Followers

KKM NAFI MUAT NAIK BORANG SOAL SELIDIK SISTEM PENDIDIKAN SATU ALIRAN


KUALA LUMPUR:  Kementerian Komunikasi dan Multimedia menafikan memuat naik borang soal selidik atas talian meminta pengguna internet memberi respon mengenai keperluan sistem pendidikan satu aliran.


Borang soal selidik yang diterbitkan melalui 'Google Forms' itu dilihat menggunakan logo Bahagian Maklumat di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Memetik laporan The Star Online, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menafikan pembabitan Kementeriannya dalam hal itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata beliau menghubungi Salleh untuk mendapatkan penjelasan pada Selasa.

"Beliau sudah bertanyakan Ketua Pegarah Bahagian yang juga menafikan pihaknya menerbitkan dokumen tersebut.

"Beliau juga berjanji bahawa pihaknya akan menjalankan siasatan ke atas perkara ini," Wee berkata dalam satu kenyataan.

Wee berkata Salleh juga tidak bersetuju ke atas 'soal selidik' itu dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

"Saya menggesa pihak Kementerian untuk mengenalpasti orang yang muat naik soal selidik itu dan mengambil tindakan terhadapnya," katanya sambil mengingatkan orang ramai bahawa hak untuk pendidikan bahasa ibunda telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Tiada sesiapa pun dibenarkan mencabar sistem pendidikan pelbagai aliran. MCA tidak akan berkompromi dalam perkara ini," tegasnya.

Ujar Wee, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan membawa perkara ini ke kabinet atau berbincang bersama Salleh. - ASTRO AWANI

BEKAS KETUA MENTERI MOHON MAAF KELUARKAN DAKWAAN PALSU


KUALA LUMPUR:  Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka untuk kali ke-3 dalam empat hari kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang didakwanya telah memeluk agama Kristian Katolik.


Permohonan maaf dalam Bahasa Malaysia itu dimuat naik di laman Facebook dan Twitter milik Rahim pada 6 petang semalam, selepas mengeluarkan kenyataan yang sama dalam Bahasa Inggeris pada Isnin.

"Merujuk kepada status saya di Twitter dan Facebook mengenai dakwaan Raja Muda Selangor memeluk agama Katolik, saya mengakui ia dari sebuah laman web tidak berasas.

"Saya memohon maaf di atas kesulitan dan kesusahan kepada Raja Muda Selangor dan Istana Selangor disebabkan status tersebut," katanya menerusi laman Facebooknya, Rahim Tamby Chik.

Dakwaan itu sebelum ini dinafikan Istana Selangor dan disifatkan sebagai tidak berasas, tidak benar dan berunsur fitnah.
Berita palsu yang mengaitkan penukaran agama Tengku Amir Shah setelah terbabit dengan seorang wanita Hispanik merupakan dakwaan atas talian yang dibuat-buat, tidak benar dan telah ditolak oleh pihak istana pada Julai tahun lalu.

Pengesahan penerimaan Istana Selangor mengenai permohonan maaf Rahim masih belum dipastikan.
Pihak Mahkamah DiRaja Majlis Negeri Selangor dijadual bermesyuarat bagi membincangkan lanjut perkara itu. - ASTRO AWANI

KERAJAAN TUMPU KEPADA KELAJUAN, LIPUTAN DAN KEMAMPUAN INTERNET NEGARA : SALLEH


KUALA LUMPUR:  Kerajaan memberi tumpuan kepada kelajuan, liputan dan kemampuan dalam pembangunan internet negara.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata tumpuan kerajaan ialah bagi memastikan menjelang 2020, sekurang-kurangnya 95 peratus daripada rakyat  mempunyai akses internet.
"Kerajaan juga mahu memastikan bahawa sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan bandar dan 20 peratus kawasan luar bandar mempunyai kelajuan jalur lebar 100 megabit sesaat (Mbps).

"Fokus Malaysia ialah kelajuan, liputan dan kemampuan. Ini bermakna kos (kemampuan) adalah satu perkara yang saya sedang kaji, yang juga perkara yang dibangkitkan oleh (pemimpin veteran DAP) Lim Kit Siang," kata beliau menerusi catatan terbaru dalam blognya, sskeruak.blogspot.my.

Beliau berkata ketika ini, kadar penembusan Internet di Malaysia ialah 67 peratus daripada jumlah penduduk.

"Walaupun ia masih rendah berbanding Korea Selatan (92 peratus), Brunei (75 peratus), Jepun (86 peratus), Singapura (80 peratus) dan Taiwan (80 peratus) tetapi Malaysia mendahului negara-negara lain di Asia," katanya.

Salleh berkata purata kadar penembusan Internet seluruh Asia hanya 38.8 peratus dan 73.5 peratus bagi seluruh Eropah dan pastinya Amerika Utara mengatasi negara-negara lain di dunia pada 87.9 peratus.

"Seperti yang saya nyatakan semalam, kami bercadang untuk menawarkan 95 peratus daripada Perkhidmatan Internet kepada rakyat Malaysia menjelang 2020, iaitu cuma tinggal lima tahun dari sekarang.

"Dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bercadang untuk membelanjakan kira-kira RM9 bilion menjelang 2020 bagi mencapai matlamat ini," kata beliau. - BERNAMA

MALAYSIA BERADA DI LANDASAN UNTUK MENJADI NEGARA PINTAR : SKMM


CYBERJAYA:  Malaysia berada di landasan untuk mengembangkan keupayaan komunikasi dan liputan ke arah menjadi negara pintar menjelang 2020, kata Ketua Bahagian Kawal Selia Pasaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Laila Hassan.


Beliau berkata berdasarkan Laporan Prestasi Industri 2014, kadar penembusan telefon mudah alih di Malaysia telah melepasi 148.5 peratus manakala kadar penembusan jalur lebar isi rumah adalah 70.2 peratus pada akhir 2014.

Beliau berkata ini disokong oleh pencapaian sebanyak 27.8 peratus liputan perkhidmatan LTE 4G yang melepasi sasaran 20 peratus tahun ini.

"Jaringan hubungan telah berkembang secara menyeluruh dalam konteks tetap, mudah alih, dan dalam talian termasuk siaran digital.

"Kita perlu memastikan bahawa rangkaian kami boleh menampung trend menyampaikan kandungan dan memenuhi e-niaga," katanya.

Laila berkata, menurut laporan itu, projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) telah mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 21 peratus kepada 810,000 langganan daripada 670,000 langganan pada 2013.

Sementara itu, jalur lebar mudah alih kekal sebagai penyumbang terbesar langganan jalur lebar pada 2014, dengan lebih 85 peratus daripada jumlah langganan jalur lebar (20.7 juta).

"Pada masa yang sama, terdapat anjakan paradigma dalam trend daripada televisyen kepada platform rangkaian dalam talian dan sosial. Pada 2014, pertumbuhan perkhidmatan data ialah antara 25 peratus dan 40 peratus.

"Ini menunjukkan bahawa pelaburan dalam 4G LTE secara berterusan dan meningkat sepanjang infrastruktur jalur lebar menyokong pertumbuhan permintaan data," katanya.

Justeru, beliau berkata keupayaan rangkaian jalur lebar akan meningkat dengan ketara oleh penggunaan termasuk video mudah alih, yang dijangka berkembang sebanyak 45 peratus setiap tahun sehingga 2020.

Laila berkata ketika ini, adalah penting bagi Malaysia untuk mengukuhkan asas-asas pengeluaran kandungan kreatif untuk memanfaatkan peningkatan permintaan bagi kandungan seperti itu jika dibandingkan dengan platform dalam talian dan mudah alih.

"Hari ini, permainan, analisis data, TV dalam talian, kesihatan, pengangkutan dan fungsi yang lain disokong oleh aplikasi atau sambungan Internet muncul sebagai trend dalam gaya hidup digital Malaysia," katanya.

Begitu juga, kata beliau, kemunculan platform media sosial termasuk aplikasi mudah alih menawarkan peluang untuk e-dagang dan membeli-belah dalam talian untuk berkembang.

"Ini membolehkan perkhidmatan pos dan kurier melengkapi persekitaran ini dengan menawarkan penghantaran logistik dan produk. Dengan itu, perkhidmatan pos mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 12.6 peratus kepada RM1.52 bilion daripada RM1.35 bilion," katanya.

Laila berkata pencapaian industri komunikasi dan multimedia (C&M) adalah stabil dengan keseluruhan hasil pertumbuhan sebanyak 3 peratus pada 2014 kepada RM58.91 bilion dan menyumbang 12.6 peratus daripada permodalan pasaran Bursa Malaysia sebanyak RM1,651.17 bilion.

