Followers

Fatimah az-Zahra menuntut keadilan

FATIMAH az-Zahra adalah puteri bongsu nabi Muhammad, hasil perkahwinannya dengan Khatijah. Fatimah dilahirkan pada tahun ke-5 setelah nabi Muhammad diutus menjadi Nabi, bertepatan dengan tiga tahun setelah peristiwa Israk dan Mikraj.

Beliau dilahirkan pada hari Jumaat 20 Jamadilakhir tahun 605 Masihi semasa masyarakat Quraisy sedang memperbaiki dan membangun kembali Kaabah disebabkan banyak kerosakan pada bangunan tersebut.

Siti Fatimah mendapat gelaran as-Siddiqah (wanita terpercaya); at-Tahirah (wanita suci), al-Mubarakah (yang diberkati Allah) dan yang paling sering disebutkan adalah Fatimah Az-Zahra (yang cemerlang).

Beliau juga digelar Al-Batul, iaitu yang menumpukan perhatian kepada ibadah dan menjauhi keduniaan. Fatimah selalu bersujud ketika setiap kali berasa lapar dan berzikir setiap kali berasa susah.

Fatimah mencintai ayahandanya melebihi cintanya kepada siapa pun. Apabila ibunya meninggal dunia ketika berusia enam tahun, Fatimah sentiasa berusaha untuk menggantikan peranan ibunya.

Fatimah sentiasa mengajak nabi berbual-bual dengan kata-kata yang menggembirakan dan menyenangkan hati nabi.

Justeru nabi memanggilnya dengan panggilan manja Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya kerana kasih sayang yang dicurahkan oleh Fatimah kepada ayahnya.

Fatimah mempunyai tiga orang kakak iaitu Zainab, Rugayah dan Ummi Kalsum. Fatimah adalah anak yang paling dicintai dan dikasihi nabi sehingga beliau berkata, "Fatimah adalah darah daging saya, apa yang menyusahkannya juga menyusahkan saya dan apa yang mengganggunya juga mengganggu saya".

Fatimah menyerupai ayahnya dari sisi rupa dan akhlaknya. Ummu Salamah menyatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah.

Demikian juga dengan Aishah yang pernah menyatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah dalam ucapan dan fikirannya.

Zaman kanak-kanaknya diwarnai oleh pelbagai penentangan yang ditujukan kepada agama Islam yang dibawa oleh ayahnya.

Penyeksaan, celaan yang keji, gangguan mental dan fizikal dan fitnah dilakukan oleh golongan kafir Mekah terhadap umat Islam.

Allah telah mengurniakan Fatimah dengan sifat lemah-lembut, cerdas dan berani yang tidak dimiliki oleh kanak-kanak lain yang seusianya. Fatimah melihat cabaran dan dugaan yang menimpa keluarga terutama pengalaman pahit yang menimpa ayahnya.

Cabaran dan dugaan itu mampu difahami oleh Fatimah pada usia yang muda dan ini telah mendewasakan pemikiran Fatimah supaya cekal menghadapinya dengan lebih cekal dan berani.

"Uqbah bin Abi Muit menyimbah kotoran unta pada ayah kamu yang sedang bersujud di Kaabah!," kata seorang wanita kepada Fatimah yang sedang duduk di rumahnya.

"Apa! Sampai hati mereka berbuat demikian kepada ayah saya," jawab Fatimah yang bergegas keluar dari rumahnya.

Fatimah berlari sekuat hati menuju ke arah Kaabah. Jantungnya berdegup dengan pantas memikirkan apa yang telah berlaku pada ayahnya. Apabila sampai di hadapan Kaabah, Fatimah melihat pembesar-pembesar Quraisy sedang ketawa kuat sambil menunjuk jari mereka kepada ayahnya.

Beliau pantas menghampiri ayahnya yang tengah bersujud di Kaabah. Fatimah melihat perut-perut unta yang berdarah dan bernajis di atas kepala ayahnya. Beliau membersihkan kotoran itu dengan pantas.

