rakan gabungannya. Tahun 1990, mereka membentuk gabungan pembangkang. Lalu berpecah pada tahun 1995. Bergabung semula di tahun 1999. Kemudian tahun 2004, berpisah lagi.


146. Seterusnya, DAP mencuba lagi berpakat di tahun 2008 dan 2013 dengan PAS dan PKR. Kalau nak ikutkan perumpamaan orang berkahwin, sudah tiga kali jatuh talak. Nampaknya, besok-besok, kalau pecah pulak dengan Pakatan Harapan, tak taulah pulak talak berapa nak pakai nanti.


147. Mutakhir ini pula, parti PAS telah disepak dan diterajang keluar daripada pakatan mereka macam itu saja.


148. Ternyata, puak-puak DAP ini, tak pernah bersatu hati dengan pakatan mereka Cubalah kita fikir dan renung-renungkan. Nak berpakat pun payah, jadi,… macam mana nak perintah negara?


Saudara dan saudari,
149. Bersabit perkara ini, selagi saya memimpin, seruan saya kepada rakan-rakan dan saudara saudari seperjuanganku sekalian bahawa, kita sekali-kali tidak akan membiarkan individu tertentu bercakap
sembarangan, kononnya kita perlu menjurus kepada two-party system atau sistem 2 parti.


150. Mana boleh???,… Mana boleh perkara ini kita terima? Bukan atas dasar kita tidak faham pengertian demokrasi, tetapi,… dari sudut falsafah dan perjuangan UMNO itu sendiri, yang memartabatkan bangsa dan mempertinggikan syiar Islam, saya ingin bertanya kepada perwakilan
dan ahli UMNO semua, takkan kita tidak faham akan bahayanya, akibat seruan yang tidak bijaksana itu?


151. Benda inilah,… hal inilah,… perkara inilah,… orang melayu kita, orang UMNO kita,… kena berjaga-jaga dan berwaspada.


152. Jangan sampai kita tersilap langkah,… jangan sampai kita terjun ke dalam perangkap ini.


153. Realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat mempunyai cuma 2 pilihan sahaja, sama ada coalition, yang dipimpin oleh UMNO, ataupun satu lagi coalition yang dipimpin atau didominasi oleh DAP.


154. Maksud saya, seandai dan sekiranya UMNO ditolak, negara ini akan diperintah oleh mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera.


155. Bencananya, yang akan menimpa, apakah kita mahu masa depan anak cucu dan agama Islam dipertaruh kepada selain daripada kepimpinan Melayu dan Islam sedia ada? Nauzubillah….


UMNO MENUJU ISLAM YANG AUTENTIK, SEJATI LAGI MURNI

Saudara dan saudari,
156. Menjengah jendela Islam dan perjuangan UMNO terhadapnya, selama berdekad-dekad, parti ini, telah menyongsong pembawaan syiar Islam, yang memenuhi tuntutan kerangka Maqasid Syariah.


157. Sampai kini, Malaysia semakin dikenali sebagai sebuah negara Islam progresif lagi dinamik, seraya menjadi contoh di kalangan negara membangun serta negara Islam yang lain di dunia.


158. Kita bukan beromong kosong, fakta ini dikukuhkan melalui Indeks Syariah Malaysia, yang saya lancarkan pada 10 Februari 2015 yang lalu,... sebagai yang pertama seumpamanya di dunia.


159. Insya-Allah,... awal tahun hadapan hasil penilaian pertama bakal diumumkan dan bersandarkan dapatan ini,... saya selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri berikrar dan berjanji akan komited sepenuhnya untuk memperkembang dan mempertinggikan syiar Islam di Malaysia.


160. Barulah, sebuah negara Islam yang digelar "Baldatun Toy-yi-batun wa Rob-bun Ghofur" akan terbangun dan terwujud jua di Malaysia. InsyaAllah.


161. Sesungguhnya, inilah rupawajah Islam yang menjadi jajaran dan pedoman perjuangan UMNO, yang telah kita junjung.

162. Dalam mengangkat syiarnya pula, kita tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.


163. Pucuk pangkal, kalau kita takut, mana mungkin saya membuat keputusan menjejakkan kaki ke bumi Gaza, tanah para Anbiya' di saat-saat kemelut masih meruncing ketika itu.


164. Bahkan terbukti, perjuangan ini telah kita bawa dengan beraninya, hingga ke Podium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

165. Jelasnya, kepimpinan UMNO akan terus beristiqamah bagi membantu perjuangan saudara seakidah kita di Palestin. Allahu Akbar! Allahu Akbar!