Beliau berkata sektor telekomunikasi dan penyiaran, masing-masing menyumbang 78 peratus dan 10.5 peratus kepada jumlah hasil industri C&M. - BERNAMA

ISU KETUA PEMUDA MCA PASIR GUDANG SELESAI : TIONG LAI


KUALA LUMPUR:  Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan isu melibatkan Ketua Pemuda MCA Pasir Gudang yang didakwa mahu memutuskan hubungan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah diselesaikan secara bersama dalam Barisan Nasional (BN).


Ia berikutan UMNO Johor dan MCA Johor telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan isu berkenaan secara baik.

"Kita sudah dapat kata sepakat di mana isu ini telah dapat diselesaikan. Ketua Pemuda MCA Pasir Gudang menghormati keputusan kepimpinan pusat.

"Kepimpinan pusat telah memastikan bahawa semua isu berhubung BN, kita selesai cara BN," katanya ketika ditemui media selepas menutup Forum Komunikasi Dunia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Justeru, Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berharap isu berkenaan tidak lagi timbul, sebaliknya semua anggota BN bersama-sama menumpukan kepada soal pembangunan ekonomi.

"Saya harap semua bersatu untuk menghadapi cabaran ekonomi negara. Kita jangan berpecah-belah, kita kena bersatu dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri bagi memastikan isu ekonomi ditangani dengan cepat," kata Tiong Lai.

MCA komited untuk membantu Perdana Menteri menyelesaikan isu-isu ekonomi yang dihadapi negara kita," katanya lagi.

Pemuda MCA Pasir Gudang, Chia Chow Hui sebelum ini mengeluarkan kenyataan mahu memutuskan hubungan dengan Najib susulan kenyataan sokongan beliau kepada Himpunan Rakyat Bersatu di Kuala Lumpur pada 16 September lalu.

Kenyataannya mendapat kecaman pelbagai pihak dalam BN termasuk Pengerusi Pemudanya, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan serta tidak matang. - ASTRO AWANI

PEMIMPIN, PENTADBIR INSTITUSI PERLU ADA INTEGRITI DAN TAQWA : SULTAN NAZRIN SHAH


PUTRAJAYA:  Barisan pemimpin dan pentadbir yang telah dipilih oleh rakyat atas dasar percaya perlu menjadi pemegang amanah seterusnya menjalankan tugas dan fardu kifayah dengan berintegriti serta taqwa.


Sultan Perak Sultan Nazrin Shah Almarhum Sultan Azlan Shah bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Universiti Islam Dunia di Putrajaya pada Selasa.

"Di sini, beta menegaskan kepada barisan pemimpin dan pentadbir kita yang dipilih oleh umum atas dasar percaya agar bertindak sebagai pemegang amanah dan menjalankan tugas umum serta fardu kifayah dengan integriti dan taqwa, bagi pihak kita semua dan demi kebaikan semua," titah baginda.

Titah tersebut merujuk kepada betapa perlunya usaha mengekal dan mengukuhkan institusi-institusi negara dengan memberi perhatian kepada aspek integriti dan kebebasan.

Tambah baginda, adalah sangat penting untuk menjaga amanah umum tersebut bukan sahaja ketika dalam situasi aman, malah ketika negara berdepan dengan tempoh krisis.

Baginda turut memberi contoh, selain Universiti Al-Azhar di Mesir dan Universiti Qarawiyyin di Maghribi,  institusi pendidikan dunia yang lain perlu mengutamakan kecemerlangan akademik supaya  mampu menghasilkan graduan berfikiran kritis dan mampu berhujah dengan bernas.

Dalam sidang kemuncak itu, baginda turut bertitah institusi pendidikan perlu mempunyai misi sosial untuk golongan yang terpinggir.

"Salah satu caranya adalah dengan menawarkan dermasiswa dan biasiswa kepada pelajar yang datang dari latar belakang yang kurang bernasib baik," titah Sultan Nazrin.

Hala tuju universiti

Bertemakan "Re-Writing The Narrative: Higher Education for the 21st Century", sidang kemuncak selama dua hari itu disertai lebih 200 pemimpin universiti negara-negara Islam sedunia.

Ia dianjurkan bersama oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) Kementerian Pendidikan Malaysia bagi membincangkan isu-isu berkaitan sistem pendidikan tinggi dalam mendepani cabaran global.

Antara visi sidang kemuncak itu adalah untuk menyeru pemimpin universiti Islam agar mengkaji semula hala tuju dan fungsi universiti masing-masing dengan mengambil konteks keperluan pendidikan umat Islam.

Terdapat tiga penekanan utama yang akan menjadi teras perbincangan sidang iaitu kepentingan akses dan ekuiti pendidikan, perkaitan budaya dan etika, serta kelestarian pendidikan bagi universiti Islam dan ummah seluruh dunia.

Semua itu perlu diberi perhatian supaya perkembangannya sejajar dengan konteks kehidupan semasa dan akan datang. - ASTRO AWANI

TIADA TINDAKAN SEMBRONO DALAM HUBUNGAN DIPLOMASI ANTARABANGSA : REEZAL MERICAN


PUTRAJAYA:  Tidak ada tindakan semberono yang diambil dalam perkara yang melibatkan hubungan diplomasi antarabangsa, demikian tegas Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Reezal Merican dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata keputusan memanggil Duta China di Malaysia Dr Huang Huikang dibuat oleh Wisma Putra setelah mendapat persetujuan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan setelah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Semuanya dilakukan dengan penuh disiplin pentadbiran dan sejajar dengan amalan biasa Kementerian Luar," katanya.

Reezal Merican berkata adalah malang dan tidak benar sama sekali untuk membuat andaian bahawa beliau sebagai Timbalan Menteri telah membuat keputusan sendiri tanpa mengikut prosedur protokol Wisma Putra.

"Saya amat kesal apabila ada pihak tertentu yang melemparkan tuduhan yang tidak berasas sehingga merumitkan usaha Wisma Putra untuk mengendalikan isu berkenaan secara baik, tegas dan berhemah," katanya.

Reezal Merican berkata adalah menjadi kewajiban buatnya untuk merujuk Menteri Luar dan pengurusan kanan Wisma Putra dalam semua hal dan perkara.

"Walaupun mungkin saya masih baru di dalam pentadbiran, namun disiplin pengurusan dan tatakelola kementerian sentiasa saya letakkan pada kedudukan yang paling utama," katanya.

Reezal Merican turut menegaskan bahawa Wisma Putra diterajui oleh mereka yang mempunyai kemampuan untuk menilai keperluan sesuatu tindakan diambil, selari dengan kepentingan dan maruah Malaysia di persada antarabangsa.

"Tindakan meremehkan keputusan kolektif yang dibuat di Wisma Putra adalah satu tindakan yang lemah, cetek dan cuai," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tidak ada kepentingan peribadi apabila membuat sesuatu keputusan di Wisma Putra.

"Ia dilakukan atas kesedaran bahawa Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan maruahnya tidak wajar diinjak oleh mana-mana negara asing sekali pun," katanya.

Seperti yang ditegaskan Menteri Luar dalam kenyataannya semalam, Reezal Merican berkata memanggil Duta China untuk memberi penjelasan kepada Wisma Putra adalah amalan biasa.

"Yang luar biasa dan dianggap tidak 'berprotokol' adalah apabila anggota pentadbiran kerajaan sendiri yang 'melompat' dan mula membuat tuduhan longgar terhadap tindakan yang diambil Wisma Putra," katanya.

Laporan sebelum ini menyebut tindakan memanggil Huang ke Wisma Putra bertujuan meminta penjelasan daripada beliau tentang kenyataan yang dibuat semasa lawatan beliau ke Jalan Petaling baru-baru ini. - BERNAMA

13 OKT PENDENGARAN PERMOHONAN KDN TANGGUH KEPUTUSAN MAHKAMAH


KUALA LUMPUR:  Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 13 Okt untuk mendengar permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangguhkan keputusan mahkamah yang membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri berhubung penggantungan dua akhbar milik The Edge Communications Sdn Bhd.


Hakim Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Darryl Goon mewakili The Edge Communications Sdn Bhd dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Menteri Dalam Negeri.

Suzana ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memohon penangguhan, sementara menunggu rayuan yang difailkan pada 22 Sept lepas berhubung keputusan mahkamah didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Katanya penangguhan itu termasuk penaksiran ganti rugi dan kos.

"Jika penangguhan itu tidak dibenarkan, rayuan itu akan menjadi sia-sia. Itu adalah satu keadaan khas yang mewajarkan penangguhan," kata Suzana.

Pada 21 Sept lepas, Hakim Asmabi membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri yang menggantung selama tiga bulan penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily.

Asmabi turut memerintahkan supaya ganti rugi dialami dua penerbitan itu dinilai dan menetapkan kos perundangan berjumlah RM15,000.  