Air mukanya kelihatan sedih bercampur geram kerana kotoran itu terpalit keseluruhan jubah ayahnya. Fatimah bangun dan menghampiri Uqbah bin Abi Muit dan pembesar Quraisy lain yang berdiri sombong bongkak tanpa perasaan takut.

Beliau menjeling tajam kepada semua wajah-wajah itu dengan air mukanya yang benar-benar marah dengan tindakan mereka terhadap ayahnya.

"Mengapa kamu melakukan perkara keji ini kepada ayah saya?" tanya Fatimah dengan nada keras dan marah.

"Suka hati kamilah. Mari kita tinggalkan tempat ini. Puas hati saya melihat jubah Muhammad penuh dengan kotoran unta," kata Uqbah lalu beredar dari situ bersama pembesar Quraisy lain meninggalkan Fatimah yang masih sedih dan marah.

Pada satu peristiwa lain pula, Fatimah sedang berjalan di sebuah lorong ketika berselisih dengan Abu Jahal yang terkenal dengan permusuhannya terhadap agama Islam.

Abu Jahal menahan Fatimah lalu menampar muka Fatimah beberapa kali. Fatimah terkejut dengan perbuatan Abu Jahal terus berlari menuju khemah pemimpin Quraisy yang sedang duduk berbincang.

"Ya Abu Sufian, ketua pemimpin Quraisy. Saya ingin mengadu tentang sikap buruk Abu Jahal yang tiba-tiba menampar muka saya tanpa sebab. Saya mahu keadilan!," kata Fatimah di hadapan Abu Sufian tanpa perasaan takut.

"Apa! Abu Jahal menampar kamu tanpa sebab. Pergi panggil Abu Jahal ke sini," arah Abu Sufian kepada pengawal di sebelahnya.

Abu Jahal pun datang dengan tergesa-gesa menuju khemah tempat pemimpin-pemimpin Quraisy sedang berbincang.

Dia tak menyangka Fatimah akan datang mengadu kepada Abu Sufian tentang perbuatannya terhadap Fatimah. Dia berharap Abu Sufian akan menyebelahinya dalam perkara itu.

Dia masuk ke dalam khemah itu dengan muka sombong memandang wajah Fatimah yang kelihatan tenang.

"Mengapa kamu menampar muka Fatimah tanpa sebab, Abu Jahal?," tanya Abu Sufian.

"Sahaja. Saya geram dengan ayahnya". Jawab Abu Jahal dengan bongkak.

"Kamu tak ada hak berbuat demikian terhadap budak kecil ini," kata Abu Sufian lalu memandang wajah Fatimah.

"Hulur muka kamu supaya Fatimah boleh menampar muka kamu," arah Abu Sufian kepada Abu Jahal yang kelihatan terkejut mendengar keputusan Abu Sufian itu.

Fatimah tidak melepaskan peluang itu untuk menampar muka Abu Jahal yang selama ini banyak menyakitkan hati ayahnya. Beliau menampar muka Abu Jahal dengan sekuat hati dan pulang dengan hati gembira ke rumahnya.

Fatimah menceritakan perkara yang berlaku itu kepada ayahnya. Nabi gembira kerana Abu Sufian telah memberikan keputusan yang adil kepada aduan anaknya.

Jangan mencaci sesama Islam


RENUNGAN UNTUK KITA SEMUA - SATU hari, ketika Rasulullah SAW sedang berkumpul dengan para sahabatnya berhampiran Kaabah, seorang lelaki asing melintas di hadapan mereka. Setelah lelaki itu berlalu, Rasullullah berkata kepada para sahabatnya, “Dialah ahli syurga.” Rasullullah mengulanginya sebanyak tiga kali.

Berikutan kenyataan Rasulullah itu, timbul perasaan ingin tahu di kalangan para sahabat terutamanya Abdullah bin Umar yang memang dikenali sebagai seorang yang sangat kritikal.

Dia lalu bertanya kepada Rasulullah “Ya, Rasulullah, mengapa engkau katakan itu kepada kami, padahal selama ini kami tidak pernah mengenalinya sebagai sahabatmu? Sedangkan terhadap kami sendiri yang selalu mendampingimu engkau tidak pernah mengatakan hal itu?”

