PENGALAMAN ANGGOTA MARIN YANG BERTUGAS DI LAHAD DATU

"Pada mulanya saya tidak sangka situasi di sana teruk. Keadaan lebih dahsyat dari apa yang saya bayangkan sebelum tiba di sana," katanya kepada pemberita pada majlis menyambut kepulangan anggota pasukan Polis Marin yang menyertai Operasi Daulat, di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, di sini, semalam.

Selama 10 tahun berkhidmat dengan pasukan Polis Marin, pengalaman di Lahad Datu antara kejadian yang akan kekal terpahat dalam kenangan Koperal Mohd Shahrizan Abd Ghani, 31.

Beliau merupakan seorang daripada 21 anggota Unit Gempur Pasukan Polis Marin Wilayah Dua yang terlibat dalam Operasi Daulat, menentang pencerobohan pengganas Sulu, di Lahad Datu, Sabah.

Menceritakan pengalamannya, Mohd Shahrizan yang berlepas ke Lahad Datu pada 20 Feb lepas, berkata walaupun ditugaskan mengawal pesisir pantai sepanjang Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu, bunyi letupan yang begitu dekat kedengaran, memberitahunya akan situasi bahaya yang dihadapi.

Turut menyambut kepulangan anggota polis itu ialah Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Komander Polis Marin Wilayah Dua ACP Zainul Abidin Hasan.

Seorang lagi anggota unit itu, Lans Koperal Mohd Hafizi Abdullah, 31, berkata beliau bangga dapat bersama-sama melaksanakan tanggungjawab mempertahan kedaulatan negara daripada penceroboh.

Mereka ditugaskan ke Sabah lapan hari selepas insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.

Sementara itu, Mohd Mokhtar yang mewakili Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengucapkan syabas kepada semua anggota polis terbabit.

Beliau berkata semangat juang yang ada pada semua anggota berkenaan perlu dijadikan tauladan bagi semua pihak.

-- BERNAMA

Comments

Popular Posts