Penerbitan The Edge dan The Edge Financial Daily digantung kerana menyiarkan laporan berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dikatakan mengandungi penerbitan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan menggugat keselamatan serta kepentingan negara. - BERNAMA

KHIR TOYO DIPENJARA 12 BULAN


PUTRAJAYA:  Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman 12 bulan penjara terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang didapati bersalah kerana rasuah.


Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusikan panel lima hakim memutuskan hukuman penjara adalah bersesuaian dalam kes berkenaan.

Malah panel hakim turut menolak permohonan supaya meringankan bentuk hukuman kepada khidmat masyarakat dan menyifatkan ia adalah tidak memadai.

Beliau yang kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan, diarahkan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Pada 22 September lalu, panel mencapai keputusan tersebut berdasarkan beberapa alasan termasuk pertuduhan tidak mempunyai sebarang kecacatan dan beliau adalah menteri besar merupakan seorang penjawat awam ketika kesalahan dilakukan.

Mohamad Khir mendapatkan untuk dirinya dan isteri dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta lapan tahun lepas.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007. -ASTRO AWANI

MENTERI LAIN JANGAN CAMPUR TANGAN HAL WISMA PUTRA : ANIFAH


PUTRAJAYA:  Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menyuarakan kekecewaannya susulan tindakan beberapa menteri kabinet yang mengambil tindakan tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu.


Tanpa menamakan menteri terbabit, Anifah bagaimanapun merujuk kekecewaannya terhadap isu yang melibatkan arahan memanggil Duta Besar China Huang Huikang ke Wisma Putra.

"Saya berasa amat dukacita kerana beberapa menteri kabinet mengambil beberapa tindakan dan membuat kenyataan akhbar tanpa merujuk kepada saya terlebih dahulu."

Jelasnya, beliau tidak pernah membatalkan arahan untuk memanggil Duta Besar China ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan beliau.

Bagaimanapun, tegasnya campur tangan menteri terbabit dalam hal ehwal Wisma Putra memberikan persepsi negatif.

Beliau juga yakin perkara itu dapat diselesaikan dengan baik oleh Wisma Putra tanpa campur tangan menteri-menteri lain.

Tindakan untuk memanggil Huang juga adalah amalan biasa kata Anifah.

"Ia bertujuan untuk meminta penjelasan daripada beliau tentang kenyataan yang dibuatnya semasa beliau melawat Jalan Petaling tempoh hari." katanya

"Wisma Putra cuma ingin meminta beliau untuk mengesahkan sama ada kenyataan beliau telah disalah tafsir atau sebaliknya." jelasnya lagi.

Anifah juga menyatakan amalan untuk memanggil wakil negara asing adalah amalan biasa dan selaras dengan Artikel 41, Konvensyen Vienna mengenai Perhubungan Diplomatik 1961.

Pemangku Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin sebelum ini dilaporkan membatalkan arahan memanggil Huang ke Wisma Putra pada hari sama pertemuan itu sepatutnya berlangsung pada Isnin.
Huang dipanggil ke Wisma Putra bagi menjelaskan mengenai lawatannya ke Jalan Petaling serta kenyataannya baru-baru ini yang dianggap mencampuri hal ehwal dalaman negara.

Bagaimanapun, Huang mempertahankan lawatannya bersifat muhibah.

Arahan untuk memanggil Huang ke Wisma Putra dikeluarkan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Naina Merican.

Anifah kini berada di luar negara. - ASTRO AWANI

NAJIB BERI PENGHORMATAN KEPADA JAMALUDDIN JARJIS


NEW YORK:  Datuk Seri Najib Razak pada Isnin memberi penghormatan kepada Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis apabila beliau mempengerusikan mesyuarat tahunan ke-5 Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di sini.


Sambil menyifatkan Jamaluddin sebagai seorang daripada arkitek GSIAC, Perdana Menteri berkata Jamaluddin memberi sumbangan besar kepada penciptaan dan pertumbuhan GSIAC seterusnya.

"Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis meninggalkan kita semua terlalu cepat, dan dengan tiba-tiba, April lepas. Mari kita mengambil masa sejenak bagi mengingati Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis," kata Najib sebelum tayangan video dua minit di mesyuarat itu bagi memperingati Jamaluddin di sini Isnin (Selasa di Malaysia).

Bekas Menteri dan anggota Parlimen Rompin dan lima yang lain terbunuh dalam kemalangan helikopter di Semenyih, Kajang pada 4 April lepas semasa dalam perjalanan dari Pekan, Pahang ke Subang.

Najib berkata: "Pemergian JJ merupakan satu kehilangan peribadi kepada saya, kerana dia adalah seorang rakan yang sangat rapat dan seseorang yang banyak jasanya kepada negara. Apabila dia menjadi duta kita di Washington, beliau memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat.


"Kami di sini hari ini meneruskan kerja-kerja yang JJ membantu untuk memulakannya. Saya pasti dia akan berbangga dengan apa yang telah kita capai dan kerja-kerja yang kita akan terus lakukan hari ini," kata Perdana Menteri.

Allahyarham Jamaluddin sebagai Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, bersama-sama dengan Tan Sri Zakri Abdul Hamid, memainkan peranan penting dalam membawa bersama-sama pakar-pakar antarabangsa, ahli akademik, penerima anugerah Nobel dan pemimpin industri bagi membincangkan ekonomi Malaysia yang pesat berkembang dengan penekanan kepada pelaksanaan dan hasil yang ketara. - BERNAMA

MALAYSIA AKAN HANTAR 380 PEGAWAI POLIS UNTUK MISI PASUKAN PENGAMAN PBB : NAJIB


NEW YORK:  Malaysia telah berjanji untuk menghantar 380 pegawai dan anggota polis untuk misi pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).


Bercakap pada Sidang Kemuncak Pengaman PBB di sini Isnin (Selasa di Malaysia), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kumpulan itu akan menjadi sebahagian daripada Polis PBB.

Beliau berkata kumpulan tempur infantri, bersama-sama dengan unit kejuruteraan akan juga dihantar dengan segera membantu misi pengaman.

Najib berkata Pusat Pengaman Malaysia bertempat di Port Dickson setakat ini melatih lebih 2,500 peserta tempatan dan antarabangsa dari 52 negara.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menjadi hos bersama sidang kemuncak pengaman bagi mendapatkan sokongan dan komitmen daripada pemimpin-pemimpin dunia ke arah operasi pengaman PBB yang lebih berkesan.

Antara tokoh-tokoh penting yang hadir pada sidang kemuncak itu ialah pemimpin dari China, Kesatuan Eropah, Itali, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan United Kingdom.

Najib berkata sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia memainkan peranan penting dalam penubuhan Kumpulan Tentera ASEAN Yang Bersiap Sedia mengenai Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana untuk dihantar dengan segera ke kawasan-kawasan krisis di rantau ini.

"Kami percaya tentera ASEAN boleh memainkan peranan yang penting sebagai responder pertama kepada cabaran di rantau ini menerusi pelaksanaan berkesan Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Respons Kecemasan," katanya.

Najib berkata sejak 1960, Malaysia telah menyertaii 5 misi pengaman PBB melibatkan lebih 29,000 anggota tentera dan polis.

Beliau berkata pada masa ini, pasukan pengaman Malaysia mengambil bahagian di Sahara Barat, Congo, Lebanon, Liberia, Abyei dan Darfur. - BERNAMA

STOP! US TAK BERMINAT






Hahahahaaha.. nampaknya adalah orang meraung dalam tahanan. Dan yang dah berangan-angan terkuburlah impian. Yang mencanang dok cerita FBI ker.. Amerika Syarikat akan siasat DS Najib tu.. hentikanlah. Dah jelas kan.

Sila tengok gambar-gambar . LADY saja bagi peluang korang tengok dari membaca ya.

NASA TEMUI BUKTI KEWUJUDAN ALIRAN AIR DI PLANET MARIKH


WASHINGTON:  Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat, NASA pada Isnin mengesahkan penemuan aliran air di Planet Marikh.


Pengarah Sains Planet Nasa, Jim Green, berkata, penemuan itu sekaligus mengesahkan, bahawa Marikh bukan sebuah planet yang tandus.

"Marikh bukan sebuah planet yang kering seperti yang kita sangkakan sebelum ini.

"Dalam keadaan tertentu, air telah ditemui di Marikh," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Saintis di seluruh dunia sebelum ini percaya, air pernah mengalir serta menyebabkan berlakunya pembentukan lembah dan ngarai di planet merah itu.

Bagaimanapun, menurut Green, perubahan iklim yang berlaku kira-kira tiga bilion tahun lalu dipercayai menyebabkan berlaku perubahan itu ke atas muka bumi Marikh.

"Hari ini kita menyaksikan satu revolusi pemahaman mengenai planet itu.

"Rover Penjelajah Marikh mengesan banyak kelembapan di udara Marikh," ujarnya.

Menurutnya, rover yang menjelajah permukaan planet itu turut menemui tanah yang lebih lembap daripada yang dijangkakan.