Rasulullah menjawab soalan Abdullah dengan penuh diplomasi dan bijak. Rasulullah berkata, ‘‘Jika engkau ingin tahu tentang apa yang aku katakan, silakan engkau tanyakan sendiri kepadanya.”

Abdullah yang mendengar jawapan Rasulullah itu semakin teruja untuk mengetahui apa istimewanya lelaki tersebut sehingga dia dikatakan sebagai ahli syurga.

Berikutan itu Abdullah berkunjung ke rumah lelaki berkenaan bagi mendapatkan jawapannya.

‘‘Semalam sewaktu engkau melintas di hadapan kami, Rasulullah mengatakan bahawa engkau seorang ahli syurga. Apa yang menjadi rahsiamu sehingga Rasulullah begitu memuliakanmu?'' Lelaki itu tersenyum, kemudian menjawab, “Sesungguhnya aku tidak pernah melakukan apa-apa. Aku bahkan tidak memiliki kekayaan apa-apa. Baik ilmu mahupun harta yang mampu aku sedekahkan, apa yang aku miliki hanyalah kecintaan.

‘‘Kecintaan kepada Allah, kepada Rasulullah dan kepada sesama manusia. Dan setiap malam menjelang tidur, aku selalu berusaha menguatkan rasa cinta itu, sekali gus berusaha menghilangkan perasaan benci yang ada kepada sesiapa saja. Bahkan terhadap orang-orang kafir sekalipun.”

Memelihara perasaan benci dan marah, bererti menyimpan perasaan ego. Wujudnya perasaan benci, bererti adanya sikap untuk menyalahkan orang yang dibenci itu dan menyalahkan orang lain bererti menganggap diri kita sahaja yang betul.

Kita tidak harus lupa bahawa sikap itulah yang ditunjukkan oleh syaitan ketika penciptaan Nabi Adam a.s.

Kisah tersebut memberikan gambaran kepada kita, bahawa perasaan benci, bukan hanya mengakibatkan fitnah dan permusuhan, tetapi juga dapat menimbulkan penyakit batin yang sangat buruk, sekali gus menjauhkan diri dari syurga yang menjadi idaman setiap mukmin.

Oleh itu sikap yang paling bijak ialah berusaha untuk memperbaiki diri, sekali gus menjadi orang yang pemaaf. Sebab itulah yang selalu dilakukan Rasulullah SAW sepanjang perjalanan hidup baginda. Sedangkan hidup Nabi adalah contoh bagi setiap mukmin.

Tetapi malangnya di kalangan umat Islam termasuklah mereka yang bergelar pemimpin mengaku kelemahan sendiri seolah-olah adalah satu dosa. Oleh itu mereka lebih suka menuding jari kepada orang lain termasuklah mencerca sesama Islam apatah lagi kalau sesuatu kumpulan itu dilihat sebagai musuh politik mereka.

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bersabda, ‘‘Orang Islam yang suka mencerca itu ibarat memakan daging saudaranya sendiri.’’

Dalam riwayat lain, Nabi bersabda bahawa seorang muslim adalah yang menyelamatkan sesama muslim dari lidah dan tangannya.

perbuatan

Di zaman Nabi, pernah ada sekelompok orang yang digerakkan kaum munafik telah mencerca sahabat Rasul. Baginda Rasulullah lalu bersabda, ‘‘Jangan kalian mencerca para sahabatku. Seandainya kalian membelanjakan harta sebesar Gunung Uhud, nescaya amal kalian tidak akan dapat mengalahkan para sahabatku.”

Sebenarnya pokok pangkal perbuatan itu ialah bergantung kepada lidah. Biarpun dia seorang pemimpin, dia seharusnya menjaga lidah apabila bercakap dan bukannya mengikut hati serta perasaannya sahaja.

Diriwayatkan bahawa Lukman al-Hakim, pernah disuruh majikannya membeli daging yang baik untuk menjamu para tamunya. Lukman membeli hati dan lidah. Majikannya berasa marah dengan tindakan Lukman dan bertanya kepadanya kenapa dia membeli hati dan lidah.