166. Terkini, semalam saya sendiri telah menerima 3 keluarga seagama kita, yang bernasib malang dari Syria untuk diberi perlindungan dan kehidupan baru.

167. Sememangnya, Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Maka berbenar-benarlah sabda junjungan mulia Nabi Muhammad, antaranya pada peristiwa perang Khandak. Lantas, UMNO yang menjunjung Islam sejati atau The Authentic Islam, pasti diperkekalkan oleh Allah perjuangannya sampai bila-bila.

PERPADUAN UMMAH

Saudara dan saudari,
168. Sesungguhnya, kita hidup di dunia ini hanya sekali dan sementara saja. Harta, kuasa dan pangkat hanyalah pinjaman dari yang Maha Esa.

169. Dimadah orang juga,...
anak punai, anak merbah,
terbang tinggi buat sarang,
anak sungai kan berubah,
inikan pula hati orang.

170. Jelasnya, insan itu sifatnya, berbolak balik. Secara manusiawinya kita tidak ada yang sempurna. Namun,… perjuangan ini,… perjuangan ini,… mesti kita sempurnakan.

171. Berdiri di atas perkara dan topik ini, teringat saya petikan kata-kata Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulama besar negara dari Pulau Pinang, yang juga Nenda kepada mantan Perdana Menteri Pak Lah Badawi.

172. Sheikh Abdullah Fahim mengatakan, bahawa:
…orang Islam perlu memperbaiki perbalahan sesama mereka,… dan setelah berdamai,… penyatuan yang terbina itu diharap akan berkekalan. …Kerana,… itulah satu-satunya senjata yang boleh memperkuatkan perpaduan orang-orang Melayu dan Islam.


173. Malah, apabila bercakap tentang perpaduan ummah ini juga, teringat saya kepada ayat suci Al Quran, yang dimasyhurkan oleh pujangga Arab bahawa:

…jika kita terlalu suka pada seseorang atau sesuatu kumpulan, maka berpada-padalah, kelak kita mungkin menjadi terlalu benci pada seseorang atau kelompok itu. …sebaliknya, jika kita terlalu benci pada seseorang atau sesatu kumpulan, maka berpada-padalah juga, mana tahu satu hari kelak,

kebencian itu berubah kepada rasa suka dan cinta kepada mereka.


174. Maka saudara dan saudari,.. kita di dalam UMNO, berasa lega, malah gembira, pabila PAS, kini tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

175. Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturrahim,… kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatnya.

Saudara dan saudari,

176. Walaupun demikian,… sekalipun kita begitu mendambakan satu perpaduan ummah, namun, di atas segalanya yang paling utama dan paling mustahak, marilah mendokong usaha untuk kesatuan dan solidariti dalaman UMNO itu sendiri terlebih dahulu.

Saudara dan saudari,
177. Kerana itulah, meskipun hati saya telah terguris dan terluka dengan begitu mendalam, tetapi saya selaku Presiden, mengambil pengajaran daripada agama kita,... saya memilih untuk berjiwa besar.

178. Tambahan lagi, sebagai satu Jemaah dan organisasi, sudah tentu kita mempunyai disiplin tersendiri.

179. Sebagai mana Islam telah meletakkan garis batasan, tiap sesuatu itu ada sempadannya.

180. Makanya,… saudara dan saudari, janganlah kita sesekali melangkaui sempadan dan batasan itu.

Saudara dan saudari,
181. Atas segalanya,… jika Sukarno pernah berkata, berikan daku 10 pemuda, nescaya aku mampu menggegarkan dunia.

182. Saya pula,… Najib Razak, mahukan terdiri dan terbangunnya sepasukan wanita, pemuda dan puteri yang taat lagi setia,… BANTULAH SAYA,… memacu Malaysia menuju puncak hingga ke mercu-nya.

183. Biar mati berkalang tanah, perjuangan UMNO tidak akan dibiar musnah.

184. Gantungkanlah azam dan semangat yang tinggi,… setinggi bintang di langit, biarpun ada yang berpaling tadah,. biar berkali-kali kita ditolak supaya rebah,…there shall be no retreat, no surrender,..no retreat!!! no surrender!!!

185. Demi kepentingan Islam, Melayu, UMNO dan Perpaduan Ummah. Berpaut dan bertawakkal kepada Allah,… perjuangan UMNO ini, kita sempurnakan jua.

Hidup Melayu!
Hidup UMNO!
Hidup Barisan!
Hidup Malaysia

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.