Katanya, sejak empat tahun lalu, NASA memantau jalur-jalur gelap di lereng permukaan planet Marikh.

Bagaimanapun, selepas kajian dan analisis mendalam dilakukan, mereka boleh merumuskan, bahawa jalur-jalur itu adalah air. AFP

MENTERI LAIN JANGAN CAMPUR TANGAN HAL WISMA PUTRA : ANIFAH


PUTRAJAYA:  Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menyuarakan kekecewaannya susulan tindakan beberapa menteri kabinet yang mengambil tindakan tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu.


Tanpa menamakan menteri terbabit, Anifah bagaimanapun merujuk kekecewaannya terhadap isu yang melibatkan arahan memanggil Duta Besar China Huang Huikang ke Wisma Putra.

"Saya berasa amat dukacita kerana beberapa menteri kabinet mengambil beberapa tindakan dan membuat kenyataan akhbar tanpa merujuk kepada saya terlebih dahulu."

Jelasnya, beliau tidak pernah membatalkan arahan untuk memanggil Duta Besar China ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan beliau.

Bagaimanapun, tegasnya campur tangan menteri terbabit dalam hal ehwal Wisma Putra memberikan persepsi negatif.

Beliau juga yakin perkara itu dapat diselesaikan dengan baik oleh Wisma Putra tanpa campur tangan menteri-menteri lain.

Tindakan untuk memanggil Huang juga adalah amalan biasa kata Anifah.

"Ia bertujuan untuk meminta penjelasan daripada beliau tentang kenyataan yang dibuatnya semasa beliau melawat Jalan Petaling tempoh hari." katanya

"Wisma Putra cuma ingin meminta beliau untuk mengesahkan sama ada kenyataan beliau telah disalah tafsir atau sebaliknya." jelasnya lagi.

Anifah juga menyatakan amalan untuk memanggil wakil negara asing adalah amalan biasa dan selaras dengan Artikel 41, Konvensyen Vienna mengenai Perhubungan Diplomatik 1961.

Pemangku Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin sebelum ini dilaporkan membatalkan arahan memanggil Huang ke Wisma Putra pada hari sama pertemuan itu sepatutnya berlangsung pada Isnin.
Huang dipanggil ke Wisma Putra bagi menjelaskan mengenai lawatannya ke Jalan Petaling serta kenyataannya baru-baru ini yang dianggap mencampuri hal ehwal dalaman negara.

Bagaimanapun, Huang mempertahankan lawatannya bersifat muhibah.

Arahan untuk memanggil Huang ke Wisma Putra dikeluarkan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Naina Merican.

Anifah dan Reezal kini berada di luar negara. - ASTRO AWANI

KIT SIANG TIDAK SEDAR TENTANG PELBAGAI KELAJUAN INTERNET DI MALAYSIA : SALLEH


KUALA LUMPUR:  Pemimpin pembangkang veteran, Lim Kit Siang mungkin tidak sedar tentang pelbagai kelajuan Internet yang boleh dipilih rakyat Malaysia apabila beliau merungut tentang internet yang perlahan di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.


Di Malaysia, seseorang itu malah boleh memilih kadar 20 megabit sesaat (Mbps) jika mereka mahukan perkhidmatan Internet kelajuan lebih tinggi, kata Salleh, ketika menyangkal dakwaan Anggota Parlimen Gelang daripada DAP itu bahawa beliau tidak prihatin dengan kelajuan Internet Malaysia yang lemah.

"Sebenarnya terdapat pelbagai kadar kelajuan Internet yang boleh dipilih rakyat Malaysia namun begitu kira-kira 71 peratus daripada pengguna Internet Malaysia lebih menyukai pakej jalur lebar Streamyx yang lebih perlahan dengan menawarkan kelajuan antara 384 Kbps sehingga 1 Mbps," katanya dalam posting terkini blog beliau, sskeruak.blogspot.my, Isnin.

Bagaimanapun, Salleh berkata meskipun kelajuan jalur lebar yang lebih tinggi boleh didapati, namun majoriti pelanggan akan melanggan pakej lebih murah, justeru lebih perlahan.

Mengambil maklum bahawa beberapa negara termasuk Singapura dan Thailand mempunyai pelbagai kelajuan Internet sehingga 5Mbps, Salleh berkata Malaysia juga boleh meningkatkan kelajuan internet ke tahap yang sama, sekali gus menjadikan rakyat Malaysia membeli pakej kelajuan lebih tinggi.

"Tetapi itu bermakna kos akan turut menjadi lebih tinggi dan penggunaan Internet akan dinikmati hanya oleh mereka yang mampu membayarnya.

"Jadi kesudahannya ia berbalik kepada soal kemampuan dan Malaysia menawarkan Internet yang mampu dibayar oleh mereka yang mahu memanfaatkannya manakala Internet berkelajuan lebih tinggi pula kepada golongan yang pada mereka wang bukanlah satu masalah," katanya.

Sambil membidas Lim kerana hanya bercakap tentang kelajuan, Salleh berkata tumpuan Malaysia adalah kelajuan, liputan dan kemampuan.

"Kami mahu memastikan bahawa pada tahun 2020 sekurang-kurangnya 95 peratus daripada rakyat Malaysia akan mempunyai akses kepada Internet. Kami juga mahu memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan bandar dan 20 peratus daripada kawasan luar bandar mempunyai kelajuan jalur lebar 100 Mbps," katanya.

Ahad, dengan mengambil kesempatan daripada laporan berita berhubung kedudukan Malaysia yang lemah dari segi kelajuan Internet, Lim dilaporkan menyindir Salleh dan kecenderungan beliau menulis dalam blog untuk mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bukan memberi tumpuan kepada infrastruktur Internet Malaysia. - BERNAMA

RAKYAT MASIH MENDERITA AKIBAT KEMAJUAN GLOBAL TIDAK SEIMBANG : NAJIB


NEW YORK:  Ketika pemimpin dunia menerima pakai agenda pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi tempoh 15 tahun akan datang, pada sidang kemuncak di sini, Malaysia melahirkan kebimbangan

bahawa kemajuan global telah menjadi tidak seimbang dengan jutaan rakyat masih menderita.


"Kini, kira-kira 800 juta rakyat masih hidup dalam kemiskinan dan menderita kelaparan," kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang kemuncak Agenda 2030 pada Ahad (Isnin di Malaysia).

Najib berkata walaupun sasaran mengurangkan kadar kemiskinan tegar telah dicapai, namun dunia masih jauh daripada mencapai matlamat keseluruhan untuk membasmi kemiskinan dan kelaparan.

"Ini, mesti kekal menjadi teras agenda pembangunan pasca 2015 - dan ia adalah penting untuk memastikan tiada individu yang tercicir di belakang," katanya.

Perdana Menteri berkata jutaan rakyat masih menderita disebabkan jantina, umur, kecacatan, etnik atau lokasi geografi.

Dikenali sebagai Matlamat Global, agenda berkenaan mengandungi 17 matlamat dan 169 sasaran, memberi tumpuan kepada tiga elemen - pertumbuhan ekonomi, penyertaan sosial dan perlindungan alam sekitar.

Agenda berkenaan telah diterima pakai pada Jumaat (Sabtu di Malaysia) pada perasmian mesyuarat tiga hari sidang kemuncak di New York dengan lebih 150 pemimpin dunia menghadiri sesi ke-70 Perhimpunan Agung PBB.

Antara lain, ia bertujuan untuk membasmi kebuluran dan kemiskinan, mengurangkan ketidaksamaan, mencapai kesaksamaan gender serta melakukan tindakan serius untuk memperjuangkan perubahan iklim.

Malaysia, menurut Najib, komited terhadap agenda pasca 2015 untuk mengubah dunia menjelang 2030 memandangkan pembangunan keterangkuman dan mampan telah sekian lama menjadi pusat transformasi negara daripada sebuah negara membangun kepada negara yang mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata kadar kemiskinan di Malaysia telah dikurangkan daripada 49.3 peratus pada 1970 kepada 0.6 peratus pada 2014 manakala kemiskinan tegar telah dihapuskan.

"Menjelang 2020, kami menyasarkan untuk menggandakan pendapatan purata bagi isi rumah B40 (bawah 40 peratus) daripada US$700 pada 2014 kepada US$1,500, menaik taraf mereka ke dalam kelompok kelas menengah," katanya.

Tambah beliau, penyertaan wanita dalam tenaga kerja akan meningkat manakala kawasan luar bandar akan diubah dengan meningkatkan hubungan dan mobiliti serta mewujudkan persekitaran lebih mesra perniagaan. - BERNAMA

SEORANG JEMAAH HAJI MALAYSIA DISAHKAN MENINGGAL DUNIA DALAM REMPUHAN DI MINA


KUALA LUMPUR:  Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengesahkan seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di dalam insiden rempuhan di Mina pada Khamis lalu selepas dipercayai tersasar ke kawasan kejadian.