‘‘Tidakkah ini daging yang baik seperti tuan pesan. Hati merupakan sumber amal perbuatan yang baik, sedang lidah dapat menjalin persaudaraan. Dari keduanya orang dapat membangun kebaikan,” jawab Lukman.

Pada satu hari majikannya menyuruh Lukman membeli daging yang busuk. Tujuan majikannya ialah untuk mengetahui apa pula jenis daging yang akan dibeli oleh Lukman.

Apabila pulang Lukman sekali lagi membeli hati dan lidah. Tindakan Lukman mengejutkan majikannya dan bertanya kenapa dia berbuat demikian sedangkan yang disuruh dibeli ialah daging yang busuk.

‘‘Benar tuan, ini daging terbusuk. Hati adalah daging yang paling baik dan sekali gus juga paling busuk. Ia sumber kedengkian dan rasa bongkak. Lidah merupakan ‘alat’ untuk melaknat, mencerca dan mencaci orang lain.”

Justeru adalah jelas lidah merupakan cermin hati seseorang. Bila hati bersih, lidah nescaya tidak akan bertutur kecuali yang baik. Sebaliknya bila hati ‘tercemar’, maka lidah akan mudah berkata-kata yang buruk.

Oleh itu dalam kita memelihara persaudaraan Islam maka kita perlulah menjaga lidah daripada mencaci dan memaki hamun sesama Islam. Tidak kisahlah apapun perbezaan antara kita namun persaudaraan Islam tetap harus menjadi teras utama.

Untuk menggambarkan dalamnya persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiah), Allah SWT menggunakan kata ikhwah, yang bererti “saudara kandung’' .

Ini berbeza dengan ikhwan, yang ertinya “berteman’', sebagaimana digunakan Allah dalam surat Ali ‘Imran ayat 103, untuk menggambarkan bagaimana suku-suku Arab pada zaman jahiliah yang bermusuh-musuhan, kemudian bersatu setelah memeluk Islam. Jadi, setelah berada dalam satu agama, setiap Muslim adalah teman bagi yang lain. Dan setelah keIslaman itu meningkat, setiap Muslim seharusnya dapat memandang Muslim lain sebagai saudara kandungnya.

Ukhuwah Islamiah dapat diwujudkan seperti disabdakan Rasulullah SAW yang antara lain dalam bentuk bahawa seorang Muslim harus dapat mencintai Muslim lain sebagaimana ia mencintai diri sendiri; bahawa seorang Muslim harus dapat merasakan kesusahan yang dialami Muslim lain.

memaafkan

Di dalam al Quran, Allah SWT meminta agar seorang Muslim tidak memusuhi, mencaci, buruk sangka kepada Muslim lain. Apa yang perlu dipertingkatkan ialah saling memaafkan, mendoakan dan melindungi.

Oleh itu, sebagai umat Islam kita seharusnya memegang teguh kepada persaudaraan Islam seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud;

‘‘Berpegang teguh kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (semasa kekufuran kamu semasa jahilian), lalu Allah selamatkan dari itu nerakat itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah.’’

Semoga di sepanjang jalan hidup di alam fana ini, kita akan sentiasa memelihara ukhuwah Islamiah biar siapapun kita.Oleh Zulkiflee Bakar (ulkifli.bakar@utusan.com.my)

Kerajaan sedia beri tempat kepada mereka yang mahu berhimpun secara aman - Najib

MUAR 2 Ogos — Kerajaan bersedia menyediakan tempat yang bersesuaian kepada mereka yang mahu berhimpun secara aman, seperti di stadium untuk mengelak daripada berhimpun di jalanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.


“Kita boleh bagi mereka stadium, di mana mereka boleh bertempik sampai subuh, tapi janganlah buat kacau di jalanan,” kata Najib mengulas perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang di ibu negara semalam.


Perhimpunan yang disertai kira-kira 10,000 itu mendesak kerajaan agar menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggap tidak adil.

Perdana Menteri bercakap pada sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pagoh, dekat sini, yang turut dihadiri oleh ketuanya Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga Timbalan Perdana Menteri.


Najib juga berkata, kerajaan menyerahkan kepada pihak polis sama ada akan mengambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang yang terlibat dalam perhimpunan haram itu. - Bernama