Jemaah haji itu dikenali sebagai Zulkifli Samad, 50, beralamat di Taman Ukay Bistari, Ampang Selangor dan berasal dari Johor.

Perkara itu disahkan oleh oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

"Pihak Tabung Haji pada pemakluman awal mengesahkan tiada jemaah haji yang telibat dalam rempuhan tersebut berdasarkan pengesahan daripada waris dan maklumat awal dari penempatan jemaah haji.

Satu insiden rempuhan manusia berlaku pada jam 11.30 pagi (waktu Arab Saudi) di Mina ketika umat Islam sedang menunaikan rukun Islam yang kelima.

"Pihak Tabung Haji telah membuat semakan  dan pengumuman melalui siaraya di khemah jemaah pada jam 12.30 tengah hari sehingga 3 petang pada hari kejadian.

"Tiada sebarang aduan daripada waris dan rakan sekhemah berkaitan dengan sebarang kehilangan jemaah," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, pada sebelah malam jam 11.00 Suria Hanim Abdul Hamid, isteri Zulkifli Samat telah membuat laporan bahawa suaminya tidak pulang ke khemah.

Dalam laporan tersebut, isterinya mengakui bahawa suaminya tidak bersama dengan Jemaah TH dari Muzdalifah kerana bercadang untuk berjalan kaki mengikut Sunnah Rasullulah ke Mina.

Menurut Suria Hanim, panggilan terakhir telah dibuat kepada suami beliau adalah pada jam 7.15 pagi.

Dalam perbualan telefon tersebut, suami Suria Hanim memaklumkan beliau selamat tiba di Mina dengan jemaah haji Indonesia dari Muzdalifah.

Dr Asyraf berkata, setelah menerima aduan tersebut para petugas haji memulakan usaha mencari jemaah tersebut di sekitar Kompleks Jamarat dan hospital berdekatan  di Mina yang diketegorikan tersasar.

"Pada hari ini jam 1.30 petang pasukan perubatan TH telah membuat tinjauan di rumah mayat Moaissim di mana pasukan perubatan telah menemui satu jenazah rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam keadaan yang sempurna.

"Pasukan perubatan TH telah mengesahkan jenazah tersebut melalui identifikasi yang ada pada jenazah tersebut.

"Di sini pihak Tabung Haji mengesahkan Jenazah tersebut adalah Zulkifli Samat.

Menurutnya, pihak Tabung Haji amat berdukacita dengan insiden yang tersebut.

"Kami mendoakan semoga roh beliau ditempatkan bersama orang yang beriman dan para syuhada," katanya.

Insiden rempuhan manusia itu berlaku pada jam 11.30 pagi (waktu Arab Saudi) di Mina ketika umat Islam sedang menunaikan rukun Islam yang kelima.

Angka kematian telah meningkat kepada 769, manakala yang cedera meningkat kepada 934. - ASTRO AWANI

ISRAEL TIDAK BOLEH DIBIARKAN BEBAS TANPA HUKUMAN : ANIFAH AMAN


NEW YORK:  Israel tidak boleh dibiarkan bebas tanpa hukuman berhubung tindakannya berterusan melakukan serangan dan pencerobohan di Al-Quds Al-Sharif, termasuk serangan baru-baru ini ke atas Masjid Al-Aqsa yang menyedihkan rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia.

Menegaskan tindakan pelanggaran hak secara provokotif dan terang-terangan oleh Israel itu langsung tidak boleh diterima, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman berkata tindakan itu jelas melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

"Namun, pihak Israel terus melakukannya dan bebas daripada hukuman. Kita tidak boleh membiarkan ini berterusan tanpa sebarang tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya.

Anifah berkata demikian semasa menyampaikan kenyataan Malaysia pada mesyuarat kedua Kumpulan Hubungan mengenai Mempertahankan Perjuangan Palestin dan Al-Quds Al-Sharif, Peringkat Menteri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini pada Sabtu.

Malaysia, katanya mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan oleh Israel ke atas masjid itu dan serangan terhadap umat Islam.

"Adalah jelas bahawa tindakan tidak bertanggungjawab Israel itu merupakan kesinambungan daripada strategi jangka panjang mereka untuk memisahkan Masjid Al-Aqsa kepada bahagian dan waktu.

"Ia juga merupakan cubaan untuk mengubah ciri-ciri Islam Arab dan struktur demografi Al-Quds Al-Sharif," kata Anifah.

Menteri Luar berkata provokasi serius seumpama itu berpotensi mencetuskan keganasan sehingga di luar kawasan Baitulmaqdis berikutan ketegangan akibat isu-isu keselamatan lain kian memuncak.

Beliau menegaskan masyarakat antarabangsa perlu tahu akan impak serius daripada serangan dan pencerobohan berterusan oleh Israel ke atas Al-Quds Al-Sharif.

"Mereka perlu sedar bahawa tindakan yang dilakukan oleh regim Israel itu boleh mencetuskan lebih banyak keganasan dan berpotensi menjadi konflik agama.

"Ini tidak disangsikan boleh mengancam keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa," kata Anifah.

Dipengerusikan Maghribi, anggota Kumpulan Hubungan terdiri daripada Palestin, Arab Saudi, Jordan, Mesir, Guinea, Malaysia, Turki, Azerbaijan dan setiausaha agung OIC, dengan penyertaan Qatar.

Selepas berakhirnya mesyuarat itu yang diadakan di luar Sesi Ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, menteri-menteri berkenaan mengeluarkan kenyataan mengutuk pencabulan secara berterusan, sistematik dan berskala besar oleh Israel ke atas wilayah Palestin.

Mereka menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, agar melaksanakan tanggungjawab untuk campur tangan dan mengambil tindakan tegas terhadap Israel yang menceroboh Al-Quds Al-Sharif.

Kumpulan Hubungan turut mempertikaikan sikap Tel Aviv yang berterusan berprasangka buruk terhadap tempat-tempat suci dalam bandaraya Al-Quds Al-Sharif, khususnya Masjid Al-Aqsa, dengan hasrat untuk membahagikan masjid kepada bahagian dan ruang untuk sementara waktu.

Ini, katanya, terang-terangan merupakan pencabulan terhadap kesahihan resolusi dan ketetapan undang-undang antarabangsa yang menetapkan Al-Quds adalah bahagian penting dalam wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967.

"Semua amalan dan tindakan Israel yang bertujuan untuk menjadikan bandaraya Al-Quds hanya untuk penganut agama Yahudi sahaja, termasuk dasar pembersihan etnik, penempatan dan cubaan mengubah statusnya di sisi undang-undang, ciri geografi dan komposisi demografi, adalah tidak sah dan batal," kata Kumpulan Hubungan itu. - BERNAMA

PEMUDA BN BERI KATA DUA PUTUS HUBUNGAN DENGAN PEMUDA MCA PASIR GUDANG


KUALA LUMPUR:  Pemuda Barisan Nasional (BN) terpaksa putus hubungan dengan Pemuda MCA Pasir Gudang jika mereka masih meneruskan pendirian untuk memutuskan hubungan dengan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu mungkin diambil memandangkan pihak Pemuda BN keseluruhannya tidak boleh menerima malah mengecam pendirian tersebut.

"Kalau mereka bertegas untuk meneruskan maka kita terpaksa putuskan hubungan dengan mereka sebagai komponen Pemuda BN," kata beliau.

Tambahnya, walaupun pandangan yang berbeza itu suatu yang biasa namun pendirian Pemuda MCA itu disifatkan sebagai keterlaluan dan tidak wajar kerana hubungan dengan kepimpinan parti tidak boleh diputuskan.

"Pemuda BN tidak mempunyai kuasa disiplin ke atas parti komponen. Kita tidak boleh gantung parti komponen sebab itu bukan dalam peraturan Pemuda BN memandangkan kita semua adalah gabungan," jelas Khairy yang ditemui media selepas melancarkan acara Walk-a-Mile Hari Jantung Sedunia 2015 di Taman Botani Perdana di ibu negara.

Pada Ahad lalu, Pemuda MCA Pasir Gudang memutuskan hubungan dengan Najib susulan sokongan beliau kepada Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September lalu.

Ketua Pemudanya Chia Chow Hui turut dilaporkan berkata, himpunan 'Baju Merah' pada tarikh tersebut dilihat medium untuk menghancurkan keharmonian kaum.‎ - ASTRO AWANI

NAJIB TERIMA ANUGERAH ICT DI IBU PEJABAT PBB


NEW YORK:  Perjalanan hidup seorang wanita muda di utara Malaysia tidak lagi indah selepas beliau terlibat dalam kemalangan jalan raya yang meragut keupayaannya untuk berjalan.

Namun segala-galanya berubah selepas beliau diberi sebuah komputer, boleh berhubung secara dalam talian, seterusnya mewujudkan sebuah laman web serta mengendalikan blog.

"Hari ini, beliau menjalankan perniagaan dalam talian yang berkembang maju dan memperbaiki kehidupan dengan memanfaatkan peluang tanpa batasan yang ditawarkan menerusi Internet," kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berucap pada majlis jamuan malam gala selepas menerima 'Anugerah ICT Dalam Pembangunan Lestari' bersempena sambutan ulang tahun ke-150 Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, yang diadakan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata pendapatan wanita itu meningkat berlipat ganda menerusi perniagaan dalam talian yang dijalankannya, dan beliau mengalami perbezaan menakjubkan yang dibawa ICT dalam hidupnya.

"Inilah sebenarnya manifestasi paling bermakna yang dibawa ICT sebagai daya pengubah kehidupan," kata Najib.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wahid Omar, Duta Malaysia di Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussin, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Wakil Tetap Malaysia di PBB Datuk Ramlan Ibrahim.

Najib berkata untuk Malaysia menjadi sebuah negara ekonomi maju dan inklusif, kerajaan memberi penekanan ke arah mempertingkatkan pewujudan masyarakat celik IT yang berpengetahuan dan berkemahiran, dengan disokong oleh industri ICT yang mantap, teguh dan lestari.

Beliau berkata usaha akan diperkukuhkan untuk memacu ICT dalam ekonomi pengetahuan menerusi empat strategi utama -- mencergaskan semula industri ICT, memastikan bekalan modal insan ICT berkualiti tinggi yang mencukupi dan berterusan, menambah baik prasarana ICT dan meneruskan penyertaan digital.

Najib berkata ini akan meningkatkan produktiviti menerusi inovasi dan menambah daya saing yang membawa kepada pewujudan kekayaan yang lebih besar.

"Kami percaya negara kami akan berkembang maju menerusi inovasi dan ICT untuk mewujudkan sebuah negara pintar digital," katanya. - BERNAMA

GUNA FORUM LAIN SUARAKAN PANDANGAN BUKAN MENERUSI DEMONTRASI JALANAN : ZAHID


SERIAN:  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat supaya tidak lagi menggunakan demonstrasi jalanan untuk menyuarakan pandangan sebaliknya berbuat demikian menerusi pelbagai forum lain.

Beliau berkata demonstrasi jalanan bukanlah budaya Malaysia dan ia tidak seharusnya diamalkan di negara ini.

"Sudah sudahlah, saya tidak mahu lagi ada demonstrasi Baju Kuning atau Baju Merah lagi selepas ini... banyak forum lain untuk pihak yang tidak puas hati meluahkan pandangan selain daripada keluar ke jalanan unuk mengadakan demonstrasi.

"Malaysia ialah sebuah negara demokratik dan kita ada pilihan raya untuk memilih kerajaan dan pemimpin, bukannya dengan cara berdemonstrasi di jalanan," katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Terbat Teban, Tebakang dekat sini, Sabtu.

Sambil menegaskan beliau amat tidak bersetuju dengan tindakan mana-mana pihak mengadakan demonstrasi jalanan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata rakyat perlu menghormati mempunyai undang-undang negara ini.

Beliau berkata pemimpin negara datang dan pergi, tetapi rakyat perlu menghormati sistem demokrasi Malaysia dan pemimpin yang dipilih menerusi proses itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pemimpin yang dipilih perlu turun padang membantu rakyat dan bukannya hanya muncul apabila menjelang pilihan raya.

Menurutnya kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya serius dalam usahanya membangunkan rakyat terutama mereka di luar bandar.

"Saya berasal dari kampung dan saya amat memahami masalah dan keperluan penduduk di luar bandar terutama keperluan kesihatan dan pendidikan mereka," katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah parti pembangkang yang disiarka dalam laman media sosial.

Menurutnya permainan politik pembangkang hanyalah untuk memecahbelahkan rakyat dan jika ia berlaku, rakyat perlu membayar 'harga' terlalu mahal untuk mengatasinya.

Sementara itu, Ahmad Zahid meminta rakyat supaya mengetepikan perbezaan kaum, budaya dan agama demi memelihara keamanan negara dan keharmonian kaum.

Kita harus bersama-sama menganggap tanah Malaysia ini sebagai negara kita bersama. Rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysa wajar bersatu hati walaupun berbeza kaum dan agama... kita harus ada semangat untuk bersama-sama membangunkan negara kita, kata timbalan perdana menteri.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan RM300,000 untuk kawasan Parlimen Serian termasuk untuk kos membaik pulih balai raya Kampung Terbat Leban.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin. - BERNAMA

KOMUNITY ASEAN BOLEH KUKUHKAN KERJASAMA SELATAN-SELATAN : NAJIB


NEW YORK:  Malaysia akan terus berkongsi pengalamannya bagi membantu memperkukuhkan kerjasama Selatan-Selatan untuk muncul sebagai kuasa yang berpengaruh bagi negara-negara membangun, kata Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu (Ahad di Malaysia).

Perdana Menteri berkata beliau yakin bahawa ASEAN yang akan menjadi sebuah Komuniti menjelang hujung tahun ini, kedua-dua Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain akan dapat menyumbang lebih banyak kepada kerjasama Selatan-Selatan.

Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN 2015.

"Malaysia terus bersedia untuk berkongsi pengalaman pembangunan kami, walaupun kami sendiri berada di landasan untuk mencapai status pendapatan tinggi menjelang 2020," katanya pada Sesi Meja Bulat Peringkat Tinggi mengenai Kerjasama Selatan-Selatan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Sesi yang dihadiri oleh para pemimpin dari 20 negara itu dipengerusikan oleh Presiden China, Xi Jinping. Turut hadir setiausaha agung PBB Ban Ki-Moon.

Najib berkata sejak tahun 1980, Malaysia telah membantu negara-negara kurang membangun dalam bidang seperti perancangan ekonomi, kewangan dan perdagangan, pertanian, pendidikan, latihan teknikal industri dan diplomasi.

Sehingga kini, beliau menambah Kuala Lumpur telah memperuntukkan sebanyak $200 juta (kira-kira RM840 million) kepada Program Kerjasama Teknikal Malaysia, yang memberi manfaat kepada 29,000 peserta dari 141 negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa negara Selatan-Selatan perlu kekal bersatu dengan suara yang sama bagi menjadi kuasa berpengaruh di semua forum pelbagai hala, menyediakan diagnosis yang mendalam dan lebih tepat mengenai isu yang dihadapi oleh negara-negara membangun.

Memetik kata-kata terkenal China, "Apabila orang bekerja dengan satu minda, mereka boleh menggerakkan Gunung Tai", Najib berkata kerjasama Selatan-Selatan boleh membantu mengukuhkan penekanan dalam membina ketahanan rakyat miskin dan mudah terjejas, khususnya negara-negara kurang membangun, daratan dan pulau kecil.

"Mereka terutamanya memerlukan bantuan dalam mengurangkan pendedahan kepada perkara berkaitan iklim, semula jadi dan kejutan ekonomi," katanya.

Menyentuh mengenai Agenda 2030 PBB mengenai Matlamat Pembangunan Mapan, Najib berkata: "Apa yang dunia akan jadi nanti, kita tidak tahu dengan pasti. Apa yang kita tahu, bagaimanapun, ialah selatan global akan terus meningkat, dan banyak cabaran dasar akan merentas sempadan, malahan merentas benua, alam semula jadi".

Sesi meja bulat peringkat tinggi, antara lain, akan menyediakan platform untuk negara-negara Selatan menggesa negara maju untuk memenuhi komitmen mereka dan menggalakkan sistem PBB memberi sokongan kepada kerjasama Selatan-Selatan.

Najib kini sedang dalam rangka lawatan kerja ke New York bagi menyertai lebih daripada 170 pemimpin dunia pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung PBB. - BERNAMA

KIMMA SOKONG SEKOLAH SATU ALIRAN


SEREMBAN:  Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) menyokong cadangan mewujudkan sistem sekolah satu aliran di negara ini kerana yakin ia memberi kesan positif.

Presiden KIMMA Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata antara kesan positif itu ialah ia dapat menyemai dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.

"Ini seterusnya dapat mencapai perpaduan nasional dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini melalui sistem pendidikan satu aliran yang sistematik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Korban Perdana anjuran Badan Perhubungan KIMMA Negeri Sembilan dan Masjid India Muslim Seremban di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam bahawa pemimpin semua kaum perlu berbincang sama ada perlu atau tidak mewujudkan sistem sekolah satu aliran di negara ini.

Mahdzir berkata isu sistem sekolah satu aliran dan kepentingannya terhadap perpaduan nasional perlu difikirkan secara bersama oleh semua kaum negara ini.

Syed Ibrahim berkata sekolah adalah antara acuan yang penting untuk membina generasi muda yang memahami dan saling menghormati antara satu sama tanpa mengira bangsa dan agama.

Sementara itu, beliau berkata KIMMA akan menganjurkan konvoi bermotosikal ke seluruh negara untuk membawa mesej menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak.

"KIMMA akan berdiri teguh di belakang pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam apa jua situasi. Kami (KIMMA) akan terus bersatu hati, bersepadu tenaga untuk pastikan kerajaan yang ada sekarang (BN) terus kekal untuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Katanya program itu dijangka diadakan bulan depan dan KIMMA sedang berusaha untuk mengumpulkan 500 buah motosikal untuk tujuan itu.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata KIMMA mengagihkan sebanyak 27 ekor lembu untuk Majlis Korban Perdana di seluruh negara termasuk lima ekor untuk Masjid India Muslim Seremban.

"Penganjuran Majlis Korban Perdana ini bertujuan untuk menjalinkan kerjasama dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli KIMMA dan masyarakat setempat," katanya. - BERNAMA

PEMUDA BN DIMINTA AMBIL TINDAKAN TERHADAP PEMUDA MCA PASIR GUDANG


KLUANG:  Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) diminta mengambil tindakan terhadap Pemuda MCA Pasir Gudang yang bertindak memutuskan hubungan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Himpunan Rakyat Bersatu.

Mengulas perkara itu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kenyataan Ketua Pemuda MCA Pasir Gudang, Chia Chow Hui memutuskan hubungan dengan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, adalah tidak wajar dan harus dinilai semula.

"Saya nak ingatkan kepada mereka krisis kepimpinan MCA banyak berlaku sebelum ini dan kita dalam BN, khususnya UMNO tidak pernah menidakkan kepimpinan MCA apabila mereka berdepan kemelut yang dihadapi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Korban Perdana Parlimen Sembrong di Dataran Taman Desa Sejahtera, di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong berkata Pemuda MCA Pasir Gudang perlu kembali kepada ketetapan MCA itu sendiri dan menyokong BN dan kepimpinan Pengerusinya.

Beliau juga bersetuju dengan pandangan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi BN Johor, supaya Pemuda MCA Bahagian itu memperbetulkan haluan politiknya. - BERNAMA

SALLEH PERJELAS SALAH TANGGAPAN SIAPA JADIKAN NAJIB PERDA A MENTERI


KUALA LUMPUR:  Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegur bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat beliau mempunyai hak untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata ini berpunca daripada sikap Dr Mahathir yang percaya bahawa beliau merupakan individu yang telah berusaha keras untuk menjadikan Najib sebagai perdana menteri.

Ini, katanya sama seperti apa yang orang di Amerika Syarikat kata iaitu "If I can hire, then I can fire (Jika saya boleh ambil bekerja, oleh itu saya boleh pecat)."

"Sebenarnya ini adalah tidak benar dan merupakan salah tanggapan. Dr Mahathir bukan bos atau majikan Najib yang boleh memecat beliau sesuka hatinya," katanya menerusi catatan dalam blog beliau sskeruak.blogspot.my.

Sesetengah orang, katanya mungkin mengelarnya delusi atau khayalan untuk seseorang itu fikir yang beliau boleh menentukan siapa patut dan tidak patut memimpin negara, seolah-olah sistem demokrasi tentang bagaimana pemimpin dan kerajaan dalam sesebuah negara dipilih, sudah tidak lagi wujud.

"Dr Mahathir mungkin boleh membuat dakwaan itu apabila membabitkan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Lagipun beliau yang melantik Abdullah sebagai timbalannya dan akhirnya meletak jawatan dan menyerahkan kepimpinan negara kepada Abdullah," katanya.

Salleh berkata sebenarnya Abdullah yang telah melantik Najib sebagai timbalannya, dan jika ada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa beliau yang bertanggungjawab menjadikan Najib sebagai perdana menteri, pastinya Abdullah yang wajar membuat dakwaan itu.

Menteri itu mengambil perhatian bahawa pada 2013, Najib menerajui Barisan Nasional dalam pilihan raya umum  dan parti pemerintah telah memenangi pilihan raya itu.

"Jadi, pada 2013, rakyat atau pengundi, dan bukan Dr Mahathir, yang menjadikan Najib sebagai perdana menteri. Dr Mahathir hanya seorang daripada 11 juta pengundi," katanya.

Salleh seterusnya berkata UMNO yang telah memilih Najib sebagai presiden, dengan itu menjadikan beliau pemimpin UMNO yang telah dipilih oleh anggota parti secara sah.

"Sekurang-kurangnya tiada dakwaan tentang berlakunya penipuan semasa pemilihan parti dan Najib tidak membatalkan pendaftaran UMNO untuk menutup penipuan seperti apa yang Bapa Merdeka, almarhum Tunku Abdul Rahman, dakwa Dr Mahathir telah lakukan pada 1987," katanya. - BERNAMA

ANGGOTA TENTERA TERLIBAT IS AKAN DIPECAT: HISHAMMUDDIN


KLUANG:  Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mengulangi pendirian anggota tentera yang didapati terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) akan dipecat dari perkhidmatan.

Mengulangi amaran keras itu, Hishammuddin berkata kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandang serius isu itu dan tidak akan berkompromi.

"Tak perlu amaran keras sebab saya dah pernah nyatakan dahulu, jika ada maklumat, kita akan tangkap dan mereka akan dipecat," katanya.

Justeru, Hishammuddin telah meminta ATM khususnya Kor Agama memandang serius perkara itu dan merangka pendekatan bagi memastikan fahaman ekstremis tidak terus menular di kalangan anggota tentera.

"(Kor) Risik juga saya dah arahkan untuk memantau sejak dulu walaupun jumlah (anggota yang terlibat dalam IS) yang diumumkan tidaklah besar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Korban Perdana Parlimen Sembrong di Dataran Taman Desa Sejahtera, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata demikian ketika mengulas mengenai penangkapan anggota IS baru-baru ini yang turut melibatkan anggota tentera.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata walaupun pembabitan anggota tentera masih tidak serius, langkah proaktif untuk terus memantau perlu dipergiatkan.

"Kalau kita tidak ambil tindakan proaktif dan menekankan ideologi IS ini songsang dan tidak boleh diguna pakai, mungkin ramai yang akan terpengaruh di peringkat awal kerana dilihat sebagai menarik.

"Tetapi pengalaman mereka yang ke sana jelas menunjukkan mereka akhirnya ralat dan apabila mau kembali, mereka disekat pihak yang berkenaan," katanya.

Mengenai pertemuannya dengan rakan sejawat di Arab Saudi, Timbalan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman di Jeddah, Selasa lepas, Hishammuddin berkata beliau turut membincangkan isu IS yang juga menjadi ancaman kepada negara Timur Tengah.

Beliau berkata Malaysia dan Arab Saudi bersetuju memperkukuhkan risikan dan bertukar-tukar maklumat bagi membendung fahaman IS itu.
"Pengalaman negara Timur Tengah berdepan IS boleh membantu kita membuat tindakan proaktif untuk berdepan dengan mereka ini," katanya- BERNAMA

AKTIVITI KAWALAN PENUMPANG AKAN DIPERTINGKATKAN DI STESEN AL MASHAAER MAKKAH METRO


KUALA LUMPUR:  Perkhidmatan rel Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) akan dipertingkatkan melalui aktiviti kawalan penumpang di kawasan stesen.

Jurucakap MMMSL, Azhar Ghazali dalam kenyataan hari ini berkata operasi tiga hari terakhir ibadat haji yang tertumpu di Mina pada 11, 12, 13 Zulhijjah (25, 26, 27 Sept) akan melibatkan lima daripada sembilan stesen di bawah Pergerakan E dengan tren-tren MMMSL berhenti di Arafah 3, Muzdalifah, Mina 1, Mina 2, Mina 3 di Jamrah untuk menurun dan mengambil penumpang.

Sementara itu, operasi pada 11 dan 12 Zulhijjah akan terus berjalan selama 22 jam manakala pergerakan tren pada 13 Zulhijjah, Hari Tasyrik yang terakhir, dijadualkan tamat pada 6 petang.

"Berdasarkan pengalaman lepas, ketiga-tiga stesen di Mina khususnya Mina 3 di Jamarat amat sibuk dua hari ini (11 dan 12 Zulhijjah) kerana ibadat melontar, dan para penumpang akan beratur di 'ramp' sebelum dibenarkan masuk ke stesen dan mengambil giliran menaiki tren.

Di samping para petugas khusus untuk 'kawalan penumpang', kami juga meminta petugas kita dan petugas daripada Kementerian Pertahanan Awam Arab Saudi bekerja untuk membantu mereka selain turut meminta para kontraktor menambah kakitangan bagi memastikan pengurusan lancar untuk tiga hari terakhir dalam operasi MMMSL tahun ini," katanya.

Menurut Azhar, pelan perancangan itu telah dibuat pada satu mesyuarat tidak rasmi semalam di Stesen Mina 3 yang turut dihadiri oleh para pegawai tinggi Prasarana Malaysia Berhad yang dipilih menjadi operator perkhidmatan MMMSL untuk tiga tahun mulai tahun ini.

Azhar yang juga Pengurus Media Prasarana berkata cabaran terbesar kepada petugas adalah untuk memastikan penumpang tidak menahan pintu-pintu platform dan pintu tren ketika berpusu-pusu masuk.

"Beribu-ribu penumpang ingin menggunakan perkhidmatan ini pada satu masa, semua mahu cepat sehingga lupa tentang keselamatan diri, kerana itu kami memerlukan banyak pembantu untuk mengawal mereka.

"Senario di sekitar stesen dengan 'ramp' yang luas dan panjang juga membuatkan jemaah terpaksa beratur dalam cuaca panas terik dengan sebilangan daripada mereka menggunakan kerusi roda akan beratur dalam barisan panjang untuk menggunakan lif.

MMMSL menggunakan tren 12 gerabak dengan setiap tren mampu membawa sehingga 3,500 penumpang pada satu masa dan masa menunggu kira-kira lima minit dengan 12 tren digunakan untuk operasi.

Semalam, dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu (waktu Arab Saudi), lebih 700 jemaah haji dilaporkan terkorban manakala beratus lagi cedera dalam kejadian rempuhan di kawasan perkhemahan jemaah dari negara-negara Arab. - BERNAMA

BN PERLU SEGERA BINA KEKUATAN DALAMAN SEBAGAI PERSIAPAN HADAPI PRU: MUSTAPA


JELI:  Barisan Nasional (BN) perlu segera membina kekuatan bagi membela nasib rakyat dan untuk menghadapi pilihan raya umum kelak, kata Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata perpecahan dalam PAS selain parti itu tidak menyertai Pakatan Harapan memberi kesan kepada senario politik negara dan BN perlu mengambil peluang untuk membina kekuatan dalamannya.

"Kita bukan bergantung kepada mereka (pakatan pembangkang) kita bergantung kepada kekuatan dalaman kita tetapi ini masanya kita mengubah strategi kita untuk memperkukuhkan kedudukan BN peringkat negeri dan nasional," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka beliau bersempena Hari Raya Aidiladha di sini, hari Jumaat.

Mustapa diminta mengulas kesepakatan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dalam proses didaftarkan, untuk menubuhkan sebuah pakatan baharu yang dinamakan Pakatan Harapan pada 22 Sept lepas, tanpa penyertaan PAS.

Beliau berkata senario politik negara telah berubah dengan berlakunya perpecahan dalam PAS sehingga lahirnya Parti Amanah Negara yang dalam proses didaftarkan serta keputusan PAS untuk tidak menyertai Pakatan Harapan itu.

Beliau berkata perpecahan dalam pakatan pembangkang itu sudah lama dijangka berikutan berlaku perbezaan pendapat yang besar antara PAS dan DAP sehingga PAS banyak bertolak ansur.

Kata Mustapa, walaupun pakatan pembangkang dilihat lemah kesan daripada keputusan PAS tidak menyertai Pakatan Harapan itu, UMNO dan BN tidak boleh leka daripada terus membina kekuatan membela nasib rakyat dan menghadapi pilihan raya umum.

Sementara itu, beliau meminta kerajaan negeri Kelantan memperjelaskan kepada rakyat isu berkaitan pembinaan lebuh raya rakyat, projek ladang rakyat dan pembalakan.

Katanya berkata rakyat ingin tahu perkembangan pembinaan lebuh raya rakyat dari Kota Baharu-Kuala Krai yang dikatakan akan diserahkan pelaksanaannya kepada kerajaan persekutuan berikutan kerajaan negeri tidak mampu dari segi kewangan.

Beliau berkata rakyat juga ingin tahu sejauh mana kejayaan projek ladang rakyat yang dilaksanakan untuk membasmi kemiskinan rakyat di negeri ini dan begitu juga dengan pembalakan yang didakwa berlaku rasuah.

Pada majlis itu, Mustapa turut diraikan bersempena ulang tahun ke-65 kelahirannya.- BERNAMA

PENGKRITIK NAJIB YANG MAINKAN SENTIMEN PERKAUMAN : SALLEH SAID


KUALA LUMPUR:  Bukan Datuk Seri Najib Tun Razak yang memainkan sentiman perkauman tetapi pengkritiknya yang berbuat demikian dalam usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri, kata Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu mengulas laporan khas Channel News Asia yang membincangkan kedudukan Najib dan membandingkan perhimpunan pra-Hari Kebangsaan Bersih atau 'Baju Kuning' dengan perhimpunan 'Baju Merah' pada sambutan Hari Malaysia.

Salleh berkata laporan itu menggambarkan perhimpunan pertama sebagai mempunyai sentimen mulia manakala perhimpunan kedua sebagai 'mempunyai unsur perkauman'.

Menurutnya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sejurus selepas pilihan raya umum 2013, menyatakan bahawa Barisan Nasional tidak memperoleh kemenangan besar kerana masyarakat Cina tidak lagi menyokong kerajaan.

"Dr Mahathir menyalahkan Najib kerana memenuhi kehendak dan tunduk kepada masyarakat Cina dan selepas 'membuang masa' dengan kaum Cina, mereka masih tidak menyokong kerajaan," kata Salleh dalam catatan blog beliau sskeruak.blogspot.com.

Beliau berkata Dr Mahathir menyuarakan pendapatnya supaya Najib memberi tumpuan kepada hanya pengundi Melayu.

"Dr Mahathir kemudian berkata untuk menyelamatkan UMNO dan Barisan Nasional, Najib perlu meletak jawatan. Jika tidak, kerajaan akan tumbang dalam pilihan raya umum akan datang kerana Najib tidak lagi mendapat sokongan daripada kaum Cina.

"Justeru itu, bukan Perdana Menteri yang memainkan sentimen perkauman. Pengkritik beliau yang meniupkan sentimen perkauman sebagai alasan untuk menyingkirkannya," kata Salleh.

Menurutnya penganalisis Singapura Dr Ooi Kee Beng, seorang daripada pemerhati yang ditampilkan dalam laporan 30 minit itu, berkongsi pendapat itu.

"Dr Ooi bersetuju dengan perkara itu apabila beliau menyatakan  UMNO perlu penjelmaan semula untuk mendapatkan sokongan rakyat tetapi Najib, yang tidak lagi mendapat sokongan kaum Cina, perlu meletakkan jawatan dahulu.

"Dalam erti kata lain, Dr Ooi berkata bukan Najib yang memainkan api perkauman tetapi sentimena perkauman itu ditiupkan terhadap Najib, dan Najib menjadi mangsa dalam permainan perkauman ini," kata Salleh. - BERNAMA

MANA ADA SAYA 'RACIST': AHMAD ZAHID


KUCHING:  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan kononnya beliau bersifat perkauman dan anti masyarakat Cina seperti yang disebarkan di media sosial.

"Mana ada saya 'racist' (bersifat perkauman), kita sama-sama rakyat Malaysia. Kita perlu bersatu sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan ringkasnya pada sambutan Festival Kek Bulan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Persekutuan Persatuan Cina Kuching dan Samarahan di Taman Sahabat Kuching di sini, pada Jumaat.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri meminta rakyat supaya tidak mempercayai tuduhan pihak tertentu yang berniat jahat terhadap dirinya.

Dalam pada itu, beliau meminta masyarakat Cina supaya terus memberi sokongan utuh kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Sarawak akan datang.

Mengenai festival berkenaan, Ahmad Zahid berkata beliau gembira melihat ramai penduduk bukan Cina yang menghadiri festival kuih bulan itu walaupun pesta berkenaan adalah kebudayaan masyarakat Cina. - BERNAMA

SENTIASA HORMATI AGAMA LAIN: AHMAD ZAHID


KOTA SAMARAHAN:  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan umat islam di negara ini agar sentiasa menghormati agama lain.

Jelasnya, dengan berbuat demikian, mereka akan dihormati oleh penganut agama berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Islam tidak menghina atau mengabaikan agama lain dan sekali gus menjadi asas bagi memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Dalam pada itu katanya, peranan masjid tidak sepatutnya terbatas sebagai tempat beribadah sahaja, sebaliknya, ia juga perlu dijadikan medium untuk menyebarkan syiar islam.

Langkah itu ujar Ahmad Zahid, selari dengan perubahan masa yang menuntut fungsi masjid diperluaskan lagi. Beliau berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Adha di Masjid Al-Muttaqim di sini.

Ahmad Zahid turut menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama-sama masyarakat setempat. - ASTRO AWANI